Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 15 November 2012

Istanbul Aku Datang laris!

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

 


FILEM Istanbul Aku Datang arahan Bernard Chauly mencatat sejarah manis bagi Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) apabila berjaya mengaut kutipan tiket kira-kira RM1 juta selepas empat hari tayangan.
Perkembangan positif ini adalah sesuatu yang menarik kerana ketika ini filem yang blockbuster seperti James Bond - Skyfall, masih ditayangkan ditambah pula dengan cuaca hujan di sekitar Lembah Klang.

Terbukti filem komedi romantis lakonan Lisa Surihani, Beto Kusyairy dan Tomok itu ada aura yang hebat berdasarkan maklum balas yang baik diberikan kepada peminat serta wartawan yang sudah menontonnya.

Ini sekali gus meredakan sedikit kebimbangan terhadap kutipan tiket filem tempatan yang lembab akhir-akhir ini.

Pengurus Besar GBSB, Tengku Iesta Tengku Alaudin, berkata perkhabaran itu sangat menggembirakan kerana ia membuktikan peminat masih memberikan sokongan yang baik kepada filem yang bermutu lagi menghiburkan.

“Saya mewakili pihak produser berasa amat gembira dengan perkhabaran ini apabila Istanbul Aku Datang berjaya mencatat kutipan RM1 juta dalam masa empat hari.

“Malah pawagam terus diserbu peminat yang menyaksikan filem itu pada musim cuti perayaan dan sekolah ketika ini. Kami harap jumlah kutipan akan terus meningkat lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Iesta berkata, pihaknya sedar hakikat kelembapan pasaran filem Melayu dan import ketika ini lalu pada awalnya tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi kepada Istanvbul Aku Datang.

“Isnin lalu yang juga hari keenam tayangan, saya difahamkan tiket habis terjual. Saya tidak pasti berapakah kutipan terbaru namun saya harap peminat akan terus memberikan sokongan,” katanya.

Kegembiraan Tengku Iesta tidak sekadar kutipan saja bahkan dia berbangga dengan filem itu kerana setakat ini tiada komen negatif diberikan daripada penonton.

“Kalau adapun bukan hanya sedikit mengenai lakonan Tomok dan Aizat. Kita faham mereka bukannya pelakon sebaliknya penyanyi. Namun ada babak tertentu mereka mampu memberikan lakonan berkesan.

“Lisa (Surihani) paling banyak menerima pujian apabila kebanyakan pengkritik filem mengatakan watak Dian yang dilakonnya adalah yang terbaik setakat ini. Bernard berjaya membuat transformasi yang hebat terhadap Lisa yang baik terhadap lakonan Lisa,” ujarnya.

Istanbul Aku Datang, sebuah filem hasil kerjasama Grand Brilliance dan Red Films membawa penonton menikmati keindahan pemandangan indah di Turki.

Kisah bermula apabila Dian (Lisa Surihani) ke Istanbul untuk mengejutkan teman lelakinya, Azad (Tomok) yang juga pelajar jurusan perubatan. Dian bertekad mengambil kursus pendek di sana selain merancang pelbagai taktik untuk bertunang dengan Azad.

Namun, perancangan Dian hancur apabila Azad meminta Dian mencari rumah sendiri.
Dian kemudian sabar dan meminta bantuan seorang lelaki Turki yang menawarkan sebuah bilik. Malangnya, Dian ditipu lelaki itu kerana dia rupa-rupanya berkongsi rumah dengan seorang lelaki dari Malaysia, Haris (Beto).

Seterusnya tembelang Azad pecah dan ini menyebabkan Dian dan Haris mula terpikat hati walaupun pada awalnya mereka adalah seteru dalam rumah itu.
Tengku Iesta juga berkata, pihaknya terus membuat promosi bagi filem itu termasuk di kampuspengajian di luar kota.

“Penayangan Istanbul Aku Datang mendapat sambutan cukup baik di pawagam sekitar bandar besar. Mungkin ia kisah cinta ‘urban’.

“Sebenarnya penonton harus datang menonton dulu kerana filem ini boleh kena dengan sesiapa saja terutama pelajar yang merantau ke luar negara,” katanya.

Istanbul Aku Datang kutip RM1 juta

Oleh Rozdan Mazalan

Tengku Iesta (kiri) dan pengarah, Bernard Chauly (tengah) bergambar bersama
barisan pelakon Istanbul Aku Datang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam  
Tengku Iesta (kiri) dan pengarah, Bernard Chauly (tengah) bergambar bersama barisan pelakon Istanbul Aku Datang. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
 
FILEM Istanbul Aku Datang memperoleh kutipan RM1 juta bagi empat hari tayangan bermula 8 November lalu.

Perkembangan ini menunjukkan tanda positif bahawa industri perfileman tanah air makin pulih. Ketika ramai produser filem berhadapan risiko karya mengalami kerugian, filem terbitan Primeworks Studios ini mendapat sambutan.

Meskipun menerima komen beberapa pelakon dari latar belakang penyanyi gagal memuaskan hati penonton, namun kekuatan Istanbul Aku Datang masih dilihat dari sudut jalan cerita dengan dibantu pelakon berpengalaman.

Alhamdulillah, memang tidak dijangka filem ini terus menunjukkan peningkatan positif bagi minggu pertama, malah memberangsangkan dari segi jualan tiket," Tengku Iesta Tengku Alaudin, Pengurus Besar Unit Filem dan Drama Primeworks Studios

Pengurus Besar Unit Filem dan Drama Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, pihaknya sentiasa berharap industri perfileman tempatan kembali subur dengan sambutan yang baik di pawagam sekarang.

“Alhamdulillah, memang tidak dijangka filem ini terus menunjukkan peningkatan positif bagi minggu pertama malah memberangsangkan dari segi jualan tiket.

“Dalam situasi semua produser hari ini melalui perasaan berdebar-berdebar ketika filem mereka berada di pawagam, kami mampu menarik nafas lega.

“Tidak dinafikan filem ini terus mendapat pujian kerana jalan cerita yang berbeza. Selain itu, beberapa pelakon seperti Lisa Surihani dan Beto antara pelakon yang berjaya mengimbangi keseluruhan jalan cerita,” katanya yang dihubungi HIP, semalam.

Promosi melalui radio kampus

Menurut Iesta, pihaknya tidak berdepan masalah dengan sambutan penonton di bandar yang rata-ratanya merasai filem ini dekat dengan hati mereka terutama golongan remaja. Namun, situasi itu tidak dilihat di kalangan penonton luar bandar.

“Kawasan bandar besar seperti sekitar Lembah Klang, Melaka, Seremban, Johor Bahru dan Pahang menjadi lokasi yang mencatat penonton yang ramai. Namun, masih perlu ditingkatkan dari segi promosi untuk pawagam di luar bandar.

“Semuanya sudah diatur sejak minggu ini di mana kita bekerjasama dengan semua institusi pengajian tinggi (IPT) melalu radio kampus. Selain itu, promosi menggunakan medium elektronik akan terus dipergiatkan,” katanya.

Selain Lisa Surihani dan Beto Kusyairy, filem arahan Bernard Chauly dari genre romantik komedi ini mendapat sokongan kuat daripada pelakon seperti Tomok dan Aizat. Filem ini melakukan penggambaran di Istanbul, Turki.

Filem “Istanbul Aku Datang” Kutip RM1.8 Juta Selepas Seminggu Tayangan

Tahniah! Selepas seminggu ditayangkan di pawagam, filem “Istanbul Aku Datang” arahan Bernard Chauly telah berjaya mengutip hampir RM1.8 juta. Ia merupakan pencapaian hebat selepas tahun ini yang banyak melihat filem-filem lawak seperti Adnan Sempit 2 (RM6.82 juta), Mael Lambong (RM4.88 juta), Hantu Gangster (RM3.45 juta), dan juga Hantu Kapcai (RM3.19 juta) memegang tempat kutipan tertinggi. (via FINAS)

 Berlatarbelakangkan Istanbul di Turki, filem lakonan Lisa Surihani, Beto Qusyairy dan Tomok ini telah berjaya mencuri hati ramai penonton dan rata-rata komen yang diberikan semuanya adalah positif. Tidak kurang juga ada yang sudah menonton 2 kali.

Menurut komen seorang pengkritik filem, Syazwan Zakariah (@Syazwanzakariah) melalui akaun Twitter Grand Brilliance (@GrandBrilliance), beliau membayangkan filem ini sebagai sebuah cerita yang menarik dan tak jemu walaupun ditonton berulang kali.

Menerusi akaun Twitter Grand Brilliance juga, filem “Istanbul Aku Datang” telah mencatat rekod tersendiri apabila menjadi “trending topic” sebanyak 3 kali.

Lupakan sebentar bahawa Tomok adalah seorang penyanyi. Bagi OHBULAN!, Tomok berjaya membawa watak yang diberikan walaupun ini hanyalah filem lakonannya yang kedua.

Menarik bukan? Jadi, anda pula macam mana? Sudah menonton filem ini atau belum? Untuk anda yang tidak sukakan filem buatan Malaysia atau segan untuk menonton filem cinta, cubalah tonton filem ini kerana OHBULAN! yakin, anda pasti tidak akan kecewa. Oh ya, sampai bila mahu simpan pemikiran kolot bahawa filem Melayu tidak menarik?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan