Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 4 September 2008

`Bagai tahu ajal tiba’ (Ceritera)


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

JITRA: “Sejak tiga hari lalu, arwah banyak melakukan amal ibadat, malah tidak pernah meninggalkan solat Tarawih dan membaca al-Quran, seolah-olah dia tahu ajalnya sudah tiba.

“Bagaimanapun, saya tidak sempat menunaikan permintaannya yang mahukan gelang kaki perak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Jitra dan Herba Prima Marketing (HPM) Sdn Bhd, Dr Che Rozmey Che Din.

Isteri beliau, Noor Halawiah Abdullah Shukri, 39, meninggal dunia selepas kereta Honda CR-V yang dipandu terbabit kemalangan di Jalan Kelab Golf Darulaman, dekat sini, semalam.

Mangsa yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HPM Sdn Bhd dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di muka dan badan selepas gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh sebatang pokok di jalan berkenaan.

Mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaannya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat yang mengambil masa kira-kira lima minit.

Dr Che Rozmey, 40, berkata kali terakhir dia bertemu isterinya kira-kira 40 minit sebelum kemalangan berlaku ketika mereka berada di pusat perubatannya itu.

Ketika itu isterinya meminta dia membelikan gelang kaki perak untuk dipakai pada Aidilfitri ini, tetapi dia menolak hasrat arwah itu.

Katanya, arwah tidak merajuk kerana tidak dapat gelang yang diingininya itu, tetapi dia langsung tidak kelihatan gembira sejak kebelakangan ini.

“Ketika kejadian, saya berada di Alor Star kerana mempunyai urusan dan dimaklumkan mengenai kemalangan itu selepas dihubungi seorang kenalan yang memberitahu keadaan isteri saya yang parah.

“Bagaimanapun, seorang kakitangan saya menghubungi tidak lama kemudian dan memaklumkan yang arwah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Jitra, semalam.

Dr Che Rozmey berkata, beliau dan arwah bercadang akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri untuk semua pengedar dan ahli HPM pada hari raya kelima nanti, tetapi majlis itu terpaksa ditukarkan kepada kenduri arwah.

Menurutnya, arwah yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan, banyak membantunya dalam menjalankan perniagaan HPM selain pernah menjalani susah senang bersama.

Katanya, ketika kejadian, arwah dipercayai baru pulang menghantar pembantu rumah barunya ke rumah mereka di Darulaman Heights, Bandar Darulaman kira-kira 800 meter dari tempat kejadian.

“Arwah dipercayai keluar semula untuk menjalani rawatan muka di Alor Star,” katanya.

Hasil perkongsian hidup mereka selama 16 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia enam hingga 15 tahun.

Jenazah Noor Halawiah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bandar Darulaman, dekat sini, selepas solat Asar, semalam.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Kubang Pasu, Inspektor Juhaisam Jusoh, berkata siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai memandu laju menyebabkan keretanya terbabas dan melanggar pokok.

Beliau berkata, tidak terdapat sebarang kesan brek di tempat kejadian serta tidak membabitkan kenderaan lain.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan dan muka,” katanya ketika ditemui di perkarangan HJ di sini, semalam.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan