Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Jumaat, 27 Februari 2009

Slum Dog (Singgahsana)


Perjalanan dari Jenaris ke Mid Valley Megamall sekitar setengah jam. Cari parkir setengah jam, punyalah ramai orang, berbaris nak tempah tiket setengah jam. Waktu itu sekitar jam 4:00 petang Sabtu 28. Feb. Huh! sia-sia.

Tayangan Slum Dog bagi 9:30 malam cuma tinggal tiga tiket, dua tempat depan sekali sebelah kanan, satu lagi tengah tepi sekali sebelah kiri. Saja tanya tanyangan larut malam 12:00 malam. Tinggal baris depan sekali. Mahu pening macam aku tenguk Kabhi Kushi; Maka aku batalkan sahaja cadangan mahu menonton bersama Afiz, Anif & Azim. Mila & Aziq tak berminat menonton.

Selasa nanti Aziq akan ke sekolah barunya; Sekolah Teknik Gombak. Setelah berperang besar dengan aku, barulah dia & Mila mahu beralah. Aku tidak setuju Aziq sekolah jauh-jauh. Sebabnya bagi aku Sekolah Teknik di mana pun sama saja. Tidaklah sebaik MRSM. Katanya Sekolah Teknik Taiping adalah tempat kedua selepas Sekolah Teknik Sepang. Jika mahu masuk ke Sekolah Teknik Sepang perlukan 8 A. Aziq sekadar 6 A.

"Sekolah Teknik akan mengecik peluang kerjaya Aziq, apatah lagi jika Aziq ambil cos elektrikal"

"Dah Angah minat dengan bidang itu" Aziq biasa bahasakan dirinya Angah.

"Ayah tak mahu Aziq nanti belajar separuh jalan, takad sijil atau diploma, tak kan mahu jadi Juruteknik atau Pembantu teknik sahaja... jadi kuli orang sampai pencen " Aku terbayang masa aku terbuang di UPM.

"Angah memang mahu belajar jauh dari rumah! malahan ada tempat lagi jauh Angah minta" Aziq minta senyap-senyap melalui internet tanpa berbincang dengan aku bagai Afiz.

"Sabarlah dulu, lepas SPM bagi ayah Aziq dah cukup matang & dewasa, pergilah ke mana sahaja Aziq mahu jika lepas SPM, ayah takkan halang" Mila memihak Aziq Dan tak kisah pun jika dia belajar jauh dalam usia awal remaja begini. "Ayah bekas pelajar asrama penuh Aziq, enam tahun ayah di asrama, ayah tahu baik buruknya di asrama, tambahan Sekolah Teknik yang bercampur dengan pelajar Vokasional..."

Aku sering mendengar masalah Sekolah Teknik yang tak sudah-sudah. Soal disiplin, buli & banyak lagi masalah lain. Jika silap mencari kawan mesti akan jadi masalah. Bukan jadi pelik anak rakanku yang belajar di Sekolah Teknik Kajang jadi Bohjan, Jadi Kutu Jalan, jadi Mat Rempit. Bukan sedikit duit nak jamin anak jika dah masuk lokap bila terlibat dengan Mat Rempit. RM10,000 sudah pasti. Kasihan rakanku mengadu masalah anaknya di Sekolah Teknik.

Faktor usia juga menghalang minat aku untuk menghantar anak belajar jauh. Tak mampu rasanya memandu jauh-jauh dalam badan sakit begini. Belanjanya satu hal. Taiping & Jenaris pasti sekitar empat ke lima jam memandu sendiri. Jika naik bas pasti lebih lama. Bagiku jika sekitar dua jam perjalanan tidaklah membebankan sangat. Apa sangatlah Sekolah Teknik, bagiku Sekolah Teknik mana pun sama; cikgu sekarang ini semuanya dah punyai ijazah malahan ada master lagi. Jika rajin biar di mana-mana Sekolah Teknik pun akan berjaya.

Begitu juga sekolah biasa, bagiku lagi terbuka. Peluang melanjutkan pelajaran terbuka luas. Jika ambil bidang sastera sekali pun boleh jadi pendidik atau peguam. Ramai kalangan anak sahabatku belajar ke luar negara asalnya bersekolah biasa. Taraf pendidikan kini rasanya semakin tinggi biar pun di sekolah mana.

Cumanya jika MRSM yang memang peratusnya amat tinggi untuk berjaya. Memanglah aku sesal jika menolak tawaran anakku jika dapat belajar di MRSM.

Sementelah rakanku di tempat kerja yang ramai dari lepasan Politeknik; sebelumnya dari lepasan Sekolah Teknikrasanya tak sebagus mana kemahirannya. Banyak yang bercanggah dengan bidang pembelajaran & bidang kerjaya. Silap-silap pengalaman aku berkerja dapat mengatasi kemahiran mereka. Bila berkerja terpaksa juga dilatih & dipandu arah. Seperti bidang ICT yang terus berkembang, rasanya jika kita tidak cepat mengambil perkembangan teknologi terkini dalam masa tiga tahun semuanya telah berubah. Sama juga bidang Elektrikal. Sijil tidak menjaminkan apa=apa kemahiran jika tidak diasuh & digandingkan dengan pengalaman.

Yang lebih sedih ada kalangan lepasan Politeknik yang menonjolkan diri sebagai wakil ISO atau Wakil Jabatan dalam pembelian sahaja. Lebih banyak menumpukan kerjaya dalam pengurusan eset semata. Mana kemahirannya bidang teknikalnya; semakin pudar & sifar. Asyik berlakon jadi orang kanan KJ, mengadu domba & mengambil kesempatan melonjak diri lantaran ujudnya jalan pintas dalam SSM.

Berbalik dengan Aziq & Mila. Mungkin tak nampak masalah masa depan. Bagaimana bidang kejuruteraan di Malaysia yang makin dikuasa oleh kuasa asing. Cina terutamanya. Masalah timbul kini, peindustrian kita semakin merudum, banyak pengilang lari ke dunia yang rendah kos pengeluaran. Apa akan jadi anak Melayu yang terpaksa memohon kerja ke majikan bangsa asing. Bolehkah kita bersaing dalam permintaan tenaga kerja kejuruteraan di luar sana.

Tak apalah Aziq belajar di Sekolah Teknik Gombak itu dekat dengan Jenaris. Tak jadi masalah untuk menjenguk Aziq. Dia pun boleh balik naik komuter hujung minggu jika dibenarkan.

Aku sebenarnya lebih suka anak-anakku memilih bidang pentadbiran, pembelajaran, guaman atau perubatan. Ianya lebih nampak luas & terbuka jika mahu makan gaji. Payah sangat kenapa bangsa kita tidak meneroka bidang perniagaan atau perdagangan. Cuba bersaing dengan bangsa asing yang nampak lebih kukuh di bidang ini.

Slum dog jadi penghalang Aziq & Mila. Tak mahu melihat kehidupan miskin warga setinggan yang sering jadi bahan hambatan pembangunan. Kejap lagi aku akan ke Mid Valley MegaMall. Tiket telah ditempah.


Pengetua, pelajar mesti kerap berbincang
(Kira-kira lima tahun lalu)

SERI KEMBANGAN: Kementerian Pendidikan mengulangi peringatan kepada semua pengetua supaya tidak menyembunyi disiplin pelajar, terutama yang terbabit kes pergaduhan dan mencederakan pelajar lain.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim, berkata mereka sepatutnya melaporkannya dan pada masa sama membendung gejala berkenaan.

“Pengetua juga perlu faham pelajar mudah terpengaruh unsur negatif. Oleh itu, mereka perlu bijak mengatasi masalah dengan kerap mengadakan perbincangan bersama pelajar,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan ke-10 dan Persidangan Pendidikan anjuran majlis itu, di sini semalam.

Semalam akhbar melaporkan dua bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Teluk Intan, Perak diserang lebih 20 pelajar sekolah itu pada jam 3 petang Ahad lalu kerana dipercayai membalas dendam terhadap mangsa yang dikatakan membuli pelajar junior ketika menjadi senior.

Ia kejadian terbaru selepas seorang pelajar Kolej Matrikulasi Melaka dibelasah 12 rakan kolej yang menuduhnya membocorkan perbuatan kumpulan itu menceroboh asrama pelajar wanita Jumaat lalu.

Sebelum ini, lapan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar disingkirkan kerana masalah disiplin termasuk bergaduh, manakala 20 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh dibuang kerana cuba menghidupkan kumpulan ala samseng dan seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor parah dipukul rakan.

Sementara itu, Pemangku Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Malaysia, Normah Mohamed, berkata pendedahan media tidak bermakna gejala berkenaan berlaku di semua sekolah.

Katanya, kejadian seperti itu biasanya membabitkan pelajar yang tidak mendapat perhatian ibu bapa atau mempunyai keluarga bermasalah serta perasaan tidak puas hati yang selama ini dipendam.

“Jika pelajar sebegini dikesan pada peringkat awal, sekolah boleh melaksanakan pelbagai program seperti berbincang dengan mereka dan ibu bapa atau mengadakan sesi kaunseling bagi mengenal pasti masalah sebenar mereka,” katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Prof Madya Dr Abdul Rahman Daud, pula berkata pelajar sekolah berasrama lebih mudah terdedah budaya negatif berbanding pelajar sekolah harian kerana pengaruh rakan sebaya daripada pelbagai latar belakang.

Beliau turut menyelar sesetengah guru yang bersikap lepas tangan mengenai disiplin pelajar dengan menyerahkannya kepada guru disiplin, menyebabkan tiada atau kurang kawalan disiplin di sekolah.

“Selain itu, ibu bapa perlu faham tugas guru bukan saja mengajarkan ilmu, tetapi membentuk peribadi mereka,” katanya.

“Oleh itu, ibu bapa tidak boleh bersikap buruk sangka dengan guru yang mendenda anak mereka. Setengah masalah pelajar boleh diselesaikan dengan pendekatan psikologi, sebahagiannya cara mendenda dan ada pula yang perlu dirotan untuk membetulkan akhlak mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan