Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas didakwa melakukan penipuan melebihi RM1 juta, kini bekas pengurus artis dikenali sebagai Mr S yang kisahnya pernah disiarkan di muka depan akhbar ini pada 22 Mac lalu, berdepan pula dengan dakwaan mengugut mangsanya.
Perkembangan terbaru ‘kaki belit’ itu didedahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, selepas beberapa mangsa tampil membuat laporan polis.
Menurut Arjunaidi, apabila kisah Mr S disiarkan di akhbar ini, ada mangsa tampil membuat laporan polis membabitkan dakwaan diugut.
“Ada beberapa laporan polis (mengenai Mr S) diterima. Ada mangsa mendakwa diugut,” katanya pada program Bersemuka dengan Ketua Polis Daerah di pasar raya besar Giant, Kota Damansara, di sini, semalam.
Arjunaidi berkata, siasatan mengenai penipuan Mr S masih diteruskan dan kini siasatan mengenai ugutan dilakukan ‘kaki belit’ itu turut dijalankan.
Sebelum ini, Arjunaidi dilaporkan berkata, Mr S pernah ditahan untuk membantu siasatan kes pecah masuk serta curi barangan pejabat.
Keterangannya kemudian diambil untuk membantu siasatan, tetapi dia dibebaskan tidak lama kemudian dengan jaminan polis.
Arjunaidi turut memaklumkan, pihaknya mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat serta keterangan berkaitan penipuan lelaki terbabit.
Ini kerana berdasarkan laporan polis, lelaki terbabit turut memperdaya mangsa sehingga RM300,000 kononnya mempunyai rakan kongsi di negara berkenaan bagi mengedar dan mempromosi album artis nasyid berkumpulan, Nice.
Pada 22 Mac lalu, akhbar ini melaporkan Mr S, berusia 30-an, yang berperwatakan lemah lembut dan baik, memanfaatkan industri itu untuk melakukan penipuan.
Modus operandinya mudah — menubuhkan kumpulan, syarikat atau menguruskan artis tertentu, kemudian menjaja nama artis terbabit untuk menarik mangsanya melabur sejumlah besar wang dengan janji kononnya wang itu akan berganda apabila projek membabitkan artisnya berjaya.
Antara mangsanya ialah penyanyi dan pelakon, Waheeda, kumpulan nasyid Devotees, Nice, kumpulan Infinatez, pemilik Nazz Music Entertainment, Nazri Abdul Rahman dan pensyarah dikenali sebagai Dr Zamri.
Sementara itu, Arjunaidi berkata, program Bersemuka dengan Ketua Polis Daerah yang diadakan untuk kali keempat semalam mendapat sambutan menggalakkan penduduk sekitar Kota Damansara.
Katanya, kebanyakan aduan yang dibuat adalah mengenai kes jenayah dan ada juga membabitkan masalah kejiranan.
“Program sebegini memudahkan lagi komunikasi antara polis dengan masyarakat. Penduduk setempat boleh kemukakan masalah atau perasaan tidak puas hati mereka secara terus dengan polis,” katanya.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan