Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
KEMAMAN: Akibat tertekan dengan khabar angin kononnya suami akan berkahwin lagi, seorang wanita sanggup minum cecair pencuci lantai hingga meragut nyawanya, kelmarin.
Suami wanita terbabit yang juga seorang guru, berkata dia tidak mahu menuduh siapa bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu yang menjadi punca tindakan nekad isterinya.
“Saya sangat menyayanginya dan berjanji akan menyelesaikan perselisihan kami, tapi belum sempat berbuat demikian. Kini, dia pergi selama-lamanya meninggalkan saya dan tiga anak yang masih kecil.
“Sebelum kejadian ketika tiba di sekolah, saya sempat menghantar SMS kepadanya untuk menyelesaikan masalah kami,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Lelaki berusia 38 tahun itu berkata, dia percaya tindakan arwah isterinya akibat tidak tahan menanggung bebanan perasaan berikutan krisis rumah tangga yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Dia mendakwa tidak pernah curang atau bermain kayu tiga sejak mendirikan rumah tangga, sembilan tahun lalu.
Namun, kata guru itu, sejak akhir-akhir ini, rumah tangga mereka yang disatukan atas dasar suka sama suka pada 2000 itu goyah hingga tidak bertegur sapa selama beberapa hari.
Dia mengakui arwah isterinya memendam rasa dan kecewa dengannya, tetapi tidak mengetahui apa yang dipendamnya.
“Sepanjang berkahwin, saya tidak pernah curang atau menyintai wanita lain, malah tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga saya curahkan sepenuhnya terhadap dia dan tiga anak,” katanya.
Dia berkata, keluarganya harta yang sangat bernilai.
“Saya pernah tinggal sendirian di tempat kerja, tetapi kasih sayang terhadapnya menggunung tinggi. Saya tidak sanggup menghancurkan hatinya dan tiga anak yang mengharapkan kasih sayang saya sebagai ketua keluarga,” katanya.
Mengimbas kejadian terbabit, guru itu berkata dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada arwah isterinya yang ketika itu dalam kesakitan selepas dipercayai minum cecair berkenaan jam 8.20 pagi.
Dia yang ketika itu di sekolah bergegas pulang dan terkejut mendapati isterinya terbaring di hadapan pintu tandas dalam bilik tidur di tingkat atas.
“Ketika kejadian hanya arwah di rumah, manakala tiga anak berusia lapan, lima dan dua tahun di rumah pengasuh.
“Melihat keadaan isteri terbaring kaku tapi masih bernafas, saya memanggil kakak ipar yang tinggal berhampiran dan segera membawa isteri ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, wanita berusia 35 tahun itu hanya sempat bertahan tujuh jam sebelum menghembuskan nafas terakhir jam 2.50 petang.
Jenazah isterinya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Mentok di sini, jam 11 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat, ketika dihubungi semalam, mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan hasil siasatan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
“Difahamkan, berlaku perselisihan faham antara pasangan terbabit dan mendakwa ia berlarutan hingga mangsa yang tidak tahan menanggung bebanan perasaan tanpa disedari mengambil tindakan itu,” katanya
Harian Metro
Posted on 7.2.2009 at 5:59 PM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan