Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 1 Disember 2008

Hotel hanya untuk penghuni rumah yang ranap (Ceritera)



KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menjelaskan hanya mangsa dari 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Sabtu lalu, yang layak mendapat penginapan di hotel.

Beliau berkata kerajaan hanya akan menanggung kos penginapan di hotel bagi mangsa yang berkenaan dan bukan untuk penghuni yang diarahkan supaya mengosongkan rumah mereka.

“Mangsa yang tinggal sehelai sepinggang saja yang akan ditanggung kerajaan. Mangsa yang terbabit diminta mendaftar di pusat operasi Yang Dipertua MPAJ di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini.

Khalid berkata timbul kekeliruan di kalangan penghuni yang diarah mengosongkan kediaman mereka mengenai penginapan di hotel yang ditanggung kerajaan.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang pembantu rumah warga Sri Lanka, diteruskan pagi ini dengan lokasi mencari diperluaskan.

“Kita guna dua mesin pengorek dalam operasi hari ini dan akan diteruskan sampai pukul 2 petang. Operasi akan dibantu oleh beberapa pegawai dari Ikram yang ditugaskan untuk menilai struktur tanah.

“Pada jam 2 petang tadi kita hentikan operasi seketika untuk bermesyuarat bersama Ikram dan operasi akan diteruskan selepas mesyuarat selesai,” katanya.

Khalid berkata penghuni-penghuni dibenarkan masuk ke rumah masing-masing untuk mengambil barangan mereka dengan pengawasan pasukan SAR.

Beliau berkata masih terdapat penduduk yang kurang jelas mengenai arahan pindah yang dikeluarkan.

Katanya hanya kawasan kondominium Impian Selatan, Jalan 9 dan 11, Taman Wangsa Ukay, Jalan 6, Taman Bukit Jaya dan Taman Bukit Mewah diarahkan untuk kosongkan rumah.

“Kawasan lain selain daripada kawasan itu tak perlu pindah tapi, kalau ada juga nak keluar kita tidak halang. Arahan pindah dikeluarkan untuk tempoh 10 hari bermula Sabtu lepas sebelum pihak berkuasa membuat penilaian sama ada kawasan berkenaan selamat atau tidak.

“Kita telah sediakan tempat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang, tetapi jika mangsa tidak mahu tinggal saya minta mereka meninggalkan nombor telefon di pos pendaftaran operasi untuk mudah dihubungi,” katanya. - Bernama

Usul tanah runtuh dibahas petang ini

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini membenarkan pembentangan usul bagi membahaskan isu kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku Sabtu lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menerima usul yang dibentangkan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berdasarkan peraturan mesyuarat 18 (1).

"Isu itu menepati peraturan mesyuarat iaitu perkara tertentu, mempunyai kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

"Usul ini akan dibahaskan bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang ini," katanya.

Berita Harian

Mangsa boleh mohon kuarters di Putrajaya

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kakitangan kerajaan yang tinggal berhampiran kawasan tanah runtuh, Taman Bukit Mewah yang terpaksa mengosongkan kediaman boleh memohon kuarters di Putrajaya.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata keutamaan diberikan kepada kakitangan kerajaan di sekitar kawasan tragedi itu.

"Kerajaan akan melihat jumlah kekosongan dan permohonan mendiami kuarters kerajaan terlebih dulu.

"Cara permohonan tetap melalui prosedur biasa, cuma kita memberikan keutamaan kepada mangsa tragedi itu," katanya, semalam.

Beliau mengulas saranan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad yang meminta kerajaan membenarkan kakitangan yang terpaksa mengosongkan rumah di Bukit Antarabangsa tinggal di kuarters di Putrajaya.

Kelmarin, polis mengarahkan 3,000 penduduk lima kawasan kediaman sekitar lokasi tragedi yang meragut empat nyawa di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang, mengosongkan kediaman serta-merta kerana berbahaya.

Arahan dikeluarkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian Polis Diraja Malaysia itu membabitkan penduduk seluruh Taman Bukit Mewah iaitu lokasi 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh itu.

Kawasan lain ialah Kondominium Impian Selatan, rumah berkembar di Jalan 6A Taman Bukit Jaya serta rumah teres dua tingkat di Jalan 9 dan Jalan 11, Taman Wangsa Ukay.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata arahan pengosongan dibuat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengesahkan kawasan berkenaan tidak selamat kerana runtuhan susulan boleh berlaku bila-bila masa.

Mohd Sidek berkata, kerajaan juga belum mendapat maklumat jumlah kakitangan kerajaan yang terpaksa mengosongkan kediaman akibat tragedi itu.

Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan