Khamis, 15 November 2012
Harimau Malaya Hambar
SHAH ALAM - Hanya 10 hari lagi menjelang Piala Suzuki AFF, prestasi Harimau Malaya terus mencetuskan kebimbangan apabila hanya mampu sekadar seri 1-1 dengan Hong Kong dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Duka kekalahan kepada Vietnam dan Thailand sebelum ini nampaknya belum cukup menyedarkan anak-anak buah Datuk K.Rajagobal, sebaliknya terus terkial-kial untuk mencari rentak menyakinkan yang begitu ketara dalam aksi malam tadi.
Lebih kecewa Harimau Malaya mempersia-siakan peluang untuk memenangi perlawanan di hadapan 5,000 penonton walaupun pasukan lawan beraksi dengan 10 pemain selepas Lee Chi Ho mendapat kad merah lapan minit sebelum permainan tamat, apabila Hong Kong mencuri gol penyamaan pada minit ke-88 melalui Lam Hok Hei.
Jaringan penyamaan Hong Kong gara-gara kesilapan Mohd. Aidil Zafuan yang menyepak lemah kepada Khairul Fahmi Che Mat lalu disambar Hok Hei, yang bersahaja membawa bola ke dalam pintu gol bagi perlawanan berkesudahan seri 1-1.
Sebelum itu, Safee Sali meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-58 apabila memanfaatkan hantaran silang Amar Rohidan dengan menanduk kemas ke arah penjuru kanan pintu gol Hong Kong.
Corak hantaran Harimau Malaya ternyata tidak tersusun di samping kegagalan bahagian tengah yang dikemudi Safiq Rahim dan Amar mengawal permainan sehingga membuka ruang kepada Hong Kong mengatur beberapa percubaan berbahaya.
Hanya persembahan Safee dan Norshahrul Idlan Talaha memberikan sedikit kegembiraan kepada penyokong apabila beberapa kali melancarkan percubaan yang hampir menemui sasaran.
Sepakan gunting menarik Safee yang menerima umpanan Norshahrul pada minit ke-16 sedikit tersasar sebelum penyerang Pelita Jaya itu melepaskan sekali lagi peluang keemasan 15 minit kemudian apabila rembatan leret pemain itu dari sebelah kiri mudah ditangkap Yapp Hung Fai.
Sementara itu, Rajagobal ternyata kecewa dengan keputusan semalam ketika hasratnya mahu mencari kemenangan semangat menjelang Piala Suzuki AFF, hampir bertukar menjadi bencana.
“Saya amat kecewa dengan keputusan ini. Selepas Safee menjaringkan gol, kita sepatutnya meningkatkan permainan.
“Namun kesilapan Aidil dan Khairul Fahmi menyebabkan keadaan menjadi sukar meraih kemenangan.
“Saya juga kecewa kerana beberapa pemain beraksi di bawah tahap sebenar mereka. Namun Hong Kong beraksi dengan corak permainan yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini," katanya.
- UTUSAN
iDAN:
Tak ramai peminat bola datang memberi sokongan kenapa?... apakah faktor harga tiket RM20 itu agak mahal. Atau tak kena masa sebab ramai cuti dan balik kampung. Atau tak sanggup melihat pemain kebangsaan kita tewas & tewas lagi. Alahai dah dapat satu gol nampak leka; malahan gol penyamaan amat mengecewakan peminat bola sepak tanah air.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan