Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Memaparkan catatan dengan label mukim teja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mukim teja. Papar semua catatan

Rabu, 29 April 2009

Surat Dari Pej Tanah (Singgahsana)


Monday, April 27, 2009

Limpahan terima sahaja yang dapat aku nyatakan di atas keprihatinan pegawai atasan Pejabat Tanah & Galian Negeri Perak Darul Ridzuan; secara peribadi telah berusaha untuk mengesan akan tanah pusaka Mat Sesh (Arwah Apak) yang telah hilang akan gerannya. Aku menulis e-mel kepada pihak Pej. Tanah adalah lantaran kehilangan yang beberapa geran yang tersimpan di Peti Besi Gajah Hijau.

Takkan nak libatkan polis perbagai, jika boleh aku mahu menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus tepung jangan pula berselerak. Itu yang malas ganggu keluarga arwah Opah Bi.

Sayangnya ianya tak akan selesai kecuali tahun No. Geran & No. Lot. Bagaimana nak tahu semua itu, di simpananku kini ada geran besar tanah sekitar kampungku ianya agak rumit mengenal pasti akan sesuatu lokasi. Sedangkan tapak masjid pun di dalam geran besar ada tujuh ekar lebih; mana lojik ianya sebahagian milik orang lain.

Antara geran yang hilang ialah, tapak rumah pusakaku, tanah air hangat, tanah dekat rumah Pak Aris, tanah tapak kedai dan ada beberapa tempat lagi aku tak pasti. Itu semua di Mukim Teja, bagaimana pula tanah di Tukang Sidin. Arwah Apak lama merantau di sana; memang ada tanahnya di sana.


Tambah sakit pewaris sebelah arwah Apak tak seorang pun mahu berhubung tentang tanah ini. Ada yang mengatakan arwah Apak dah beli semua dari adik beradiknya. Mungkin sebab itu tak seorang pun pewaris yang menuntut. Sementelah semua adik beradik arwah Apak seramai empat orang telah meninggal. Arwah Apak pula yang bungsu.

Takkan ceriteranya sama, aku juga anak yang bungsu dari empat adik beradik. Semuanya apakah akan terpikul di bahuku. Semua adik beradik arwah Apak perempuan; memang ada lojiknya arwah Apak yang perlu diharapkan. Kes aku lain, aku ada abg kandung lelaki dua orang. Bagaimana pula dengan saudara tiri. Ikut hukum faraid semuanya ada hak cumanya sikit atau banyak sahaja. Huh! patutnya semualah kena bantu aku. Inilah isunya. Masing-masing kejar dunia; hingga lupakan kampung halaman.

Bagiku tak kisahlah jika No. Geran yang diberikan oleh Pej. Tanah itu bukan milik arwah Apak; setidak-tidaknya ianya meringankan tugasanku mengesannya. Ianya satu rahmat Ilahi yang memudahkan pencarianku. Aku akan merujuk No. Geran tersebut hak milik siapa di kampung nanti. Aku tahu mesti ada penyelesaian. Tak mungkin masalah tak ada penyelesaiannya. Moga roh arwah Apak dapat mendengar akan usaha & munajatku ini.

Ish! sedar tak sedar telah sebulan UPM tak kasi sebarang tindakan tentang pencenku. Apa yang belum selesai & apa lagi yang kena aku uruskan. Selagi tak dapat semua wang pampasan & wang tuntutan bagaimana aku mahu bergerak; memang payah jika hanya bersenjatakan dengan tulisan. Tanpa bantuan duit untuk bergerak ke sana ke sini.

Hidup harus diteruskan jua... Sabarlah Desa Tualang.

Sabtu, 25 April 2009

Limpahan Terima Kasih untuk Pej Tanah & Galian Negeri Peak Darul Ridzuan (Singgahsana)

myspace layout images

Atas usaha gigih staf Pej Tanah & Galian Negeri Perak Darul Ridzuan di Ipoh, tak kurang dapat mengesan lima geran tanah hak milik ayahandaku Mat Sesh (arwah Apak) melalui Penama . Pejabat Daerah & Tanah Kampar pula dapat mengesan dua geran & satu Lot Pajakan milik arwah Apak; tentunya dengan usaha gigih dua jabatan ini dapat membantu aku nanti dalam menebus tanah milik arwah Apak.

2. Limpahan terima kasih, aku ucapkan. Tak sangka melalui laman web (situs) Pej Tanah tersebut aku dapat menghantar e-mel & memohon pertolongan jika dapat dikesan semua hak milik tanah peninggalan arwah Apak melalui Penama & No Kad Pengenalan. Melalui situs pejabat tanah tersebut ianya memerlukan aku tahu No. Geran & No Lot: untuk aku cuma dapat mengesan tanah hak milik siapa & berapakah tunggakan cukai tanahnya. Sedangkan sebelum ini aku telah menceritakan bagaimana peti besi milik arwah Apak yang menyimpan semua dokumen penting termasuk geran tanah yang telah pun diceroboh.



Inilah seiras bentuknya Peti Besi Gajah Hijau milik arwah Apak yang kena ceroboh; ianya yang kerap aku ceriterakan dalam jurnal ini. Peti besi ini memang berat & setakad seorang berdua memang takkan akan terangkat. Semua dokumen, barang kemas & geran tanah tersimpan di dalam peti besi ini. Yang memiliki kunci cumalah arwah Apak & arwah Opah Bi. Aku sendiri sejak lahir hingga ke usia tua tak pernah tahu bagaimana mahu membuka peti besi ini. Apatah lagi mengenal anak kuncinya. Masih teringat semasa aku kecil sering arwah Apak buka peti besi ini di hadapanku; Ada ruang rahsia di lantainya. Bagaimana boleh semua geran tanah & banyak dokumen lain terkeluar dari peti besi ini memang misteri. Selepas pemergian arwah Opah Bi sekitar lima tahun lalu yang tinggal di rumahnya hanyalah saudara mara sebelah arwah Opah Bi. Padanlah Kak Nomie amat terkilan kes peti besi ini & berbalahan dengan saudara mara sebelah arwah Opah Bi. Sila lihat jurnal ini sedikit tentang nostalgia peti besi ini.

Ghanimah ( Siri Kekalkan Cinta 36 )

3. Melalui Nombor-Nombor Geran yang diberikan oleh Pegawai Pej Tanah di Ipoh, dapatlah aku menyemak akan jumlah baki Bil Cukai Tanah melalui situs di internet. Kebanyakannya semua telah berbayar akan cukai tanahnya. Pihak mereka tidak dapat mengesan Nombor Kad Pengenalan di data kamputer mereka; itu yang aku mushkilkan. Pasti banyak kerja yang perlu dikemaskinikan jika mahu memasukkan semua data itu; berbanding saman trafik, melalui Nombor Plet Pendaftaran kenderaan atau No kad Pengenalan pemilik kita mudah mengesan saman kita. Kes aku tentunya berlaku pada keluarga yang lain; bilamana telah berlaku pencerobohan & kemusnahan geran tanah; memang akan memeningkan kita untuk mengesan semula.

4. Di Pejabat Tanah perlulah diingat hanya Nombor Geran & Nombor Lot yang dapat membantu kita dalam menyemak atau mengetahui status sesuatu tanah tersebut. Aku yang punyai salinan geran besar tahun 2001 tanah sekitar Desa Tualang di Mukim Teja; memang payah amat mengagak mana satu tapak rumah pusakaku sendiri. Di geran besarku ini pula hanya tercatat Nombor Lot bagi satu kawasan yang besar. Sebagai contoh tapak masjid Lot 25428, tujuh ekar lebih; tak masuk akal. Tanah arwah Pak Tam mungkin kah Lot 13918, seekar lebih atau termasuk sekali dengan Lot tapak masjid. Nusie atau Napi mesti tahu status tanah pusaka arwah Pak tam ini. Ooo! pening. Aku rasa ini kerja Ketua Kampung, perlu menyiasat semua ini. Jika Raman terbaca jurnal ini aku harap dapat mengambil iktibar. Jika tidak sampai bila-bila Bil Cukai Tanah di kampung kita tak berbayar. Tahu-tahu kena rampas semua, jatuh ke tangan orang luar. Orang tua deduku prihatin amat masalah ini.

5. Apa jadi dengan geran berbentuk Spanner Lot 73703, sepuluh ekar lebih yang ingin dimajukan oleh PR. Apakah benar ianya telah menjadi semak & hutan. Bagaimana bentuk geran ini telah menjadi sebesar ini. Apakah ianya digabungkan. Rasanya masalah tanah di Mukim Teja ini banyak polimik & kancahnya. Ianya pasti menjadi sebutan & kenangan. Seperti Kampung Bakap yang hanya tinggal tanah perkuburan. Nama Kampung Bakap mungkin akan hilang dari peta dunia jika semua penghuni telah pindah ke lain daerah. Harapanku janganlah Desa Tualang menjadi sejarah. Perlu diingat ada kalangan penduduk di sini adalah mereka yang berjuang dengan darah menegak kemerdekaan sebenar. Cumanaya kerajaan kini menolak perjuangan ini; bukalah sejarah pasti ramai yang tahu siapa pejuang ini. Maka itu arus politik kita hingga kini masih bertelegah tak tahu mana halatuju kita. Mahukah kita memang sorak kampung tergadai.

6. Bermakna kepercayaan saya terhadap keluarga, arwah Opah Bi yang seharusnya mengingatkan kami tentang banyaknya bil cukai tanah ini boleh dipersoalkan kerana semua alamat Bil Cukai Tanah tersebut pasti ke alamat rumah Allahyarhamah di Kampung Changkat Tualang (Desa Tualang). Saya yang kerap juga menziarah beliau semasa dia masih ada tidak menghulurkan bil tersebut. Emmm! takkan aku mahu mengganggu ketenangan roh arwah Opah Bi. Namun bayangkanlah kami yang tinggal terpaksa melunaskan semua bayaran cukai tanah tersebut berserta dendanya yang tentunya amat tinggi.

7. Agar roh arwah Ayah saya aman di sana & tidak akan sampai tanah pusaka sepeninggalan beliau terbiar.

iDAN: Siapa yang menyamar si penghulu & Datuk KJ dalam wikimapia. Aku banyak menandakan lokasi di kampungku ini; si penghulu & gengnya banyak memadamkan ia. Jika tidak lebih mudah aku meletakkan lokasi & ceriteraku ini.
Comments for this entry:
...........

pengailsejati | Posted on 27.4.2009 at 7:35 AM
Alhamdulillah syukur kehadrat Allah...Semua permasaalahan mengenai tanah pusaka abg idan hampir selesai...Lepas ini boleh la abg idan usahakan tanah pusaka tu...Tanam buah Goji pun ok aper...
Tanah Air Hangat
iDAN | Posted on 27.4.2009 at 10:48 AM
Tanah Air Hangat itu mungkin boleh selesai untuk ditebus, cumanya di Bil Cukai Tanah asal ianya geran bukan pajakan tak tahulah status sebenar kini & kebanyakan tanah yang Pej Besar Ipoh, Pej Tanah & Galian Negeri Perak D.R kebanyakannya telah dibayar cukainya, tak pasti lagi tanah org lain ke yang namanya sama arwah Apak, atau tanah bersama kot ada waris sebelah apak yang bayar atau pun dah bertukar hak milik. Ada empat geran kena disiasat; macam tak lojik pula keluarga kami tak tahu jika ianya dilelong. Memang kena mengadap Pej. Tanah di Ipoh tu. Sebenarnya ada lagi tanah yang keluarga kami risaukan statusnya.

Khamis, 1 Januari 2004

Pertahankan tanah pusaka (Cerita Ceritera)


OlehHASSAN AHMAD

KITA menjadi rakyat negara ini kerana antara lain kita mempunyai kawasan atau tanah - tanah pusaka nenek moyang kita. Dengan kata lain, kita mempunyai tanah, tempat tumpah darah kita, yang di atasnya kita mempunyai hak mendirikan rumah kita, bercucuk tanam, dan sebagainya.

Inilah salah satu kriteria penting yang mentakrifkan kedaulatan sesebuah negara atau sesuatu bangsa, iaitu kebebasan atau kemerdekaannya di tanah airnya sendiri.

Kedaulatan negara dan bangsa bukanlah ‘benda’ yang abstrak, bukan konsep yang diciptakan oleh imaginasi dan perasaan cinta tanah air semata-mata, tetapi ia merupakan konsep atau entiti yang nyata, yang konkrit.

Tanpa tanah, tanpa kawasan yang kita miliki sejak zaman nenek moyang kita sebagai pusaka kita, tidak bolehlah kita dikatakan bangsa yang ‘berdaulat’.

Jikalau kita hanya menumpang atas tanah milik orang asing di tanah air sendiri disebabkan tanah kita sudah berikan kepada pelabur asing, itu bererti kita sudah kehilangan suatu hak harta, iaitu tanah, yang mentakrifkan kita sebagai ‘rakyat’ tanah melayu atau Malaysia ini.

Taraf kita samalah seperti warga asing yang ‘menumpang’ di Malaysia (misalnya sebagai pekerja asing).

Perhatikan bahawa orang Melayu menggunakan istilah tanah air. Gabungan dua kata ini, ‘tanah’ dan ‘air’ tidak terdapat dalam bahasa Inggeris atau dalam bahasa-bahasa lain.

Berdasarkan istilah ini kita dapati bahawa orang Melayu mementingkan tanah dan air bukan sahaja sebagai syarat untuk membentuk konsep ‘negeri’ tetapi juga sebagai sumber ekonomi dan sumber hidup yang asas bagi rakyat di negeri ini.

Tanpa tanah dan tanpa air, manusia sukar hidup di dunia ini. Kerana inilah sejak dahulu hingga hari ini, tanah - dan air - sering menjadi punca peperangan. Rakyat Palestin, misalnya, sanggup mati untuk mempertahankan tanah mereka, walaupun seinci, atau untuk mendapatkan semula tanah yang telah dirampas oleh Israel, sama ada melalui peperangan ataupun melalui taktik dan muslihat lain yang lebih halus.

Maka hairanlah kita sekiranya ada negara yang sanggup menjual tanah, air dan sebagainya kepada orang asing atau kepada negara asing kononnya demi kemajuan, demi pembangunan ekonomi - yang selalunya hasilnya atau kesannya tidak sampai kepada rakyat yang miskin dan terpinggir.

Barangkali bangsa Melayu patut belajar daripada sejarah, tentang bagaimana Singapura, misalnya, akhirnya jatuh ke tangan orang lain, melalui syarikat asing, iaitu Syarikat East India Company atau syarikat Hindia Timur Inggeris (SHT). Stamford Raffles bertugas sebagai wakil Syarikat ini yang ditubuhkan oleh kerajaan Inggeris untuk mencari kawasan perdagangan dan ekonomi di luar England, dan akhirnya untuk menjajah negeri orang lain.

Apabila penjajah Belanda menguasai Melaka hingga awal abad ke-19 (setelah mereka mengalahkan bangsa Portugis di situ dengan bantuan askar-askar Melayu dari Johor), Syarikat Hindia Timur Inggeris mulai mencari kawasan lain untuk menjadi kawasan atau pusat perdagangannya untuk menyaingi Melaka.

Singapura

Kawasan yang dianggap sesuai ialah Singapura. Pulau ini ialah milik bangsa Melayu atau merupakan tanah takluk kerajaan Johor-Riau, bukan merupakan pulau kosong seperti “Pulau Robinson Crusoe” yang boleh diduduki, dicuri atau dimiliki oleh bangsa lain.

Raffles cepat-cepat mempengaruhi Temenggung Abdul Rahman, waris kerabat diraja Johor yang berada di pulau itu. Abdul Rahman dianugerahi gelaran ‘Temenggong’ oleh kerajaan Johor-Riau dan Singapura diberikan kepadanya sebagai hak warisnya. Raffles mengadakan perjanjian (pada 30 Januari 1819) dengan Temenggung Abdul Rahman, membenarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris membina loji atau kilang di Singapura. Sebagai balasannya, SHTI bersetuju memberi semacam sagu hati atau elaun sebanyak ‘3000 rial setahun’ kepada Temenggung.

Pada 6 Februari 1819 suatu perjanjian lain telah ditandatangani antara Raffles bagi pihak SHT dengan Sultan Hussain Muhammad Syah, Sultan Johor-Riau, dan Temenggung Abdul Rahman untuk mengesahkan perjanjian yang terdahulu. Salah satu fasal baru, iaitu Fasal Kelima, yang terkandung dalam Perjanjian baharu itu ialah, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman tidak dibenarkan membuat apa-apa perjanjian perniagaan dengan mana-mana pihak lain, baik dengan orang putih dari Eropah, baik dari AS, di Singapura selama ‘kompeni Inggeris ada duduk di dalamnya’.

Perjanjian ini juga menetapkan pembahagian hasil negeri: Temenggong mendapat dua bahagian daripada ‘hasil cukai segala perahu kapal orang hitam dan laka oleh kompeni Inggeris membayar segala belanja atas menjaga bendera (iaitu bendera Inggeris) terima hasil cukai itu’.

Melalui Perjanjian itu SHII tidak sahaja diberi hak untuk mendirikan kemudahan perniagaan di pulau Singapura tetapi juga hak menempatkan angkatan tenteranya di pulau itu dan hak untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan Inggeris ke atas penduduk pulau, khususnya di kawasan yang dikuasai oleh syarikat Inggeris itu.

Pada 2 Ogos 1824 pihak Inggeris yang diwakili oleh John Crawford, Residen Singapura, dan Sultan Hussain serta Temenggong Abdul Rahman menandatangani satu perjanjian lagi. Melalui perjanjian ini kedua-dua pembesar Melayu itu bersetuju menyerahkan pulau Singapura ‘dengan laut dan selat dan pulau kecil-kecil iaitu sepuluh batu jauhnya berkeliling Pulau Singapura itu menjadi hak milik kerajaan Kompeni Inggeris sampai kepada warisnya yang akan menggantikan dia selama-lamanya’

Sebagai gantinya, SHT bersetuju membayar kepada Sultan Hussain tiga puluh tiga ribu dua ratus ringgit sekali bayaran dan pada tiap-tiap bulan seribu tiga ratus ringgit seumur hidup Sultan itu. Temenggong Abdul Rahman dibayar dua puluh enam ribu delapan ratus ringgit sekali bayaran dan sebanyak tujuh ratus ringgit sebulan seumur hidup. Perjanjian ini juga menyebut bahawa sekiranya Sultan Hussain dan Temenggong atau waris mereka berhajat untuk berpindah dari Singapura dan tinggal di mana-mana tanah lain milik mereka (yakni, di luar pulau Singapura) maka SHT akan membayar sebanyak dua puluh ribu ringgit lagi kepada Sultan Hussain atau warisnya dan sebanyak lima belas ribu ringgit lagi kepada Temenggong atau warisnya.

Segala hak milik mereka yang tidak dipindahkan, seperti tanah, rumah, kebun dan segala jenis kayu yang terdapat di pulau Singapura dan di semua pulau takluk Singapura diserahkan kepada SHT sampai kepada warisnya selama-lamanya. Tetapi selama kedua-dua pembesar Melayu itu menerima bayaran bulanan daripada SHT mereka tidak dibenarkan mengadakan apa-apa perjanjian dengan mana-mana bangsa lain tanpa pengetahuan SHT atau warisnya yang akan menggantikannya selama-lamanya.

Abdullah Munsyi, dalam karyanya yang terkenal, Hikayat Abdullah, menceritakan bagaimana Sultan Hussain dan Temenggung terpaksa mengemis meminta wang tambahan daripada Raffles atau dari SHT kerana mereka sentiasa kehabisan wang untuk membiayai perbelanjaan para pengikut mereka yang berfoya-foya di pulau itu, dan sering melakukan pergaduhan dan kekacauan.

Akhirnya mereka ‘dinasihatkan’ oleh Raffles supaya berpindah dari kawasan Melayu di Kampung Gelam ke kawasan tidak maju, jauh dari pusat bandar, iaitu ke Teluk Belanga. Memang itulah rancangan jangka panjang SHT, iaitu untuk mengusir mereka dari Singapura atau untuk meminggirkan mereka daripada ‘proses pembangunan’ yang sedang dilakukan oleh SHT. Abdullah Munsyi menjelaskan bagaimana pembesar Melayu itu tertipu oleh muslihat dan ‘mulut manis’ Raffles memujuk orang Melayu supaya berpindah ke kawasan lain.

Raffles menggunakan wang untuk mempengaruhi pembesar Melayu supaya menyerahkan tanah mereka kepada syarikat asing, iaitu Syarikat East India Company atau Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Demikianlah kisah bagaimana tanah milik kerajaan Melayu, milik nenek moyang Melayu, akhirnya dijual atau berpindah milik kepada orang asing melalui sebuah syarikat yang disebut Syarikat East-India Company.

Diharap kisah ini tidak berulang lagi. Tandanya sudah ada dan nampaknya makin hari makin jelas. Bangsa yang pandai, yang cemerlang akal, yang bijak, tidak akan menjual ‘tanah airnya’ kepada kuasa asing melalui pelaburan asing, atau pun melalui diplomasi tolak ansur’.

* DATUK DR. HASSAN AHMAD ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan.

Utusan Malaysia