Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 13 September 2008

Berkat sikap sabar (Ceritera)


Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Rosmaliana Aida Mohd Adnan
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ayah menentang sekeras-kerasnya ketika saya mula memeluk Islam dulu, malah saya diugut bunuh sekiranya meneruskan niat berkenaan.

“Namun, ugutan bunuh itu tidak sedikitpun mematahkan semangat saya,” katanya Mohamad Noor Biggs Abdullah, 53, yang kini bergelar seorang guru agama selepas 23 tahun menyelami nur Islam.

Dia yang memeluk Islam secara rasmi pada 1979 menghadapi tekanan hebat daripada keluarganya sendiri sebelum akhirnya diterima selepas bersabar bertahun-tahun lamanya bagi membolehkannya diterima kembali ke dalam keluarga.

Menceritakan semula detik permulaannya memeluk Islam, Mohamad Noor yang ayahnya berasal dari Filipina berkata, hanya ibu yang memahami niat sucinya mendalami Islam.

Katanya, ibu banyak memberi nasihat kepadanya dan memberi amaran supaya dia tidak berpaling lagi apabila sudah membuat keputusan itu.

“Ibu adalah individu terbaik dalam hidup saya. Dia sentiasa menyokong keputusan yang saya lakukan dan berharap perkara terbaik berlaku dalam hidup saya.

“Paling penting dia memberi amaran kepada saya supaya jangan berpaling ke belakang lagi selepas membuat keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

Katanya, amanat ibunya itu menguatkan lagi azamnya untuk terus mendalami ilmu agama walaupun pada mulanya dia tidak tahu menahu mengenai Islam.

“Ibu mentua banyak memberi tunjuk ajar kepada saya walaupun nasihatnya pada awal dulu memeningkan serta merimaskan saya.

“Namun begitu, saya ambil segala teguran dan nasihat termasuklah yang sinis pun menjadi sempadan dan teladan untuk mendalami agama Islam,” katanya tenang.

Berkat kesabaran ibu mentua yang tidak jemu memberi bimbingan akhirnya membolehkan Mohammad Noor bergelar muslim sejati.

“Jika ada rezeki saya bakal bergelar tok bilal di Masjid Umar Zaid di Wangsa Maju tidak lama lagi, namun semua itu masih dalam perancangan awal... saya pun baru selesai menghadiri temuduga yang ditetapkan pihak Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan),” katanya sambil tersenyum.

Keputusan Mohammad Noor memeluk agama Islam turut diikuti ahli keluarga terdekatnya yang lain.

Walaupun sudah 23 tahun mendalami ilmu Islam, saudara baru itu berkata, dia tidak pernah sekali berasa bosan untuk mengetahui Nur Islam lebih lanjut lagi.

Difahamkan, dia antara saudara baru paling aktif berdakwah yang dikenal pasti pihak Jawi malah tidak pernah ketinggalan menghadiri setiap kelas agama yang dianjurkan jabatan berkenaan.

“Saya masih lagi belajar dan akan terus mempelajari mengenai keindahan Islam kerana masih banyak amalan yang perlu disempurnakan.

“Oleh itu, adalah tidak mungkin untuk mengatakan bahawa kita mengetahui semua perkara kerana setiap daripada kita masih belajar dan akan terus belajar walau sebanyak mana yang diketahui,” pesannya.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan