Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 10 September 2008

Utara: Bazar Ramadan lengang di Pulau Pinang (Ceritera)


GEORGETOWN: Bulan Ramadan bukan saja mempunyai banyak keberkatannya tetapi turut membuka pintu rezeki kepada umat Islam terutama peniaga bazar Ramadan.

Bagaimanapun, senario dan kemeriahan bazar Ramadan kurang dirasai tahun ini terutama selepas kenaikan harga barang keperluan sejak harga minyak dinaikkan pada Jun lalu.

Di Pulau Pinang, cuaca yang tidak menentu menyebabkan sambutan terhadap bazar Ramadan sangat berkurangan terutama di sekitar Komtar, Bayan Baru, dan Lebuh Queen.

Tinjauan Berita Harian ke bazar Ramadan Lebuh Queen dan Komtar di sini kira-kira jam 6 petang kelmarin mendapati suasana lengang dan tidak mendapat sambutan berbanding tahun lalu.

Keadaan yang hambar dan tidak ceria itu menjadikan suasana berpuasa dan Aidilfitri tidak berapa disedari manakala peniaga yang berniaga di situ berkurangan.

Kebanyakan peniaga mengeluh kerana tahun ini rezeki mereka agak berkurangan selain terpaksa menaikkan harga makanan bagi menampung kos bahan mentah yang semakin mahal.

Abdul Majid Mohd Abdullah, 37, yang sudah berniaga sejak 20 tahun lalu, berkata pendapatan yang diperoleh tahun ini agak berkurangan dan kemeriahan bazar Ramadan tidak seperti dulu lagi.

“Faktor cuaca dan sikap berjimat-cermat orang ramai yang menjadikan bazar Ramadan kali ini begitu hambar. Jika dulu bazar tidak putus-putus dikunjungi pelanggan tetapi kini sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga sambilan juga tidak berminat untuk berniaga berikutan tidak mampu untuk menampung kos bahan mentah yang meningkat sehingga 30 peratus.

"Disebabkan itu juga, kami terpaksa menaikkan harga makanan. Faktor harga yang semakin mahal adalah punca utama orang ramai tidak berminat berkunjung ke sini," katanya yang berniaga nasi beriani.

Abdul Majid berharap pada minggu akan datang pelanggan akan lebih ramai berkunjung ke bazar Ramadan sekali gus mengembalikan semula kemeriahannya.

Peniaga murtabak, Ali Akhbar Sulaiman, 53, berkata jualannya di bazar Ramadan tahun ini sangat hambar kerana tidak ramai pengunjung dan disebabkan kenaikan harga barang makanan.

"Tahun lalu, saya dapat menjual sehingga 500 keping murtabak setiap hari tetapi tahun ini hanya mampu menjual kira-kira 300 keping saja. Saya sendiri tidak mengetahui mengapa jualan semakin kurang," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Junainah Sahlani, 27, berkata harga makanan yang dijual di bazar Ramadan agak mahal tidak sepadan dan semakin kecil dari segi saiznya.

"Lebih murah jika masak sendiri lagipun tidak banyak pilihan. Bazar kali ini tidak semeriah berbanding tahun-tahun lalu," katanya.

Berita Harian

Posted on 10.9.2008 at 7:04 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan