Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 2 Februari 2009

Petua (Delima Merkah)


KANDUNGAN

PENDAHULUAN

BAWANG PUTIH
Darah Tinggi
Sakit Kepala
Kembung Perut
Batuk
Kutu
Disengat Lebah

CEKUR
Sebagai Ubat Batuk
Kempiskan Perut Buncit
ASAM JAWA
Melegakan Suara Serak
Melangsingkan Badan
Hilangkan Bisa
Hilangkan Karang Gigi
Meredakan Benjol
Ubat Demam
Kurangkan Kesakitan Gigitan Ular

LENGKUAS
Rheumatik ( Sengal Sendi Tulang/ Otot-otot )
Kurap
Panau

HALIA
Membuang Kahak dan Lendir di Halkum
Ubat Keputihan
Ubat Kembung Perut
Kurangkan Lemak Dalam Badan
Badan Kepenatan dan Rasa Lemah
Membersihkan dan Menghancurkan Darah Beku Dalam Badan

SERAI
Sesak Nafas
Memutihkan Gigi
Melegakan Pening dan Lesu

KUNYIT
Ubat Gatal-gatal Kulit
Haid Yang Tidak Teratur
Menghaluskan Kulit
Menguatkan Tenaga Batin
Ubat Appendix
Mengurangkan Panas Dalam Badan
Tambahkan Darah
Melangsingkan Badan
Merawat dan Mencantikkkan Bibir
Ubat Kudis
Mulut Berbau
Muka Berminyak

PENUTUP

RUJUKAN

PENDAHULUAN

Tumbuhan Rempah merupakan tumbuhan yang banyak sekali ditanam di Malaysia kerana ia digunakan secara meluas terutama sebagai rempah ratus dalam masakan malah ada yang membuka ladang khusus untuk tumbuhan rempah. Bagi masyarakat Melayu, penggunaan tumbuhan rempah sebagai ramuan dalam masakan memang tidak dapat dipisahkan. Anak-anak Melayu terutama anak-anak perempuan telah diajar bagaimana menggunakan rempah ratus ini dalam masakan sejak mereka kecil lagi Bagaimanapun agak malang kerana tidak ramai yang mengetahui akan khasiat perubatan yang terkandung dalam tumbuhan rempah ini. Justeru itulah apabila berpeluang mengambil kursus ini, saya telah memilih tajuk Penggunaan Tumbuhan Rempah Dalam Perubatan Masyarakat Melayu.

Untuk kertas projek ini saya hanya menumpukan kepada beberapa pokok rempah yang saya rasakan paling popular di kalangan masyarakat Melayu. Untuk mendapat maklumat yang lebih selain daripada maklumat dari buku-buku rujukan, saya telah menemubual tiga orang bidan kampung iaitu Puan Sauziah Hamid dan Pn. Hajah Jenab Salimin kedua-duanya dari Kampung Bukit Bangkong Sungai Pelik Sepang dan seorang lagi ialah Pn. Hajah Saidah Lamat seorang bidan dan pengusaha ubatan tradisional di Kampong Mesapol Sipitang Sabah ( temubual melalui telefon ).

Akhir sekali saya mengharapkan kertas projek ini merupakan titik permulaan untuk saya mempelajari lebih lanjut lagi mengenai khasiat dan kegunaan tumbuh dalam kehidupan seharian kita. Semoga kertas projek ini boleh memberi manfaat kepada semua.

BAWANG PUTIH ( ALLIUM SATIVUM )

Bawang Putih merupakan rempah ratus yang sangat terkenal terutama sekali dikalangan masyarakat Cina. Hampir semua masakan memerlukan Bawang Putih sebagai penyedap rasa dan menimbulkan aroma yang boleh membuka selera.

Selain daripada bahan dalam masakan, Bawang Putih juga digunakan oleh beberapa masyarakat pribumi di Sabah untuk menghalau kuasa-kuasa jahat dan makhluk halus yang dipercayai mengganggu penghuni-penghuni dalam sesebuah rumah terutama sekali pada sebelah petang. Apabila ketua keluarga dalam sesebuah rumah merasakan sesuatu yang tidak baik berlaku di dalam rumah yang disebabkan oleh kuasa-kuasa jahat dan makhluk halus, mereka akan membakar beberapa ulas bawang putih berserta dengan kulitnya. Bawang Putih yang dibakar akan mengeluarkan bau yang kuat . Bau ini lah yang dipercayai tidak disukai oleh makhluk halus berkenaan dan untuk mengelakkannya mereka akan meninggalkan rumah tersebut.

Bawang Putih juga kaya dengan khasiat dan nilai-nilai perubatan . Dalam masyarakat Melayu selain daripada digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan, Bawang Putih juga digunakan dalam amalan perubatan tradisional. Antara penyakit yang boleh diubati dengan menggunakan Bawang Putih adalah seperti berikut:-

Darah Tinggi

Ambil 3 ulas kecil Bawang Putih, tumbuk sehingga lumat kumudian bubuhkan air masak ke dalamnya kemudian minumlah air tersebut setiap pagi selepas sarapan pagi. Lakukannya selama seminggu. Tekanan darah tinggi juga boleh dikurangkan dengan memakan setiap hari 2 taring ( sulur) bawang putih yang dibakar terlebih dahulu. Amalkannya selama seminggu berturut-turut.

Sakit Kepala

Ambil beberapa ulas Bawang Putih , segenggam daun turi dan 7 biji lada. Tumbuk kesemua bahan-bahan tersebut kemudian bubuh 1 sudu besar cuka dan perapkan. Bubuhlah campuran ini di kening mata.

Kembung Perut

Ambil dua ulas Bawang Putih, bakar, setelah itu buang kulitnya dan makanlah bawang putih tersebut. Beberapa minit kemudian angin di dalam perut akan berkurangan dan pesakit akan berasa lega.

Batuk

Ambil 3 ulas Bawang Putih, tumbuk sehingga lumat seterusnya campurkan dengan lima sudu minyak kelapa dan ratakan. Sapukan pada leher bila waktu malam. Dengan cara ini batuk akan berkurangan.


Kutu

Kutu di kepala akan menyebabkan kita berasa gatal dan rasa tidak selesa. Untuk membunuhnya kita boleh menggunakan Bawang Putih. Ambil 5 ulas Bawang Putih, tumbuk halus. Setelah itu campurkan dengan 1/4 cawan minyak kelapa, kemudian lumurkan pada rambut dan kulit kepala, bungkus dengan plastik selama 3 jam. Setelah itu cuci kepala dengan syampoo dan keringkan. Lakukannya sekali seminggu. Kutu di kepala akan hilang.

Disengat Lebah

Jika terkena sengatan lebah, tentu rasanya sakit dan bisa. Bawang Putih boleh digunakan untuk merawat sengatan yang berbisa ini. Ambil dua ulas bawang putih dan sesudu madu asli. Bawang Putih dikupas dan ditumbuk halus kemudian campurkan dengan madu tadi, setelah itu sapukan pada tempat yang terkena sengatan lebah tadi.

Bawang Putih juga boleh digunakan untuk menghalang bisul yang baru hendak bermula. Caranya ialah dengan menggosokkan Bawang Putih ke tempat yang dipercayai akan ditumbuhi bisul.


CEKUR ( KAEMPFERIA GALANGA )

Masyarakat Melayu memang tidak asing dengan pokok ini kerana ianya banyak sekali digunakan sama ada sebagai rempah dalam masakan mahu pun sebagai bahan dalam ubat-ubatan tradisional. Pokok ini banyak ditanam oleh masyarakat Melayu sama ada di belakang rumah ataupun di dalam pasu. Isinya seakan-akan kunyit dan berwarna putih, daunnya rapat ke permukaan tanah. Di samping kegunaannya dalam masakan ia juga kaya dengan nilai perubatan. Antara kegunaannya adalah:-

Sebagai Ubat Batuk ( Bronkitis )

Ambil sepotong Cekur sebesar ibu jari, buangkan kulitnya. Berserta sedikit garam kunyahlah Cekur ini dan telan airnya.

Kempiskan Perut Buncit

Ambil segenggam cekur, sedikit tepung beras, sedikit gula merah, sedikit gula pasir dan sedikit garam. Tumbuk kesemuanya sehingga halus, kemudiam masukkan air 1/2 gelas. Kemudian tapis dan minumlah airnya. lakukannya selama 4 hari berturut-turut.


ASAM JAWA
Asam Jawa merupakan satu lagi tumbuhan yang terkenal di kalangan masyarakat Malaysia. Pokoknya tinggi dan berdaun rendang. Buahnya banyak digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan. Dalam masyarakat Melayu, Asam Jawa bukan sahaja berguna dalam masakan tetapi juga beberapa kegunaan yang lain antaranya:

Melegakan Suara Serak ( Batuk )

Suara serak biasanya disebabkan oleh panas dalam badan. Untuk melegakannya minumlah air asam jawa sebanyak 1/4 gelas bercampur dengan gula batu. Minumlah apabila bangun dari tidur.

Melangsingkan Badan

Untuk melangsingkan badan, amalkan meminum air asam jawa dua kali sehari selepas makan. Lakukannya selama beberapa minggu sehingga menampakkan hasilnya yang memuaskan.

Hilangkan Bisa

Apabila terkena sengatan lebah dan lipan, badan akan merasa bisanya. Untuk melegakan bisa ini, ambil segera biji asam jawa, tumbuk sehingga halus, bubuh sedikit air dan kemudian tampalkan ke tempat yang terkena sengat, dalam beberapa saat rasa sakit itu akan hilang.

Hilangkan Karang Gigi

Karang gigi merupakah satu masalah yang akan membawa kepada penyakit gusi sekiranya tidak dibuang. Untuk menghilangkannya, ambil biji asam jawa, gorengkannya tanpa minyak lalu ditumbuk sehingga halus. Ambil debu tersebut dan gosokkannya pada gigi dengan kain atau berus gigi.

Meredakan Benjol

Untuk meredakan benjol, ambil asam jawa, campurkan sedikit garam dan air kemudian lumurkan ke tempat yang benjol. Benjol akan hilang.

Ubat Demam

Asam jawa boleh juga digunakan untuk melegakan demam di kalangan kanak-kanak. Caranya ambil segenggam asam jawa, ramas bersama air sejuk secukupnya kemudian sapukan pada seluruh kepala dan dahi kanak-kanak tersebut. biarkan air asam jawa itu kering.

Kurangkan Kesakitan Gigitan Ular

Untuk meredakan kesakitan kerana gigitan ular, gunakan biji asam jawa yang dimasak, belahkannya dan ambil salah satu sahaja belahan itu, kemudian letakkan di tempat gigitan sehingga kesakitan beransur hilang.


LENGKUAS ( ALPINIA CONCHIGERA )

Lengkuas merupakan satu lagi rempah ratus yang mudah didapati di Malaysia. Ia biasanya ditanam di belakang rumah masyarakat Melayu di kampung-kampung. Pokok ini mudah ditanam dan tidak perlu penjagaan yang teliti. Ketinggiannya boleh menjangkau 2 - 5 kaki daunnya seakan-akan daun halia tetapi ianya lebih besar dan lebih panjang. Isinya juga seakan-akan halia tapi ia berwarna kemerahan. Lengkuas biasanya digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai bahan dalam masakan. Selain daripada penyedap masakan, Lengkuas juga mempunyai nilai-nilai perubatan terutamanya penyakit kulit. Antara penyakit yang boleh dirawat dengan menggunakan Lengkuas adalah seperti berikut:

Rheumatik ( Sengal Sendi Tulang/Otot-otot )

Ambil lengkuas sekadar dua jari, kemudian diparut, bubuh sedikit air masak kemudian ditapiskan dan ambil airnya. Campurkan air tersebut dengan sebiji telur ayam kampung dan digoncangkan sehingga merata lalu diminum. Minumlah 2 kali seminggu

Kurap

Kurap merupakan sejenis penyakit kulit yang gatal, jika merebak amat merisaukan dan memalukan. Kurap ini boleh diubati dengan mudah dengan menggunakan lengkuas. Caranya, ambil sebuku lengkuas muda bersihkan, kemudian tumbuk halus. Setelah itu campurkan dengan asam jawa gaul hingga sebati. Sapukan campuran tersebut pada kulit yang diserang penyakit kurap. Lakukannya sekali sehari sehingga sembuh.


Panau

Panau adalah penyakit yang berpunca dari cendawan kulit. Penyakit ini menjadikan kulit pucat keputih-putihan dan dalam tempoh yang singkat ia boleh merebak dengan banyaknya dan amat memalukan. Panau juga boleh diubati dengan menggunakan lengkuas. Caranya, ambil lengkuas segar yang agak besar, belah dua daan gosokkannya dengan kuat pada kulit yang diserang panau. Lakukannya setiap hari sehingga panau sembuh.


HALIA

Halia juga merupakan satu lagi rempah ratus yang digunakan secara meluas dalam masakan bukan sahaja oleh masyarakat Melayu tetapi juga oleh masyarakat lain di Malaysia. Pokok halia mudah di dapati kerana ianya mudah tumbuh dan tidak perlu penjagaan yang teliti. Masyarakat Melayu biasanya menanam pokok halia di belakang rumah. Halia , seperti juga tumbuhan rempah yang lain, selain daripada digunakan dalam masakan, masyarakat Malayu biasanya menggunakan Halia sebagai bahan dalam amalan perubatan terdisional. Antara beberapa masalah kesihatan yang boleh diatasi dengan menggunakan Halia adalah:-

Membuang Kahak dan Lendir di Halkum

Kahak dan lendir di halkum membuatkan kita berasa tidak selesa. Untuk mengatasi masalah ini, tumbuk sedikit halia dicampur dengan sedikit gula batu minumlah dengan air panas. Buat berulang kali sehingga lendir dan kahak itu hilang.


Ubat Keputihan

Penyakit ini boleh dirawat dengan menggunakan halia. Ambil dua ruas halia dan dua tangkai daun asam. Tumbukkan kedua-duanya sekali dan campurkan dengan setengah gelas air masak. Setelah itu tapis dan bubuh garam secukupnya. Minum setiap hari. Juka rajin mngamalkannya, penyakit keputihan akan hilang.

Ubat Kembung Perut

Halia juga boleh dijadikan ubat untuk mengatasi masalah kembung perut. Ambil sedikit halia, tumbuk hingga lumat campurkan sedikit air, tapis dan minumlah air tersebut. Masalah kembung perut akan hilang.


Kurangkan Lemak Dalam Badan

Halia merupakan ramuan penting dalam amalan tradisional untuk melangsingkan badan. Untuk mengurangkan lemak dalam badan, ambil tiga potong halia, ditumbuk dengan sedikit jintan manis, jintan putih serta beberapa biji lada hitam sehingga lumat.

Kesemua bahan yang telah ditumbuk ini dimasukkan ke dalam air suam sebanyak 1/2 gelas. Bahan-bahan ini diperah dan ambil airnya dan campurkan dengan segelas air suam lagi. Minum 1/2 gelas pagi dan 1/2 gelas petang. Amalkannya selalu sehingga nampak hasilnya.

Badan Kepenatan dan Rasa Lemah

Selepas berkerja kuat, badan terasa penat terutama sekali pada bahagian sendi tulang dan otot-otot. Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menggunakan halia. Caranya ialah ambil halia sebesar ibu jari, tumbuk halus dan campurkan dengan minyak kelapa sebanyak tiga sudu, kacau hingga rata setelah itu gosoklah pada bahagian sendi dan otot-otot tersebut. Lakukan setiap malam sebelum tidur.


Membersihkan dan Menghancurkan Darah Beku Dalam Badan

Menurut amalan masyarakat Melayu di Sabah, sup Halia yang dicampur dengan ayam kampung muda amat berkesan untuk memulihkan tenaga dan menghancurkan serta membuang darah beku dalam badan terutama bagi ibu-ibu yang baru bersalin. Amalkannya sepanjang tempoh pantang atau sekurang-kurangnya 30 hari.


SERAI

Serai juga termasuk dalam golongan tumbuhan rempah di kalangan masyarakat Melayu ini kerana ia digunakan secara meluas dalam masakan. Serai mudah ditanam dan tumbuh berumpun. Bahagian yang digunakan adalah bahagian pangkalnya. Baunya yang harum menyebabkan sesuatu masakan itu terasa lebih sedap. Dalam masyarakat Melayu, serai juga mempunyai fungsi dalam amalan perubatan tradisional. Antara masalah kesihatan yang boleh disembuhkan dengan menggunakan serai adalah seperti berikut:-

Sesak Nafas

Penyakit sesak nafas boleh menyebabkan pengidapnya menjadi kurus dan kesukaran untuk melakukan kerja-kerja yang berat. Pesakit juga tidak tahan dengan udara sejuk. Untuk melegakan penyakit ini ambil 10 batang serai, gula merah sebesar ibu jari, basuhlah serai itu serta tumbuk sampai lumat, bubuh dalam periuk yang mendandungi air sebanyak 2 gelas, masukkan gula merah, didihkannya sehingga tinggal airnya 1 gelas. Apabila sudah suam, tapis dan mimumlah. Amalkannya 3 kali seminggu dan bila rasa lebih baik buatlah dua kali seminggu dan seterusnya.


Memutihkan gigi

Masalah gigi berkarat sering kali dialami oleh kaum lelaki yang merokok. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan serai. Ambil dua batang serai, basuh dan hiris halus kemudian ditumbuk sehingga lumat. Campurkan serai tersebut dengan sedikit arang dapur dan gosoklah pada gigi yang berkarat.

Melegakan Pening dan Lesu

Masalah pening dan lesu sering dialami oleh ibu-ibu yang hamil muda ( Morning Sickness ). Untuk melegakan masalah ini ambil 1 batang serai, 1 potong kayu manis sepanjang 4 cm, 1 biji cengkih dan gula putih secukupnya. Masukkan semua bahan itu ke dalam gelas, bubuh air mendidih ke dalamnya. Setelah sejuk dingin minumlah sebaik-baiknya sebelum tidur.


KUNYIT ( CURCUMA DOMESTICA )

Kunyit merupakan satu lagi tumbuhan rempah yang digunakan dalam masakan. Isinya berwarna kuning dan bentuknya seakan isi halia tetapi lebih kecil. Daunnya juga banyak digunakan dalam masakan kerana baunya yang boleh membuka selera. Kunyit senang tumbuh di kawasan padang yang agak lembap. Masyarakat Melayu banyak menanam kunyit di belakang rumah ataupun di dalam pasu.

Dalam amalan perubatan tradisional, kunyit merupakan tumbuhan rempah yang paling banyak digunakan. Antara beberapa masalah kesihatan yang boleh diubati dengan menggunakan kunyit ialah :


Ubat Gatal-gatal Kulit

Ambil kunyit dan asahkan dengan memakai minyak kelapa sehingga menjadi pekat, kemudian lumurkan ke bahagian yang terlibat. Atau pun boleh juga gunakan kunyit sebesar jari kelingking bersama dengan dua biji kemiri, panaskan kedua-duanya di atas api, kemudian hiriskan halus-halus dan gosokkannya ke tempat-tempat yang gatal itu ketika ianya masih hangat.

Haid Yang Tidak Teratur

Masalah ini boleh diatasi dengan kunyit bersama ramuan-ramuan lain. Caranya, ambil dua buku kunyit lalu diparut, ketumbar, buah pala, jintan hitam, cengkih, kiambang dan daun seri gading. Kesemuanya ditumbuk sehingga halus lalu direbus sampai mendidih. Setelah dingin tapislah dan diminum, lakukannya 2 atau 3 kali seminggu.

Menghaluskan Kulit

Ambil kunyit dan kupas kulitnya lalu diparut campurkan dengan beras pulut hitam yang telah digoreng tanpa minyak dan telah ditumbuk halus bersama dengan kulit kayu manis. Campurkan ketiga-tiga bahan ini menjadi satu. Apabila nampak hitam, tambahkan kunyit lagi. Simpan di tempat yang tertutup supaya tidak kering.

Menguatkan Tenaga Batin

Ambil satu sudu besar air kunyit, satu sudu besar madu lebah asli, 1/2 sudu air limau nipis dan dua biji telur ayam kampung. Kacaukan telur ayam kampung dan campurkan bahan-bahan tadi kacau sehingga rata minumlah 2 kali seminggu.

Ubat Appendix

Penyakit ini boleh dikesan melalui tanda-tanda seperti pada permulaannya rasa gatal pada kulit perut, kemudian rasa sakit ketika menarik nafas dan tidak dapat membuang air besar dengan selesa kerana rasa sakit tersebut lagi memuncak.. Sakitnya ialah di bahagian bawah pusat di sebelah kanan.

Penyakit ini boleh diubati dengan menggunakan kunyit dan beberapa bahan lain. Caranya, ambil kunyit secukupnya, parut, campurkan dengan sedikit garam, gula merah, air limau nipis dan air panas secukupnya. Setelah dingin airnya diminum, minumlah setiap pagi dan petang sehingga sembuh.

Mengurangkan Panas Dalam Badan

Penyakit panas dalam badan merupakan penyakit yang sukar dikesan. Penyakit ini boleh dikesan pada kanak-kanak bila bibir kanak-kanak pecah-pecah. Untuk mengatasinya, ambil kunyit sebesar ibu jari, diparut halus setelah itu diperah dengan air yang dicampur dengan sedikit air asam jawa. Tapiskannya dan beri minum kepada kanak-kanak tadi.

Tambahkan Darah

Untuk menambahkan darah, ambil kunyit kira-kira 6 buku dan Lempoyang (rujuk lampiran )kira-kira tiga buku. Bersihkan kedua-duanya, ditumbuk atau diparut dan ambil airnya. Tapis campuran air ini minum. Selepas meminumnya telanlah sebiji kuning telur. Amalkannya selama seminggu anda akan dapati muka anda akan merah semula dan lebih bertenaga.


Melangsingkan Badan

Kunyit juga boleh digunakan untuk melangsingkan badan. Caranya, ambil sebuku kunyit hidup, bersihkannya dan tumbuk sehingga halus. Kemudian rendam dengan air panas sebanyak satu gelas. Setelah sejuk, minumlah air tersebut dua kali sehari. Lakukannya sekali seminggu.

Merawat dan Mencantikkan Bibir

Ambil sebuku kunyit hidup, bersihkannya dan ditumbuk halus. Campurkan dengan tiga sudu santan kelapa. Sapukanlah campuran ini ke bibir setiap malam. Ulang beberapa kali sehingga memperolehi hasilnya.


Ubat Kudis

Ambil dua buku kunyit hidup, bersihkannya dan tumbuk sehingga halus kemudian masak dengan setengah cawan minyak kelapa. Setelah sejuk, sapukan kepada kudis dengan menggunakan kapas bersih. Sebelum disapukan, kudis hendaklah dibersihkan terlebih dahulu.


Mulut Berbau

Masalah bau mulut merupakan masalah yang memalukan dan menimbulkan rasa yang tidak selesa. Untuk mengatasinya, minumlah air kunyit pada sebelah malam. Caranya, ambil sebuku kunyit sebesar ibu jari, bersihkan dan tumbuk hingga halus, rendam dengan air sebanyak 1/4 cawan. Setelah itu minumlah airnya.


Muka Berminyak

Sebahagian besar wanita kurang senang jika kulit muka mereka berminyak kerana ia boleh menggalakkan pertumbuhan jerawat. Untuk mengatasinya, ambil kunyit basah yang telah dibersihkan kemudian ditumbuk halus, setelah itu campurkannya dengan sesudu madu lebah dan air limau nipis dari perahan sebiji limau nipis. Gaulkan bahan-bahan tersebut. Setelah itu barulah disapukan pada muka yang telah dibersihkan terlebih dahulu. Biarkan selama 15 minit, setelah kering bolehlah dicuci dengan air suam. Ulanglah beberapa kali sehingga muka tidak akan berminyak lagi.

PENUTUP

Daripada apa yang telah dikemukakan dalam kertas projek ini, jelas sekali tumbuhan rempah mempunyai khasiat yang tidak ternilai. Wajarlah kita memelihara dan mempelajari khazanah ini dengan lebih mendalam untuk menjamin apa yang kita nikmati hari ini akan juga dinikmati oleh anak cucu kita di masa akan datang.

Untuk mendapat kesan yang lebih baik, saya mengharapkan kaedah pengubatan yang dicadangkan dalam kertas projek ini hendaklah diikuti di samping selalu berdoa kepada Allah agar disembuhkan segera. Sekiranya ada masalah hendaklah bertanya kepada orang-orang yang pakar dalam bidang perubatan tradisional.

Akhir sekali, sebelum menggunakan dan mengamalkan ubar-ubatan yang dicadangkan dalam kertas projek ini hendaklah dipastikan jenis penyakit yang hendak diubati adalah bertepatan dengan penyakit yang dinyatakan. Ini adalah untuk mengelakkan kemungkinan mendapat kesan sampingan yang tidak diingini.

RUJUKAN

Muhamad Zakaria & Mustafa bin Ali, 1992. Tumbuhan dan Perubatan Tradisional, Penerbit Fajar Bakti, Petaling Jaya.

Azahari Ibrahim, 1997. Ubat-ubatan Tradisonal Melayu, Doa-doa Penawar Penyakit, Rahsia Kebaikan Surah Al-Fatihah, Darul Nu` Man, Kuala Lumpur.

Mustafa bin Ali, 1994. Tumbuhan Ubatan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Kepong.

Temubual Dengan Bidan Kampong dan Pengusaha Ubatan Tradisional

Tiada ulasan:

Catat Ulasan