Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Selasa, 24 Februari 2009

MENGINSAFI KEBOBROKAN DALAM 'SLUMDOG MILLIONAIRE' (Hiburan)


Sunday, February 15, 2009

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itulah intipati dalam filem Slumdog Millionaire. Berlatarbelakang kota metropolitan dan kebobrokan kota Mumbai dengan kepadatan penduduknya berjumlah 15 juta, filem ini bertolak seperti gerabak keretapi dari stesen ke stesen. Menyingkap pengalaman hidup Jamal Malik yang memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan dalam rancangan kuiz yang disertainya.

Slumdog Millionaire mengingatkan saya kepada sikap dan sifat serta persepsi manusia yang sering berprasangka: misalnya jika seorang yang biasa-biasa sahaja memakai berlian atau permata dia akan dianggap memakai barang tiruan atau palsu tetapi jika seorang bangsawan memakai permata hatta palsu sekalipun dia dianggap memakai permata yang asli! Itulah premis dalam filem Slumdog Millionaire, watak utamanya – Jamal Malik seorang pembantu di pusat panggilan dianggap menipu kerana berjaya sampai ke tahap 10 juta rupee dalam rancangan kuiz ‘Who Wants To Be Millionaire’ kerana seperti kata polis yang menyoalsiasatnya, doktor, peguam, graduan universiti tidak mampu melepasi pusingan 60,000 rupee. Tentu ada yang tidak kena dengan Jamal Malik – dia anak jalanan yang memanfaatkan pengalaman hidupnya untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam kuiz tersebut.

Filem ini yang celaru identitinya ‘truth always hurt’ ialah ianya filem India atau Inggeris? Gambaran kebobrokan kota Mumbai memang menyakitkan masyarakat ‘atasan’ India tetapi itulah realitinya, tiada apa yang diubah oleh pengarah Danny Boyle, dia menjadi perakam yang setia dengan kerja kamera yang teliti Anthony Dod Mantle. Sampah sarap, keganasan kaum, keretapi, anak-anak jalanan, manusia opportunis seperti Maman, kesesakan kotanya – hampir kesemuanya menjadi ketidakpuasan hati mereka. Dan anehnya apabila filem ini memenangi pelbagai anugerah, label filem India pula jadi rebutan!

Kobobrokan masyarakat Timur sering menjadi momokan Barat, jika ini yang digambarkan sejujur-jujurnya potensi merangkul anugerah memang cerah. Telah banyak contoh berhubung hal ini. Lihat sahaja filem ‘Saalam Bombay !’ (1988) buah tangan Mira Nair yang menyelusuri kota Bombay (Mumbai) sama seperti ‘Slumdog Millionaire’ mendapat pencalonan Anugerah Academy dan juga memenangi pelbagai anugerah luar dan dalam negara. Filem China ‘Beijing Bicycle’ (2001), Not One Less (1999), Ju Dou (1990) sekadar contoh.

Kisah cinta Jamal Malik dan gadis yang amat dicintainya – Latika hanyalah plot sampingan dalam kecelaruan hidup yang dilalui oleh Jamal, abangnya Saleem dan Lathika yang membuat Jamal tersenyum apabila soalan terakhir bernilai 20 juta rupees berkisar mengenai ‘Three Musketeers’ yang pernah diimpikannya.

Slumdog Millionaire menerima 10 pencalonan Anugerah Akademi selain 31 pencalonan dalam pelbagai anugerah filem disamping telahpun melakar 58 kemenangan setakat ini. Filem ini yang diadaptasi secara bebas dari novel penulis India, Vikas Swarup - 'Q & A', mampu membuat kejutan dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Anugerah Akademi , 22 Februari 2009, nanti.

Walauapapun filem ‘Slumdog Millionaire’ sebuah contoh filem berbajet rendah yang menyenangkan. Tiada apa yang hendak diselindung dalam filem ini, dan seperti tuah Jamal Malik menjadi jutawan segera selepas memenangi rancangan kuiz, Dev Patel patut bersyukur kerana terpilih membintangi filem ini dan bakal melakar sejarahnya sendiri. Tuah manusia tiada siapa yang tahu!

Bintang Slumdog tidak hadir Oscar

DUA pelakon kanak-kanak India yang membintangi filem Slumdog Millionaire, Rubina Ali dan Azharuddin Ismail tidak akan hadir pada majlis anugerah Academy ke-89, 22 Februari ini.

Pada majlis anugerah filem yang menawarkan trofi Oscar itu, Slumdog Millionaire meraih 10 pencalonan Oscar.

Penerbit filem tersebut bagaimanapun mengumumkan tidak akan membawa pelakon kanak-kanak yang kedua-duanya berusia lapan tahun itu ke majlis Oskar.

Sebenarnya Rubina dan Azharuddin dijadualkan menghadiri majlis anugerah itu, tetapi ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu enggan membenarkan mereka diterbangkan ke sana.

"Apa yang ibu bapa Rubina dan Azharuddin pentingkan adalah lebih baik bayaran untuk harga tiket kapal terbang ke Oscar diberikan kepada mereka," ujar penerbit filem itu, Christian Colson.

Rubina dan Azharuddin yang tinggal bersama keluarga mereka di kawasan setinggan di Mumbai, India masing-masing dibayar sebanyak AS$725 (RM2,538) dan RM8,628 hasil lakonan mereka sebagai Latika dan Salim ketika kecil.

Watak-watak utama Slumdog Millionaire itu masing-masing dilakonkan oleh Dev Patel dan Freida Pinto.

Oscar julang maruah India

Oleh MOHD. YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my

Keupayaan filem Slumdog Millionaire menggondol lapan Anugerah Oscar berjaya meruntuhkan benteng Hollywood terhadap Bollywood selama ini.


BARANGKALI individu yang paling terkilan saat ini ialah Shah Rukh Khan. Ia berikutan kejayaan filem Slumdog Millionaire meraih majoriti kemenangan dengan menggondol lapan Oscar pada majlis Anugerah Academy ke-81, yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles kelmarin.

Aktor terkenal Bollywood itu sepatutnya melakonkan watak Prem Kumar, hos program Who Wants To Be a Millionaire? dalam Slumdog Millionaire tetapi dia nekad menolak tawaran berlakon filem itu kerana merasakan watak itu sebagai negatif.

Begitu juga dengan aktor veteran tersohor Bollywood, Amitabh Bachchan. Mungkin dia perlu menarik semula kenyataannya yang sebelum ini menyelar pengarah filem itu, Danny Boyle atas dakwaan menggambarkan India sebagai negara yang masih dibelenggu masalah kemiskinan.

Ini kerana mimpi dalam filem yang dikritiknya itu sudah menjadi kenyataan!

"Hidup India! Hidup India!" Itulah antara butir kata-kata yang sempat dilontarkan Anil Kapoor yang merupakan seorang aktor terkenal Bollywood ketika ditemu bual hos terkenal, Ryan Seacrest untuk saluran E! Entertainment pada acara karpet merah majlis Oscar yang penuh gemilang dibanjiri nama-nama tersohor

Hollywood daripada Angelina Jolie hingga bintang remaja terkenal masa kini, Miley Cyrus.

Selain pelakon kanak-kanak Slumdog Millionaire terutama Rubina Ali dan Azharuddin Mohammed Ismail yang berjaya menarik perhatian ramai pada acara karpet merah Oscar kali ini, turut merasai bahang glamor bertaraf global itu sudah tentulah Anil.

Lebih bermakna lagi apabila Anil berpeluang melaungkan kata-kata penuh patriotik itu yang disaksikan secara langsung di seluruh dunia. Ini bermakna Anil sepertimana apa dan siapa juga yang berkaitan dengan Slumdog Millionaire kini secara rasminya sudah dikenali dunia!

Terima kasih kepada Shah Rukh kerana menolak watak Prem Kumar yang kemudian disambar Anil.

Bilakah lagi muncul peluang buat aktor Bollywood untuk muncul gah seumpama Anil pada Oscar di Hollywood?

Mungkin itu satu-satunya peluang keemasan dan peluang itu berjaya diperoleh Anil yang disebut oleh Ryan Seacrest dengan jolokan 'George Clooney Bollywood'.

Apa yang penting, kejayaan Slumdog Millionaire pada Oscar kali ini telah merasmikan runtuhnya benteng Hollywood terhadap Bollywood selama ini.

Bollywood yang sebelum ini sukar untuk diterima di Hollywood kini bukan sahaja berpeluang memasuki pintu Hollywood yang sudah terbuka luas, tetapi lebih bermakna apabila diberi masuk dengan penuh penghormatan.

Semuanya gara-gara kemenangan besar Slumdog Millionaire menjadi filem paling banyak menggondol Oscar pada majlis Anugerah Academy kali ini.

TERIMA KASIH Shah Rukh Khan. Anil Kapoor bersama Danny Boyle meraikan kejayaan gemilang Slumdog Millionaire.

Keupayaan Slumdog Millionaire merangkul lapan anugerah daripada 10 pencalonan yang diraihnya termasuk Anugerah Filem Terbaik bukan sekadar menjadi kemenangan buat penerbit filem itu, Fox Searchlight dan juga Boyle yang turut menang Anugerah Pengarah Terbaik.

Ini kerana naskhah filem itu tidak akan lahir tanpa suntikan kreativiti anak-anak kelahiran India yang turut meraih pengiktirafan pada Oscar.

Melakar sejarah India di Hollywood dengan meraih Oscar kali ini ialah pemuzik unggul India, A.R. Rahman yang bukan sahaja menjadi warga India pertama meraih dua Oscar tetapi menyapu bersih kategori muzik yang dipertandingkan dalam Anugerah Academy.

Dia diumumkan sebagai pemenang Anugerah Skor Muzik Terbaik dan Lagu Terbaik.

Dalam sejarah 81 tahun Oscar, hanya dua warga India merangkul anugerah iaitu Bhanu Athaiya yang memenangi Anugerah Kostum Terbaik menerusi filem Gandhi (1982) dan anugerah kehormat yang diberikan kepada penerbit filem legenda India, Satyajit Ray pada 1991.

Rahman, 43, yang pernah diberi jolokan 'Mozart Madras' ketika membuat ucapan kemenangannya di pentas Academy ke-81 berkata: "Saya berasa terkejut dan seronok dalam masa yang sama. Kali terakhir saya berasa seperti ini adalah ketika majlis perkahwinan saya."

Menurutnya lagi, Slumdog Millionaire adalah filem mengenai optimistik dan kuasa harapan. "Dalam seluruh kehidupan saya, saya telah membuat pilihan antara benci dan cinta. Saya telah memilih cinta dan (sebab itu) saya di sini (Oscar 2009)," ucapnya penuh bermakna.

Kemenangan Rahman itu sebenarnya sudah diramalkan sejak awal oleh keluarganya di India. "Keluarga saya begitu gembira kerana mereka dari awal lagi menjangkakan Rahman akan menang lebih daripada satu Oscar.

"Justeru, ia (kemenangan dua Oscar) merupakan kegembiraan berganda. Terima kasih kepada semua yang berdoa untuknya di India," ujar adik perempuan Rahman, Fatimah Rafiq.

Namun, Rahman bukan satu-satunya rakyat India yang menang Oscar kali ini apabila Resul Pookutty turut diumumkan sebagai pemenang Anugerah Adunan Bunyi Terbaik.

"(Kemenangan) ini sesuatu yang sukar untuk dipercayai. Kami semua tidak sangka sama sekali.

"Terima kasih Academy, ini bukan sekadar anugerah untuk adunan bunyi filem. Ini adalah suatu sejarah yang diberikan kepada saya," ujar Resul.

Penduduk bantah Slumdog Millionaire

Dakwa tajuk filem dicalon untuk anugerah Oscar hina kehidupan setinggan daif Mumbai

MUMBAI: Berpuluh-puluh penghuni kawasan setinggan di bandar raya ini, lokasi sebahagian filem Slumdog Millionaire dirakamkan, mengadakan tunjuk perasaan membantah filem yang dicalonkan pada anugerah Oscar itu, memaki hamun dan membaling gambar pelakon dan krewnya dengan selipar.

Kejayaan filem itu pada peringkat antarabangsa dicemari bantahan di India berhubung tajuknya, yang dianggap sebahagian pen-duduk sebagai penghinaan, paparan mengenai kehidupan rakyat miskin negara itu dan layanan kepada pelakon.

Pengarahnya, Danny Boyle, berdepan tuduhan media India bahawa filemnya adalah "kelucahan kemiskinan". Boyle berkata, beliau cuba memaparkan suasana keinginan untuk hidup di Mumbai. Filem berkenaan memperoleh beberapa anugerah antarabangsa dan dicalonkan untuk 10 kategori dalam Oscar, ditayangkan di India bulan lalu.

"Mereka memperolok-olokkan kita, melukakan sentimen kita," kata pemimpin protes, N R Paul, yang penduduk di Dharavi, setinggan terbesar Asia.

Penunjuk perasaan, yang dipaksa polis berkumpul beberapa ratus meter dari Dharavi, melaungkan "Jatuh, jatuh Danny Boyle" dan "Jatuh, jatuh Lembaga Penapisan".

"Penduduk setinggan adalah manusia, bukan anjing," menurut satu poster.

Penunjuk perasaan juga menampar gambar Boyle dan pelakon filem itu dengan selipar, berkata paparan mengenai kemiskinan merendahkan maruah berjuta penghuni setinggan.

Aktivis sosial, Nicholas Almeida, yang memfailkan aduan di mahkamah terhadap tajuk filem itu, berkata pengarah juga bertanggungjawab terhadap setinggan yang menjadi lokasi rakaman.

"Mereka membuat jutaan dolar, mengapa tidak berikan sedikit kepada kami untuk memperbaiki hidup," katanya. - Reuters

Berita Harian, Dunia, 4 Februari 2009

Posted on 24.2.2009 at 7:24 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan