Oleh Aminudin Mansor
SECARA umum jiwa yang resah membabitkan kemurungan, susah hati, sepi, gelisah, tidak tenteram, rasa rendah diri, menyepi, menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan orang ramai.
Manusia makhluk yang takut kepada kesepian, tidak dapat berdikari, mengharapkan orang lain untuk menghilangkan kesepiannya, memerlukan kasih sayang dalam hidup dan ingin memberikan cinta kepada orang lain.
Semua ini membabitkan hati dan jiwa. Jika hati dan jiwa tidak tenang dan tenteram seseorang akan menghadapi hidup dengan penuh dukacita.
Mendidik jiwa senang diungkapkan tetapi dari segi realiti bukan perkara mudah dilaksanakan. Kajian berkaitan soal kejiwaan belum mampu menjadikan pengkajinya memiliki ketenangan jiwa atau kerehatan rohaniah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat itu lebih dikasihi Allah daripada mukmin yang lemah.” (Riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah).
Jelaslah, mewujudkan jiwa sihat dan sempurna menepati kehendak dan tuntutan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Seorang pengkaji ilmu jiwa, James F Clark menyatakan, di bawah naungan yang Maha Pelindung, jiwa dapat beristirahat dengan tenang dan tenteram.
Imam al-Ghazali, pernah menyatakan menerusi karyanya Ehya Ulumuddin: “Ketahuilah bahawa badan manusia itu seperti sebuah kota, akal yang dibekalkan Allah itu adalah kekuatan dan sebagai raja yang menguruskan hal ehwal kota. Alat tanggapan terdiri daripada pancaindera zahir dan batin seperti tentera dan pegawainya. Seluruh anggota badan itu seperti rakyatnya. Nafsu serta syahwatnya adalah musuh yang bertarung untuk menguasai kerajaannya dan untuk merosakkan rakyatnya.
“Jadi badan itu seperti kubu serta tempat kawalannya dan dirinya sebagai pangkalan yang mempunyai pengawalnya. Jika ia berjihad menentang musuhnya dan dapat mengalahkan serta menguasainya seperti yang sepatutnya, kesannya adalah kebaikan yang layak menerima pujian. Sekiranya ia kehilangan tempat pertahanannya dan mengabaikan rakyatnya, maka kesannya adalah keburukan padahnya yang layak menerima balasan daripada Allah s.w.t sesuai dengan keburukan yang dilakukannya.”
Oleh itu, manusia dikehendaki berjihad untuk melawan keinginan nafsu. Sementara hidayah Allah hendaklah diterima sebaik-baiknya demi memastikan dirinya mampu memikul tugas dan amanah yang berat sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya di muka bumi ini.
Kerana itulah Allah berfirman maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Bagi memandu manusia ke arah kebaikan dan mencapai tingkat kehidupan aman sejahtera dan harmoni, Allah mengutus rasul dengan membawa mesej yang sama iaitu membawa manusia ke jalan kebenaran.
Kajian pakar psikologi mendapati beberapa tanda kemurungan seseorang antaranya kesedihan atau putus asa, cepat marah, suka bermusuh, sering menangis, menyisihkan diri daripada rakan dan keluarga serta hilang minat dan tumpuan dalam pekerjaan.
Selain itu, terdapat perubahan makan dan tidur, gelisah, fikiran terganggu, rasa diri tidak berguna dan perasaan bersalah, kurang bersemangat dan motivasi, keletihan dan tidak bertenaga, sukar menumpukan perhatian, sering memikirkan mati atau hendak membunuh diri.
Kajian, Carl Jung mendapati sebahagian besar pesakit yang datang menemui doktor jiwa adalah mereka yang menderita sakit kerana kehilangan pegangan agama.
Sementara itu, James Gordon Gilkey menyatakan sekiranya seseorang enggan bersikap wajar sesuai dengan keperibadiannya, ia akan menderita sakit saraf dan sakit jiwa.
Seterusnya, kalangan cerdik pandai menyatakan, untuk mengubati penyakit jiwa, bergaul dengan orang agama, berfikir dan menimbang sebelum mengerjakan sesuatu, menahan syahwat dan kemarahan, memeriksa keadilan diri sendiri, membiasakan bekerja menggunakan fikiran dan sabar menghadapi segala sesuatu adalah penawar utama untuk kesihatan jiwa.
Bagi jiwa yang resah terdapat beberapa penawar antaranya sentiasa beramal kepada Allah dan Rasul-Nya serta selalu membaca al-Quran bagi mencari ketenangan jiwa.
Seterusnya, wajib beriman dengan qada dan qadar Allah, ia merangkumi empat tahap. Pertama, ilmu: Allah mengetahui segala sesuatu. Kedua, catatan: Allah telah mencatat di Luh Mahfuz ketentuan sesuatu. Ketiga, tiada sesuatu apa pun yang berlaku di langit dan di bumi melainkan dengan kamahuan Allah.
Keempat, sentiasa bertawakal dan berzikir serta berserah kepada Allah tanpa bimbang kepada kefakiran kerana rezeki ditetapkan. Seterusnya perlu berwaspada daripada maksiat dan dosa, khususnya yang tersembunyi.
Sesungguhnya, ketakwaan kepada Allah dan menjaga kemurnian akhlak adalah langkah ke arah memantapkan kekuatan jiwa.
Peliharalah hati supaya terus istiqamah. Jika hati baik dan tenang semua anggota tubuh akan melakukan perkara yang baik.
Harian Metro
Posted on 12.2.2009 at 6:43 PM
Khamis, 19 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan