Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 20 September 2008

Padah ingkar nasihat ayah (Ceritera)

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: “Pada mulanya saya sangka mercun bola itu tak menyala, tapi sebaik menoleh ke depan, ia tiba-tiba meletup dan menyembur seperti bunga api menyebabkan serpihannya terkena muka saya.

“Ketika itu pandangan saya tiba-tiba kabur dan segera berlari mendapatkan ibu dalam keadaan sakit.”

Demikian kata Muhd Nur Amzar Nordin, 11, yang melecur 40 peratus di muka akibat terkena mercun bola ketika bermain bersama sepupunya di depan rumahnya di Lebuhraya Darulaman, berhampiran Istana Anak Bukit di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Muhd Nur Amzar, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Alor Merah di sini, dipercayai membahagikan mercun bola itu kepada dua bahagian sebelum menyalakan sumbu pada satu bahagian.

Katanya, dia langsung tidak menyangka mercun bola itu masih berfungsi walaupun ia kelihatan seperti api terpadam pada sumbu berkenaan.

“Saya menyesal bermain mercun kerana sebelum ini bapa pernah larang saya membeli atau bermain mercun, tapi tetap mahu bermain kerana raya hanya setahun sekali.

“Kini, saya terpaksa beraya dalam keadaan muka melecur,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.

Bapa mangsa, Nordin Hamid, 48, berkata ketika kejadian dia keluar bekerja dan terkejut apabila dimaklumkan isterinya, Noraini Md Jam, 40-an dan bergegas pulang.

Nordin yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia menghantar anak bongsu daripada tiga beradik itu ke HSB selepas mendapati muka anaknya melecur teruk kira-kira jam 10 malam.

“Saya sudah banyak kali berpesan padanya agar tidak bermain mercun dan tak tahu bila dia membelinya. Doktor memaklumkan keadaan anak saya stabil dan lecur pada mukanya akan pulih tidak lama lagi,” katanya.

Muhd Nur Amzar mangsa mercun kedua di negeri ini selepas seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Hassan Itam, Tokai, Pendang, hancur empat jari akibat terkena mercun bola yang dimasukkan ke dalam plastik ketika membalingnya ke sawah, awal bulan ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut melawat mangsa semalam dan menyerahkan sumbangan kuih serta duit raya sempena Aidilfitri.

Mahdzir berkata, beliau turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 600 pesakit dan ia amalan yang dilakukan setiap tahun untuk meringankan penderitaan yang dihadapi pesakit.

Harian Metro

Jumaat, 19 September 2008

Datuk sesal tak sudah (Ceritera)

Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my


PASIR PUTEH: “Saya menyesal tidak membawanya bersama walaupun arwah beria-ia mahu mengikut saya membayar zakat fitrah.

“Jika saya membawanya bersama, mungkin kejadian ini tidak berlaku,” kata Daud Said, 53, datuk kepada Siti Amiratul Badrina Mainzurul, 2, kanak-kanak perempuan yang lemas dalam tali air di Kampung Sungai Gali, Gaal dekat sini.

Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemui terapung dalam tali air itu oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung, jam 12.45 tengah malam semalam selepas dilaporkan hilang dari rumahnya kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Menurut Daud, beberapa minit sebelum kejadian itu, dia bercadang membayar zakat fitrah sebaik selesai menunaikan solat Asar di masjid berhampiran.

Ketika itu, Siti Amiratul terus menerpa ke arahnya sambil minta dibawa bersama dengan alasan bosan duduk di rumah.

“Dia mungkin menganggap zakat fitrah sebagai ‘kedai runcit.’ Sebaik memberitahu mahu membayar zakat, dia terus membonceng motosikal, namun saya tidak membenarkannya.

“Dia menangis sebelum berlari pulang ke rumahnya kira-kira 100 meter dari rumah saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Bagaimanapun, Daud berkata, sebaik pulang ke rumah kira-kira jam 5 petang, menantunya yang juga bapa arwah, Mainzurul Hassan, 30, datang ke rumah untuk mencari anaknya.

“Saya terkejut dan beritahu Mainzurul bahawa arwah tiada di rumah kerana tidak dibawa bersama ke tempat membayar zakat fitrah.

“Menyedari dia tiada di sekitar rumah selepas puas mencarinya, saya terus beritahu penduduk kampung selain menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Ibu mangsa, Suriani Daud, 21, pula berkata, sehari sebelum kejadian, arwah sering bersalaman dengannya hingga timbul keraguan di hati melihat perubahan sikap anaknya itu.

“Hati saya semakin resah apabila dia turut mencium pipi dan dahi saya beberapa kali pada hari kejadian sedangkan dia jarang berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gali, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian.

Pada petang hari kejadian, Suriani berkata, dia dan suami serta tiga anaknya, Siti Zaharatul Balqis, 4; Muhamad Fahman Al-Hafiz, dua bulan serta arwah baru pulang dari Pasar Besar Pasir Puteh, membeli barangan keperluan harian.

Sebaik tiba di rumah kira-kira jam 4 petang, mereka terus naik ke rumah kecuali Siti Amiratul yang enggan dengan alasan mahu bermain buaian.

“Setengah jam selepas itu, gelak ketawa arwah di buaian tiba-tiba senyap menyebabkan saya memanggil suami supaya melihat dia di laman rumah.

“Namun, suami memaklumkan kelibat arwah langsung tidak kelihatan menyebabkan kami berdua resah sebelum terus bergegas mencarinya di rumah ayah,” katanya.

Sementara itu, Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaaharudin Yahya, berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6 petang.

“Dalam operasi membabitkan 24 anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) itu, gerakan mencari mangsa terus dilakukan hingga jam 12 tengah malam sebelum dihentikan.

“Namun, penduduk kampung diketuai bapa mangsa dengan dipantau beberapa anggota bomba dan polis terus melakukan gerakan mencari sebelum mangsa ditemui terapung,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Harian Metro
Posted on 19.9.2008 at 11:04 AM

Khamis, 18 September 2008

PKUPM Siri 2 (Singgahsana)


Imam sebenarnya seorang yang seharusnya lebih keimanannya dari makmunnya. Lebih pengetahuannya atau agamanya berbanding pengikutnya. Bagus bacaannya. Bagus perlakuannya. Imam adalah ketua, sebagai contoh kepada anak buahnya. Jika kita telah hilang nyawa pun akan dipersoalkan siapakah Imam kita..

"Allah SWT pada Hari itu akan memanggil setiap orang berdasarkan imamnya. Siapa imam-mu ? Mereka yang menjawab dengan : “Aku tidak perlu imam, aku tidak ingin pembimbing, aku tidak ingin pemimpin, Allah SWT adalah Imam-ku.” Siapa yang menjawab seperti ini tidak akan bisa menuju Hadirat-Nya."

Maka terkapar-kaparlah kita jika silap memilih Imam kita.

Aku pernah berceritera dalam jurnal ini bagaimana taulan kepada kawanku yang diangkat menjadi imam ketika bermusafir di Sarawak. Si Polan ini mereka angkat menjadi Imam ketika syolat magrib. Ketika itu masjid yang mereka singgahi telah pun tamat sembahyang jemaahnya. Nak menjadikan ceritera si Polan ini memakai baju yang dihadiahkan oleh Sport Toto. Pada tahun 80an sememangnya kami sering membuat acara pertandingan seperti perlumbaan kayak simenfero dari semua IPT & IPTA. Jadi Sport Toto sering menjadi penaja.

Si Polan tidak terkecuali mendapat hadiah baju Sport Toto. Ketika bermusafir itu si Polan yang menjadi imam memakai baju yang dihadiah oleh Sport Toto ini. Bila nampak saja tulisan Toto di baju imam semestinya menjadi persoalan. Ada yang mahu mengikuti imam ini, ada pula yang sanggup sembahyang sendiri.

Maka terjadilah pertindihan pendapat. Afdalkah seorang imam memakai baju yang diberi oleh syarikat perjudian. Pakaian memang boleh mencerminkan keperibadian seseorang. Si Polan seorang yang amat baik, jauh sekali singgah di kedai empat nombor ekor pun bermain Toto. Hanya kerana baju yang dipakai menjadikan satu polimik yang sukar ditafsirkan. Bagaimana pendapat anda tentang masalah baju tajaan begini?. Apakah tidak boleh dibawa sembahyang?. Syarat menutup aurat kena dipenuhi. Ditutup dengan benda judi!. Emmm! bolehkah?.

Satu lagi kisah Imam yang boleh kita ambil iktibar.

Pada zaman 60an & 70an memang kerap ada pesta hiburan. Kalau di kampung aku lebih gemar dipanggil FunFair. Bila pepetang saja telah heboh sekampung.

"Moh! kita pergi FunFair malam ni, dengornya Jefri Din pun ada... ber A go go kita malam ni...!" Sembang di serambi masjid Desa Tualang. Masa itu Imam pun dengar.

Aku biasalah masih zaman kanak-kanak. Suka bukan main lagu 60an, sambil panjat pokok remenia pasti nyanyi lagu 60an, Seruling anak gemalalah Jefri Din ...Si cincin emaslah ...A Rahman Onn... Tak Mengapa A Rahman Hassan... banyak lagi lagu 60an yang sedap didendangkan sambil makan buah remenia.

Bila ada FunFair sahaja mestilah aku turut serta. Menumpang kekawan naik basikal atau berombongan naik kereta jika jauh. Nak jadikan ceritera dalam perjalanan; kami seringkali terserempak imam kami yang memang suka melihat telatah orang di FunFair. Faham-faham sahajalah bila anak dara & teruna berseluar jengki ketat ber A Go Go memang berdarau darah melihatnya. Imam kami ini sudah tua amat, bagaimanakah imannya?.

Menjadi polimik lagi apakah Pak Imam tak boleh berhibur?. Apatah lagi di tempat remaja seperti FunFair. Imam manusia juga. Tak kan tak boleh tenguk TV, tak boleh tenguk wayang, tak boleh berhibur?. Bagaimana!.

Banyak lagi ceritera tentang masalah imam ini!. Perlu diingat kita juga diangkat oleh Allah Azzawajalla sebagai iman bagi keluarga kita.

- bersambung


Rabu, 17 September 2008

Laluan motor tahun depan (Ceritera)


Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam perancangan peringkat awal untuk membina laluan khas motosikal di sekitar kawasan bandar yang dijangka dimulakan menjelang tahun depan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, berkata projek pembinaan laluan motosikal berkenaan akan dimulakan di Jalan Loke Yew, Cheras yang baru dinaik taraf kepada lapan lorong dua hala.

“Memang ada perancangan untuk bina laluan motosikal dalam kawasan bandar dan projek akan dimulakan di laluan baru naik taraf di Cheras sebelum diperluaskan ke kawasan lain sekitar ibu kota.

“Pembinaan lorong motosikal itu bagi menyediakan laluan lebih selamat kepada pengguna jalan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri di Tol Plaza Sungai Besi di sini, semalam.

Majlis anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dirasmikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan. Turut hadir, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup.

Menurutnya, pihaknya masih dalam perancangan untuk mengenal pasti kawasan sesuai untuk pembinaan laluan motosikal itu dan keutamaan akan diberikan kepada jalan yang luas dan berkelajuan tinggi bagi mengurangkan risiko kemalangan terutama yang membabitkan penunggang motosikal.

Sementara itu, Saravanan berkata statistik menunjukkan kemalangan masih di tahap membimbangkan walaupun pelbagai kempen keselamatan jalan raya sudah dianjurkan terutama musim perayaan ketika orang ramai pulang ke kampung.

Menurutnya, sejak awal tahun hingga Ogos lalu, jumlah kemalangan dicatatkan ialah 28,243 kes dengan 139 kematian termasuk 88 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, 19 pemandu dan penumpang kereta dan 24 pejalan kaki.

Harian Metro

Selasa, 16 September 2008

Perit lepas kematian suami (Ceritera)


Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

KUALA PERLIS: “Sebelum ini, arwah (Hatib Leman) yang uruskan semua persiapan baju raya anak-anak termasuk anak tirinya. Bukannya sikit, ramai juga iaitu 12 orang tetapi Aidilfitri kali ini, masing-masing terpaksa berusaha sendiri.

“Bagi saya yang baru berkahwin dengan Hatib hampir dua tahun dan mempunyai seorang anak kini berusia tujuh bulan, terpaksa pula menangung empat lagi anak hasil perkahwinan dengan suami pertama,” kata Fazilah Mohammad, 34.

Fazilah, isteri Allahyarham Hatib yang mati dibelasah sekumpulan 20 lelaki di Kampung Belakang Kilang, Kuala Perlis, selepas disalah tuduh mengintai anak gadis jirannya berusia 12 tahun, pada 3 Mei lalu.

Keluarga arwah terpaksa menyewa rumah baru dengan dinding dan lantai berlubang-lubang pada kadar RM170 sebulan berikutan rumah sewa lama diambil semula pemiliknya.

Fazilah berkata, setakat ini, dia hanya mampu membeli baju raya untuk anak bongsunya, Nurul Faridah Hatib, tujuh bulan dan sedang berusaha mengumpulkan wang untuk menyiapkan pakaian empat lagi anaknya menjelang Aidilfitri, dua hari lagi.

“Terasa perit bagi saya untuk mencari wang persiapan raya tahun ini dan akan berusaha setakat termampu. Dulu semuanya diuruskan arwah suami dan ketika itu saya hanya menunggu di rumah, Hatib yang mengaturnya.

“Saya tidak tahu kedudukan anak Hatib dengan isteri terdahulu. Saya terputus hubungan dengan mereka,” katanya yang berniaga ikan secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Belakang Kilang.

Selain Fazilah dan anaknya, nasib sama turut dialami tiga anak kandung Hatib berusia dua hingga tujuh tahun, hasil pernikahan pertamanya dengan Hawa Latip, 42.

Allahyarham Hatib bekerja buruh dengan pendapatan RM800 sebulan, sepanjang hayatnya terpaksa menanggung 12 anak termasuk tujuh anak tiri dan seorang anak saudara.

Justeru, pemergian Hatib menyebabkan Fazilah dan lima anaknya termasuk dua yang berusia antara tujuh bulan hingga 18 tahun kehilangan tempat bergantung.

Fazilah berkata, walaupun berpendapatan kecil, Hatib dianggap bapa penyayang tetap berusaha menyediakan baju baru, sekurang-kurangnya satu setiap anaknya.

Harian Metro

Isnin, 15 September 2008

PKUPM siri MMms (Singgahsana)


Telah dua bulan lebih aku tidak periksa tekanan darahku; entah berapa skala mm Hgsystolic. Lama tak jumpa Dr Imah. Lama tak lepak tenguk TV di sofa malas PKUPM.

Sepanjang Ramadan memang aku tak kawal sangat bab makanan. Terutama minuman. Kalau boleh mahu aku minum satu jak air manis. Lepas itu pengsan. Risau juga kot diabetesku melambung naik. Selera makanku memang tak pernah susut. Makan sampai termuntah pun boleh. Mulut terima saja, perut boroi aku yang terkadang menolak.

Terawih pun banyak yang aku buat sendirian. Sesekali sahaja ke surau atau masjid. Mila selalu membebel bab ini. Dia persalahkan sebab aku gila makan, itu penyebabnya aku malas ke surau. Itu andaian Mila. Aku mengatakan masalah diri, kesihatan terutamanya. Memang orang sakit macamku amat cepat mengantuk. Kak Kencon pun cakap macam itu, dia sakit macam aku... itu pun dia cuma ada masalah kolestrol berbanding aku semua penyakit ada. Huh! alasan!.

Jika terawih aku masih lebih menyukai suasana Surau Bunian. Tenang. Tak bising. Lapang & terkini ada pula imam muda. Rakan baik Aziq katanya anak ustazah sekolahnya. Tahfiz Al Quran. Sedap mendengar bacaannya. Asyik amat.

Bab Imam ini memang suatu yang amat misteri & peribadi. Kenapa dikatakan begitu...?

Nanti kita cerita...

Sejarah Lalu
Masa zaman sekolah 70an aku memang amat kurus, pinggang sekitar 27" berbanding sekarang hampir 38"
Nampak kurus amat!...

Ahad, 14 September 2008

Mila makin sibuk membeli belah (Singgahsana)


Seminggu ini Mila makin sibuk mmbeli belah pakaian anak-anak. Minggu lalu dari pagi hinggalah ke petang mencari pakaian di sekitar Kajang, masih tidak selesai.

Aku pula terasa Aidil Fitri semakin tidak bermakna. Teringat Desa Tualang, tak tahu bila lagi aku akan boleh berpuasa, berbuka dengan memanti pukulan taboh dan berhari dengan menziarahi pusaka ibu & apak di Tanah Perkuburan Pedas. Bebaru ini aku pulang ke kampung katanya Tanah Perkuburan Pedas telah penuh & peduduk kampungku mendapat tanah wakaf bagi perkuburan yang baru.

Malam tadi Mila sendirian pulang ke kampung semua anak-anak tak mahu pulang ke Meru, lebih selesa di Jenaris. Aku terpaksa menyediakan makanan berbuka & bersahor. Rumahku semakin sarat dengan barangan lantaran aku masih tidak kemaskan barangan berguna & tidak setelah aku berkemas barangan pencen. Lebih 10 tahun menangani barangan ICT memangnya amat sarat & lebih dua lori barangan yang aku kumpul. Bagaikan mahu pecah kepala memikirkan di mana harus disimpan malahan telah hampir selori barangan yang aku lupuskan.

Di pejabat baru Unit IT minggu lalu terjadinya kekecuhan lantaran komplen dari rakan staf yang tidak puas hati dengan masalah ICT. Memang dasar ISO mencari silap kita, mana ada penghujungnya masalah kerja. Apatah bagiku dunia ICT memang dunia pelik. Bukan mudah untuk menyelesaikan masalah birus, pengodam & rakamnya komputer. Untuk menjadikan komputer brgerak lancar bergantung pada nasib, terkadang memangnya kejap terkadang memakan masa berhari-hari. Untuk merosakkannya amat kejap, sekelip mata birus merebak yang dikawal.

Maka itu aku mahu melupa dunia ICT, mahu menjadi pengguna sahaja bukan seorang yang menggerakkannya.

Tahun ini nampaknya aku beraya di Meru. Aziq pun akan periksa PMR selepas Aidil Fitri jadi tak payahlah aku pulang ke Perak. Mungkin lepas hari raya lantaran mahu meneroka sempadan tanah pusaka Paya Asap yang aku bercadang akan ditanam semula.

Sabtu, 13 September 2008

Berkat sikap sabar (Ceritera)


Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Rosmaliana Aida Mohd Adnan
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ayah menentang sekeras-kerasnya ketika saya mula memeluk Islam dulu, malah saya diugut bunuh sekiranya meneruskan niat berkenaan.

“Namun, ugutan bunuh itu tidak sedikitpun mematahkan semangat saya,” katanya Mohamad Noor Biggs Abdullah, 53, yang kini bergelar seorang guru agama selepas 23 tahun menyelami nur Islam.

Dia yang memeluk Islam secara rasmi pada 1979 menghadapi tekanan hebat daripada keluarganya sendiri sebelum akhirnya diterima selepas bersabar bertahun-tahun lamanya bagi membolehkannya diterima kembali ke dalam keluarga.

Menceritakan semula detik permulaannya memeluk Islam, Mohamad Noor yang ayahnya berasal dari Filipina berkata, hanya ibu yang memahami niat sucinya mendalami Islam.

Katanya, ibu banyak memberi nasihat kepadanya dan memberi amaran supaya dia tidak berpaling lagi apabila sudah membuat keputusan itu.

“Ibu adalah individu terbaik dalam hidup saya. Dia sentiasa menyokong keputusan yang saya lakukan dan berharap perkara terbaik berlaku dalam hidup saya.

“Paling penting dia memberi amaran kepada saya supaya jangan berpaling ke belakang lagi selepas membuat keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

Katanya, amanat ibunya itu menguatkan lagi azamnya untuk terus mendalami ilmu agama walaupun pada mulanya dia tidak tahu menahu mengenai Islam.

“Ibu mentua banyak memberi tunjuk ajar kepada saya walaupun nasihatnya pada awal dulu memeningkan serta merimaskan saya.

“Namun begitu, saya ambil segala teguran dan nasihat termasuklah yang sinis pun menjadi sempadan dan teladan untuk mendalami agama Islam,” katanya tenang.

Berkat kesabaran ibu mentua yang tidak jemu memberi bimbingan akhirnya membolehkan Mohammad Noor bergelar muslim sejati.

“Jika ada rezeki saya bakal bergelar tok bilal di Masjid Umar Zaid di Wangsa Maju tidak lama lagi, namun semua itu masih dalam perancangan awal... saya pun baru selesai menghadiri temuduga yang ditetapkan pihak Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan),” katanya sambil tersenyum.

Keputusan Mohammad Noor memeluk agama Islam turut diikuti ahli keluarga terdekatnya yang lain.

Walaupun sudah 23 tahun mendalami ilmu Islam, saudara baru itu berkata, dia tidak pernah sekali berasa bosan untuk mengetahui Nur Islam lebih lanjut lagi.

Difahamkan, dia antara saudara baru paling aktif berdakwah yang dikenal pasti pihak Jawi malah tidak pernah ketinggalan menghadiri setiap kelas agama yang dianjurkan jabatan berkenaan.

“Saya masih lagi belajar dan akan terus mempelajari mengenai keindahan Islam kerana masih banyak amalan yang perlu disempurnakan.

“Oleh itu, adalah tidak mungkin untuk mengatakan bahawa kita mengetahui semua perkara kerana setiap daripada kita masih belajar dan akan terus belajar walau sebanyak mana yang diketahui,” pesannya.

Harian Metro

Jumaat, 12 September 2008

10 kali lari setahun (Ceritera)


JOHOR BAHRU: Seorang gadis berusia 15 tahun membuatkan keluarganya tidak senang duduk apabila tidak pernah serik lari dari rumah walaupun dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak sebanyak 10 kali dalam tempoh setahun.

Kali terakhir gadis terbabit dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak di Taman Keramat, Kuala Lumpur, ialah pada 10 Julai lalu, namun tidak berada lama di situ apabila menghilangkan diri dengan bantuan seorang rakan yang juga penghuni pusat akhlak itu kira-kira seminggu kemudian.

Sehingga kini, Sharifah Zahidah Syed Salleh gagal dijejaki sehingga membuatkan bapanya, Syed Salleh Abu Bakar, 50, gusar memikirkan nasib menimpa anak keempat daripada enam beradik itu.

“Pulanglah nak, kami sekeluarga merindui dan menyayangimu, apatah lagi sambutan Aidilfitri semakin dekat,” rayu Syed Salleh kepada anaknya yang lebih manja dengan panggilan Ifa.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai perbuatan anaknya itu apabila menerima panggilan Balai Polis Hulu Klang, Selangor, yang menyatakan anak gadisnya menghilangkan diri dari asrama pemulihan akhlak itu.

“Saya amat terkejut apabila polis memberitahu Ifa menghilangkan diri bersama seorang lagi penghuni di situ yang bernama Nurul biarpun kedua-dua mereka baru ditempatkan di situ.

“Kami difahamkan mereka juga melarikan telefon bimbit milik pengawal keselamatan asrama berkenaan ketika wanita itu leka tidur,” katanya.

Syed Salleh berkata, selang beberapa hari selepas kedua-dua remaja perempuan itu menghilangkan diri, Nurul yang berusia 14 tahun menyerah diri di Balai Polis Taman Universiti, Skudai, dekat sini, tetapi Ifa masih gagal dikesan hingga kini.

Menurutnya, suasana itu mencetuskan kebimbangan keluarganya mengenai masa depan Ifa yang sepatutnya meneruskan persekolahan di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Taman Keramat.

Berikutan kehilangan Ifa, Syed Salleh membuat laporan di Balai Polis Permas Jaya di sini, pada 6 Ogos lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ifa diminta menghubungi talian 016-3832602 atau 012-7228101.

Harian Metro

Khamis, 11 September 2008

Anif Habis Periksa UPSR (Singgahsana)


Hari ini Anif habis UPSR. Tak pasti apakah dia akan mendapat keputusan cenerlang. Dalam segi ketekunan amat merisaukan, memang Anif pelajar yang bijak tetapi jika kurang latihan & kurang belajar; tentulah amat merisauakan.

Harapan ayahnya tentukah Anif ... dapat mencapai kecemerlangan.

Rabu, 10 September 2008

Utara: Bazar Ramadan lengang di Pulau Pinang (Ceritera)


GEORGETOWN: Bulan Ramadan bukan saja mempunyai banyak keberkatannya tetapi turut membuka pintu rezeki kepada umat Islam terutama peniaga bazar Ramadan.

Bagaimanapun, senario dan kemeriahan bazar Ramadan kurang dirasai tahun ini terutama selepas kenaikan harga barang keperluan sejak harga minyak dinaikkan pada Jun lalu.

Di Pulau Pinang, cuaca yang tidak menentu menyebabkan sambutan terhadap bazar Ramadan sangat berkurangan terutama di sekitar Komtar, Bayan Baru, dan Lebuh Queen.

Tinjauan Berita Harian ke bazar Ramadan Lebuh Queen dan Komtar di sini kira-kira jam 6 petang kelmarin mendapati suasana lengang dan tidak mendapat sambutan berbanding tahun lalu.

Keadaan yang hambar dan tidak ceria itu menjadikan suasana berpuasa dan Aidilfitri tidak berapa disedari manakala peniaga yang berniaga di situ berkurangan.

Kebanyakan peniaga mengeluh kerana tahun ini rezeki mereka agak berkurangan selain terpaksa menaikkan harga makanan bagi menampung kos bahan mentah yang semakin mahal.

Abdul Majid Mohd Abdullah, 37, yang sudah berniaga sejak 20 tahun lalu, berkata pendapatan yang diperoleh tahun ini agak berkurangan dan kemeriahan bazar Ramadan tidak seperti dulu lagi.

“Faktor cuaca dan sikap berjimat-cermat orang ramai yang menjadikan bazar Ramadan kali ini begitu hambar. Jika dulu bazar tidak putus-putus dikunjungi pelanggan tetapi kini sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga sambilan juga tidak berminat untuk berniaga berikutan tidak mampu untuk menampung kos bahan mentah yang meningkat sehingga 30 peratus.

"Disebabkan itu juga, kami terpaksa menaikkan harga makanan. Faktor harga yang semakin mahal adalah punca utama orang ramai tidak berminat berkunjung ke sini," katanya yang berniaga nasi beriani.

Abdul Majid berharap pada minggu akan datang pelanggan akan lebih ramai berkunjung ke bazar Ramadan sekali gus mengembalikan semula kemeriahannya.

Peniaga murtabak, Ali Akhbar Sulaiman, 53, berkata jualannya di bazar Ramadan tahun ini sangat hambar kerana tidak ramai pengunjung dan disebabkan kenaikan harga barang makanan.

"Tahun lalu, saya dapat menjual sehingga 500 keping murtabak setiap hari tetapi tahun ini hanya mampu menjual kira-kira 300 keping saja. Saya sendiri tidak mengetahui mengapa jualan semakin kurang," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Junainah Sahlani, 27, berkata harga makanan yang dijual di bazar Ramadan agak mahal tidak sepadan dan semakin kecil dari segi saiznya.

"Lebih murah jika masak sendiri lagipun tidak banyak pilihan. Bazar kali ini tidak semeriah berbanding tahun-tahun lalu," katanya.

Berita Harian

Posted on 10.9.2008 at 7:04 PM

Selasa, 9 September 2008

Anif Ambil UPSR (Singgahsana)


Mila cuti hari ini Anif ambil periksa UPSR.

Opsyen Bersara (Singgahsana)


08.08.08 Buat keputusan untuk bersara.

08.09.08 Hantar surat untuk opsyen bersara. Berkuat kuasa 15 September 2008.
Semuanya telah tersurat. Telah pun ditandatangani Dekan akan surat@notis bersara. Tunggu apa jawapan pendaftar. Hak Persaraan Pilihan Sendiri adalah hak pekerja yang telah pun cukup syarat seperti aku.

8 Bulan lagi barulah boleh duduk berpencen di rumah...
Harap-harap aku punyai cuti yang banyak! supaya dapat lebh awal sedari menunggu lapan bulan.
Sekitar Mei 2009 aku akan melupakan dunia perkerjaan makan gaji. Ingin kerja sendiri! Berjaya atau tidak bukan masalahnya. Yang penting aku kini telah punyai kampung halaman; Desa Tualang bagaikan melambai aku kembali. Kembali dengan bayangan pohon ara, melihat merbah makan buah mempoyan.

Bagaikan langit & bumi suasana persekitaran Jenaris & Desa Tualang. Bayangkan jika di Jenaris mahu keluar rumah pun amatlah payah. Jalan di depan rumah telah bagaikan bandar. Ada sahaja kenderaan yang lalu. Padahal lorong rumahku bukannya jalan utama. Tiada privasi.

Di Jenaris malam-malam anak-anak Abg Rosli asyik lepak di kaki lima kedai depan rumaku. Rakan anak Kak Zah asyik hisap rokok tak pasti berapa umurnya. India di Jenaris hanya seorang dua yang rajin senyum. Hampir separuh jiran se blokku adalah kaum India. Mana ada ukhwahnya. Lampu jalan di Jenaris terus terang sepanjang malam, sekarang di sisi Jenaris ada Prima Saujana yang kedai mamaknya bertaburan dibuka 24 jam.

Jika di Desa Tualang anak-anak muda bual-bual di verenda masjid. Atau duduk saja di rumah. Mana ada masa melepak sepanjang malam & saban hari. Lampu jalan di kampung amat suram di kelilingi oleh kelkatu dengan desingan cengkerik.


Isnin, 8 September 2008

Wajah Pesara (Singgahsana)


Gambar ini aku ambil sempena langkah awal untuk aku meletakkan jawatan. Dalam syarat berpencen awal memerlukan sekeping gambar tentunya untuk kad pencen. Agar dengan memliki kad pencen aku boleh menerima potongan dalam banyak keperluan.

Apakah wajah ini nampak amat tua?.

Makin montel

Wajah Julai 2002


Melihat wajah dahulu memang terasa akan diri semakin tua. Tua bermakna usia makin penghujung.

Sememangnya hidup ini amat sementara.

Sabtu, 6 September 2008

Bekas Pengarah ITM selar pembaziran wang rakyat (Ceritera)


Posted on Thursday, March 22 @ 07:00:31

Dr Arshad Ayub begitu kecewa melihat pembaziran berlaku khususnya selepas persaraannya daripada perkhidmatan awam semasa negara sedang menikmati kemakmuran. Ini jauh berbeza dari zaman semasa beliau dalam perkhidmatan awam apabila kerajaan begitu berjimat dalam perbelanjaan, katanya. "Sebagai tetamu dalam sambutan besar-besaran seperti ini, saya tidak suka melihat semua ini. Mungkin ini disebabkan saya berasal daripada keluarga miskin," katanya.

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai kanan awam meminta kerajaan menghentikan "pembaziran keterlaluan" dalam perbelanjaannya supaya wang yang dijimatkan itu dapat digunakan untuk projek yang lebih berfaedah.

Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata: "Jamuan malam dan sambutan besar-besaran diadakan di merata tempat. Saya dapati banyak pembaziran dan ketirisan berlaku."

Sambil menyebut sebagai contoh RM220 bilion yang akan dibelanjakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan sekarang, beliau berkata jika hanya satu peratus pembaziran daripada angka itu berlaku, bermakna RM2.2 bilion akan hilang begitu sahaja.

"Apakah yang kita dapat lakukan dengan RM2.2 bilion? Banyak yang boleh dibuat dengan wang itu," katanya di Kementerian Kewangan di sini malam tadi ketika menerima Anugerah Mutiara Budi sebagai menghargai jasanya dalam perkhidmatan awam.

Dr Arshad, 78, telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk menjadi Ketua Setiausaha di tiga kementerian dan Timbalan Gabenor Bank Negara, tetapi namanya menjadi terkenal semasa menjadi pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) selama 10 tahun dari 1967. ITM kini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang memperkenalkannya bagi memberi penghargaan kepada individu yang menunjukkan perkhidmatan terpuji dalam bidang sosio-ekonomi dan pengurusan kewangan.

Sambil menyifatkan pembaziran itu sebagai satu dosa, Dr Arshad berkata Perbendaharaan, selaku agensi yang mengeluarkan dana kerajaan, perlu memastikan wang tidak dibazirkan.

"Ini adalah rayuan saya kepada kerajaan. Saya juga ingin mencadangkan supaya pegawai-pegawai Perbendaharaan menjalani kursus audit supaya mereka lebih faham tentang perlunya pembaziran ini dikurangkan," katanya.

Dr Arshad memberitahu Bernama kemudiannya bahawa beliau begitu kecewa melihat pembaziran berlaku khususnya selepas persaraannya daripada perkhidmatan awam semasa negara sedang menikmati kemakmuran.

Ini jauh berbeza dari zaman semasa beliau dalam perkhidmatan awam apabila kerajaan begitu berjimat dalam perbelanjaan, katanya.

"Sebagai tetamu dalam sambutan besar-besaran seperti ini, saya tidak suka melihat semua ini. Mungkin ini disebabkan saya berasal daripada keluarga miskin," katanya.

Dalam ucapannya, Dr Arshad berkata beliau seronok berkhidmat sebagai Pengarah ITM kerana ia memberinya peluang melatih pelajar Bumiputera, ramai daripadanya daripada keluarga miskin.

Katanya institusi seperti ITM memainkan peranan utama dalam membasmi kemiskinan memandangkan "pendidikan adalah senjata terbaik melawan kemiskinan".

"Kami menyediakan latihan yang amat baik dalam semua disiplin, dan kami bekerjasama rapat dengan sektor swasta bagi menentukan terdapat sekurang-kurangnya 30 peratus kakitangan Bumiputera di semua peringkat," katanya.

Dr Arshad berkata bahawa selaku ketua di ITM, beliau menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dan pelajar dari aliran Melayu diberi kursus menguasai bahasa Inggeris selama satu tahun. --BERNAMA

Jumaat, 5 September 2008

'Coklat stim’ Badang tua (Ceritera)



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu menjadi juara di ranjang, ramai lelaki warga emas kini memburu sejenis gula-gula perangsang seks haram terbaru di pasaran yang terkenal dengan jolokan ‘coklat stim’ atau ‘gula-gula Badang’.

Ternyata gula-gula istimewa terbabit bukan gula-gula sebarangan kerana harganya mampu mencecah RM10 sebiji sekali gus menjadikannya gula-gula termahal dan tidak mampu dibeli sebarangan pengguna.

Sumber Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kewujudan ubat perangsang seks menyamai gula-gula itu dikesan selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung kehadirannya yang dijual berleluasa di pasaran.

Menurutnya, gula-gula berwarna gelap sebesar guli itu dikesan masih diedarkan secara sulit oleh sindiket tertentu walaupun gula-gula perangsang seks asal dengan jenama ‘mentalk’ sudah diharamkan penjualannya sejak Jun lalu oleh KKM.

“Siasatan mendapati pihak sindiket sebelum ini menggunakan taktik berdasarkan kaedah jualan langsung untuk menjual gula-gula perangsang seks berkenaan kepada orang ramai dengan harga sekitar RM5 sebiji.

“Bagaimanapun selepas taktik itu dibongkar, pihak sindiket cuba menukar taktik dengan hanya menjual gula-gula perangsang seks haram berkenaan di premis kedai ubat, kedai runcit dan kedai ubat tradisional Cina,” katanya.

Menurutnya, ahli sindiket berkenaan akan menghantar terlebih dulu sekotak gula-gula perangsang seks terbabit ke kedai ubat sebelum diminta mempamer dan menjualnya di kaunter.

“Biasanya pemilik kedai tidak perlu melakukan promosi kerana gula-gula jenama mentalk yang diubah kepada bungkusan baru itu sememangnya dicari-cari pengguna yang mengetahui ‘khasiatnya’.

“Berdasarkan siasatan, gula-gula perangsang seks haram itu yang berisi 30 biji dalam setiap kotak akan habis dalam tempoh singkat walaupun ia dijual agak mahal,” katanya.

Sumber itu berkata, sebaik gula-gula berkenaan habis dijual, ahli sindiket akan datang ke premis terbabit dan menggantikannya dengan kotak gula-gula yang baru selain mengutip wang hasil jualan stok terdahulu.

“Setakat ini dua serbuan dilakukan di beberapa premis menjual ubatan tradisional di Petaling Jaya dan sekitar Jalan Raja Bot di sini, minggu lalu dan pegawai farmasi KKM merampas sejumlah gula-gula berkenaan.

“Kebanyakan peniaga yang disoal siasat mengaku mampu memperoleh keuntungan RM1 bagi setiap biji gula-gula yang mampu dijual semuanya dalam masa kurang tiga hari,” katanya.

Menurutnya, gula-gula perangsang seks berkenaan diharamkan penjualannya berikutan ujian makmal mengesahkan ia mengandungi analog tadalafil iaitu aminotadalafil yang sangat berbahaya kerana ia adalah kimia yang tidak diiktiraf keselamatannya oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

“Hasil penahanan beberapa peniaga itu, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 13(a) Akta racun 1952 dan jika sabit kesalahan tuan punya premis boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Ogos lalu, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi turut mengharamkan sejenis gula-gula perangsang seks yang mempunyai empat perisa iaitu kopi, halia, kayu manis dan pudina.

Hasil serbuan dilakukan, pihak farmasi merampas ratusan ribu gula-gula itu yang dianggarkan bernilai RM1.18 juta.

Menurutnya, operasi khas di seluruh negara itu dilakukan bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan Taladafil boleh menyebabkan pelbagai tindak balas pada tubuh seperti mati mengejut, sakit kepala, gangguan perut, penglihatan, kesan sampingan seperti sakit kepala, otot selain boleh membawa kepada penyakit hati dan buta.

Bahan kimia itu amat berbahaya kepada individu yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kandungan kolestrol tinggi. Ia boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh menjadi terlalu rendah. Akibatnya mangsa boleh pengsan mendadak atau pitam.

Harian Metro

Khamis, 4 September 2008

`Bagai tahu ajal tiba’ (Ceritera)


Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

JITRA: “Sejak tiga hari lalu, arwah banyak melakukan amal ibadat, malah tidak pernah meninggalkan solat Tarawih dan membaca al-Quran, seolah-olah dia tahu ajalnya sudah tiba.

“Bagaimanapun, saya tidak sempat menunaikan permintaannya yang mahukan gelang kaki perak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Jitra dan Herba Prima Marketing (HPM) Sdn Bhd, Dr Che Rozmey Che Din.

Isteri beliau, Noor Halawiah Abdullah Shukri, 39, meninggal dunia selepas kereta Honda CR-V yang dipandu terbabit kemalangan di Jalan Kelab Golf Darulaman, dekat sini, semalam.

Mangsa yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HPM Sdn Bhd dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di muka dan badan selepas gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh sebatang pokok di jalan berkenaan.

Mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaannya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat yang mengambil masa kira-kira lima minit.

Dr Che Rozmey, 40, berkata kali terakhir dia bertemu isterinya kira-kira 40 minit sebelum kemalangan berlaku ketika mereka berada di pusat perubatannya itu.

Ketika itu isterinya meminta dia membelikan gelang kaki perak untuk dipakai pada Aidilfitri ini, tetapi dia menolak hasrat arwah itu.

Katanya, arwah tidak merajuk kerana tidak dapat gelang yang diingininya itu, tetapi dia langsung tidak kelihatan gembira sejak kebelakangan ini.

“Ketika kejadian, saya berada di Alor Star kerana mempunyai urusan dan dimaklumkan mengenai kemalangan itu selepas dihubungi seorang kenalan yang memberitahu keadaan isteri saya yang parah.

“Bagaimanapun, seorang kakitangan saya menghubungi tidak lama kemudian dan memaklumkan yang arwah sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Jitra, semalam.

Dr Che Rozmey berkata, beliau dan arwah bercadang akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri untuk semua pengedar dan ahli HPM pada hari raya kelima nanti, tetapi majlis itu terpaksa ditukarkan kepada kenduri arwah.

Menurutnya, arwah yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan, banyak membantunya dalam menjalankan perniagaan HPM selain pernah menjalani susah senang bersama.

Katanya, ketika kejadian, arwah dipercayai baru pulang menghantar pembantu rumah barunya ke rumah mereka di Darulaman Heights, Bandar Darulaman kira-kira 800 meter dari tempat kejadian.

“Arwah dipercayai keluar semula untuk menjalani rawatan muka di Alor Star,” katanya.

Hasil perkongsian hidup mereka selama 16 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia enam hingga 15 tahun.

Jenazah Noor Halawiah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bandar Darulaman, dekat sini, selepas solat Asar, semalam.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Kubang Pasu, Inspektor Juhaisam Jusoh, berkata siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai memandu laju menyebabkan keretanya terbabas dan melanggar pokok.

Beliau berkata, tidak terdapat sebarang kesan brek di tempat kejadian serta tidak membabitkan kenderaan lain.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada anggota badan dan muka,” katanya ketika ditemui di perkarangan HJ di sini, semalam.

Harian Metro

Rabu, 3 September 2008

35 Tahun Tidak diJejak 5 (Singgahsana)

Rempiang basah disimbah dingin hujan, kodok menguap dari celahan pelepah bemban. Aku & Abg Jelani mencari lorong menoreh Abg Tan. Melalui tebing Sungai Keruh semak samun makin meninggi. Musim hujan di Desa Tualang membuatkan air melimpah di mana-mana. Berkali-kali kami patah ke belakang; silap lorong & terhalang oleh duri banung, resam & rumput rampai.

“Jangan sampai kita sesat lagi...” Sungut Abg Jelani sambil aku lihat dia kumat-kamit membaca jampi serapah. “Ini dia iDAN lorong yang anak Abg Tan tu terpaksa merangkak... jumpa pun lorongnya!”

Aku mengempiskan perut boroiku & merangkak di celahan pokok yang dahannya menjulur ke bumi. Macam komando mengendap mangsa pula. Sambil itu aku lihat Abg Jelani terusan menebas pokok renek & semak samun.

“Betul iDAN... ini tanahnya, jika tak silap ini tanah arwah si Tan Kidal” Aku terbayang wajah arwah Tan Kidal, dengan kacamata tebalnya. Ada dua anak sungai mengalir tenang. Sesekali aku nampak kocak haruan terkejut dengan kedatangan kami. Kasihan ia baru ingin menyambar kodok menguap yang leka di pohon bemban. “Kita kena buat titian iDAN”

“Kita randuk saja air sungai ni ... tak boleh Abg Jelani” Aku lihat airnya macam tak dalam & tak luas mana.

“Dalam anak sungai ini, mahu takad pinggang! basah kita nanti” Abg Jelani terus menebas batang bemban sana sini.

“Banyak ikan kat sini… Abg Jelani macam riak ikan haruan... !”

“Memang banyak ikan sejak dulu, ikan terboi, lampam, haruan... memang besar-besar!”

Tangkas Abg Jelani menebang pokok kelempung hutan sebesar betis. Tak padan dengan usianya. Bertenaga betul. Kemudian kami mengangkat bersama batang yang telah dikerat dua meletak celahan pokok di seberang anak sungai. Dua batang. Wah! cantik.

“Kita kena buat batang untuk berpegang” Aku lihat Abg Jelani menebang sepohon Geryong.

“Buah Geroyong ini burung Punai suka makan…”

“Tahu… iDAN nama pokok ini iyer!”

“Alaa!.. Abg Jelani saya ini orang kampung, dibesarkan di kampung” Orang kampungku kalau sebut periuk jadi peroyok. Perdu jadi perodu. Jadi Geryong jadi Geroyong.

“iDAN tenguk tu besarnya pokok Pulai, kalau tak silap tanah tu kepunyaan Wan Meah..” Memang besar pokoknya mahu dua pemeluk. Sudah boleh dipanggil balak.

“Wan Meah isteri arwah Pak Soli ke?”

“Betullah tu…”

“Bukan ini rezab sungai ke?!…”

“Patutnya macam tu…”

Abg Jelani telah ada di seberang sungai, selang beberapa meter ada sebatang anak sungai lagi. Aku lihat di menebang pokok halban pula. Pelik juga aku kenapa Abg Tan tak buat titian.

“Biasalah iDAN takut orang curi getah, getah kan ke mahal sekarang ni!, sebab itu sengaja Abg Tan buat lorong rahsia..” Benar juga telahan Abg Jelani.

“Jauh lagi ke Tanah Paya Asap…?”

“Seberang paya ini saja iDAN..”

Aku mula nampak banyak pokok Simpoh Air. Bunga rona kuningnya menarik minatku. Aku mula jatuh cinta dengan si Simpoh Air.


- Bersambung.

Selasa, 2 September 2008

35 Tahun Tidak diJejak 4 (Singgahsana)


Simpoh Air

Kami berpatah balik lantaran pintu yang berkunci. Apatah lagi ada anjing yang tentunya akan melalak menyalak jika kami meredah ladang kelapa sawit kepunyaan si Hamidah. Aku nampak kelibat bagaikan seorang Apek berseluar pendek menaiki kapcai keluar dari ladang sawit mana satu, menuju jalan utama.

"Dua minggu lalu semasa saya jumpa dengan Abg Tan, dia kata dia memotong getah di Tanah Paya Asap.." Orang kampungku tak panggil menoreh, mereka lebih biasa menyebut memotong.

"Haa ahh! betul juga, kita pergi kampung seberang ke rumah Abg Tan... iDAN pergi tanya!.."

"Saya tak tahu rumah Abg Tan tu mana satu!"

"Saya boleh tunjukkan rumahnya, emmm! nasiblah dengan adik saudara, kalau tidak kena saman saya ini. Kata tahu tempatnya tetapi kena minta tolong orang lain pula..!" Entah kali ke berapa Abg Jelani menyebut ayat yang sama.

"Telah terlalu lama kita tidak menjenguk tanah tu memanglah boleh sampai kita sesat larat..."

Telah sejam lebih aku & Abg Jelani buntu, tak dapat panduan untuk menjejak Tanah Payah Asap. Kami menuju ke kampung seberang. Sebelum sampai ke Sungai Keruh di kiri & kanan aku lihat ada ladang getah yang baru ditanam semula.

"Ladang getah ini saya yang usahakan, badan ni tak berapa larat tapi dipaksa juga sampai demam-demam saya!" Aku agak sekitar dua ekar yang ditnam semula selebihnya pokok getah yang telah boleh ditoreh, bertaburan tumbuhnya tidak disusun.

Mentari telah memamah embun, nampak semua dedaunan segar bugar. Tidak ada pun barang sebuah kenderaan yang melalui jalan tar kampung yang muat sebuah kereta sahaja. Aku melintasi Sungai Keruh yang airnya nampak jernih, ada lorong kecil sebelum jambatan. Hatiku terdetik mungkin lorong itu kot Abg Tan menoreh getah. Di seberang sungai ada beberapa motorsikal & sebuah kereta parkir di tebing sungai.

"Si Tan Pak Ngah Kopli punya kereta... mesti dema memancing, musim air dalam ni banyak ikan jelawat!"

"Guna umpan apa Abg Jelani, saya suka juga memancing...!"

"Buah kelapa sawit!..."

"Kalau sempat petang ini saya nak memancing..."

Aku lihat banyak kawasan yang dulunya hutan telah ditanam kelapa sawit. Sekitar seratus meter dari jambatan Sungai Keruh telah sampai rumah Abg Tan. Tak nampak pun kapcai di luar rumah. Mesti Abg Tan menolong memasak di rumah orang kenduri bertunang.

"Tak ada nampaknya Abg Tan ni ... mesti dia menolong memasak di rumah orang bertunang.. tu!"

"Betul jugak dia memang pakar memasak, iDAN tanyalah dengan anak-anaknya mesti ada yang tahu jalan ayahnya memotong getah.."

Aku parkir Avanza di teduhan pepohon di dusun desa. Redup amat kampung seberang. Abg Jelani keluar Avanza menghirup udara segar. Kasihan aku melihat dia begitu gelisah. Aku memberi salam, isteri Abg Tan telah bersiap untuk ke rumah orang bertunang, ada dua orang anaknya di ruang tamu, seorang tengah leka menggodek komputar seorang lagi leka menonton TV.

"Angah, tolong tunjukkan jalan pada Pak Cik ini ke kebun getah ayahnya memotong tu..!"

"Yang mana satu mak.."

"Ala..! jalan yang kena merangkak tu!..."

"Dekat titi Sungai Keruh tu ke mak..?"

"Betullah tu..!"

Seperti yang aku jangka, memang lorong yang aku nampak tadi. Impian aku untuk menjejak Tanah Paya Asap nampak makin tercapai.


Kenapa dengan Simpoh Air

- bersambung

||| Siri Satu ||| Siri 2 ||| Siri 3|||


Sebaran hadith fadhilat tarawih yang diragui (Agama)


Assalamualaikum,

Atas dorongan seorang sahabat, maka aku terasa beberapa perkara perlu diperbetulkan since pelajar2 UTP sendiri ada yang telah mengambil hadith tentang fadhilat solat tarawih pada setiap malam. Bagi sesiapa yg tatau, berikut dicopy pastekan fadhilat2 tuh:

Kelebihan Sembahyang Sunat Terawih
Diriwayatkan oleh Saidina Ali daripada Rasulullah s.a.w. sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi s.a.w. mengenai fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat Terawih pada bulan Ramadhan.

Malam pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan daripada Allah.

Malam kedua: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang yang beriman).

Malam ketiga: Berseru malaikat di bawah arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam keempat: Memperoleh pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

Malam kelima: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70,000 malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa orang yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.

Malam ketujuh: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi a.s. menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamam.

Malam kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Malam 10: Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.

Malam 12: Datang ia pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13: Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14: Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari kiamat.

Malam 15: Semua malaikat yang menanggung arasy, kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16: Allah s.w.t. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam 17: Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak-banyak pahala Nabi-nabi.

Malam 18: Seru malaikat: Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19: Allah s.w.t. tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.

Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21: Allah binakan sebuah istana di dalam syurga daripada Nur.

Malam 22: Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tiada dalam keadaan huru-hara di padang Mahsyar)

Malam 23: Allah s.w.t. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.

Malam 24: Allah buka peluang dua puluh empat doa yang mustajab bagi orang yang berterawih pada malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25: Allah Ta'ala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26: Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama empat puluh tahun ibadat.

Malam 27: Allah kurniakan kepada orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratal Mustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya seribu darjat di akhirat.

Malam 29: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala seribu kali haji yang mabrur.

Malam 30: Allah s.w.t. beri penghormatan pada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman yang bermaksud: Hai hambaKu! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kauthar.

Maka, aku nak jelaskan di sini bahawa hadith ni sangat2 diragui akan tarafnya sama ada hadithnya sahih, hasan, da'if atau maudhu. Byk pendapat mengatakan ianya maudhu', malah tidak dijumpai dalam kitab2 hadith maudhu' sprt yang dikongsikan dalam website nih:

Juga dalam rujukan website Al-Ahkam.net, ulasannya dari ustaz2 yang menjadi panel dalam forum tersebut antaranya:

alQardhawi (Kaifa nata'amul ma'a al Sunnah al Nabawiyyah) menjelaskan ada 3 neraca yang perlu dipegang oleh setiap Muslim supaya ia selamat dari penyelewengan dan takwilan secara jahil:

Pertama: mempastikan kethabitan/kesahiha n sesebuah hadith berdasarkan timbangan ilmiah oleh para muhaddithin (ulamak hadith)

Kedua: memastikan kefahaman yang betul terhadap maksud sesebuah hadith

Ketiga: memastikan sesebuah hadith tidak bercanggah dengan nas yang lebih kuat darinya yaitu dari alQur'an dan hadith-hadith lain yang lebih kuat kedudukannya.

Imam Syafi'iy yang mulia telah berpesan," Iza Sahhal Hadith Fahuwa Madzhaabi" (apabila sahihlah sesebuah hadith, maka itulah madzhabku."

Berbalik kepada hadith popular bulan Ramadhan (fadha-il Malam-malam Tarawikh Imam Ali) gagal melepasi neraca pertama: tidak thabit atau tidak disahihkan oleh mana-mana Imam Hadith. Tanyalah kepada mana-mana ahli hadith dan sudah pasti dia tidak akan jumpa hadith tersebut dalam Kutub asSittah (kitab hadis yang enam):

Bukhari, Muslim, atTurmudzi, Abu Daud, anNasa'iy dan Sunan Ibn Majah. Manakala ia tidak menepati neraca # 2, yakni bercanggah dengan kefahaman sebenar tentang tasawwur puasa dan tidak sesuai dengan nilai keilmuan dalam Islam. Puasa dalam Islam yang dijelaskan oleh sumber yang sahih ialah sebagai salah satu jalan kepada taqwa. Taqwa itulah objektif puasa dan taqwalah jalan kemenangan dan kejayaan umat Islam dunia dan akhirat. Metod fadhilat adalah untuk mereka yang lemah akalnya dan masih kebudak-budakan yang amat terangsang dengan fadhilat dan kebendaan.

Hadis ini kemungkinan direka oleh Syi'ah untuk menonjolkan maqam ketinggian Ali KW yang di dakwa oleh Imam-imam Syi'ah banyak menerima hadis-hadis khusus yang tidak pernah diriwayatkan oleh sahabat-sahabat lain.

Hadis ini juga bertujuan memikat golongan awam yang jahil dengan pelbagai kisah dan riwayat. ia direka oleh penglipurlara jahat supaya masyarakat jahil terpukau dan asyik mendengar ceritanya. Penglipurlara ini giat aktif di zaman Imam Ahmad Ibn Hanbal.

Hadis ini juga mungkin direka oleh ahli zuhud dan tasawwuf yang menyeleweng bertujuan membangkitkan keghairahan orang awam yang jahil supaya giat beribadat tanpa ilmu.

Demikianlah penjelasan AsSyaikh Mustafa asSiba'iy dalam kitabnya asSunnah dan Imam Jalaluddin asSyuyuti (Tahdzirul Khawasy min akazibil Qasyasy).

Maka jauhilah dan tegahlah pengedaran hadis fadhail tarawikh Ramadhan tersebut dan gunalah neraca-neraca ini bila kita didatangkan dalil dalam bentuk hadis. Terlebih dahulu pastikan kesahihannya. Ingatlah amaran baginda,"sesiapa yang merekacipta hadis atas namaku, maka dia telah menempah tempat di Neraka."

Lagi satu, kita kena kenal pasti apa antara ciri2 hadith yang tak sahih nih. Antaranya yang aku ingat, ganjaran yang diberikan adalah di tahap yg melampau2. Cthnya cuba baca fadhilat malam ke-9 "Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w". Tak ke melampau2 tuh? Kita boleh dapat pahala seperti Nabi Muhammad? Manusia mana yg sama perfect ngan dia? Baginda buat ibadah bertahun2..kita solat tarawih 1 malam saja.. dah sama pahala ngan Nabi ke? Mustahil.

Oleh itu..marilah kita sama2 perbetulkan kembali kefahaman kita. Jangan sampai kita tersalah ambil sumber atau mengambil sesuatu hadith secara membuta tuli. Ini akan menyebabkan kita boleh menyesatkan orang lain. Aku perasan ade website2 yang boleh pulak publish hadith nih. Maka jgn kita main amik saja sblm kita yakin akan kesahihannya.

Wallahu'alam

Apa yang salah harap dibetulkan

Wassalam

kutipan dari

http://ikutsukaaku.blogspot.com

Wajah iDAN Julai 2002



KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH

Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:

DARUL QURAN WAS-SUNNAH Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2 Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan. Tel: 09-7645816

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik, media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r. a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s. a. w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

7 Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan
(mendapat keampunan dari Allah Taala).

7 Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

7 Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur
(sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

7 Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A. S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

7 Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A. S.

7 Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S. A. W..

7 Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s. a. w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S. A. W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.
(Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S. A. W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S. A. W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S. A. W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.
(An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S. A. W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S. A. W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s. a. w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih. Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s. a. w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Surau Bunian (Singgahsana)


Cerita dedulu tentang Surau Bunian

Hari kedua berpuasa. Terawih pertama di Jenaris, punyalah ramai. Aku tersimpuh di luar surau, sembahyang atas tikar tambahan. Memang tak muat Surau Jenaris.

Mila masak Tom Yam, Anif bukan main berselera makannya. Sedap amat Mila masak. Selalunya tak masam sangat, kali ini terasa akan asamnya. Bubur lambok yang aku mabil di masjid UPM tidak habis. Semua lebih suka dengan Tom Yam yang Mila masak. Airnya pula air laici, tak cukup biarpun Mila telah bancuh sebesen.

"Ayah kita sembahyang di masjidlah ayah, Surau Jenaris tu ramai sangat orang... tak muat" Afiz mengajak aku sembahyang di masjid Kajang.

"Kita sembahyang di Surau Bunian sahajalah ayah!" Azim lebih suka sembahyang di Surau Bunian, Aziq & Anif pun sama. Jadi aku & Afiz terpaksa mengalah.

Terawih kedua di Surau Bunian, sekarang sudah ada pemisah buat jemaah lelaki & wanita. Imamnya dari kalangan mereka yang hafiz Al Quran, macam dua beranak bergilirgilir membawa makmum sembahyang terawih. Cuma ada empat shaf jemaah lelakinya. Memang damai sembahyang di Surau Bunian ini.



Isnin, 1 September 2008

Kemuliaan Bulan Ramadan


* Kemuliaan serta kelebihan Ramadan sabit dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW. Sesungguhnya Ramadan telah dipilih oleh Allah sebagai bulan bagi umat Islam melaksanakan ibadat puasa. Firman Allah: Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (Ramadan). (al-Baqarah: 183)

* Ramadan juga adalah bulan diturunkan al-Quran. Firman Allah: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza. (al-Baqarah: 185)

* Malam al-Qadar juga wujud pada bulan ini sahaja. Dalam bulan ini juga disunatkan kita bersolat Tarawih. Ini kerana pada bulan lain, solat sunat Tarawih tidak disyariatkan.

* Ketika Ramadan juga, pintu syurga dibuka. Sabda Rasulullah SAW: Apabila datang Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga. (riwayat Bukhari)

* Bahkan pintu-pintu neraka akan ditutup dan syaitan pula diikat. Sabda Rasulullah SAW: Apabila masuk bulan Ramadan dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan. (riwayat Bukhari)

Utusan

Hadith 1
Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."