Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Jumaat, 1 Disember 2000

Sajak...SEGERA ( Delima Merkah )


SEGERA
Segala-galanya kini pantas
hidup dihambat untuk lekas
terasa maju agar tidak dipintas
layu dihimpit segeralah dicantas
ini dan kini bukanlah dunia yang malas.

Apa-apa saja segera
mahu pantas diselenggara
agar hidup terus mara
walau bara badan sengsara
dikandung gelisah yang lara.

Disanjung tiada tepat
mutu diremeh kerana cepat
minda diulit ulat ralat
ditimpa penyakit bersepakat
leka diikat diperalat tiada berzat
dalam selera makanan lazat yang berkarat.

RUSDI AB RAHMAN
Johor Bahru


DAUN YANG PERTAMA

Aku sekuntum tunas paling kerdil
antara ribu-ribu pohon dan haiwan
yang berteduh di bawah ranum setaman kejadian.

Saat fajar menguning kuhirup embun paling dingin
dan menjadi tumbuh yang paling segar
bersama keliaran angin padang
yang berkicau kalimah mencari-Mu
akulah itu, makhluk yang semalam dipatahkan duniawi
telah digetis kesombongan
telah disambar helang-helang bersiuran
dan Kau pencipta yang terlalu menyayangi
sentiasa membasuhku dengan hujan dan matahari
hujan dan matahari, hujan dan matahari.

Betapa aku dijinakkan
sekebun akal yang berbau tanah
dan seketul nafsu yang berdarah.

Alangkah sebelum keberangkatan matahari
telah tumbuh daun pertama di kampung nurani
tertulis atasnya serangkap hamdalah
yang sentiasa basah
dibilas seluruh udara-Mu.

FAHD RAZY
South Circular Road, Dublin.


NABIKU

Mampukah aku menahan sakit
dilempar batu dicerca diherdik
dari penduduk yang masih jahil
semata menyahut seruan Tuhan?

Terdayakah aku menolak
andai kekuasaan ditawarkan
andai kebendaan disuakan
semata kerana seruan iman?

Sabarkah aku menempuh halangan
pada waktu malam dalam kedinginan
dari Makkah menuju Madinah
semata menyahut seruan dakwah?

Sedihkah aku andai dikhabarkan
agama diseru telah sempurna
agama Islam agama diredai Tuhan
sebagai tanda berlaku perpisahan?

AHMADAMIN IMAN
Debak, Sarawak


KEMBALIKANLAH

Kembalikan hutan itu
kepada keindahannya
kepada ketenangannya
kepada kedamaiannya
kepada flora faunanya.

Jangan biarkan
putik bunganya gugur
rimbun daunnya bertabur
hijau pohon rebah ke tanah
haiwan unggas mati berdarah.

Kembalikanlah
akar itu kepada buminya
pusaka itu kepada warisannya
sejarah itu kepada tanah airnya
kebebasan itu warga rimbanya.

AHMAD SARJU
Shah Alam - Kuantan


MENGHARAP 1428 YANG CEMERLANG

Selamat tinggal 1427
takkan ada pertemuan lagi
yang tinggal cuma kitab sejarah semalam
tertulis kisah-kisah kembara seorang
lelaki yang mahu memahami alam.

Dan nota-nota kehidupan 1427
kan kuselak saban waktu
kubaca satu persatu
daripada babak kejahatan ke aksara kemuliaan
yang hitam yang putih
kucerna dalam minda lupa
tentang segantang dosa dan secupak pahala.

Kusambut 1428 dengan jiwa pengharapan
kuhirup udara keinsafan
menyihatkan roh yang makin tenat
dijangkiti virus-virus kejahatan.

Kuharap 1428 yang cemerlang
kan kutadah air ketakwaan
dengan mangkuk pengabdian
kusiram ke dalam rohani kegersangan
agar kembali subur pohon keimanan.

MOHD FAIZAL NIZAM MOHD FUAD
Grik, Perak


TITIPAN DOA

Kadangkala musim yang berganti
dan angin semilir yang pergi
memungkinkan kita memasuki daerah jeda
bukankah ini peralihan yang dinanti sekian lama
setelah usai lelah mengerjakan sesuatu
yang disukai atau mungkin yang melukai
yang rela dan yang reda
yang menuntut pengorbanan
dan yang memungkinkan segala.

Berbicara denganmu, bagai mencermin lantunan diri
mungkin aku seteliti usiamu nanti – akan pasrahkah?
ketika dunia zuhud mendekat
dan dunia yang dikejar sudah terlalu jauh – tak terdaya.

Teman, kita mungkin semakin jauh
sedang indahnya semalam sentiasa terpapar di ruang
dari kami sekadar titipan doa
agar perjalanan tanpa ragu, tanpa menoleh lagi
sedang menikmati lelah sepanjang usia semakin pasti.

MOHAMAD KHOLID HAMZAH
Tanah Rata, Cameron Highland


KITA TIDAK LAGI BERKONGSI MIMPI

Kita tidak lagi
berkongsi mimpi
sedang lena tidur pun
semakin sedar
di hujung pembaringan.

Sesekali
bunyi siul unggas
pada kejauhan
adalah peluit semboyan nurani
tercicip pada tubir qalbiku.

Kitalah pewaris yang sah
di tanah warga bangsa merdeka!

WAN ZAHARI WAN ALI,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.


BISIKAN MINDA

Kali pertama sejarah ada di depanku
bagai pameran agung mengenang satu peradaban
yang dimungkiri generasi baru
memberontak dan melupakan ceritera indah
sepanjang zaman.

Segalanya hanya tinggal ujaran memori
dan bisikan di sisi telinga, namun jauh di mata sedar
kukembalikan diri di tengah alam nyata
menelaah sumber beraksara pudar, kesat
dan yang dikatakan sastera.

Biar terlalu sukar
merasainya adalah sesaat perjalanan matang
kepulangan takrif kewujudanku
diterima halus oleh diri yang sedang tercari-cari.

Mustahil untuk berada di alamnya,
yang berlalu dengan
penuh misteri dan tragedi.

Hanya di antara generasi muda mampu membaca
dari pameran ini, satu episod dan kesan peristiwa
yang bakal tak mengingatkan seluruh asal mula dan tengah
berdirinya sebuah keyakinan ummah
selalu mengalirkan busa ceritanya di lautan iktibar.

MOHD FADZIL YUSOF
Tebuk Tukang Emas, Perak


LUKA (1)

Sewaktu tega kutinggalkan
gapura perkasihan kita
langit dukamu meratap
tengkujuh mewarnai
sepanjang musim hayat
menyirnakan impian
segunung yang kau simpan bertahun.

Kulepaskan gelora rindu
hanyut di tengah laut
kubiarkan nyala asmara
padam ditelan pekat malam
kutamatkan riwayat bahagia
seorang lelaki yang setia.

Segala-galanya rusuh
telah kumusnahkan sebuah jiwa.
Segala-galanya mati
telah kubunuh degup cinta pertama.

S YANAZ
Perak Utara

Berita Minggu