Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my
PASIR PUTEH: “Saya menyesal tidak membawanya bersama walaupun arwah beria-ia mahu mengikut saya membayar zakat fitrah.
“Jika saya membawanya bersama, mungkin kejadian ini tidak berlaku,” kata Daud Said, 53, datuk kepada Siti Amiratul Badrina Mainzurul, 2, kanak-kanak perempuan yang lemas dalam tali air di Kampung Sungai Gali, Gaal dekat sini.
Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui terapung dalam tali air itu oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung, jam 12.45 tengah malam semalam selepas dilaporkan hilang dari rumahnya kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Menurut Daud, beberapa minit sebelum kejadian itu, dia bercadang membayar zakat fitrah sebaik selesai menunaikan solat Asar di masjid berhampiran.
Ketika itu, Siti Amiratul terus menerpa ke arahnya sambil minta dibawa bersama dengan alasan bosan duduk di rumah.
“Dia mungkin menganggap zakat fitrah sebagai ‘kedai runcit.’ Sebaik memberitahu mahu membayar zakat, dia terus membonceng motosikal, namun saya tidak membenarkannya.
“Dia menangis sebelum berlari pulang ke rumahnya kira-kira 100 meter dari rumah saya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Bagaimanapun, Daud berkata, sebaik pulang ke rumah kira-kira jam 5 petang, menantunya yang juga bapa arwah, Mainzurul Hassan, 30, datang ke rumah untuk mencari anaknya.
“Saya terkejut dan beritahu Mainzurul bahawa arwah tiada di rumah kerana tidak dibawa bersama ke tempat membayar zakat fitrah.
“Menyedari dia tiada di sekitar rumah selepas puas mencarinya, saya terus beritahu penduduk kampung selain menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Ibu mangsa, Suriani Daud, 21, pula berkata, sehari sebelum kejadian, arwah sering bersalaman dengannya hingga timbul keraguan di hati melihat perubahan sikap anaknya itu.
“Hati saya semakin resah apabila dia turut mencium pipi dan dahi saya beberapa kali pada hari kejadian sedangkan dia jarang berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gali, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.
Pada petang hari kejadian, Suriani berkata, dia dan suami serta tiga anaknya, Siti Zaharatul Balqis, 4; Muhamad Fahman Al-Hafiz, dua bulan serta arwah baru pulang dari Pasar Besar Pasir Puteh, membeli barangan keperluan harian.
Sebaik tiba di rumah kira-kira jam 4 petang, mereka terus naik ke rumah kecuali Siti Amiratul yang enggan dengan alasan mahu bermain buaian.
“Setengah jam selepas itu, gelak ketawa arwah di buaian tiba-tiba senyap menyebabkan saya memanggil suami supaya melihat dia di laman rumah.
“Namun, suami memaklumkan kelibat arwah langsung tidak kelihatan menyebabkan kami berdua resah sebelum terus bergegas mencarinya di rumah ayah,” katanya.
Sementara itu, Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaaharudin Yahya, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6 petang.
“Dalam operasi membabitkan 24 anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) itu, gerakan mencari mangsa terus dilakukan hingga jam 12 tengah malam sebelum dihentikan.
“Namun, penduduk kampung diketuai bapa mangsa dengan dipantau beberapa anggota bomba dan polis terus melakukan gerakan mencari sebelum mangsa ditemui terapung,” katanya.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Harian Metro
Posted on 19.9.2008 at 11:04 AM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan