Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 1 Mei 2003

Konsep jihad sempit punca keganasan (Agama)


Oleh Mohd Izani Mohd Zain

Umat Islam boleh bertindak balas jika diperangi atau dikasari terlebih dulu

PEPATAH ada mengatakan don't judge the religion by its followers yang bermaksud, jangan menilai satu-satu agama itu dengan melihat tingkah laku pengikutnya. Sejauh mana kebenaran ungkapan itu, tiada siapa boleh menentukannya.

Bagaimanapun, pepatah berkenaan adalah relevan kerana bukan semua penganut agama patuh terhadap ajaran kepercayaan mereka. Penganut agama yang ingkar sering kali memberikan imej negatif terhadap agama dianutinya.

Lantas agama dihakimi sewenang-wenangnya berdasarkan perbuatan penganutnya yang tidak bertanggungjawab.

Dalam membicarakan isu ini, agama Islam sering kali dilabelkan sebagai satu-satunya agama yang dikaitkan dengan keganasan dan kekejaman. Hal demikian boleh disifatkan ekoran tindak-tanduk dilakukan segelintir umat Islam yang melakukan keganasan dan kekejaman atas nama agama atau Allah.

Islam yang sepatutnya menjadi rahmat kepada dunia, kini menjadi bencana kepada mereka yang tidak berdosa, apabila siri keganasan seperti kekecohan, peperangan dan pengeboman dilakukan kumpulan pelampau agama turut membabitkan orang awam.

Begitu pun, bukan hanya Islam mempunyai sejarah keganasan, malah agama lain turut mempunyai rekod sama. Hal ini diakui sendiri oleh Karen Amrstrong (yang datang ke Malaysia baru-baru ini) dalam bukunya The Battle for God apabila beliau berhujah bahawa keganasan agama sebenarnya membabitkan semua agama termasuk Islam, Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan lain-lain agama.

Ini dapat dibuktikan melalui beberapa insiden keganasan seperti pengeboman di Oklahama City dan pembunuhan Presiden Israel, Yitzak Rabin yang membabitkan penganut agama selain Islam. Tulisan ini bukan bermaksud untuk memperteguhkan pandangan awam yang mengaitkan Islam dengan keganasan, sebaliknya mahu menyorot punca kenapa keganasan boleh dilakukan oleh segelintir umat Islam atas nama agama.

Berbanding agama lain, boleh dikatakan Islam adalah agama yang selalu dikaitkan dengan keganasan. Bagaimana hal seperti ini boleh berlaku? Bruce Lawrence dalam bukunya The Al-Quran: A Biography menjelaskan bagaimana sumber perundangan utama dalam Islam itu (Al-Quran) dijadikan tiket untuk ‘berperang’ atas nama Allah.

Dalam buku yang mengandungi 228 halaman itu, beliau menghuraikan dengan terperinci bagaimana Osama bin Laden menggunakan beberapa petikan ayat Al-Quran lalu mentafsirkannya sebagai arahan untuk melancarkan peperangan kepada musuh Allah atau lebih khusus, Amerika Syarikat dan sekutunya.

Sebagai contoh, Osama menggunakan Surah at-taubah, ayat 5 sebagai alasan untuk melancarkan jihad dan perang ke atas golongan bukan Islam. Maksud ayat itu ialah “Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang musyrikin itu di mana-mana saja kamu jumpai mereka dan tangkaplah mereka.”

Selain penggunaan ayat Al-Quran untuk melancarkan perang ke atas golongan bukan Islam, Lawrence turut menjelaskan bagaimana penafsiran cetek Osama terhadap Islam menyempitkan horizon pemikiran Islam itu sendiri. Menurut beliau, Osama menafsirkan Islam itu hanya kepada dua perkara iaitu iman dan jihad.

Dalam hal ini, Osama percaya bahawa selepas umat Islam beriman dan percaya kepada Allah, mereka wajib berjihad menentang musuh-Nya. Jihad menurut Osama adalah manifestasi keimanan umat Islam yang tidak boleh ditangguh atau dipinggirkan sama sekali.

Apa yang jelas, doktrin iman dan jihad yang dikemukakan oleh Osama ini kata Lawrence mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku segelintir umat Islam untuk melakukan keganasan atas nama agama dan Tuhan tanpa memikirkan nasib dan nama baik Islam itu sendiri.

Selain faktor iman dan jihad seperti dikaitkan dalam pemikiran Osama, terdapat beberapa faktor kenapa keganasan atas nama agama boleh berlaku. Pertama ialah kepercayaan mengenai kesempurnaan agama.

Faktor ini merujuk kepada kepercayaan bahawa agama dianuti adalah agama yang terbaik dan agama lain adalah sesat. Ketaksuban terhadap agama yang diyakini mengakibatkan mereka sanggup melakukan apa saja hingga sanggup berperang atas nama agama.

Faktor ini sering kali dikaitkan dengan agama Islam kerana umat Islam menganggap bahawa agama mereka adalah agama yang terbaik dan tidak boleh disamakan dengan agama lain. Malah, umat Islam juga beranggapan bahawa mereka adalah golongan terbaik yang pernah dilahirkan di muka bumi ini. Surah Ali-Imran, ayat 110 bermaksud ”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar.”

Faktor kedua ialah sikap taat membuta tuli. Sikap ini lahir daripada kefahaman cetek dan dangkal terhadap agama yang akhirnya memperlihatkan tindak tanduk tidak rasional. Golongan terbabit dalam faktor ini memperjuangkan agama bukan atas dasar ilmu, sebaliknya semangat atau hammasah semata-mata yang selalunya mengetepikan rasional dan realiti.

Faktor ketiga ialah membangun masa ideal. Faktor ini menyaksikan keinginan untuk melihat keunggulan dan kegemilangan agama pada zaman lampau berulang. Dalam hal ini, keghairahan umat Islam untuk mengulangi kegemilangan era pemerintahan negara Islam di Madinah menyebabkan rata-rata umat Islam begitu taksub mahu menubuhkan negara Islam mengikut model Madinah secara holistik.

Menurut aktor gerakan Islam terkenal di Tunisia, Rashid Ghannounchi, era kegemilangan negara Islam di Madinah adalah bersifat utopia kerana ia tidak boleh diulangi atas alasan perbezaan masa dan perubahan sosial yang besar. Dalam erti kata lain, konsep negara Islam Madinah tidak boleh dibandingkan sama sekali dengan konsep negara Islam moden masa kini.

Menurut Mir Zohair Hussein dalam bukunya Global Islamic Politics, kumpulan tradisionalis Islam dianggap kumpulan dalam komuniti Islam yang banyak boleh dikaitkan dengan faktor ini. Kumpulan tradisionalis gemar melihat sejarah sebagai sumber inspirasi bagi perjuangan mereka. Bagi mereka, pembangunan Islam masa kini mesti berlandaskan sejarah secara holistik.

Faktor keempat pula ialah matlamat menghalalkan cara. Faktor ini sering kali mempengaruhi tindakan bagi mereka yang mahu memperjuangkan agama kerana matlamat suci untuk mendaulatkan agama membenarkan apa juga pendekatan dan cara sekalipun walau terpaksa mengorbankan jiwa dan raga. Dalam erti kata lain, mereka sanggup melakukan apa saja demi agama.

Faktor yang terakhir ialah jihad dianggap sebagai perang suci ke atas golongan bukan Islam. Mereka yang terbabit cuba menyempitkan konsep jihad apabila percaya jihad hanya boleh dilancarkan jika ia membabitkan pembunuhan ke atas golongan bukan Islam. Jihad seperti ini dianggap perbuatan paling suci dalam Islam yang mampu menyelamatkan dunia daripada kebejatan sosial ummah.

Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam Islam, konsep jihad amatlah luas. Dalam Islam misalnya, sebarang perbuatan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh untuk agama Allah, boleh dianggap sebagai jihad. Malah di sisi Islam, konsep jihad mempunyai pelbagai jenis seperti jihad pena, jihad ekonomi, jihad lisan dan paling utama jihad mengawal hawa nafsu.

Apa yang jelas, faktor yang dibincangkan tadi, banyak menyumbang ke arah pelakuan melampau dalam agama yang kesannya amat jelas menjejaskan imej dan reputasi agama diwakili penganutnya. Faktor itu harus dikawal kerana jika gagal, ia bukan saja boleh menjejaskan agama, malah menghapuskan peluang interaksi antara agama lain secara harmonis.

Semua agama mendambakan perdamaian. Justeru, tidak ada konsep perang atas nama agama yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Islam sendiri mengajar umat-Nya bersatu padu dan memilih kesejahteraan dan hanya boleh bertindak balas jika diperangi atau dikasari terlebih dulu. Label ummah terbaik (khaira ummah) untuk umat Islam tidak harus dijadikan ‘tiket’ untuk memerangi golongan bukan Islam tanpa alasan yang munasabah.

Berita Harian