Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 16 Februari 2009

Keganasan rumah tangga kesan krisis ekonomi (Delima Merkah)


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bimbang kegawatan ekonomi akan turut mempengaruhi keharmonian rumah tangga rakyat negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata walaupun masih tidak ketara kesannya, namun impak kegawatan ekonomi dikhuatiri menyebabkan berlaku peningkatan kes keganasan rumah tangga seperti dilaporkan di negara lain.

“Misalnya dilaporkan keganasan rumah tangga di kalangan rakyat di Britain sudah berganda tahun lalu. Di dalam negara pula, lebih daripada 2,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan tahun lalu.

“Kita sedar masalah kewangan sering menjadi isu ketegangan dalam rumah tangga dan kita perlu berusaha untuk mengelakkannya khasnya dalam suasana ekonomi masa kini.

“Ini ialah antara fokus utama kita tahun ini kerana kita khuatir masalah keganasan rumah tangga akan meningkat disebabkan masalah kewangan yang dilihat semakin meruncing berikutan krisis kewangan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran kementeriannya di sini, semalam.

Dr Ng berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain menyediakan publisiti melalui media mengenai kesedaran perlunya mewujudkan suasana rumah tangga yang harmoni.

Beliau juga menasihati golongan lelaki supaya mengenepikan ego dan segera mendapatkan khidmat kaunseling sekiranya berhadapan dengan masalah rumah tangga.

“Ini amat penting bagi mengelakkan mereka daripada mengganas dan menjadikan ahli keluarga sebagai mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya kini turut mempunyai 50 kaunselor lelaki untuk memberikan khidmat kaunseling. - Bernama


iDAN Menulis:

Ramai kalangan pasangan suami isteri semakin tidak menghormati diri sesama mereka. Apatah lagi jika seorang isteri bergaji besar & tidak mahu bergabung pendapatan dengan suami. Pasangan Islam, isteri terutamanya semakin lupa kenapa suami mengizinkan isteri keluar berkerja. Niat asalnya tentulah membantu keluarga. Telah bertukar arah tujuan; makin berlumba-lumba mengumpul harta hingga rumahtangga, anak-anak terutamanya terabai & purak peranda. Masing-masing dengan lagak, langkah & pendapatan masing-masing; tanpa pun berbincang sewajarnya sesama suami isteri dalam perbelanjaan seharian. Tanpa memikirkan keutamaan untuk anak-anak, rumahtangga & matlamat pencarian bersama.

Sebagai contoh, isteri sering lupa suami mengizinkan berkerja adalah untuk membantu keluarga. Tanggungjawab isteri seharusnya mendahulukan keperluan anak-anak& rumahtangga. Sering kita lihat perbalahan berlaku lantaran isteri lupa akan tanggungjawab terhadap rumahtangga. Lebih mementingkan ibu ayah, adik beradik & kaum keluarganya bukan rumahtangga sendiri.

Sebagai contoh lagi, lantaran bergaji besar sanggup menggunakan nama sendiri membeli kereta mewah tanpa berbincang dengan suami. Bukan untuk kegunaan sendiri tetapi untuk kegunaan ibu ayah atau adik beradik. Akibatnya bebanan hutang menjadi masalah terhadap rumahtangga sendiri. Sering suasana rumahtangga dikejutkan dengan surat tuntutan bayaran yang tertunggak, surat saman, waran tangkap & perbagai gangguan yang tidak seharusnya ujud dalam rumahtangga.

Sebagai contoh lagi, isteri sanggup melancung ke luar negara bersama adik beradik, tinggalkan suami & anak-anak. Suami menjadi orang gaji menjaga anak-anak. Anak-anak sekadar menumpang gembira dari jauh. Isteri megah bercerita pengalaman melancung dengan adik beradik atau orang lain. Seolah-olah gaji berkerja hanya untuk diri sendiri. Bergembira untuk diri sendiri.

Di segi hukum sememanglah tiada fakwa yang jelas tentang pendapatan isteri hak siapa. Tetapi fikirkan secara akal kita yang rasional sebagai hamba Allah SWT yang naif & hina ini. Hidup hanyalah sementara. Apalah yang lebih penting dari kita mengejar dunia semata, mengumpul harta semata. Bermewah dengan rezeki yang ada. Rezeki tersebut sebenarnya adalah ujian kekayaan Ilahi terhadap isteri. Di mana pun... di jalan mana pun ianya dibelanjakan harta tersebut pasti akan dipersoalkan nanti. Apakah untuk kepuasan diri sendiri atau digunakan buat mencari pahala buat hari kemudian. Apakah amalan, sedekah atau apa jua perbuatan isteri akan mendatangkan kebajikan atau amalan mulia; berkat & pahala jika tanpa izin pun restu suami.

Tidak salah jika isteri ingin membantu ibu ayah, adik beradik tetapi semua bantuan mestilah meminta izin suami. Jika tidak takutnya nanti pertolongan itu jadi sia-sia & boleh bertukar manjadi perbalahan. Perlu diingat terkadang suami & anak-anak lebih perlukan bantuan.

Suami atau anak lelaki yang seharusnya membantu ibu & ayah masing-masing bukan anak perempuan yang telah bergelar isteri. Itu amat jelas di dalam Islam maka itu timbulnya kenapa anak lelaki mendapat bahagian yang lebih dalam hukum faraidh. Lantaran anak lelaki punya tanggungjawab yang lebih besar berbanding anak perempuan. Jika isteri langsung tidak menghormati suami dalam berbelanja apakah maknanya kerukunan rumahtangga. Jika isteri telah berani berbelanja ikut suka hatinya, apa maknanya harta sepencarian bersama.

Pun begitu juga contoh sebaliknya; ramai kaum lelaki telah pandai mengikis duit isteri. Sering membeli belah dengan jenama mewah. Isteri terpaksa mengorbankan pendapatan yang ada demi kasih, sayang & cinta kepada suami. Isteri sanggup berkorban apa sahaja. Bila telah pandai bergaya, sang isteri pula dilupakan sanggup pasang cawangan lantaran konon hak suami itu ada; boleh bernikah lebih dari seorang.

Islam itu cantik; maka itu jika berlakunya perceraian harta sepencarian perlulah dibahagi dua. Hendak dibahagi dua bagaimana; jika sang suami perabis pendapatannya untuk membangunkan rumahtangga. Sampai papa kedana. Isteri pula mengumpul harta keliling pinggang dengan wang simpanan beratus ribu RM. Sewajarnya jika mahukan rumahtangga bahagia, rukun & sepakat, wang simpanan seharusnya dikongsi bersama. Tanpa izin suami masakan rezeki dapat diperolehi oleh sang isteri. Apa hukumnya jika harta sepencarian habis dikebas oleh keluarga sebelah isteri semata. Dalam berbelanja isteri langsung tidak meminta izin suami ketika membantu ibu ayah & adik beradiknya. Isteri & keluarganya lagak orang kaya. Suami seadanya.

Memang kerap terjadi perbalahan dalam rumahtangga bilamana kita salah dalam menggunakan kesempatan isteri keluar rumah berkerja. Dalam segi mengumpul harta satu cabang masalah; belum lagi ada kalangan isteri berlaku curang di luar rumah. Kebenaran suami mengizinkan keluar rumah telah disalah guna. Merasakan diri telah boleh hidup sendiri & berdikari tanpa sedar sesungguhnya rezeki yang Ilahi turunkan adalah atas restu suami.

Pernah juga terjadi sebaliknya; sang suami membolot semua yang ada, sampai isteri terdera & tak punya apa. Apakah ini dinamakan keluarga bahagia?.

Adilkah jika berlaku perceraian suami tinggal sehelai sepinggang & isteri menjadi janda kaya; sedangkan mereka duduk sebumbung sepanjang hayat berumah tangga. Sebelah pihak sahaja yang merasa kemewahan.

Begitu juga rumahtangga tidak akan bahagia jika suami menggabaikan tanggungjawab keluarga. Perlu diingat dalam menentukan kerukunanan rumahtanga seorang lelaki perlu juga menjaga kehidupan ibu & ayah mereka. Agar sentiasa dalam sempurna seorang anak lelaki yang bergelar suami juga dituntut memelihara kerukunan ini. Tidak ada gunanya jika rumahtangga kayaraya. Hidup dalam kelompok hartawan tetapi ibu ayah melarat di kampung halaman. Islam jelas dalam masalah membantu keluarga. Yang dituntut membantu ibu & ayah adalah anak lelaki. Isteri terputus tanggungjawabnya dalam memberi bantuan atau sara hidup terhadap ibu & ayah bilamana telah diijab kabul. Berbanding anak lelaki yang perlu menjaga kesempurnaan kehidupan ibu & ayah biarpun telah bergelar suami.

Lainlah ceritanya jika ibu ayah memang orang berada. Atau pun keluarga yang hanya ada anak perempuan belaka; Begitu juga lain ceritanya jika suami memang seorang hartawan & tidak pernah pun memerlukan bantuan isteri dalam sara hidup; seharian berbelanja.

Cumanya jika memang suami seorang hartawan kenapa perlunya isteri mencari rezeki lagi. Kenapa tidak menumpukan perhatian terhadap rumahtangga. Menghidangkan segelas air kosong buat suami pun amat besar akan pahalanya. Kenapa mesti keluar rumah yang belum tentu sang isteri akan terselamat dari godaan luar & bala bencana yang bakal berbuah dosa.

Peranan Wanita di rumah sebenarnya lebih mudah melorongkan dia masuk ke syurga. Jika keluar rumah dengan niat tidak selari dengan keperluan rumahtangga tentulah akan mendatangkan musibah yang amat membahaya.

Sekadar renungan buat insan yang bergelar wanita. Ketahuilah betapa istimewanya menjadi wanita. Betapa bertuahnya menjadi wanita. Bersyukurlah kerana menjadi wanita. Bacalah risalah ini dengan niat untuk diamalkan dan sampaikan kepada mereka yang lain. Insya Allah.

Istimewanya Wanita

1. Doa wanita lebih maqbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulallah s.a.w. akan hal tersebut, jawab baginda : “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 orang lelaki yang tidak soleh.

3. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

4. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

5. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t. akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

6. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedakah.Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyukakan anak perempuan seolah- olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail a.s.

7. Tidaklah seorang wanita yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarat (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidhnya membaca “Alhamdulillahi’alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa.” ; maka Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui shiratul mustaqim yang aman dari seksa, bahkan AllahTa’ala mengangkatnya ke atas darjat, seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidhnya.

8. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku(Rasulullah s.a.w.) di dalam syurga.

9. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ehsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa taqwa serta bertanggung jawab, maka baginya adala syurga.

10. Daripada Aisyah r.ha. “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”

11. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

12. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

13. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan meredhainya. (serta menjaga sembahyang dan puasanya)

15. Aisyah r.ha. berkata “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w. siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita ?” Jawab baginda, “Suaminya” “Siapa pula berhak terhadap lelaki ?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Ibunya”.

16. Seorang wanita yang apabila mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan (Ramadhan), memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka pasti akan masuk syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.

17. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya(10,000 tahun).

18. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

19. Dua rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

20. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

21. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

22. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

23. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

24. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

25. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

26. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yangdiberikannya.

27. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), makamalaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

28. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

29. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

30. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

31. Apabila seorang wanita mencucikan pakaian suaminya, maka Allah mencatatkan baginya seribu kebaikan, dan mengampuni dua ribu kesalahannya, bahkan segala sesuatu yang disinari sang suria akan meminta keampunan baginya, dan Allah mengangkatkannya seribu darjat untuknya.

32. Seorang wanita yang solehah lebih baik daripada seribu orang lelaki yang tidak soleh, dan seorang wanita yang melayani suaminya selama seminggu, maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibukakan baginya lapan pintu syurga, yang dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa dihisab.

33. Mana-mana wanita yang menunggu suaminya hingga pulanglah ia, disapukan mukanya, dihamparkan duduknya atau menyediakan makan minumnya atau merenung ia pada suaminya atau memegang tangannya, memperelokkan hidangan padanya, memelihara anaknya atau memanfaatkan hartanya pada suaminya kerana mencari keredhaan Allah, maka disunatkan baginya akan tiap-tiap kalimah ucapannya, tiap-tiap langkahnya dan setiap renungannya pada suaminya sebagaimana memerdekakan seorang hamba. Pada hari Qiamat kelak, Allah kurniakan Nur hingga tercengang wanita mukmin semuanya atas kurniaan rahmat itu. Tiada seorang pun yang sampai ke mertabat itu melainkan Nabi-nabi.

34. Tidakkan putus ganjaran dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya.

35. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suaminya melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

36. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

37. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan medapat pahala jihad.

38. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.

39. Dari Hazrat Muaz : Mana-mana wanita yang berdiri atas dua kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

40. Thabit Al Banani berkata : Seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya sangat baik khidmatnya kepada suaminya. Apabila ia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegangnya pelita sehingga suaminya selesai makan. Pada suatu malam pelitanya kehabisan sumbu, maka diambilnya rambutnya dijadikan sumbu pelita. Pada keesokkannya matanyayang buta telah celik. Allah kurniakan keramat (kemuliaan pada perempuan itu kerana memuliakan dan menghormati suaminya).

41. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis itu. Baginda lalu bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat ?” Jawab mereka,”Tidak”Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekelian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat-ibadat orang lelaki.

42. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

43. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

44. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di Baitullah.

45. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan mebinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

46. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utus benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

47. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

48. “Wakai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatatkan baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

49. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya,menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

50. Sabda Nabi s.a.w. : “Ya Fatimah barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman- taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shirat.”

51. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

52. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 maalaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

53. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.

54. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

55. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

56. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggirangkan engkau, jika engkau memerintah ditaatinya perintah engkau (taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya.

57. Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan