Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 1 November 2006

Respon Menarik ( Siri Delima Merkah )

Tepat sekali tekaan saudara itu, saya amat berminat membaca tulisan saudara yang begitu sahaja dan menarik. Itulah kelebihan penulis agaknya, pandai menarik minat pelayar seperti saya ini yang ada minat untuk menulis tetapi belum tahu ada yang minat untuk membaca! Sebenarnya yang menarik minat untuk saya membaca dan terus membaca (dan mungkin pelayar -pelayar lain juga) adalah isipati tulisan saudara, sesuatu yang saya boleh saya kaitkan dengan penghidupan harian sesaorang insan itu, insan biasa yang terpaksa menghadapi keadaan yang saudara lalui setiap hari.

Hal keluarga, kerja, masyarakat sekeliling dan bermacam-macam hal yang terpaksa diharungi atas nama kehidupan dan tanggungjawab. Pada zahirnya tidak ada apa yang terserlah, cuma saya boleh buat kesimpulan, ada insan di luar sana yang, kalau tidak lebih baik, hampir sama dengan kehidupan kita walau pun kenalan kita hanyalah di dalam alam maya yang tidak ada wajah, mahu pun suara.

Keistimewaan tulisan saudara adalah boleh menghidupkan suatu suasana yang kadang-kadang lucu, serious atau pun sedih. Hanya mereka yang telah melalui keadaan-keadaan seperti itu, saya rasa, dapat menghayati dan appreciate tulisan saudara itu. Sedikit sebanyak saya dapat membuat perbandingan dan menimba ilmu serta mengambil iktibar dari apa-apa yang dilalui tiap-tiap hari.

Apa jua, saya mengambil kesimpulan ini, hidup mesti diteruskan selagi jasad dan nyawa tidak lekang, tanggungjawab perlu dilaksanakan dan anugerah tuhan perlu dijaga dengan sempurna dan sebaik mungkin dalam apa jua keadaan dan suasana. Yang bezanya hanya cara perlaksanaan. InsyAllah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Cerita tarmos merah di meja saudara...lupa nak komen, ianya amat popular awal tahun 70an, biasa dilihat masa itu di hospital kerana ramai pesakit membawanya untuk menyimpan air panas. Kalau tak silap saya, ada dua atau tiga warna. Tidak berapa harganya, melainkan ada sebab tertentu saudara letak disitu, ada cerita disebaliknya? Salam hormat.

iDAN Menulis

Tentunya Penulis di atas rajin menulis & seorang yang sensitif dengan keadaan sekeliling. Penulis yang berjaya memang selalunya menulis dengan pengalamannya & menjaga nilai murni dalam penulisan dia. Aku yakin memang penulis di atas punyai nilai itu dalam diri. Memang elok diperkembangkan di dalam alam siber ini.

Kita memang kekeringan bahan bacaan yang berbentuk kemasyarakatan, berbentuk jatidiri bagi membimbing anak bangsa kita bermoral bersih. Limpahan fitnah, bahan serpihan, bahan porno dan bahasa rojak yang banyak terdapat di internet memang lambat laun akan merosakkan bangsa kita. Bagi aku memang bahasa itu jiwa bangsa. Kita perlu menjaga bahasa kita dengan baik.

Aku sebenarnya memang memerlukan kelompok penulis seperti di atas. Kalau boleh masing-masing punyai blog sendiri & kita menulis mengikut susun bahasa biasa yang tidak cacat seperti kebanyakan blog yang aku temui.

Menceritakan mengalaman menulis memang ada pahit & manisnya. Tak semestinya tulisan kita itu tepat dan memberi kesan yang baik kepada pembaca. Ianya mengikut penerimaan pembaca. Apatah lagi di internet, rata-rata pelayarnya orang serba ringkas. Nak cepat, nak laju, nak komputer pun tercepat di dunia. Mana ada masa nak fikir nilai tulisan di internet.

Aku pernah hantar e-mel yang membuatkan aku ditribunal. Enam bulan ditribunal e-mel dipantau, diarahkan bertukar tempat kerja. Padahal aku sekadar berkias, cerpen yang sekadar meluahkan perasaan kekawan. Malahan apa yang kutulis itu kekinian jadi kenyataan. Isinya, perjalanan organisasinya bagaikan menurut apa yang aku tulis dulu-dulu. Memang impak kepada penulis amat berisiko. Maka itu ada bidalan kita mengatakan. Mata pena itu jauh lebih tajam dari mata pedang.

Sebenarnya aku sejak di bangku sekolah lagi memang menjaga tatabahasa penulisan aku & tentunya pengarang seperti Hamka adalah Idola pengarang yang kukagumi. Teringat pertama kali tulis cerpen untuk majalah sekolah. Boleh terpilih cerpen itu. Tak simpan salinan asalnya; yang sedihnya tiba saat akhir tak cukup duit nak dicetak... Emmm memang kecewa amat masa itu. Kemudian baru aku banyak menulis di radio. Hantar puisi ke majalah, sekitar tahun 80an. Saingan untuk berkarya di media memang amat payah. Bayangkan pada tahun aku berkarya itu, kata pengarang Mingguan Malaysia sebulan dia menerima lebih dari 2,000 karya puisi, yang terpilih cuma dalam tak sampa 20 buah puisi. Karyaku pernah terlepas, puisi Embun & Burung Layang-Layang Di Kajang, senang lagi nak menghasilkan karya di majalah. Dulu memang kerap puisiku tersiar di majalan Ummi & Al Islam. Tapi tiada dorongan malahan Kak Mila tak berapa menyukai aku berkarya.

" Kerja tak berfaedah, hayal tak tentu arah bukan mendatangkan hasil pun... "

Aku ingat ayat itu pernah dihafazkan oleh orang rumahku. Malahan masa karyaku terpilih untuk menjayakan Ratib Seribu Syair untuk mencatatkan Malaysia Book of Records. Aku pergi seorang-seorang sahaja. Giliranku waktu itu dalam jam 6:00 pagi.

" Orang beratib tu bang berzikir, baca Quran ke.. qiamullail. ...ke bukan bersajak... apa manfaatnya! " Memang itu ayat yang lahir dari seorang isteri. Maka aku memang pergi sendirian. Pinjam kereta Wira Mila takut naik kapcai pepagi subuh. Kot meragam kapcai sapa nak ambil alih baca sajak Ratib aku itu.

Memang tak sangka aku menghantar cuma satu sajak sahaja. Terus terpilih. Bila aku bual dengan Panyair Amran kawanku yang kerja di DBP dia banyak hantar dipilih satu dua sahaja. Tentunya aku rasa kebolehanku memang boleh tahan, dengan satu sajak terus terpilih.

Masa meraikan kejayaan mendapat Sijil Malaysia Book of Records itu memang dalam bulan Syawal, aku ajak jugak Mila menghadirinya tapi faham sahaja. Ada tentangan tentunya. Jadi aku pergi dengan Afiz itu pun dengan pujukan ada makan besar, kita boleh makan sate perbagai. Yang lain tak pergi sama. Memang kalangan penggiat seni yang kalangan dari artis, Papa Rock, Sani Sudin, Erma Fatima dan ramai lagi. Ada kira-kira dua ratus lebih penggiat seni turut serta dalam Ratib Seribu Syair. Maka aku terpanggil untuk berbual dengan salah seorang kanak-kanak perempuan yang begitu petah aku lihat dia bercakap. Ayahnya aku tak kenal entah penyair mana.

" Adik ikut ayah ke?..."

" Iyer Pakcik.. adik bangga sangat bila ayah terima Sijil Malaysia Book of Records, adik buat salinan tunjuk pada kawan adik di sekolah..." Aku tak perlu bertanya macam mana sampai ke majlis keraian itu. Di rumah Gapena. Dia cerita semua. Dia bangga amat akan ayahnya. Aku pulak tak siapa nak bangga.

Tapi segalanya terhenti bila tahun 90an terlibat dengan komputer. Memang gila dunia ICT ini. Nak baiki komputer ambil masa berjam-jam memang tak ada masa nak berkarya. Namun jauh di sudut hatiku memang payah mahu dipisahkan dunia penulisan dari jiwaku. Rasanya terlalu banyak ingin diluahkan bagi kita sesama mendapat iktibar dari pengalaman hidup ini..


Apa yang menarik dalam gambar ini? Pokok kelapa ... nampak tinggi amat & kurus sekali. Gambar asal dari Jurugambar di Indonesia ..Shobar Maryanto.

Posted on 1.11.2006 at 10:40 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan