Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Memaparkan catatan dengan label Suara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Suara. Papar semua catatan

Rabu, 27 April 2011

Aziq sambung belajar di Perlis.

Bersyukur amat aku, Aziq diterima belajar di Matrikulasi di Perlis. Bunyi amat jauh; tapi telah itu pilihan dia. Masa mengisi borang di Dunia Maya dia sendiri yang buat pilihan. Nampaknya dia juga sedar kini terasa janggal nak berjauhan dengan keluarga. Jika aku bersamanya mengisi borang pasti tak sejauh itu.

Faktor ekonomi juga mungkin menjadi salah satu petanda; Aziq terlalu lurus macam ibunya. Hakikatnya kami bukanlah keluarga yang berada. Aku telah berpencen, Mila biar pun masih berkerja tapi hutangnya keliling pinggang. Baru sekitar tahun ini dia terlepas sedikit bebanan lantaran emaknya meninggal dunia ketika Afiz buat kenduri. Jika tidak memang dia terpaksa menjaga ibunya; bukan sedikit belanja untuk keluarganya di kampung.

Dalam congakan aku dalam dia membantu keluargaku ini, manalah sampai separuh gajinya. Bila aku suruh dia uruskan bil elektrik pun tak sampai dua tahun; telah jadi hura-hara. Bila aku bersara begini sering dia mengeluh tak cukup duit. Terkadang terpaksa korek duit tabung. Maka itu aku seringkan ingat-ingatkan anakku jika mahu sambung belajar, jangan pilih tempat jauh-jauh. Jika nak berjauahan sangat baik pilih luar negara. Jika di Perlis bayangkanlah tak mungkin aku dapat jumpa Aziq selang seminggu bagai di Gombak tempat dia ambil SPM. Paling jauh pun aku suka dia belajar di Melaka. Sebab ada banyak memudahan jika dia mahu balik ke rumah.

Ada rakannya yang sama belajar di sekolah rendah & SAM10 pun dapat panggilan ke sana. Mereka pun terasa ingin tunggu panggilan di Asasi di sekitar sini. Aziq ada juga meminta Asasi di UM, UiTM & beberapa IPTA sekitar lembah Klang. Aku berharap dia akan dapat panggilan pada awal Mei nanti. Agar takdir tuhan tidak memisahkan kami jauh.

Khamis, 24 Mac 2011

Dilema penulis blog dalam Bahasa Melayu


Dan saya rasakan ia bukan sahaja dilema penulis blog malah melibatkan keseluruhan bidang penulisan dalam apa jua juzuk penghuraian -- soal bahasa.

Saya bukan pejuang bangsa, saya juga bukan tokoh pejuang bahasa. Namun, apabila saya menulis dalam Bahasa Melayu terutamanya berkenaan ubuntu dan komputer, diri saya dilanda dilema -- istilah Melayu atau Inggeris? Saya yakin ramai pembaca blog saya ialah blogger dan anda lagilah amat memahami maksud saya.

Apabila saya menulis buku pratikal, dilema ini sekali lagi menyerang. Saya tidak mahu hasil tulisan saya dipanggil tulisan "rojak" atau menggunakan terlalu banyak tulisan italic untuk menunjukkan istilah tersebut bukan istilah Melayu. Namun apa pilihan yang saya ada? Mereka istilah sendiri dalam bahasa melayu (?) atau membuat pengesahan lansung dengan DBP yang tidak begitu berfungsi itu?

Dalam parlimen Malaysia, apabila ditanya mengapakah subjek sains dan matematik ini harus dilaksanakan pengajarannya dalam Bahasa Inggeris, lalu bangkitlah seorang ahli parlimen menjawab;
"Kita tidak mampu mentafsir setiap buku-buku baru yang keluar saban hari di dunia barat. Jangan bandingkan kita dengan Jepun. Jepun siapa dan kita siapa?"
Jawapan ini menarik! Adakah benar kita tak mampu mengejar kemajuan teknologi dibarat dalam bahasa pengantar melayu? Saya ingin bertanya, kemanakah perginya mahasiswa jurusan bahasa di universiti tempatan? Mengapa dibiarkan mereka menjadi penulis novel cinta yang kebanyakkannya mengkhayalkan remaja Melayu?? Apa khabar Dewan Bahasa dan Pustaka?

Jepun, sebagaimana yang kita maklum menggunakan bahasa pengantar Bahasa Jepun dari tadika hingga ke kursus ijazah di universiti. Anda ingin belajar di Jepun? Belajar bahasa Jepun terlebih dahulu! Ada 3 jenis tulisan jepun iaitu hiragana , katakana dan kanji. Tulisan katakana berfungsi untuk mengeja kesemua istilah asing dalam sebutan yang sama (atau hampir sama). Lalu kesemua istilah dari barat berkenaan apa jua bidang akan ditulis dengan katakana kedalam text buku-buku dijepun. Kerana itu mereka dapat mengejar kemajuan ini.

Bagaimana dengan Malaysia yang tertulis dalam perlembagaan dalam perkara 152 bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan? Apa kata, jika kita tidak mampu mengikut rentak barat dalam penggunaan istilah untuk teknologi, kita tukarkan sahaja perkara 152 tersebut menjadikan Bahasa Inggeris bahasa pengantar. Mungkin kita boleh maju seperti Singapura atau lebih maju kerana pemimpin kita amat cemerlang dalam bab merangka dasar.

Pembaca sekalian, antara perkara yang paling penting dalam sesuatu kewujudan ialah identiti. Tidak ada kad pengenalan anda digelar pendatang tanpa izin. Komputer yang tidak ada ip address tidak boleh connect kepada mana-mana jaringan internet. Apajadi kalau sesebuah negara yang identitinya boleh ditentukan oleh perkembangan di negara lain? Mungkin negara sebegitu boleh digelar negara yang mempunyai identiti yang dinamik (macam DHCP). Keburukkan DHCP ialah tidak boleh dijadikan pelayan web kerana IPnya yang selalu berubah-ubah. Tak tahulah pula saya negara yang mempunyai identiti yang dinamik.

Kesannya saya dan anda rasakan hari ini. Baru-baru ini saya ke sebuah kedai buku di bandar X (agak jauh dari KL) dan mencari buku berkaitan dengan komputer. Tersudut disuatu ruang yang tidak dipandang, beratus-ratus buku berkenaan komputer yang sudah buruk, warna yang pudar dan dalam keadaan yang mengambarkan betapa tidak lakunya buku tersebut. Kerana apa? Kerana ia ditulis dalam Bahasa Inggeris. Lalu, bilakah bangsa ini akan maju jika kita bergantung kepada bahasa asing?

Saya tidak berniat menjadi pejuang bahasa. Anda mungkin tidak bersetuju dengan saya tetapi saya yakin yang kita sudah sampai ke suatu tahap yang menuntut kita berfikir secara orang yang mempunyai identiti. Yang pasti buat waktu ini dan seterusnya, saya dalam dilema.

iDAN: Suara nan bernas, bagi orang yang sayangkan Bahasa Ibunda. "tidak mampu mentafsir setiap buku-buku baru". Kerja ini kerja ibadah, mungkin DBP boleh buat kerja ini demi untuk anak bangsa akan datang. Ramai kalangan ilmuan kita jauh lebih pakar dari kalangan orang barat; mereka ini perlu membukukan pengetahuan mereka dalam bahasa ibunda jika benar mahu melihat bangsa kita disegani.