Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 6 September 2008

Bekas Pengarah ITM selar pembaziran wang rakyat (Ceritera)


Posted on Thursday, March 22 @ 07:00:31

Dr Arshad Ayub begitu kecewa melihat pembaziran berlaku khususnya selepas persaraannya daripada perkhidmatan awam semasa negara sedang menikmati kemakmuran. Ini jauh berbeza dari zaman semasa beliau dalam perkhidmatan awam apabila kerajaan begitu berjimat dalam perbelanjaan, katanya. "Sebagai tetamu dalam sambutan besar-besaran seperti ini, saya tidak suka melihat semua ini. Mungkin ini disebabkan saya berasal daripada keluarga miskin," katanya.

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai kanan awam meminta kerajaan menghentikan "pembaziran keterlaluan" dalam perbelanjaannya supaya wang yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk projek yang lebih berfaedah.

Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata: "Jamuan malam dan sambutan besar-besaran diadakan di merata tempat. Saya dapati banyak pembaziran dan ketirisan berlaku."

Sambil menyebut sebagai contoh RM220 bilion yang akan dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan sekarang, beliau berkata jika hanya satu peratus pembaziran daripada angka itu berlaku, bermakna RM2.2 bilion akan hilang begitu sahaja.

"Apakah yang kita dapat lakukan dengan RM2.2 bilion? Banyak yang boleh dibuat dengan wang itu," katanya di Kementerian Kewangan di sini malam tadi ketika menerima Anugerah Mutiara Budi sebagai menghargai jasanya dalam perkhidmatan awam.

Dr Arshad, 78, telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk menjadi Ketua Setiausaha di tiga kementerian dan Timbalan Gabenor Bank Negara, tetapi namanya menjadi terkenal semasa menjadi pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) selama 10 tahun dari 1967. ITM kini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memperkenalkannya bagi memberi penghargaan kepada individu yang menunjukkan perkhidmatan terpuji dalam bidang sosio-ekonomi dan pengurusan kewangan.

Sambil menyifatkan pembaziran itu sebagai satu dosa, Dr Arshad berkata Perbendaharaan, selaku agensi yang mengeluarkan dana kerajaan, perlu memastikan wang tidak dibazirkan.

"Ini adalah rayuan saya kepada kerajaan. Saya juga ingin mencadangkan supaya pegawai-pegawai Perbendaharaan menjalani kursus audit supaya mereka lebih faham tentang perlunya pembaziran ini dikurangkan," katanya.

Dr Arshad memberitahu Bernama kemudiannya bahawa beliau begitu kecewa melihat pembaziran berlaku khususnya selepas persaraannya daripada perkhidmatan awam semasa negara sedang menikmati kemakmuran.

Ini jauh berbeza dari zaman semasa beliau dalam perkhidmatan awam apabila kerajaan begitu berjimat dalam perbelanjaan, katanya.

"Sebagai tetamu dalam sambutan besar-besaran seperti ini, saya tidak suka melihat semua ini. Mungkin ini disebabkan saya berasal daripada keluarga miskin," katanya.

Dalam ucapannya, Dr Arshad berkata beliau seronok berkhidmat sebagai Pengarah ITM kerana ia memberinya peluang melatih pelajar Bumiputera, ramai daripadanya daripada keluarga miskin.

Katanya institusi seperti ITM memainkan peranan utama dalam membasmi kemiskinan memandangkan "pendidikan adalah senjata terbaik melawan kemiskinan".

"Kami menyediakan latihan yang amat baik dalam semua disiplin, dan kami bekerjasama rapat dengan sektor swasta bagi menentukan terdapat sekurang-kurangnya 30 peratus kakitangan Bumiputera di semua peringkat," katanya.

Dr Arshad berkata bahawa selaku ketua di ITM, beliau menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dan pelajar dari aliran Melayu diberi kursus menguasai bahasa Inggeris selama satu tahun. --BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan