Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 20 September 2008

Padah ingkar nasihat ayah (Ceritera)

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: “Pada mulanya saya sangka mercun bola itu tak menyala, tapi sebaik menoleh ke depan, ia tiba-tiba meletup dan menyembur seperti bunga api menyebabkan serpihannya terkena muka saya.

“Ketika itu pandangan saya tiba-tiba kabur dan segera berlari mendapatkan ibu dalam keadaan sakit.”

Demikian kata Muhd Nur Amzar Nordin, 11, yang melecur 40 peratus di muka akibat terkena mercun bola ketika bermain bersama sepupunya di depan rumahnya di Lebuhraya Darulaman, berhampiran Istana Anak Bukit di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Muhd Nur Amzar, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Alor Merah di sini, dipercayai membahagikan mercun bola itu kepada dua bahagian sebelum menyalakan sumbu pada satu bahagian.

Katanya, dia langsung tidak menyangka mercun bola itu masih berfungsi walaupun ia kelihatan seperti api terpadam pada sumbu berkenaan.

“Saya menyesal bermain mercun kerana sebelum ini bapa pernah larang saya membeli atau bermain mercun, tapi tetap mahu bermain kerana raya hanya setahun sekali.

“Kini, saya terpaksa beraya dalam keadaan muka melecur,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Bapa mangsa, Nordin Hamid, 48, berkata ketika kejadian dia keluar bekerja dan terkejut apabila dimaklumkan isterinya, Noraini Md Jam, 40-an dan bergegas pulang.

Nordin yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia menghantar anak bongsu daripada tiga beradik itu ke HSB selepas mendapati muka anaknya melecur teruk kira-kira jam 10 malam.

“Saya sudah banyak kali berpesan padanya agar tidak bermain mercun dan tak tahu bila dia membelinya. Doktor memaklumkan keadaan anak saya stabil dan lecur pada mukanya akan pulih tidak lama lagi,” katanya.

Muhd Nur Amzar mangsa mercun kedua di negeri ini selepas seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Hassan Itam, Tokai, Pendang, hancur empat jari akibat terkena mercun bola yang dimasukkan ke dalam plastik ketika membalingnya ke sawah, awal bulan ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut melawat mangsa semalam dan menyerahkan sumbangan kuih serta duit raya sempena Aidilfitri.

Mahdzir berkata, beliau turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 600 pesakit dan ia amalan yang dilakukan setiap tahun untuk meringankan penderitaan yang dihadapi pesakit.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan