Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Memaparkan catatan dengan label DangSetia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label DangSetia. Papar semua catatan

Rabu, 2 April 2003

Suami lampias nafsu kepada orang gaji (Delima Merkah)


SOAL

SAYA berusia 38 tahun, berkahwin dengan lelaki pilihan saya. Kami sudah berkahwin selama enam tahun. Selepas mengalami keguguran beberapa kali kami mengambil anak angkat.

Anak itu sudah berusia dua tahun dan kini saya menjalani rawatan untuk mendapatkan anak daripada proses bayi tabung uji.

Masalah saya, pada tahun pertama perkahwinan, saya mengesan suami ada hubungan dengan kekasih lamanya yang juga sudah berkahwin. Kami bertengkar dan suami sanggup berbuat apa saja untuk menebus kesalahannya.

Alhamdulillah, hubungan kami baik semula. Baru-baru ini saya dikejutkan dengan aduan pembantu rumah saya yang mengatakan suami saya cuba menggodanya.

Pembantu saya bekerja dengan saya sejak tiga tahun lalu. Dua tahun pertama menurut pembantu saya, suami pernah cuba memeluk, meraba dan masuk ke bilik tidurnya.

Ketika itu pembantu saya baru selesai mandi dan hanya bertuala.

Selepas kontrak tamat untuk dua tahun, pembantu saya pulang ke tanah airnya untuk bercuti sebelum menyambung kontraknya untuk dua tahun lagi.

Di dalam perjanjian kontrak baru, pembantu rumah minta saya mengizinkan dia bertudung sepanjang masa bekerja. Jika berlaku kekerasan ke atasnya dia berhak membatalkan kontrak itu.

Pembantu saya berharap dengan syarat tambahan itu, suami saya tidak akan bertindak liar ke atasnya. Malangnya, selepas tujuh bulan suami saya sekali lagi mengulangi perbuatannya. Pembantu rumah mengadukan hal ini kepada saya.

Bagi saya, suami saya umpama malaikat. Dia penyayang, sentiasa berikan perhatian kepada kami, tidak pernah meninggalkan solat dan sering berpuasa sunat.

Apabila ditanya mengenai salah lakunya ke atas pembantu rumah kami, suami tidak menafikannya.

Katanya, dia sendiri tidak tahu mengapa dia sanggup berbuat demikian. Saya cukup tidak faham dengan sikapnya. Suami saya menghidap diabetes. Jadi, dia tidak sehebat dulu lagi apabila kami bersama. Saya tidak pernah mempertikaikan soal itu.

Jika boleh saya tidak mahu perkara ini sampai ke pengetahuan ahli keluarga lain kerana ia akan mengaibkan saya dan suami, tetapi saya tidak boleh lagi berdiam diri. Saya tidak boleh menipu diri saya untuk berbaik dengan suami.

Saya sering memikirkan bagaimana dia melakukan perbuatan itu dan berlakon seperti tidak ada apa-apa terjadi. Mohon nasihat daripada Dang Setia, apa patut saya lakukan?

HERA

JAWAB

Rasanya, tidak salah untuk Dang Setia merumuskan sikap suami puan termasuk dalam kategori lelaki yang mudah buat salah, mudah minta maaf dan mudah pula mengulangi semula kesalahan yang dilakukan.

Memang pening apabila berdepan dengan manusia jenis ini. Kalau setakat kawan biasa, memang mudah untuk kita tinggalkan atau putuskan hubungan tetapi apabila suami sendiri berperangai begitu, memang mana-mana isteri pun akan geram, kecewa dan serba salah.

Apapun, Dang Setia berharap puan tidak mudah putus asa kerana ada beberapa pendekatan yang boleh puan cuba termasuk memberi peluang kepada suami untuk memperbaiki dirinya, sebelum memikirkan kemungkinan berpisah dengannya.

Pertama, pada masa ini Dang Setia melihat satu masalah utama suami puan ialah sukar mengawal nafsu seksualnya. Biarpun dia mungkin sudah berusaha mengatasi masalah itu dengan tidak meninggalkan solat dan berpuasa sunat (sebagaimana yang puan nyatakan), nampaknya naluri seksualnya amat sukar dikawal.

Pada masa yang sama, pembantu rumah puan dilihatnya sebagai satu godaan yang sukar untuk dia elakkan. Biarpun suami puan pernah berjanji untuk tidak mengulangi kelakuan tidak senonohnya ke atas pembantu rumah itu, nampaknya dia gagal mengotakan janji itu.

Maksudnya, dia sekali lagi tewas kepada nafsunya. Jadi, kita kena melihat kenapa perkara ini berlaku? Adakah ia semata-mata salah suami puan? Bagaimana pula dengan peranan puan, maksudnya adakah sebarang usaha yang puan lakukan untuk membantu suami puan membendung nafsunya?

Jelas di sini, pembantu rumah puan itu menghadirkan godaan seksual yang kuat kepada suami puan. Dang Setia tidak tahu berapa umurnya dan bagaimana rupa parasnya, namun yang pasti suami puan amat bernafsu terhadapnya.

Justeru, Dang Setia berpendapat tindakan puan mengekalkan pembantu rumah itu di dalam rumah puan, menyukarkan suami puan untuk mengekang nafsunya, sebaliknya memberi laluan untuk dia melakukan kemungkaran.

Oleh itu, Dang Setia berpendapat puan tidak boleh lagi mengekalkan khidmat pembantu rumah puan. Memang dia tidak bersalah, tapi jika puan sayangkan suami dan mahu menyelamatkan rumah tangga puan, puan perlu menutup ruang untuk suami melampiaskan nafsunya di jalan salah, dan caranya ialah dengan mengeluarkan pembantu rumah sedia ada dari rumah puan.

Jika puan terfikir untuk mencari pembantu rumah lain, sebaik-baiknya carilah pembantu rumah yang sudah berumur 50 tahun ke atas dan penampilan fizikal kurang menarik supaya suami puan tidak bernafsu kepadanya.

Selain itu, timbul persoalan di benak Dang Setia mengenai prestasi seksual suami puan. Puan mengatakan dia kurang bertenaga akibat penyakit diabetis, namun salah lakunya memberi gambaran yang sebaliknya?

Jadi, Dang Setia berpendapat ada kemungkinan puan salah tanggapan terhadap suami puan mengenai kemampuan seksualnya atau tanggapan puan itu menyebabkan tidak memberi layanan kepada suami puan sebagaimana yang diinginkannya.

Untuk mencari kepastian mengenai perkara ini, cara terbaik ialah puan dan suami perlu berbincang mengenainya secara berterus terang. Soal seks amat penting dalam perhubungan suami isteri.

Tiada apa yang perlu dimalukan untuk membincangkannya untuk tujuan kebaikan dan mengeratkan lagi hubungan. Malah, lebih baik lagi jika puan dan suami menggunakan khidmat profesional.

Ini kerana, mungkin ada kaedah tertentu yang boleh disarankan kepada pesakit diabetis dan pasangan untuk meningkatkan kemampuan seksual atau memberi kepuasan kepada kedua-dua belah pihak.

Rumusannya di sini, berilah satu atau dua peluang lagi kepada suami puan untuk mengubah sikapnya. Puan juga berhak menetapkan satu tempoh masa tertentu atau memberi kata dua kepada suami puan supaya dia tidak mengulangi perangai buruknya.

Jika selepas tempoh itu atau selepas kata dua diberi tetapi suami puan masih lagi mengulangi kesalahan serupa, jelaslah dia seorang suami jenis hidung belang. Maka, tidak salah untuk puan mula memikirkan kemungkinan tidak lagi hidup bersamanya.

DangSetia

Isnin, 3 Februari 2003

Ibu tunggal tagih cinta kekasih lama (Delima Merkah)


SOALAN

SAYA wanita berusia 30 tahun dan pernah berkahwin. Sebelum berkahwin, saya pernah menjalin hubungan dengan A yang ada pertalian saudara jauh dengan keluarga saya. Selama lima tahun hubungan cinta kami terjalin, namun kami merahsiakannya daripada keluarga.

Demi menyembunyikan hubungan kami, saya selalu buat perangai tidak elok, baik di depan A mahupun keluarga saya. Saya selalu pulang lewat dan sering menghabiskan masa di luar rumah.

A akhirnya putus asa dan kecewa dengan sikap saya lantas meninggalkan saya. Selepas dua tahun hidup tanpa ikatan cinta, pintu hati saya akhirnya terbuka untuk insan yang saya gelar B dan diringkaskan cerita, kami berkahwin selepas setahun bercinta.

Selepas empat tahun hidup bersama, kami dikurniakan seorang cahaya mata yang comel. Namun bayang-bayang A terlalu kuat menghantui saya, apatah lagi batin saya sebenarnya menderita kerana B seorang yang ringan tangan.

Dia mula memukul saya ketika saya hamil sembilan bulan dan ia berlarutan. Tanpa pengetahuan keluarga, saya memohon pekerjaan di luar negeri yang jauh dari tempat tinggal kami dan tanpa diduga, saya diterima. B dengan berat hati merelakan saya kerana keluarga saya memberi sokongan.

Selama bekerja di sana, sikap saya benar-benar berubah, tidak ubah seperti ‘kuda yang terlepas kandang’. Akibatnya, hubungan saya dan B semakin dingin dan kami akhirnya bercerai.

Kini selepas setahun berlalu, saya masih bekerja di syarikat sama dan B meminta untuk rujuk kembali sambil berjanji tidak akan mengulangi sikap buruknya.

Namun, saya serba salah kerana pada masa ini perasaan cinta saya terhadap A semakin mendalam. Keluarga saya dan A mengetahuinya, namun A belum memberi jawapan kepada saya, menjadikan saya dalam keadaan tidak menentu.

SERBA SALAH
Pulau Pinang

JAWAPAN

Seharusnya tidak perlu wujud perasaan serba salah dalam hati puan kerana jelas satu-satunya lelaki yang saudari cintai sejak dulu sehingga kini ialah A dan bukan B.

Sehubungan itu, Dang Setia berpendapat masalah sebenar puan ialah tidak berani berkata tidak kepada permintaan B dan mungkin juga memikirkan hubungan antara anak puan dengan ayahnya.

Dalam mencorakkan masa depan, puan seharusnya kini cukup matang dan segala kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada saudari supaya ia tidak diulang lagi.

Jika yakin A pilihan hati, berterus terang dengannya dan luahkan segala isi hati.

Jangan lupa memohon kemaafan daripadanya atas kesilapan puan sebelum ini dan yakinkan dia bahawa puan tidak akan mengulanginya.

Kepada B pula, beranikan diri puan untuk menolak permintaannya, bukan kerana untuk menyakiti hatinya, tetapi kepentingan masa depan puan, lantaran tidak yakin dia akan berubah sikap.

Katakan juga kepada B, memang satu masa dulu dia suami puan, tetapi kini tidak lagi.

Oleh itu, sebagai wanita yang hidup sendiri, puan berhak membuat keputusan.

Jika puan dan B dapat bersikap rasional dan menerima ketetapan takdir dengan hati terbuka, soal anak seharusnya tidak menjadi masalah kerana ada jalan penyelesaian boleh dicapai untuk memastikan anak anda berdua tidak terputus hubungan dengan ayah atau ibunya.

DangSetia

Ahad, 2 Februari 2003

Gelora bekas mak nyah (Delima Merkah)


SOALAN

SAYA sudah berkahwin dan ada tiga anak. Saya menyayangi isteri dan anak saya. Kami berkahwin dulu atas pilihan keluarga.

Saya sebenarnya bekas mak nyah. Dulu saya hampir hanyut dengan dunia mak nyah yang hina sehingga saya sudah menelan pil hormon.

Bila saya kembali menjadi lelaki, saya tidak sangka ada lelaki lain mahu menerima saya sebagai bekas mak nyah untuk terus berhubung dengan saya. Teman lelaki saya sudah berkahwin dan ada empat anak.

Kini kami seperti kawan. Masalahnya, dia tetap inginkan hubungan seks dengan saya, terutama bila isterinya datang bulan atau dalam pantang selepas melahirkan anak. Alasannya dia tidak mahu ada hubungan dengan wanita lain.

Pada mulanya saya tidak dapat menolak sebab terlalu sayangkan hubungan yang sudah berpuluh tahun kami bina. Namun jiwa saya kembali memberontak dan ingin belaian lelaki seperti dulu.

Kadangkala bila ada salah faham dengan isteri, saya seakan-akan terlalu mudah untuk melakukan dosa. Saya sudah banyak berdoa, malah di depan Kaabah pun saya berdoa semoga jiwa saya hanya menyukai perempuan, dan perempuan itu hanya isteri saya.

Kadangkala saya menangis memikirkan gelora jiwa saya. Saya tidak boleh memandang lelaki lain, nafsu saya terus membuak. Saya ingin menyayangi isteri dan anak saya dengan lebih mendalam dan melupakan gelora nafsu saya, tapi saya selalu tewas.

Saya pinta Dang Setia berikan saya nasihat, tunjuk-ajar, amaran dan sebagainya untuk saya takut kepada Allah.

INSAN KERDIL
Bangi, Selangor

JAWAPAN

Mungkin Dang Setia mampu memberi sedikit nasihat atas dasar tanggungjawab membantu sesama Islam untuk membawa saudara kembali ke landasan kehidupan yang disyariatkan Islam.

Bagaimanapun, saudara tidak perlu menyuruh orang lain, termasuk Dang Setia, untuk memberi amaran supaya saudara takut kepada Allah.

Ini kerana segala-galanya dinyatakan oleh Allah melalui al-Quran untuk panduan kita.

Di dalam kitab suci itu, ada pelbagai ajaran, peringatan dan juga amaran kepada kita umat akhir zaman.

Jadi, jika saudara ingin mencari amaran daripada Allah supaya wujud perasaan takut dan gerun kepada-Nya atau lebih tepat lagi azab-Nya yang menanti kita di akhirat, usah berlengah lagi untuk membuka dan membaca al-Quran serta tafsirannya.

Jika saudara gagal menemui apa yang saudara cari daripada usaha itu, carilah guru atau ustaz untuk memberi bimbingan serta tunjuk ajar yang lebih berkesan untuk manfaat saudara.

Sukar? Ya, memang sukar jika kita tidak ikhlas dan tidak menyedari betapa pentingnya kita untuk berdamping dengan al-Quran, namun keadaan akan menjadi sebaliknya jika kita menginsafi sebenarnya di dalam al-Quran terkandung jawapan kepada segala permasalahan, terutama keruntuhan moral serta kemunduran umat Islam pada masa kini.

Saudara, sebenarnya mesej yang ingin Dang Setia sampaikan ialah saudara perlu gandakan usaha atau lebih khusus lagi amal ibadat, baik yang fardu atau yang sunat dalam usaha menewaskan gejolak nafsu songsang yang kini menguasai diri.

Hal mengenai melawan atau berperang dengan nafsu sudah kerap Dang Setia nyatakan di ruangan ini. Jadi, rasanya tak perlu Dang Setia mengulas panjang mengenainya. Namun, penting untuk Dang Setia tetap memberi penekanan betapa perlunya kita menambah ilmu dan amal untuk melawan nafsu serta godaan syaitan supaya lebih mudah untuk kita mendekatkan diri dengan Allah.

Secara ringkas, Islam sudah mengajar kita bahawa cara melawan godaan syaitan perlu dilakukan dengan betul.

Kalau nak berperang dengan musuh, pasti sukar jika kita sendirian tapi lebih mudah jika kita berpasukan.

Sebab itulah dalam bab solat, contohnya, lebih baik berjemaah dan bukan sembahyang sendirian.

Jadi saudara perlu mencarinya sendiri. Caranya, pergi ke surau atau masjid. Ini perkara asas yang penting. Nak ilmu agama, perlu ke masjid, bukan ke disko. Nak diri kita berilmu, kita perlu berkawan dengan orang alim, bukan orang jahil. Nak diri kita jadi baik, kena berkawan dengan orang baik bukan orang jahat.

Dalam kes saudara, sebenarnya sayang seribu kali sayang apabila saudara yang pernah menerima hidayah dan petunjuk Allah untuk kembali ke jalan yang benar, sekali lagi kecundang dan terpesong ke jalan yang mungkar.

Persoalannya, kenapa itu terjadi, sedangkan saudara sering berdoa kepada Allah, malah sudah ke Makkah untuk menyucikan diri dan memohon bimbingan-Nya? Bagi Dang Setia, ia berlaku kerana kelemahan saudara sendiri.

Memang saudara sudah berusaha, tapi Dang Setia berpendapat kelemahan Dang Setia ialah usaha saudara itu tidak konsisten, sedangkan godaan syaitan terhadap kita tidak pernah berhenti. Apabila kita lalai, mudah saja kelalaian kita dimanfaatkan untuk kita ditewaskan.

Satu kesilapan besar saudara yang Dang Setia kesan ialah apabila saudara menjalin hubungan intim dengan lelaki, sedangkan saudara sudah berkahwin dan mempunyai anak. Sebenarnya, tindakan itu ibarat saudara membuka pintu ke neraka.

Dang Setia sengaja menggunakan istilah yang agak kasar ini supaya wujud kegerunan di dalam diri saudara terhadap azab Allah terhadap manusia yang mengamalkan seks sesama jenis.

Sepatutnya, selepas saudara bertaubat, ia ibarat saudara menutup kemas segala pintu ke kehidupan saudara yang penuh dosa itu dan seterusnya membuang anak kuncinya jauh-jauh supaya saudara tidak dapat membukanya kembali.

Namun, saudara melakukan sebaliknya. Anak kunci pintu itu masih saudara pegang dan saudara sengaja menempah bala dengan membuka pintu untuk kembali ke dunia gelap saudara dulu.

Justeru, apa yang wajib saudara lakukan kini ialah menutup semula pintu itu serapat mungkin.

Maksudnya, saudara wajib memutuskan hubungan intim dengan teman lelaki saudara. Selagi tidak berbuat demikian, selagi itulah saudara tidak dapat dapat melepaskan diri daripada gejolak nafsu songsang yang membelenggu diri saudara.

Pada masa sama, tingkatkan semula amal ibadat untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana amal ibadat itulah yang mampu berperanan sebagai perisai menangkis godaan nafsu dan syaitan.

Akhir sekali, amal ibadat saudara perlu konsisten kerana iman kita ini bukan statik, sebaliknya ia ada pasang dan surut. Apabila kita beramal, iman kita kukuh dan jitu tetapi jika kita tidak beramal, iman kita lemah dan mudah ditewaskan.

DangSetia