Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my
SEMALAM merupakan hari yang paling signifikan untuk mengenang penghibur kesayangan ramai, Sudirman Haji Arshad.
Ini kerana semalam genap 17 tahun penyanyi itu dijemput menghadap Yang Maha Esa.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 37 tahun pada 22 Februari 1992.
Lalu hari ini peluang diambil biarpun terlewat sehari untuk mengajak seluruh pembaca mengenang Allahyarham.
Menghasilkan artikel yang berbentuk tribute buat seorang seniman besar seperti Sudirman bukan satu perkara yang mudah.
Apa lagi Allahyarham merupakan seorang penggiat seni yang ketika hayatnya sangat disenangi, dikagumi dan dihormati oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.
Maka, penghasilan artikel yang sedemikian perlulah tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak - terutama keluarga Allahyarham.
Setiap kali menjelang ulang tahun kematian penghibur rakyat ini, kita akan terus mendengar cerita-cerita Sudirman pelbagai versi.
Sepanjang bergelar anak seni, Sudirman berhibur untuk semua orang sehingga kita ada kalanya terlupa bahawa seniman seperti beliau juga sering diuji dengan beban hidup.
Rakan-rakan serta mereka yang pernah menjadi sahabat karib Sudirman barangkali sudah arif benar dengan perjuangan dan pengorbanan seninya.
Kalau di pentas dahulu, acap kali yang dialunkan Sudirman di pentas-pentas dengan kilauan neon, semuanya adalah gambaran hidup beliau yang panjang.
Gambaran hidup yang penuh calar luka seorang manusia seni yang sensitif dan perasa.
Sebetulnya, ketika di hadapan khalayak, hanya beliau sahaja yang tahu betapa saratnya beban yang ditanggung.
Ironinya, tidak ramai yang mampu mengerti bahawa betapa sekalipun berat beban kehidupan seorang seniman itu, beliau terpaksa tampil dengan seribu kegembiraan dan keperkasaan demi khalayaknya.
Masih lagi teringat kata-kata beliau mengenai kehidupannya seperti yang dilaporkan dalam sebuah majalah hiburan.
Menurut Sudirman, yang paling memilukan dalam hidupnya ialah apabila tidak sempat menikmati kasih sayang ibu dan perkahwinan yang gagal.
Saya tidak pernah berjumpa Sudirman. Semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, saya masih di sekolah menengah.
Hanya melalui rakan-rakan, ahli keluarganya serta menerusi pembacaan sahaja, personaliti Sudirman saya kenali.
Yang jelas, Sudirman yang satu Malaysia kenali ialah beliau seorang penyanyi bijak dan berilmu.
Aliran pemikiran Sudirman menjangkau apa yang sebahagian besar masyarakat fikirkan di ambang kemasyhuran beliau menerusi lagu-lagu rakyat.
Karya-karya seni perjuangan Sudirman telah mengajar kita banyak ilmu kehidupan.
Seniman bertubuh kecil tetapi berjiwa besar itu telah banyak berjasa kepada kita menerusi nota-nota seninya.
Jiwa dan aspirasi Sudirman pada orang kampung misalnya diterjemahkan ke dalam lirik lagu Apa Khabar Orang Kampung.
Mereka yang pernah menjadi penganggur pula sudah tentu berterima kasih kepada Sudirman kerana memberikan motivasi yang bukan sedikit untuk bangkit daripada kedukaan menerusi lagu Aku Penganggur.
Itu belum lagi mengambil kira sejumlah besar teruna dan dara yang pernah menjadikan lagu-lagu cinta dendangan Allahyarham sebagai rakaman kepada musim-musim indah dan duka percintaan mereka.
Sebahagian besar lagu nyanyian Sudirman dianggap banyak pihak sebagai manifestasi sosial pada zamannya.
Sudirman sudah lama menyusur dalam kemelut masyarakat.
Andai ada yang mahu membuat perbandingan cerita-cerita kejayaan artis-artis popular masa kini dengan era kegemilangan Sudirman, yang boleh dirumuskan ialah, Allahyarham jauh lebih beruntung ketika hayatnya.
Siapa yang pernah mengadakan konsert solo yang ditonton oleh lebih 100,000 orang di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur kalau bukan Sudirman?
Sudirman juga terlebih dahulu menjejakkan kaki di Royal Albert Hall, London memahat nama Malaysia.
Di dewan itulah dia diangkat sebagai Penghibur Nombor Satu Asia.
Rasa kasih dan cinta Sudirman pada negara tidak pernah kurang walau seinci.
Apa yang jauh lebih penting daripada itu juga, Sudirman bukanlah seorang seniman yang meninggalkan kekayaan yang melimpah ruah.
Namun, itu bukan alasan kenapa beliau wajar diperkecilkan kerana tinggalan harta atau kekayaan bukanlah simbol kepada kejayaan seseorang artis.
Yang paling utama, menghargai Sudirman menerusi pemikirannya dan kebijaksanaannya adalah sebaik-baiknya.
Jadi, perlukah Sudirman dihargai dengan panggilan atau gelaran tertinggi?
Semua itu, terpulang pada pemahaman kita kerana kalau pemberian gelaran atau pingat kebesaran hanya sekadar panggilan semata-mata tanpa kita menghargai nilai-nilai murni dalam karya seni tinggalan Allahyarham, apa pula maknanya penghargaan itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan