Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Ahad, 5 April 2009

Sangka suami tidur dalam bot (Ceritera)


Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: “Saya sangka dia tidur di bot atau pulang ke rumah keluarganya di Parit Jawa. Rupa-rupanya dia hilang bersama dua rakan ketika di laut,” kata Fatimah Tumpang, 40, isteri Mohd Fauzi Yassin, 44, seorang daripada tiga nelayan yang hilang sejak Khamis lalu ketika keluar menangkap ikan di perairan Selat Melaka.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian berhubung kehilangan suaminya itu selepas diberitahu jiran daripada ahli keluarga suaminya di Parit Jawa di sini, kelmarin.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan suami tidak pulang ke rumah apabila keluar ke laut sama ada tidur di bot atau menumpang rehat di rumah keluarganya kerana rumah mereka agak jauh di Batu 5, Jalan Bakri.

“Saya terkilan kerana lewat dimaklumkan mengenai kehilangan suami, itupun hanya mengetahui daripada jiran, jika tidak pasti saya menyangka suami berada di rumah keluarganya atau di pangkalan,” kata suri rumah yang mempunyai lima anak berusia antara tujuh hingga 16 tahun itu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia bimbang keselamatan suaminya kerana 10 tahun lalu suaminya ditahan lanun dan diugut ditembak.

“Ketika itu, dia bernasib baik kerana dilepaskan lanun selepas membayar wang tebusan. Suami saya terpaksa membawa bot pulang ke pangkalan mengambil wang sebelum berpatah balik membayar wang tebusan itu bagi membebaskan beberapa rakannya yang masih ditahan.

“Kali ini, selepas mendapat maklumat kehilangannya dan gagal menghubungi telefon bimbitnya, peristiwa hitam itu kembali bermain di fikiran saya menyebabkan hati tidak tenang,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Mohd Fauzi bersama dua rakannya, Hussin Sapian, 54, dan Hassan Abdullah, 55, yang menaiki sebuah bot hilang sejak keluar menangkap ikan awal pagi Khamis lalu, selepas dua daripada mereka memaklumkan kepada majikan dan keluarga mengenai kerosakan enjin bot, kira-kira 13 batu nautika dari perairan Parit Jawa.

Sehari selepas kehilangan mereka, sebuah bot nelayan terbabit dalam operasi mencari mereka menemui separuh daripada 180 keping jaring dibawa dan semua 90 jaring ditemui semula itu putus separuh dipercayai dipotong.

Sementara itu, Pengerusi Nelayan Melayu Parit Jawa, Zainal Abdul Jalil berkata, kehilangan tiga nelayan itu masih lagi menjadi tanda tanya kerana tiada sebarang maklumat yang diperoleh.

‘“Jika bot karam sudah pasti semua barangan seperti tong air akan terapung dan mudah mengesan mereka tetapi berdasarkan maklumat awal mereka selamat tetapi kami langsung tidak mempunyai maklumat terkini,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan berkata, setakat ini tiga nelayan dilaporkan hilang masih lagi belum dikesan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat membabitkan beberapa agensi seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Gerakan Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar meneruskan operasi.

“Ketiga-tiga nelayan itu masih belum ditemui, namun operasi menjejaki mereka masih diteruskan,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan