Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 26 Februari 2009

Lepas geram sepak Norman (Hiburan)


Oleh Muhd Izawan Baharin
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan pelbagai kritikan dan tuduhan, pelakon popular, Norman Hakim kini berdepan pula dengan sasaran kecaman dalam bentuk permainan komputer yang dipaparkan dalam sebuah laman web.

Permainan komputer menggunakan aplikasi perisian Flash bertajuk Lepas Geram Kat Norman Hakim itu memaparkan watak animasi dengan wajah Norman akan ditendang pemain sejauh mungkin.

Tidak dapat dipastikan bila permainan itu direka atau tujuannya, namun sehingga kini ia mencapai lebih 9,000 pengunjung.

Pengunjung hanya perlu menekan butang tetikus untuk mengarahkan animasi seorang lelaki menendang Norman sejauh mungkin dan rekod itu akan dicatatkan.

Pengunjung juga boleh berkomunikasi menerusi ruang komentar disediakan dan berdasarkan pemerhatian ada di kalangan mereka turut meminta wajah Memey dimasukkan sekali.

Kebanyakan pengunjung membuat perbandingan rekod jarak tendangan mereka selepas bermain permainan itu.

Mengulas perkara itu, Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, berkata dia tidak terguris, malah tidak rasa apa-apa mengenai kewujudan permainan komputer itu.

“Saya sudah tengok permainan itu, tapi terus-terang saya tidak rasa apa-apa, malah tersenyum melihat kreativiti perekanya,” katanya yang dihubungi.

Menurutnya, terpulang kepada persepsi orang ramai untuk menilai permainan itu sama ada ia baik atau tidak.

“Ia terpulang kepada penerimaan orang ramai untuk menilai jika orang anggap positif, maka positif benda itu atau sebaliknya.

“Cuma kepada perekanya saya harap salurkan kreativiti ke arah platform betul. Jangan nanti ia menjadi ikutan apabila ada artis lain tidak disukai menjadi mangsa menerusi permainan komputer,” katanya.

Mengenai perkembangan kerjayanya, Norman berkata, dia sekarang sibuk dengan penggambaran filem Magika terbitan Kru Studios, drama Kamelia Katrina 26 episod untuk Astro terbitan Asia Media Content dan telemovie untuk slot Cerekarama TV3 bertajuk Restu Mertua terbitan JS Pictures.

“Saya juga sibuk menguruskan restoran d’Western Taste @ Naly’s Cafe and Restaurant di Ukay Perdana yang beroperasi sejak awal tahun ini.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi masalah mengenai jadual lakonan dan perniagaan walaupun agak sibuk sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Sementara itu, Suhaiza Suhaimi atau Memey, yang namanya turut dikaitkan dalam permainan komputer itu berharap perbuatan itu dihentikan kerana ia menyentuh peribadinya.

“Saya bagaimanapun berpendapat terpulang kepada individu itu untuk bercakap atau menilai saya, yang mana baik saya akan ambil sebagai panduan hidup.

“Saya pun tidak mahu memikirkan perkara macam ini kerana ia tidak akan habis, malah saya tahu banyak kritikan dan tuduhan dilemparkan terhadap saya sama ada di Internet atau media.

“Bagi saya, mereka seperti mengambil kesempatan untuk menghangatkan lagi suasana,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Dimensi Cinta arahan Mohd Aliff Najmi Abdullah atau Eddie Pak.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan