Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 3 September 2008

35 Tahun Tidak diJejak 5 (Singgahsana)

Rempiang basah disimbah dingin hujan, kodok menguap dari celahan pelepah bemban. Aku & Abg Jelani mencari lorong menoreh Abg Tan. Melalui tebing Sungai Keruh semak samun makin meninggi. Musim hujan di Desa Tualang membuatkan air melimpah di mana-mana. Berkali-kali kami patah ke belakang; silap lorong & terhalang oleh duri banung, resam & rumput rampai.

“Jangan sampai kita sesat lagi...” Sungut Abg Jelani sambil aku lihat dia kumat-kamit membaca jampi serapah. “Ini dia iDAN lorong yang anak Abg Tan tu terpaksa merangkak... jumpa pun lorongnya!”

Aku mengempiskan perut boroiku & merangkak di celahan pokok yang dahannya menjulur ke bumi. Macam komando mengendap mangsa pula. Sambil itu aku lihat Abg Jelani terusan menebas pokok renek & semak samun.

“Betul iDAN... ini tanahnya, jika tak silap ini tanah arwah si Tan Kidal” Aku terbayang wajah arwah Tan Kidal, dengan kacamata tebalnya. Ada dua anak sungai mengalir tenang. Sesekali aku nampak kocak haruan terkejut dengan kedatangan kami. Kasihan ia baru ingin menyambar kodok menguap yang leka di pohon bemban. “Kita kena buat titian iDAN”

“Kita randuk saja air sungai ni ... tak boleh Abg Jelani” Aku lihat airnya macam tak dalam & tak luas mana.

“Dalam anak sungai ini, mahu takad pinggang! basah kita nanti” Abg Jelani terus menebas batang bemban sana sini.

“Banyak ikan kat sini… Abg Jelani macam riak ikan haruan... !”

“Memang banyak ikan sejak dulu, ikan terboi, lampam, haruan... memang besar-besar!”

Tangkas Abg Jelani menebang pokok kelempung hutan sebesar betis. Tak padan dengan usianya. Bertenaga betul. Kemudian kami mengangkat bersama batang yang telah dikerat dua meletak celahan pokok di seberang anak sungai. Dua batang. Wah! cantik.

“Kita kena buat batang untuk berpegang” Aku lihat Abg Jelani menebang sepohon Geryong.

“Buah Geroyong ini burung Punai suka makan…”

“Tahu… iDAN nama pokok ini iyer!”

“Alaa!.. Abg Jelani saya ini orang kampung, dibesarkan di kampung” Orang kampungku kalau sebut periuk jadi peroyok. Perdu jadi perodu. Jadi Geryong jadi Geroyong.

“iDAN tenguk tu besarnya pokok Pulai, kalau tak silap tanah tu kepunyaan Wan Meah..” Memang besar pokoknya mahu dua pemeluk. Sudah boleh dipanggil balak.

“Wan Meah isteri arwah Pak Soli ke?”

“Betullah tu…”

“Bukan ini rezab sungai ke?!…”

“Patutnya macam tu…”

Abg Jelani telah ada di seberang sungai, selang beberapa meter ada sebatang anak sungai lagi. Aku lihat di menebang pokok halban pula. Pelik juga aku kenapa Abg Tan tak buat titian.

“Biasalah iDAN takut orang curi getah, getah kan ke mahal sekarang ni!, sebab itu sengaja Abg Tan buat lorong rahsia..” Benar juga telahan Abg Jelani.

“Jauh lagi ke Tanah Paya Asap…?”

“Seberang paya ini saja iDAN..”

Aku mula nampak banyak pokok Simpoh Air. Bunga rona kuningnya menarik minatku. Aku mula jatuh cinta dengan si Simpoh Air.


- Bersambung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan