KUALA LUMPUR: Kerajaan bukan mahu mencari salah sepanjang masa terhadap penulis blog dan Internet tetapi mahu memastikan undang-undang dilaksanakan selain memberi jaminan kepada masyarakat supaya penggunaan media baru itu tidak disalahgunakan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kementerian yang diterajuinya itu juga memainkan peranan supaya kestabilan perkara yang dipaparkan di Internet berjalan dengan baik.
“Ia bukan sesuatu yang kita sentiasa cari untuk kesalahan setiap masa. Tetapi kita ingin hak orang ramai dijaga pihak berwajib dan undang-undang berkenaan.
“Hajat kami yang pertama nak menjayakan (konsep) Satu Malaysia. Bagaimana nak jayakan kalau putar belit fakta, (ada pihak) mencetuskan sentimen perkauman, bagaimana kami nak berjaya mencapai matlamat itu. Saya ingin melihat undang-undang negara dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Laman Budaya Bangunan Sultan Abdul Samad di sini semalam.
Dr Rais berkata, negara ini ialah sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan sesiapa yang melanggari undang-undang menerima hukuman berikutan dengan tindakannya.
“Sehubungan itu di bawah kementerian ini ada pelbagai undang-undang yang melindungi hak orang ramai untuk berkomunikasi melalui khasnya Internet. Kami ingin memberikan jaminan kepada orang ramai mereka yang difitnah penulis web atau blog, mereka ada hak untuk melaporkan kepada kami dan (kami) kaji sama ada ia mengandungi kebenaran atau tidak.
“Jadi kita akan wujudkan mekanisme untuk memberikan jaminan kepada orang ramai supaya tidak ada penyalahgunaan sistem komunikasi di negara ini. Adalah tidak tepat dengan anda mengatakan kita mencari orang untuk didakwa dalam cara itu,” katanya merujuk kepada satu soalan yang diajukan pemberita.
Menurutnya Jabatan Komunikasi di bawah kementeriannya hendaklah memberikan perhatian dengan trend ini dan mencari berita fitnah, diputerbelitkan atau berita yang tidak benar disiarkan.
Beliau berkata, ini tidak termasuk apa yang dikritik penulis terbabit kerana itu hak mereka dan kerajaan hanya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap perkara yang palsu, salah dan tidak benar.
Katanya, satu sistem pengawasan minimum akan diwujudkan di bawah kementerian kelak mengenai perkara ini dan orang ramai boleh mengemukakan apa-apa yang berkaitan dengannya dan tindakan tertakluk kepada kebenaran yang dipaparkan.
Ditanya bagaimana hendak menilai sama ada fakta yang dikemukakan benar atau tidak Rais berkata : “Ini mudah saja. Kalau dia kata A seorang perasuah jadi kena bukti orang itu rasuah, kalau kata A itu pembunuh kena buktikan dia itu pembunuh.”
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan