Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Selasa, 1 Ogos 2000

Cerpen: Biak ( Delima Merkah )


Oleh Sabri Hashim

NAMAKU Biak @ Ketum. Aku tinggal di kaki bukit ini. Sejak zaman berzaman di sinilah tempat datuk nenek moyangku tinggal. Akarku tumbuh kuat mencengkam bumi dan pucukku segar tinggi di awan. Suasananya aman dan damai. Langit biru dan air jernih mengalir di celah belukar. Beburung dan segala jenis mergastua suka bermain dan mencari makanan di tempat yang subur ini. Selain aku, Keriang Dot, Durian, Jati, Petai, Setoi, Jering dan Rambutan juga hidup di sini. Kami sama-sama membesar dengan gembiranya.

Di sini tidak lokek ruang. Ada untuk semua. Masing-masing dapat melepaskan pucuk muda merasakan kehangatan cahaya matahari. Seronok lihat pelbagai warna kehidupan berselang-seli. Pada waktu pagi kelihatan tompok-tompok putih kabus. Air embun berkilau menitik di hujung daun. Sejuk. Menjelang tengah hari warna hijau terang mewarnai suasana. Kecantikannya terasa bergetar dalam hati sesiapa yang memandangnya.

Syahdu. Bila senja tiba warna-warna jingga terpalit di kaki langit. Haiwan riuh-rendah pulang ke sarang. Waktu malam hitam pekat. Sang cengkerik bunyi riang. Sesekali sayup kedengaran suara kuang meningkah. Begitulah asyik dan nikmatnya tempatku ini.

Tapi keadaan ini tidak berkekalan. Kusangka panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari. Semuanya bermula pada suatu pagi yang malang. Tika itu, kulihat tiga orang lelaki asing memasuki kawasan kami. Mereka terus datang ke tempatku. Pada mulanya aku ingat mereka ini ingin mencari buah durian gugur. Tapi ternyata telahanku meleset. Mereka sebenarnya sedang mencari diriku ini. Dan kini sudah ditemui oleh

mereka. Pandangan mata mereka tajam merenung daunku. Pabila dapat, mereka mencantas dan melurut ganas daunku. Satu demi satu, guni baja mereka sumbatkan.

Lama kelamaan terceratuk sepuluh guni baja di sisi tubuhku. Menjelang tengah hari, tugas mereka pun selesai. Dengan pantas mereka beredar dari sini. Di hujung desa kelihatan sebuah kereta Nissan tua bergerak laju menuju ke bandar.

Selepas 30 minit perjalanan, daun-daunku itupun tiba di sebuah rumah kawan mereka.

Ia terletak dalam kawasan perumahan. Tanpa henti rehat, mereka terus merebus daun-daunku itu di dalam sebuah periuk besar. Kemudian mereka sengaja memasukkan bersama lima puluh keping lingkaran ubat nyamuk. Ramuan itu mereka kacau sehingga menjadi satu larutan yang berwarna hijau kuning kekuningan. Petua ini mereka dapat daripada seorang bomoh seberang. Baru ada kick lebih, katanya. Air daunku itu mereka bungkus dengan beberapa beg plastik kecil. Pabila selesai, mereka angkut bungkusan tersebut balik ke kampung tadi.

Ini mereka kerjakan pada waktu malam, tanpa dilihat sesiapa. Di sana mereka edar ke semua ceruk warung kampung. Mat-mat Gian nanti boleh mendapatkannya pada harga murah RM4 sebungkus. Esok, bila matahari terbit, bermulalah diriku dikenali merata tempat sebagai satu minuman berkhasiat luar biasa - Biak.

Air daunku ini, hari demi hari, menerbitkan resah di kalangan penduduk kampung. Plastiknya bersepah di merata tempat. Di atas batas bendang, Pak Long Mat terjerembat

selonggok benda haram jadah ini. Anak padinya habis mati dipijak mereka. Dalam semak, Pak Ngah Tam terserempak pula sekumpulan lima orang Mat Gian tengah melanggah air daunku ini. Habis lunyai anak pisang dibuatnya. Di perdu pokok getah waktu Subuh, Mak Teh Timah tersandung kaki Mat Gian yang sedang tidur dekat situ. Plastik minumannya masih terlekat di tangan. Susu getah habis tumpah ke tanah. Lambat lepa saja getah sekerap gelang emas habis dikebas mereka. Selipar kasut di masjid dan di rumah juga tidak terkecuali. Anak dara orang dikacau, tidak kira malam atau siang.

Para pelajar sekolah pula diajak minum bersama mereka. Sesungguhnya air daunku ini

serta perangai Mat Gian buat orang kampung meluat. Mereka sudah tidak tahan lagi. Kalau ikutkan hati mau mereka takik sampai mati. Walaupun demikian, orang-orang kampung telah meminta Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung menangani masalah ini dengan segera. Lantas pada suatu malam lepas Isyak, mereka pun bermesyuarat di rumah Tuan Pengerusi.

“Assalamualaikum semua. Terima kasih kerana datang,” kata Tuan Pengerusi membuka kata.

“Saya rasa semua orang tahu, kenapa kita berada di sini malam ini. Tanpa berdolak-dalih lagi, saya nak tanya kepada tuan-tuan semua. Apakah tindakan kita sekarang?” sambung Tuan Pengerusi lagi seperti mahu menduga hati para hadirin.

“Kita laporkan saja kepada polis. Biar mereka kena tangkap. Tentang pokok biak itu, kita tebang esok atau lusa. Habis cerita,” ujar salah seorang ahli tanpa menunggu keizinan daripada Tuan Pengerusi untuk bercakap.

“Setuju! Saya setuju!!!” Sambut semua yang hadir. Kedengaran riuh-rendah suara mereka menjerit di ruang tamu rumah Tuan Pengerusi itu.

“Baiklah, kalau begitu saya akan uruskan perkara tersebut dalam sehari dua ini. Sebelum itu, silalah makan apa yang ada sebelum pulang. Terima kasih, sekian.”

Mesyuarat itu berlangsung tak sampai lima minit. Kata sepakat sudah diambil. Cepat sungguh ambil keputusan. Agaknya semua manusia beginikah? Apa pun, nasibku terletak di tangan mereka.

Pihak berkuasa merancang untuk menyerbu mereka pada waktu petang. Kerana pada masa itu kebanyakan mereka berada di situ. Tempat mereka di dalam semak di hujung desa. Dekat dengan kawasanku. Lebih kurang sepelaung saja. Kelihatan dua puluh orang

berada di situ. Sekelompok di sini. Sekelompok di sana. Dinding dan bumbung pondok mereka dibubuh dengan cebisan kotak. Cukup luas untuk berkumpul serta berkhayal dengan minuman air daunku itu. Ada juga yang cucuk heroin pada urat zakar mereka. Ada yang tonggang ubat batuk kodein sampai tersadai di akar pokok. Pil pelbagai warna bersepah di hadapan mereka. Keadaan mereka cukup selekeh dan kotor. Air mata dan hingus meleleh melekat kering di pipi mereka. Pakaian mereka serba lusuh dan kusam.

Badan berbau hapak dan hancing seperti sebulan tidak mandi. Kudis api berkapuk di kaki dan tangan. Setengahnya bernanah. Rambut panjang ala hipies berkerak dan menggerbang melepasi bahu macam hantu. Entah-entah kuman Aids sudah bersarang dalam tubuh mereka.

Tiada siapa tahu. Jalan pun tidak bermaya lesu-lesi. Mereka tidak ubah bagai bangkai bernyawa. Rata-rata usia mereka masih muda belia. Inikah harapan kampung? Kalau begini ling....

Bila tiba masa serbuan, pihak polis dengan mudahnya menangkap mereka. Tiada tentangan daripada mereka. Semasa itu, Mat Gian tengah asyik dan khayal dengan dunia mereka. Tak sempat nak cabut lari. Mereka diheret ke balai berdekatan untuk disiasat. Air daunku pun turut sama sebagai barang bukti. Hasilnya kampung itu aman kembali, tapi sekejap sahaja. Kenapa? Sebabnya tiada undang-undang khusus untuk mendakwa mereka di mahkamah kerana meminum air daunku. Yang ada hanya untuk pemilik dan pengedar air daunku sahaja. Itupun denda satu dua ribu dan penjara dua tiga bulan.

Lepas itu kembali mengedar sebabnya dapat duit banyak. Mana ada kerja dalam dunia ini sesenang itu dapat wang. Elok mereka ini dihukum sama seperti jenayah membunuh. Baru tahu langit tinggi rendah. Kerana mereka banyak yang hidup merana. Tiga-empat bulan kemudian, Mat-mat Gian ini datang kembali ke tempat itu. Orang-orang kampung terkejut dan naik bengang di atas kegagalan rancangan mereka. Mereka mula mencari-cari puncanya. Isu ini mereka sembang di mana-mana. Di masjid, di warung, di bendang, di jalan raya, di kedai runcit dengan wajah yang serius pada setiap waktu. Entah macam mana, entah siapa punya cerita namaku bermain di bibir mereka. Kalau elok tidak apa, ini tidak. Mereka menuduh semua ini aku punya angkara. Mereka bertekad untuk melenyapkan diriku selama-lamanya dari dunia ini dengan cara halus.

Diriku mula diuar-uarkan di dalam akhbar-akhbar tempatan. Gambarku yang tinggi lampai ditunjukkan kepada semua kaum dan masyarakat. Pendapat mereka dicari dan dihurai dengan panjang lebar. Tidak cukup dengan mengata, mereka mengundang orang politik mengulas, kononnya akulah ibu segala setan yang memporak-perandakan kehidupan orang kampung. Tidak puas hati dengan cerita biasa, akhbar-akhbar memaparkan pula cakap-cakap para cendekiawan dan saintis tempatan. Apakah ulasan mereka bernas?

Mereka tidak tahu langsung tentang diriku. Apatah lagi orang biasa.
Mereka bergaul-gaul dalam kotak kosong. Lalu tidak menjumpai objek konkrit. Untuk meyakinkan para pembaca, mereka mula menceritakan kisah dongeng dengan tongkat sakti. Para pembaca dibuatnya supaya percaya dengan ketiadaanku nanti, akhirnya masalah ketagihan kepada dadah pun tamat. Mereka tidak hirau langsung peranan yang kumainkan untuk dunia selama ini. Di manakah rasionalnya penghapusan diriku ini?

Memang benar aku ada mitraginin. Kesannya boleh mengkhayalkan manusia. Tapi jangan salahkan diriku. Alkaloid ini anugerah Tuhan padaku. Aku dilahirkan dengannya.

Begitu juga manusia. Kamu dilahirkan dengan otak. Kenapa tidak menggunakannya?

Apabila dalam kesusahan, manusia sering menuding jari ke arah lain. Cipta undang-undang itu dan undang-undang ini. Konon untuk menjaga masyarakat. Sebab itu agaknya manusia suka bergaduh sesama mereka. Tapi denganku, aku tak akan melawan. Bermusuh bukan caraku.

Kewujudanku di sini untuk menjaga isi bumi ini. Itu fitrahku. Apakah manusia tidak memahaminya? Cuba buka matamu luas-luas dan lihat segala tumbuhan di sekelilingmu wahai manusia. Dan jawablah kepada diri sendiri jika kamu semua yang benar.

Mereka telah buat keputusan untuk menebang diriku pada pagi hari Jumaat. Kawan-kawanku turut berasa sedih di atas nasibku yang malang ini. Mereka berkata, ini tidak adil.

Perkara ini mesti dibawa ke mahkamah keadilan antarabangsa di Hague, Belanda. Hak asasi tumbuhan dicerobohi oleh manusia kejam. Walau apapun, aku ucapkan terima kasih dan mohon maaf, seandainya aku ada melakukan kesalahan kepada mereka. Aku juga tidak lupa memberi mereka kata perangsang untuk terus hidup. Kawanku Jati, berjanji akan menunaikan hasratku itu. Lantas dia menghadiahkan aku sebuah sajak:

Jati

Jati namaku
berdiri megah
mencecah awan
zaman berzaman.

Melintuk dahanku
digesel angin
lemah bukan
sekadar tolak ansur.

Mencengkam akarku
kuat dan kukuh
berdentum guruh
lepas tiada.

Di sini mukimku
beranak pinak
langit kujunjung
bumi kupijak.

Aku bangga mempunyai kawan sepertinya. Pada malam terakhirku, kurasakan bulan sungguh indah. Kurenung dia lama-lama buat kali penghabisan. Kudapat rasakan ada sepasang mata yang melihat diriku ini. Selepas itu, ia tersenyum lebar. Aku gembira dan bersedia untuk menghadapi hari esok. Sesungguhnya ajal maut di tangan Tuhan. Sementelah tanpa diduga, banjir besar melanda kampung itu. Semua musnah menjadi padang jarak padang tekukur. Itulah kisahku sebatang pohon bernama Biak.

BIODATA

Sabri Hashim yang dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Alor Star mula berkarya pada awal 1980-an terbabit dalam genre sajak, cerpen, novel dan lukisan. Karya lulusan Sarjana Sains dalam bidang Farmakologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini mendapat tempat dalam media massa arus perdana.

Berita Minggu