KUALA LUMPUR: “Islam itu sangat indah dan wanita ada tempat istimewa dalam agama yang mulia ini, malah memang ada surah dalam al-Quran ditujukan khusus untuk golongan itu.
“Jadi, amatlah menyedihkan jika pihak bertanggungjawab mengabaikan wanita teraniaya seterusnya umpama menggambarkan umat Islam seolah-olah tiada pembelaan terhadap wanita,” kata Pengarah Hal Ehwal Agama Islam dan Pengguna Islam, Yayasan Bakti Masyarakat Malaysia, Abdul Aziz Ismail.
Dia yang kecewa selepas membaca laporan Harian Metro kelmarin mengenai kes seorang wanita dari Teluk Intan, Perak, yang didera teruk bekas suami termasuk dipijak perut hingga menyebabkan rahim mangsa pecah.
Wanita itu dipetik menyatakan kekesalan kerana selepas lebih 20 laporan polis dibuat, tapi gagal mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurut Abdul Aziz, sesuatu kes itu sepatutnya diambil serius walaupun membabitkan seseorang berkedudukan atau anggota berpangkat dalam agensi kerajaan.
Katanya, pihaknya menerusi biro wanita pernah mengendalikan kes aduan seumpamanya yang beberapa kali tertangguh akibat suami seorang berpengaruh.
“Antara kes masih diusahakan sejak dua tahun lalu untuk mendapatkan pembelaan pihak bertanggungjawab membabitkan seorang ketua pengarah sebuah jabatan kerajaan (Jabatan Bomba dan Penyelamat).
“Menghairankan apabila fail kes wanita itu yang dipukul bekas suami dan cubaan merogol anak tirinya 'hilang' apabila ia hendak dirujuk kembali (dia mendakwa fail hilang di balai polis Ampang).
“Tidak bolehlah begitu, wanita teraniaya itu menuju ke tempat yang betul dengan harapan mendapat perlindungan dan dibela, tapi berlaku sebaliknya,” katanya.
Ditanya bentuk bantuan diberi yayasan itu jika ada wanita mengadu masalah seumpamanya, Abdul Aziz berkata pihaknya membantu mengusahakan tempat perlindungan, salurkan kes kepada pihak berkenaan dan memberi nasihat kaunseling.
Penolong Pengarah Ukhwah, Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Yusri Abdul Rani, berkata golongan suami tidak boleh bertindak lebih-lebih walaupun kuasa rumah tangga dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Isteri turut ada hak dalam institusi rumah tangga. Suami yang tidak bertanggungjawab termasuk mendera boleh didakwa sama denda atau penjara mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak.
“Saya nasihatkan isteri yang menghadapi keganasan suami buat laporan perubatan dan laporan polis apabila didera kerana ia penting apabila perkahwinan dibubarkan,” katanya.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan