Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 18 Jun 2011

Perhimpunan BERSIH bertujuan tumbangkan kerajaan BN

2011/06/18

BEAUFORT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini bukan bertujuan menuntut pilihan raya, sebaliknya untuk menumbangkang kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Berita Harian

Ahad, 12 Jun 2011

Dr.Burhanuddin al-Helmy: Reformis muslim berjiwa kental


Burhanuddin al-Helmy bin Hj.Mohammad Nor dilahirkan pada 29 November 1911 di kampung Changkat Tualang, mukim Kota Bharu, Perak.

Beliau merupakan anak sulung daripada enam orang adik beradik kepada pasangan berketurunan darah campur Minangkabau-Arab. Bapanya, Haji Mohammad Nor adalah perantau dari Batu Sangkar, daerah Tanah Datar, Minangkabau, Sumatera. Pada tahun 1908, Haji Mohammad Nor datang ke Tanah Melayu selepas pulang dari Mekah setelah berada di sana beberapa tahun untuk mempelajari selok belok pengajian agama disamping menunaikan fardhu haji. Selain ingin menunaikan fardhu haji dan mempelajari hal-ehwal agama di Mekah, sebenarnnya pemergian Haji Mohammad Nor ke Mekah bertujuan untuk mengelak daripada tekanan pihak penjajah Belanda yang mengenakan cukai kepala dan mewujudkan buruh paksa

yang terdiri daripada para pemuda tempatan. Lantaran itu, sekembalinya dari Mekah dalam usia 18 tahun, beliau terus menuju dan menetap di Changkat Tualang, Perak. Ibu Burhanuddin pula berketurunan Arab yang berhijrah ke Perak dari Melaka kerana mencari rezeki lebih bersama keluarga. Akhirnya Sharifah Zahrah binti Habib Osman bertemu jodoh dengan Haji Mohammad Nor di Changkat Tualang dan perkahwinan mereka direstui oleh ibubapa kedua belah pihak.

Di peringkat awal, Burhanuddin mendapat pendidikan di beberapa buah sekolah Melayu yang terletak di Behrang Ulu, Bakap, Kota Bharu, di Perak.

Beliau mendapat pendidikan agama daripada bapanya sendiri yang pernah menetap dan berguru di Mekah suatu ketika dulu. Burhanuddin meminati bahasa-bahasa lain dan pernah mempelajari bahasa Cina daripada anak seorang pekedai Cina di kampungnya dan juga bahasa Tamil daripada seorang penoreh getah di kebun getah bapanya pada masa lapang. Ketekunan beliau akhirnya membolehkan dia membaca dan bertutur dengan bahasa-bahasa tersebut untuk perbualan harian. Tokoh ini amat gemar membaca dan pernah membaca kitab-kitab ayahnya meskipun pada masa itu beliau masih belum dapat memahami dengan baik isikandungannya. Ketika membaca, tumpuannya begitu khusyuk sekali. Dia juga merupakan seorang anak yang memiliki sifat ingin tahu yang tinggi terutama sekali dalam soal ketuhanan dan ayahnya lah menjadi sasaran utama untuk beliau bertanya berkaitan dengan soal ketuhanan.

Semasa menduduki darjah lima, minatnya dalam bidang penulisan karangan mulai menyerlah. Dalam merealisasikan minatnya, beliau berusaha membuat sebuah majallah dengan menggunakan buku tulis sekolah. Tulisan jawi yang digunakan sebagai tulisan rasmi di sekolah-sekolah Melayu pada masa itu dapat dikuasainya dengan begitu amat baik sekali. Semasa dalam usia remaja, Burhanuddin pernah dihantar oleh bapanya untuk belajar pondok di kampung asal bapanya, Sungai Jambu selama 6 bulan. Kemudian dia berpindah ke Pondok Pulau Pisang di Jitra, Kedah untuk belajar dan hanya kekal disana selama 2 bulan sahaja. Sebenarnya pusat pengajian pondok yang mengamal system menadah dan menghafal kitab tidak digemari oleh Burhanuddin kerana baginya sistem ini tidak banyak membuka peluang untuk murid dan guru bersoal jawab. Lalu ayahnya mengizinkan beliau belajar di Madrasah al-Mahsyor Pulau Pinang (1927-1933). Madrasah ini dikendali oleh Kaum Muda. Lantaran kecemerlangan pelajarannya, Burhanuddin terpilih sebagai salah seorang yang layak menerima biasiswa kumpulan saudagar India Islam di Pulau Pinang untuk belayar ke India pada tahun 1934. Di India, beliau mendalami ilmu falsafah di University Alirgah, New Delhi dan mendapat ijazah pertama dalam bidang falsafah dan sastera di Universiti Aligarh. Selain itu, beliau juga terdedah kepada ajaran tasawwuf Naqsyabandiah dan ideologi politik Mahatma Gandhi. Pada tahun 1936 semasa kembali ke tanahair, beliau menuju ke Singapura dan bertemu Dr.Rajah untuk mendalami bidang homeopati. Semasa berada di luar negara khususnya di Timur tengah, Burhanuddin berusaha memahami perjuangan Kaum Muda yang mula menular di Tanah Melayu sekitar awal abad ke-20.

Sebagai seorang yang berfahaman Kaum Muda di peringkat antarabangsa yang berpelajaran tinggi tentulah agak sukar bagi beliau menyesuaikan diri dengan amalan-amalan agama Islam di kampung-kampung yang pada keseluruhannya bersifat lama secara turun temurun. Pemahaman tentang al-Quran dan hadis juga tidak dilakukan dengan betul. Beliau pernah menegur bilal masjid, Haji Haron (bapa saudaranya) yang masih bercakap menegur orang ramai supaya diam sedangkan imam telah naik ke atas mimbar. Sepatutnya bilal juga kena turut diam seperti orang lain juga. Teguran itu memalukan Haji Haron. Ekoran ini, satu perjumpaan diadakan bagi menjernihkan kekeruhan dan mencari penyelesaian. Keadaan menjadi bertambah tegang apabila Burhanuddin mencabar berkali-kali Haji Harun untuk mengemukakan kitab-kitab yang dikatakan mengandungi dalil-dalil yang menyokong tindakan Haji Harun. Mulai detik itu, beliau mula dipandang serong oleh sebahagian penduduk yang sudah biasa dengan pegangan Kaum Tua. Hal ini diketahui oleh Mufti Perak, Haji Mohd.Zain yang kemudiannya memanggil Burhanuddin ke Kuala Kangsar dan menasihatinya agar keluar dari kampungnya demi mengelak perbalahan terus berterusan. Hal ini juga sampai ke pengetahuan Sultan Perak, Sultan Iskandar yang juga tidak bersetuju dengan pegangan Kaum Muda.

Akhirnya Burhanuddin membawa diri ke Singapura yang mengamalkan dasar terbuka. Lantaran dasar itu, Singapura merupakan syurga kepada golongan cerdik pandai Melayu yang berkumpul dan menerbitkan majallah serta akhbar-akhbar dalam pelbagai bahasa. Disebabkan mampu berbahasa Arab, Burhanuddin diterima mengajar bahasa tersebut di Madrasah al-Junid. Di Singapura juga beliau berusaha menerbitkan sebuah majallah bertajuk Taman Bahagia. Namun selepas satu jam diterbitkan, beliau ditangkap oleh pihak British kerana menganggap isikandungan majallah itu tentang masalah rakyat Palestin yang dicabut hak mereka oleh British dan Yahudi sebagai satu dakyah untuk memburukkan pihak British. Beliau didenda sebanyak $1,000. Burhanuddin diikat jamin oleh salah seorang ahli keluarga al-Sagof setelah didesak oleh seorang pemimpin pembebasan Palestin yang datang ke Singapura.

Dengan ikat jamin tersebut, beliau hanya dilokap selama satu malam sahaja.

Selepas dibebaskan, kehidupan beliau sebagai guru bahasa Arab di Madrasah al-Junid diteruskan kembali disamping membuka klinik homeopati bersama Dr.Rajah.

Semangat kental beliau untuk membela nasib orang-orang Melayu muslimin mendorong beliau terbabit dalam beberapa organisasi politik. Antaranya ialah Kesatuan Melayu Muda atau KMM (pada zaman penduduk Jepun), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1946 dan akhir sekali PAS pada tahun 1956- 1959 dan terpilih sebagai Yang DiPertua Agong PAS ke-3 selepas kepimpinan Dr.Hj.Abbas Aziz yang menggantikan Hj.Ahmad Fuad. Penyertaannya dalam PAS merupakan kemuncak perjuangan beliau dalam mendaulatkan agama, bangsa dan tanahair. Malah pada tahun 1959-1964 beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen kawasan Besut. Burhanuddin amat petah berpidato dan berhujjah sama ada di dalam Dewan Rakyat mahupun semasa menyampai ceramah umum untuk rakyat. Kritikan beliau yang tajam terhadap kerajaan pusat mengakibatkan dirinya difitnah sebagai seorang pemimpin yang pecah amanah dan didapati bersalah lalu didenda sebanyak rm 25,000 kerana menjalankan tugas sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Malay-German Shipping Company. Tuduhan ini mengurangkan kredibiliti beliau di mata rakyat. Malah akibat fitnah ini, sejajar dengan perlembagaan Malaysia bab 4, artikel 48(e), Dr.Burhanuddin tidak lagi layak menjadi Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. (sila lihat Burhanuddin al-Helmy:Suatu Kemelut Politik oleh Ramlah Adam, terbitan DBP

Pada tahun 1965, Dr.Burhanuddin ditangkap dan dikenakan tahanan ISAselama hampir lima tahun kerana dituduh terlibat dalam usaha menubuhkan National Front bagi membantu Indonesia semasa Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Semua tuduhan itu dimuatkan dalam Kertas Putih Kerajaan bertajuk “A Plot is Explosed”. Sepanjang penahanan, jiwanya tertekan. Penyakit lelahnya juga semakin teruk dan ditambah pula dengan penyakit batu karang. Akhirnya kerajaan Pusat membebaskan beliau tanpa syarat kerana kesihatannya semakin kritikal. Namun beliau tidak menandatangani surat pembebasan dirinya kerana beliau yakin beliau tidak bersalah dan tidak terlibat dalam pakatan dengan kerajaan Indonesia sepertimana yang dituduh terhadapnya. Sebulan selepas pembebasannya iaitu pada 10hb.Oktober 1969, reformis muslim ini kembali ke rahmatullah lantaran penyakit yang dideritainya semenjak berada dalam tahanan ISA. Semoga Allah Taala mencucuri rahmat ke atas roh beliau…amin..

Dalam buku Simposium Tasauf dan Tarikat, beliau mencoretkan :

Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara wara‘nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Quran dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.

Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ‘ulama’-‘ulama’ kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba‘ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, [Syeikh] ‘Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi.
Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot. Pada saya, tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bid‘ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.

Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.

Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus-peny.) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ‘ulama’-‘ulama’ Syi‘i dan ‘ulama’-‘ulama’ tasawwuf, sama ada ‘ulama’-‘ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ‘ulama-‘ulama’ fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.

Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.

Bila kita halusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan ‘ulama’-‘ulama’ tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.
(Sila rujuk risalah ‘Simposium Tasauf Dan Tariqat’ oleh Pro Dr Burhanuddin terbitan Maktabah Haji Abdullah bin Mohd Nordin Ar-Rawi Pulau Pinang, cetakan pertama 1966)
Beliau juga pernah dijemput berucap di Persidangan Pembukaan Kongres Ahli-ahli Tariqat As-Sufiah Seluruh Malaya pada 20 Oktober 1960, di Dewan Bandaran Kuala Lumpur. Begitu juga di Sidang Mesyuarat Agung Persatuan Tariqat As-Sufiah yang pertama pada 3 Jun 1962. Beliau menyeru:
“Janganlah lemah ahli-ahli Tariqat Sufiah meneruskan jihad di tengah-tengah masyarakat kebendaan yang perlu disiram dengan siraman jiwa tauhid dan sufiah, dan awas, dan jauhkan diri daripada tasauf yang maghrur, tasauf yang dirasuk oleh tipu daya musuh-musuh Islam.”

Beliau turut menyarankan kepada para pencinta tasawuf tarikat dengan ucapannya :
“Dalam meneruskan jihad Tariqat Sufiah ini, susunlah lebih kemas lagi perpaduan dan siarkanlah pelajaran-pelajaran tasauf itu mengikut adap dan akhlak ahli-ahli tasauf. Jangan tiru-tiru ahli fiqah. Biarlah ahli fiqah dengan gelanggangnya! Tetapi ahli tasauf jangan tak bergelanggang, mestilah ada bergerak dalam gelanggangnya. Adakan yayasan dan perguruan tasauf secara zaman ini, jangan jadi pak turut sahaja. Islam membenci pak turut dan taklik buta. Semua ahli tasauf, mestilah betul-betul menjadi al-tabi’in al-‘arifin al-shodiqin.”
Demikianlah seorang tokoh pejuang Islam yang begitu komited dalam membangunkan bangsa dan negara dengan ruh agama bersendikan pengamalan tasawuf tarikat yang benar.

Wallahu 'alam.

iDAN: Darah yang mengalir ditubuh ini ada talian dengan Allahyarham; Atok sebelah emak saya adik beradik dengan ibu Allahyarham. (Pangkat Atok Saudara)