Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Memaparkan catatan dengan label Desa Tualang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Desa Tualang. Papar semua catatan

Rabu, 22 April 2009

Kenali Ulam: Buah remnia, kundang serupa tapi tak sama (Delima Merkah)

Bersama Ismail Saidin

Remnia: (Orang Perak memanggilnya Remenia, orang bandar selalunya menyebutnya Kundang)
Nama saintifik: Bouea macrophylla Griff
Famili: Anacardiaceae
Nama Lain: Gandaria

Kundang

Nama santifik: Bouea oppositifolia (Roxb) Meisner
Famili: Anacardiaceae
Nama lain: Setar

BAGI masyarakat bandar, buah remnia atau buah kundang mungkin terlalu asing. Jika ada yang pernah mendengar nama dua buah berkenaan tapi mungkin mereka tidak pernah melihat rupanya.

Sekali sekala apabila sampai musimnya, buah remnia atau buah kundang dijual di pasar tani atau pasar malam.

Bagi masyarakat desa, buah remnia atau kundang tidak asing lagi. Ia buah yang sering dibuat sambal, dimakan segar atau dibuat rojak. Kanak-kanak pula gemar memakan buah ini dicolek dengan garam atau kicap dicampur gula, cili api & belacan.

Bagaimanapun, masyarakat desa tidak dapat membezakan antara remnia dan kundang. Buah remnia dikatakan kundang dan kundang pula dikatakan remnia. Sebenarnya banyak perbezaan wujud antara remnia dan kundang.

Pokok remnia (Bouea macrophylla) berasal dari Indo-Malaysia. Pokoknya semakin nadir. Bagaimanapun, ia masih boleh ditemui di kampung dan ditanam dalam konsep dusun.

Pokoknya bersaiz besar mencapai ketinggian sehingga 30 meter. Batangnya berbanir, 50 sentimeter (sm) diameter dan pokok yang tua mencapai sehingga 1 meter diameter. Kulitnya berwarna perang dan merekah. Berdahan banyak membentuk silara rimbunan oval yang padat ketika muda dan bertukar menjadi silara yang terbuka atau berbentuk dom apabila matang.

Daunnya mudah, berhadapan, oblong-elips 11 hingga 30 sm panjang 4 hingga 5 sm lebar, bes akut, apeks akuminat, berwarna keunguan ketika muda dan bertukar hijau tua apabila matang.

Bunganya banyak, kecil, berjambak-jambak pada aksil daun di pucuk atau pada ranting, berwarna kekuningan dan kemudian bertukar menjadi perang. Buahnya drup, globos, 2 hingga 3 sm diameter, berwarna hijau ketika muda dan bertukar kuning limau apabila masak.

Isinya berjus, berwarna kuning limau, berbau seakan-akan tapentina dan rasanya masam manis. Bijinya bersabut dan kotiledonnya berwarna jingga.

Kundang (Bouea oppositifolia) atau dikenali juga dengan nama setar, berasal dari Malaysia dan Selatan Thailand.

Pokok ini jarang terdapat di selatan Semenanjung Malaysia tetapi mudah ditemui di utara Semenanjung, Kedah dan Perlis.

Asal usal nama bandar Alor Setar adalah daripada nama pokok ini.

Pokok kundang seakan-akan sama rupanya dengan remnia (Bouea macrophylla) tapi pokoknya lebih kecil dan rendah. Daunnya lanseolat-elips, 10 hingga 18 sm panjang dan 2 hingga 3 sm lebar. Buahnya ovoid, kecil, kira-kira 2 hingga 2.5 sm panjang, 1 hingga 1.3 sm lebar, berwarna kuning limau apabila masak.

Isinya juga berwarna kuning limau dan rasanya masam atau manis mengikut jenis. Bijinya bersabut lembut dan kotiledonnya berwarna biru.

Di Thailand pokok kundang ditanam secara kebun kecil daripada klon terpilih dan buahnya dijual di pasar bila sampai musimnya.

Khamis, 22 Januari 2009

Desa Tualang 2 (Singgahsana)


Baru petang tadi aku menerima jawapan positif tentang cuti 103 hari yang luput.
Emmm! agak lama menunggu jawaban e-mel terdahulu...
Sekitar 50 hari sahaja ianya luput lantaran terlebih kumpul.
Mungkin antara kita kurang prihatin akan kaedah cuti yang layak dibawa ke tahun hadapannya.

Jangan menyalahkan sesiapa.

Kesilapan aku adalah lantaran pada awal sistem e-cuti atau cuti talian terus melalui internet; Aku terlalu bergantung dengan kerani yang menyemak cuti. Aku tidak pun punyai kata laluan maka aku memang tak tahu jumlah sebenar cuti berbaki saban tahun; di penghujung tahun.

Hinggalah bilamana sistem perakam waktu melalui internet diperkenalkan yang memaksa aku punyai kata laluan yang sama dengan e-cuti. Tidak boleh menuduh kerani yang memantau cuti itu membuat kesilapan atau buta IT.
Tau-tau terlalu banyak cuti berlebihan hinggakan pada tahun 2001 luput 15 hari. Begitulah tahun tahun berikutnya aku kehilangan cuti sebanyak 38 hari & semasa aku belajar Bahasa Jepun sebanyak 22 hari. lantaran aku tidak sempat mengisi borang bawa baki cuti kerana ketika itu aku cuti belajar; sibuk belajar Bahasa Jepun & berada di Jepun. Semuanya berjumlah 50 hari lebih kurang tak apalah lantaran dapat cuti menunaikan Haji pada tahun 1992 sebanyak 40 hari. Kira berbaloilah.

Bila sebut bercuti rehat, rasanya semua staf kerajaan pasti akur, tak bercuti pun ramai kalangan kita tetap berehat di tempat kerja. Jadi tak elok juga persoalkan sangat tentang sah kini 50 hari cuti aku yang luput itu.

Cumanya aku sejarah kerjayaku sejak tahun 1997 hinggalah penghujung tahun lalu; aku banyak menghabiskan masa di makmal, siang maupun malam. Tanpa tuntutan lebih masa. Dunia ICT memang amat mencabar & memerlukan banyak tumpuan masa. Aku hanya membuat tuntutan lebih masa sekitar dua ke tiga semasa di KKA yang akhirnya menimbulkan perbalahan antara KJ & Ketua Unitku. Perbagai kesangsian tentang perlukan aku menuntut elaun lebih masa. Huh! malas nak fikir masalah lama dulu.

Khabar petang tadi memang akan merubahkan tarikh aku mula berpencen. Besar kemungkinan bulan April & Mei aku telah berehat di rumah. Mungkin lambaian Desa Tualang semakin dekat. Alam kerjayaku tinggal kenangan; rasanya kenangan yang manis & yang pahit itu terlalu bertindih menindih.

Secara peribadi aku berpendapat; tak semestinya pendapatan aku ini betul lagi jitu.

Terlalu banyak rasanya sistem kerajaan kita yang perlukan perhatian & pembetulan. Terlalu ramai lagi kalangan sahabatku di seluruh negara yang masih tidak terbela nasib mereka. Begitu juga di sektor swasta; masih banyak kebajikan mereka terabai. Aku amat berbangga dengan JPM yang merisik aku dengan e-mel & menaikkan taraf kerjaya staf mereka 100 orang sekali gus. Masih aku simpan e-mel ini.

PEMBANTU TADBIR RENDAH N11.. 100 kekosongan.
JABATAN PERDANA MENTERI 2008/10/21 PUTRAJAYA
Tarikh: Rabu, 22 Oktober, 2008, 12:45 AM


From: Warkah Untuk PM
Subject: Penghargaan daripada PM
To: idanradzi@yahoo.com
Date: Tuesday, March 4, 2008, 9:25 PM


Ketika aku kerap bere-mel dengan Warkah Untuk PM dalam masalah kebajikan pekerja awam kerajaan; masalah pekerja swasta, pun masalah kemudahan awam. Bagiku saluran Warkah Untuk PM adalah saluran yang amat telus & jitu tindakannya. Seharusnya organisasi lain mengambil langkah JPM ini buat staf mereka yang masih ramai di N1 pun N4. Intai-intailah akan Pelayan Pejabat... jika dalam panggilan orang putih Budak Pejabat (N1) ramai sangat telah pangkat Atok di sekeliling kita. Apakah kita mahu terusan kerah tenaga mereka yang pangkat ayah atau atok buat kita ini hingga ke akhir hayat mereka tanpa kenaikan pangkat.

Kenapa tidak ujudkan semula jawatan buat mereka seperti Penyemak Fail, Pembantu Stor Rendah, Pembantu Makmal Rendah, Pembantu Tadbir Rendah sperti di JPM, Juruteknik Rendah diujudkan semula... sebabnya ini lah tangga kenaikan pangkat buat kumpulan sokong di aras terendah N1 umpamanya. (Pembantu Am Pejabat telah ujud buat pekerja di pejabat; Pembantu Am Makmal kenapa tidak diujudkan buat mereka yang berpekerja di makmal)... banyak lagi jawatan yang boleh kita fikirkan untuk kenaikan pangkat kumpulan sokongan yang hampir pencen & terinanya ini...jika memang kita bukan jenis Sifar Kebajikan.

Rabu, 21 Januari 2009

Desa Tualang (Singgahsana)


Maafkan aku Desaku, Desa Tualang (Kg. Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak)
lantaran kecuaian manusia cutiku hilang 103 hari.
Seharusnya lima bulan lalu, aku telah berada di sisimu.

Pun jika digantikan 103 itu sebagai ganjaran wang pasti telah selesai masalah
pembelian komputer bimbit Afiz yang hingga kini dia tidak miliki.

Telah dua semester tanpa komputer bimbit Afiz masih mendapat Sijil Dekan.
Bayangkan jika 103 hari diubah sebagai ganjaran wang; mesti Afiz akan lebih
mudah belajarnya.

Aku telah e-mel kepada yang bertanggungjawab, e-mel aku bagaikan e-mel layang
langsung tak dihirau. Aku akan telefon apa katanya nanti.
Aku akan buat surat rasmi, apa balasannya nanti. Aku mesti tuntut
sebab itu hak aku.

Yang anehnya bab cuti ini seharusnya amat mudah, hanya guna sifir campur tolak
tak ada pun aljebra, formula lain yang pelik & memeningkan.

Seharusnya aku telah ada di Desa Tualang untuk pulihkan aliran Parit Kiteh Mat Jadi
atau menahan bubu di Parit Teh Benon.
Aku terpaksa jadi halimunan; lantaran kecuaian manusia.
Saling menolak erti tanggungjawab.

Bagaimana pun aku terpaksa membuang masa lagi. Sewajarnya telah bercuti tetapi majikan aku memaksa aku daftar diri. Apa ke bendanya ini?.

Posted on 21.1.2009 at 6:59 PM

Rabu, 3 September 2008

35 Tahun Tidak diJejak 5 (Singgahsana)

Rempiang basah disimbah dingin hujan, kodok menguap dari celahan pelepah bemban. Aku & Abg Jelani mencari lorong menoreh Abg Tan. Melalui tebing Sungai Keruh semak samun makin meninggi. Musim hujan di Desa Tualang membuatkan air melimpah di mana-mana. Berkali-kali kami patah ke belakang; silap lorong & terhalang oleh duri banung, resam & rumput rampai.

“Jangan sampai kita sesat lagi...” Sungut Abg Jelani sambil aku lihat dia kumat-kamit membaca jampi serapah. “Ini dia iDAN lorong yang anak Abg Tan tu terpaksa merangkak... jumpa pun lorongnya!”

Aku mengempiskan perut boroiku & merangkak di celahan pokok yang dahannya menjulur ke bumi. Macam komando mengendap mangsa pula. Sambil itu aku lihat Abg Jelani terusan menebas pokok renek & semak samun.

“Betul iDAN... ini tanahnya, jika tak silap ini tanah arwah si Tan Kidal” Aku terbayang wajah arwah Tan Kidal, dengan kacamata tebalnya. Ada dua anak sungai mengalir tenang. Sesekali aku nampak kocak haruan terkejut dengan kedatangan kami. Kasihan ia baru ingin menyambar kodok menguap yang leka di pohon bemban. “Kita kena buat titian iDAN”

“Kita randuk saja air sungai ni ... tak boleh Abg Jelani” Aku lihat airnya macam tak dalam & tak luas mana.

“Dalam anak sungai ini, mahu takad pinggang! basah kita nanti” Abg Jelani terus menebas batang bemban sana sini.

“Banyak ikan kat sini… Abg Jelani macam riak ikan haruan... !”

“Memang banyak ikan sejak dulu, ikan terboi, lampam, haruan... memang besar-besar!”

Tangkas Abg Jelani menebang pokok kelempung hutan sebesar betis. Tak padan dengan usianya. Bertenaga betul. Kemudian kami mengangkat bersama batang yang telah dikerat dua meletak celahan pokok di seberang anak sungai. Dua batang. Wah! cantik.

“Kita kena buat batang untuk berpegang” Aku lihat Abg Jelani menebang sepohon Geryong.

“Buah Geroyong ini burung Punai suka makan…”

“Tahu… iDAN nama pokok ini iyer!”

“Alaa!.. Abg Jelani saya ini orang kampung, dibesarkan di kampung” Orang kampungku kalau sebut periuk jadi peroyok. Perdu jadi perodu. Jadi Geryong jadi Geroyong.

“iDAN tenguk tu besarnya pokok Pulai, kalau tak silap tanah tu kepunyaan Wan Meah..” Memang besar pokoknya mahu dua pemeluk. Sudah boleh dipanggil balak.

“Wan Meah isteri arwah Pak Soli ke?”

“Betullah tu…”

“Bukan ini rezab sungai ke?!…”

“Patutnya macam tu…”

Abg Jelani telah ada di seberang sungai, selang beberapa meter ada sebatang anak sungai lagi. Aku lihat di menebang pokok halban pula. Pelik juga aku kenapa Abg Tan tak buat titian.

“Biasalah iDAN takut orang curi getah, getah kan ke mahal sekarang ni!, sebab itu sengaja Abg Tan buat lorong rahsia..” Benar juga telahan Abg Jelani.

“Jauh lagi ke Tanah Paya Asap…?”

“Seberang paya ini saja iDAN..”

Aku mula nampak banyak pokok Simpoh Air. Bunga rona kuningnya menarik minatku. Aku mula jatuh cinta dengan si Simpoh Air.


- Bersambung.

Selasa, 2 September 2008

35 Tahun Tidak diJejak 4 (Singgahsana)


Simpoh Air

Kami berpatah balik lantaran pintu yang berkunci. Apatah lagi ada anjing yang tentunya akan melalak menyalak jika kami meredah ladang kelapa sawit kepunyaan si Hamidah. Aku nampak kelibat bagaikan seorang Apek berseluar pendek menaiki kapcai keluar dari ladang sawit mana satu, menuju jalan utama.

"Dua minggu lalu semasa saya jumpa dengan Abg Tan, dia kata dia memotong getah di Tanah Paya Asap.." Orang kampungku tak panggil menoreh, mereka lebih biasa menyebut memotong.

"Haa ahh! betul juga, kita pergi kampung seberang ke rumah Abg Tan... iDAN pergi tanya!.."

"Saya tak tahu rumah Abg Tan tu mana satu!"

"Saya boleh tunjukkan rumahnya, emmm! nasiblah dengan adik saudara, kalau tidak kena saman saya ini. Kata tahu tempatnya tetapi kena minta tolong orang lain pula..!" Entah kali ke berapa Abg Jelani menyebut ayat yang sama.

"Telah terlalu lama kita tidak menjenguk tanah tu memanglah boleh sampai kita sesat larat..."

Telah sejam lebih aku & Abg Jelani buntu, tak dapat panduan untuk menjejak Tanah Payah Asap. Kami menuju ke kampung seberang. Sebelum sampai ke Sungai Keruh di kiri & kanan aku lihat ada ladang getah yang baru ditanam semula.

"Ladang getah ini saya yang usahakan, badan ni tak berapa larat tapi dipaksa juga sampai demam-demam saya!" Aku agak sekitar dua ekar yang ditnam semula selebihnya pokok getah yang telah boleh ditoreh, bertaburan tumbuhnya tidak disusun.

Mentari telah memamah embun, nampak semua dedaunan segar bugar. Tidak ada pun barang sebuah kenderaan yang melalui jalan tar kampung yang muat sebuah kereta sahaja. Aku melintasi Sungai Keruh yang airnya nampak jernih, ada lorong kecil sebelum jambatan. Hatiku terdetik mungkin lorong itu kot Abg Tan menoreh getah. Di seberang sungai ada beberapa motorsikal & sebuah kereta parkir di tebing sungai.

"Si Tan Pak Ngah Kopli punya kereta... mesti dema memancing, musim air dalam ni banyak ikan jelawat!"

"Guna umpan apa Abg Jelani, saya suka juga memancing...!"

"Buah kelapa sawit!..."

"Kalau sempat petang ini saya nak memancing..."

Aku lihat banyak kawasan yang dulunya hutan telah ditanam kelapa sawit. Sekitar seratus meter dari jambatan Sungai Keruh telah sampai rumah Abg Tan. Tak nampak pun kapcai di luar rumah. Mesti Abg Tan menolong memasak di rumah orang kenduri bertunang.

"Tak ada nampaknya Abg Tan ni ... mesti dia menolong memasak di rumah orang bertunang.. tu!"

"Betul jugak dia memang pakar memasak, iDAN tanyalah dengan anak-anaknya mesti ada yang tahu jalan ayahnya memotong getah.."

Aku parkir Avanza di teduhan pepohon di dusun desa. Redup amat kampung seberang. Abg Jelani keluar Avanza menghirup udara segar. Kasihan aku melihat dia begitu gelisah. Aku memberi salam, isteri Abg Tan telah bersiap untuk ke rumah orang bertunang, ada dua orang anaknya di ruang tamu, seorang tengah leka menggodek komputar seorang lagi leka menonton TV.

"Angah, tolong tunjukkan jalan pada Pak Cik ini ke kebun getah ayahnya memotong tu..!"

"Yang mana satu mak.."

"Ala..! jalan yang kena merangkak tu!..."

"Dekat titi Sungai Keruh tu ke mak..?"

"Betullah tu..!"

Seperti yang aku jangka, memang lorong yang aku nampak tadi. Impian aku untuk menjejak Tanah Paya Asap nampak makin tercapai.


Kenapa dengan Simpoh Air

- bersambung

||| Siri Satu ||| Siri 2 ||| Siri 3|||


Khamis, 28 Ogos 2008

35 Tahun Tidak diJejak 3 (Singgahsana)


Gantung Ubat Nyamuk

Aku membeli lima bungkus nasi lemak, sebungkus tujuh kupang. Dua ringgit kuih udang siap sambal kacang. Kak Kencon sedekah sebungkus nasi lemak. Itu yang payahnya beli dengan orang kampung. Serba salah nak terima sedekah orang. Di rumah arwah Opah Bi yang mana Raman tinggal, memang ada ulam-ulaman yang aku kutip sejak petang semalam. Pucuk sentang, ulam raja & pucuk mengkudu hutan. Aku makan berulam dengan bersambalkan nasi lemak Kak Kencon. Amat menyelerakan.

"Mila ayah nak kasi ikan keli salai ini dengan Kak Sala! ada nasi lebih ini kita kasi merekalah buat sarapan" Dua hari lalu khamis aku ambil cuti pergi MAHA di sebelahan tempat kerjaku di Serdang. Ada dua kampit ikan keli salai aku beli; ingat nak kasi Ijan masak. Nampaknya isteri si Raman ini tak balik-balik. Kami yang jadi tuan rumah. Jam baru 8:30 pagi, sebaik sahaja aku mahu ke rumah Abg Jelani, terpocol Pak Cik Nan di muka pintu. Masih segak Pak Nan ini, wajahnya kemerahan macam Mat Saleh sudah berusia 75 tahun masih macam orang berumur 40an.

"Abg Haji Jelani kita ada di depan tu iDAN!"

"Laa... dia jalan kaki ke datang ke sini"

"Nampak gayanya begitulah...!"

Aku menjemput Pak Cik Nan & Abg Jelani bersarapan apa yang ada. Aku lihat Abg Jelani telah memasang ubat nyamuk. Tergantung di pinggangnya. Dengan sebilah parang bengkuk berikat tali merah. Bersama bekal air & tak pasti apa lagi dibawanya.

"Kenapa Abg Jelani jalan kaki, kan ke saya dah janji nak jemput di rumah"

"His!... tak sedap bebenor jadi tuan beso!.." Masih sebut ayat yang sama.

"Abg Jelani ada jemputan jiran kita sebelah bertunang tak?. .."

"Ada.. katanya jam 12:00 tgh hari "

"Kita kena cepatlah ni...!" Jiran sebelah rumah arwah Opah Bi, kakak Mat Roti bakal menyambut menanti. Adatnya orang kampung mesti makan sekali. Serentak makan setelah berdoa selamat.

Aku meminta diri kepada Pak Cik Nan untuk ke rumah Abg Jelani; terbayang Kak Sala, aku menghantar ikan keli & nasi lemak yang telah aku bekalkan. Sebelum naik Avanza Abg Jelani terkecuh-kecuh memadamkan ubat nyamuknya.

"Ubat nyamuk ini racun, nanti mabuk pulak kita dalam motokar ini!" Aku senyum sahaja.

Aku membawa peta, air minuman & keperluan asas ke hutan.

"Abg Jelani tahan dengan penghawa dingin tak?" Aku teringat emak mertuaku memang alahan penghawa dingin kereta. Pak Jelani telah 60an usianya pasti banyak pantang larangnya.

"Tak apa!.. tahan!"

"Kita sedut udara kampung sahajalah... lagi pun masih awal pagi!" Aku lihat tiap kali buat apa saja Abg Jelani ini penuh dengan doa & niatnya.

"Kita cuba ikut rumah Wan Bedah, rasanya tak jauh Tanah Paya Asap itu dengan rumah Haji Soba" Aku memang sering melihat & mengagak kedudukan Tanah Paya Asap melalui wikimapia.

"Harap-harap betul arah kita!"

Di Kampung Changkat Tualang Hulu, aku berbelok ke sebelah kanan masuk ke ladang kelapa sawit kepunyaan bang Cina yang nampak seperti hampit 20 tahun usia pokoknya. Aku sempat bertanya di mana kampung asal Pak Jelani, katanya dia berasal dari keturunan Minang. Kampung Asalnya tak jauh dari Padang. Bila aku tanya tentang Hamka dia memang tahu.

"Ramai orang bertanya tentang parang ini kenapa saya ikat dengan kain merah!, kata ada jampinya atau tangkal!... sebenarnya tak ada apa, kalau cicir di hutan senang nak cari! "

Aku mengeluarkan Nusantara "Abg Jelani tak merokok ke?"

"Jangan!, nanti mabuk pula kat hutan!" Aku lihat dia menyalakan semula ubat nyamuknya. Kami telah di tengah ladang kelapa sawit kini.

Hampir setengah jam kami melilau di ladang kelapa sawit. Masih buntu, aku melihat peta yang aku bawa, aku begitu yakin amat jauh dari pengecaman Abg Jelani.

"Tak nampak langsung pokok getah, hilang panduan saya!.." Sungut Abg Jelani. Katanya telah lebih belasan tahun tidak menjejak kebun getah di Tanah Payah Asap. Aku lagilah lama, telah lebih 35 tahun tidak menjejaknya. Masih ingat estet getah arwah apak lapang & bersih. Ada alur sungai kecil, jernih airnya. Kenangan itu berbalam-balam dalam ingatan tetapi damai.

"Saya ingat lagi masa saya banyak kerbau dulu, saya sering membawa kerbau-kerbau saya ke ladang kelapa sawit ini... macam mana saya boleh tak jumpa..."

"Abg Jelani tenguk dalam pelan ini, tanah yang diwakafkan kepada Baitulmal itu kat sini... ada 70 ekar, bentuk spanna; Tanah Paya Asap yang ini, jauh ke atas ni... !" Abg Jenani macam tak pasti dengan peta atau pelan tanah yang aku bawa. "Kita kat sini sekarang ini, apa kata kita ke seberang tasik ini, ikut dari ladang kepala sawit milik si Hamidah..."

"Hemm!, kalau bawa orang lain, mau kena saman saya ni iDAN, bagaimana saya tak boleh cam tanah arwah apak iDAN ini, jika kita redah paya ini macam mana?..."

"Bahayalah Abg Jelani, kita tak pasti apa ada dalam paya ini, baik kita ikut jalan ini, jalan ladang kelapa sawit si Hamidah...!" Paling aku takut anakonda. Aku menunjukan arah yang aku pasti terletaknya Tanah Paya Asap.

Deruman jentolak yang sedang menerangkan tanah wakaf yang mahu ditanam kelapa sawit jelas kedengaran. Berpandukan tetakan daun kelapa sawit kami mencari semula di mana kami parkir Avanza.

Treron fulvicollis. Burung Punai Bakau

"Ini satu kemestian iDAN jika kita ke hutan, kena ada penanda... nampak ini daun yang kita tetak tadi" Aku lihat Abg Jelani masih mantap melangkah. Memang hebat orang kampung seperti Abg Jelani dalam usia mencecah 60an masih segak & sasa. Aku tercungap-cungap mengikut langkahannya. Berat kaki melangkah tambah berat rasanya mengusung perut boroiku.

Sesekali aku nampak ayam hutan & burung punai daun (ada yang panggil Punai Bakau) terbang. Syoknya kalau dapat memburu punai. Bersih & nyaman amat suasana di tengah ladang kelapa sawit ini. Setahu aku masa aku meninggalkan kampung halaman sekitar penghujung tahun 70an, payah untuk ketemu burung punai daun. Sekarang makin banyak. Sesekali bau ubat nyamuk kepunyaan Abg Jelani menyucuk hidungku. Nyamuk lintang pukang lari di celahan pelepah kelapa sawit takut terhidu asap ubat nyamuk.

http://wikimapia.org/#lat=4.4343649&lon=101.0922968&z=18&l=0&m=a&v=2&show=/2113392/ar/Tasik-Samai-Hijau

Aku memandu Avanza ke arah Tasik Samai Hijau. Nampak air tidak sejernih dulu mungkin lantaran musim hujan. Aku nampak pintu pagar besi sasa yang berkunci, ada lima ekor anjing atau lebih menanti di pintu pagar.

"Saya tak suka dengan anjing ini iDAN, nak ditetak bergaduh pula dengan tuannya!" Aku tambah gurur & terpaksa berpatah balik. Tanah Paya Asap makin kabur dari pandangan.

- bersambung.

Sila Klik sini 35-tahun-tidak-dijejak-4-singgahsana.html

Rabu, 27 Ogos 2008

35 Tahun Tidak diJejak 2 (Singgahsana)


"Rasanya telah 35 tahun saya tidak menjejak tanah arwah apak saya itu.."

"Saya pun membuat kandang kerbau sekitar tahun 80an, sedar tak sedar telah lebih dua puluh tahun saya berhijrah di sini"

Aku lihat Mila & anak-anak begitu berselera makan masakan Kak Sala, ada gulai asam pedas rebung, ada sambal udang, paling sedap sambal belacan ikan bilis cicah tempoyak.

"Sambal ini taruh belacan tak Kak Sala?" Mila memang rajin mencuba cara masak kampung selain cara jawanya.

"Tak payah bubuh sambal nanti tak sedap, cuma cabai muda, ikan bilis & garam" telahanku sambal belacan silap rupan.

"Cili merah tak boleh ke Kak Sala?"

"Boleh... tapi lainlah rasanya"

Semasa di Kampar memang aku mencari-cari kedai makan milik Melayu. Tak jumpa. Sepanjang jalan Kampar ke Gopeng pun sama; cuma banyak orang jual durian, rambutan, manggis & aku nampak ada yang jual buah larah. Ramai tak kenal buah larah ini. Di Gopeng sememangnya aku tak berani nak singgah makan. Orang sekitar Lembah Kinta mesti tahu masalah makan di Gopeng.

Aku terkenang semasa anak-anakku makan di Hentian Tapah sekitar jam 11:00 pagi. Entah apakah namanya kedai rotinya. Nampak mewah kedainya. Padanlah mereka laparlah amat. Jam di tangan ketika itu telah mencecah jam 5:00 petang lebih. Aku tanya juga Mila berapa kos mereka makan. Tak berani nak cakap nanti ayah marah katanya. Aku memang makan mee kari cina jauh dari kedai mereka makan. Agam sebelahan KFC.

"Orang Malaysia makan roti, tulah pasal cepat sangat laparnya..!" Usikku aku lihat Mila diam saja "Ayah pun lapar sebenarnya!.."

Wan Esah isteri arwah Pak Mansor, jiran Kak Sala siap suruh Abg Jelani ambik nasi yang telah dia tanak. Anak & menantunya janjinya nak datang tak nampak batang hidungnya. Bayangkan jika kita di taman perumahan seintim orang di kampung. Tak kisah ambik periuk jiran untuk menjamu tetamu. Memang hampir habis seperiuk nasi keluarga aku makan. Lapar bebenar.

"Esok saya datang sini dalam jam 9:00 pagi..!"

"Ish! tak sedap le... pulak macam tuan beso!" Abg Jelani dalam lorat Peraknya.

"Ala!.. mana jauhnya rumah ni dengan rumah Opah Bi tu!"

Semalaman aku tidur berdengkur, amat nyenyak!. Maklum aku belum habis penat mengemas bengkel. Pindah barang sampai selori. Kena pula memandu jauh. Tidur memang telah tiga malam lebih tak cukupnya. Kebetulan Ijan & anak-anaknya tak ada. Hujan pula. Memang lena aku dibuai mimpi menangkap ikan pilai lawan di kampung.

Awal jam 6:30 pagi Raman telah bertolak dengan Kembaranya ke Melembu. Tak pasti Raman ini kerja apa, kata emaknya Wan Midah Raman kerja sebagai Pembantu Makmal di syarikat swasta. Entahlah.

"Kalau nak cari sarapan, Abg iDAN boleh pergi ke Kota Bharu, anak si Nya tu ada jual nasi lemak"

"Boleh makan ke?... " Si Nya tu Cina, tak pasti hidup ke lagi, anaknya si Solo rasanya telah berpindah ke Ipoh. Anak perempuan yang berniaga tu aku tak pasti namanya.

"Orang Melayu yang hantar, dia tolong jualkan!" Aku terbayang akan wajah anak perempuan di Nya. Memang nampak tua. Semasa aku sampai di kampung memang aku teringat nak lihat pekan Kota Bharu. Kasihan betul telah berpecah dua. Di belah oleh rel keretapi. Masjid yang Lat lukis tu pula tengah banjir. Stesyen keretapinya masih tertutup pintu pagarnya.

Sekitar jam 7:15 pagi aku telah bertolak ke Kota Bharu. Di pertengahan jalan aku nampak Kak Kencon ada berjual nasi lemak & kueh. Emmm! tak jadilah aku mahu ke Kota Bharu.

"Kenal saya ke Kak Kencon?.."

"Dan ke...?"

"iDAN anak Pak Mat Seshlah..!"

"Laa... apahal dah gemuk sangat!"

"Semua sakit ada Kak Kencon, pakej, mulanya buah pinggang kemudian darah tinggi, kolestrol, merebak ke kencing manis terbaru dah masalah hati pulak.."

"Akak pun ada masalah kolestrol, orang banyak kolestrol ini asyik ngantuk saja.."

"Haa aah!, pantang perut kenyang... atas bangku boleh berdengkur!... Kak Kencon ingat lagi tak Pak We lama, dia dah jadi orang kaya dah, dah dapat hasil ladang kelapa sawit!.."

"Lor!... sapa pulak Pakwe akak ni.. kamu ni Dan...!"

"Wak Suratman... takkan tak ingat"

".....ha haha... " Kak Kencon mengilai panjang.

Lekalah aku berbual, dari kisah zaman silam, kisah Kak Nor kawin dua minggu, kisah si Todin, Node, Haji Soba, sampai dekat setengah jam duduk di gerai Kak Kencon. Sampai si Tahiah datang membeli nasi lemak Kak Kencon. Sedih berita yang Kak Kencon ceriterakan kisah si Tahiah ini. Si Tahiah kehilangan emak & suaminya serentak. Sedang sibuk menguruskan jenazah emaknya, suaminya diserang sakit jantung. Meninggal pada hari emaknya dikebumikan. Sampai ke maghrib orang kampung terpaksa menguruskan jenazah keduanya. Mulanya emaknya dikebumikan waktu zuhur, menjelang malam suaminya pula. Tahiah anak arwah Haji Rahim tak punya anak; sekarang tinggal sendirian. Rumahnya tak jauh dari rumah Opah Bi. Kejadian itu dalam tahun ini juga. Aku memang tak tahu langsung ceritera di kampung.

- bersambung.

Sila Klik sini 35-tahun-tidak-dijejak-3-singgahsana.html

Selasa, 26 Ogos 2008

35 Tahun Tidak diJejak (Singgahsana)


"Adik.. alamat yang ini sepatutnya macam dulu tak perlu dipinda" Aku menghulur bill cukai tanah. Aku tak puas hati tentang alamat bill cukai tanah yang aku ubah di Pejabat Tanah Kampar. Tiga bill tiga alamat yang berbeda.

"Telah diprogremkan tak boleh ubah" Acuh tak acuh jawabannya.

"Dua minggu okey saja..!, tak kan nak tulis nama orang yang telah meninggal di bill ini, saya takut bill nanti sesat lagi, kot ramai lagi nama Radzi di taman perumahan saya itu. Lagi pun saya ingin menanam semula senang jika dalam bill itu telah ada nama saya..!"

"Tak boleh diubah, saya buat di alamat (d/a) sahaja... boleh!"

"Bolehlah asalkan ada nama saya!"

Punyalah payah berunding dengan orang Pejabat Tanah Kampar ini. Adakah patut tiga bill punyai tiga alamat berbeda. Aku pun silap, patutnya jangan hukur dulu bill yang alamatnya telah cantik aku ubah pada dua minggu lalu. Nama penuhku & alamat penuh di Jenaris. Tak kisahlah di alamat sahaja. Ini ditulis nama arwah Apak sahaja. Harap-harap tidak lagi akan sesat bill yang telah 14 tahun tersorok entah di mana.

Lebih dari RM4K aku membayar wang tebusan untuk tiga geran tanah milik aku & tanah pusaka arwah. Kira-kira lebih dari 11 ekar dapat aku selamatkan. Tak pasti jumlah sebenar sebab dalam geran terkini telah tertulis hektar tidak lagi ekar bagai zaman lalu. Satu hektar berapa ekar iyer?.

Aku terus ke rumah Kak Sala lantaran Raman ketua kampung pangkat anak saudaraku tiada di rumahnya. Isterinya Ijan balik kampung ada kenduri tahlil sudah dekat nak sebulan puasa rupanya kita. Aku membuat temujanji untuk menjejak Tanah Paya Asap dengan Abg Jelani suami Kak Sala. Esok Sabtu awal pagi. Aku nampak wajah Hj Jelani begitu bersemangat sebab dia juga ingin menjejak kandang kerbaunya. Berkali-kali dia bercerita tentang zaman lalunya menternak kerbau di tanah arwah ayahku itu. Dari dua ekor kerbau katanya sampai membiak hingga hampir dua puluh ekor. Faktor ekonomi & umur dia tidak larat lagi membela kerbau. Tentunya dengan duit menternak kerbaulah dia dapat menunaikan haji di Mekah-al-Mukarramah.

"Jika saya masih kuat, pastinya saya mahu sangat membantu iDAN membuka ladang di sana"

"Saya pun berharapkan bantuan orang Abg Jelani..., badan saya tak sekuat mana!"

"Rasanya elok iDAN buat parit sahaja sekeliling ladang nanti, senang sikit nak halang kerbau & babi liar!"

"Haa aaah! kan... kalau kita buat pagar mesti kawat durinya pagar akan dicuri orang sebabnya saya tak hari-hari berada di sana!" Aku terbayangkan ikan haruan pasti akan bermain di sepanjang parit tersebut.

- bersambung

Sila Klik sini 35-tahun-tidak-dijejak-2-singgahsana.html