Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 4 November 2006

Pak Lah vs Mahathir ( Ceritera )


Sila Rujuk Catatan Situs ini dulu Pertemuan Dua Negara



Sat | Nov 04, 06 | 05:46:14 PM
Oleh Dr Mahathir Mohamad Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya tidak lagi dapat bercakap dengan secara langsung.

Hari ini saya diberitahu majlis NGO di Baling pada 3 hb November 2006 sudah dibatalkan. Polis memanggil penganjur dan mengarah supaya majlis dibatalkan.

Perkida Johor juga diarah supaya batalkan jemputan kepada saya pada 1 hb November 2006.

Dengan ini sudah 14 jemputan kepada saya dibatalkan atas arahan Kerajaan Pak Lah melalui Johari Baharom, Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Di masa yang sama semua media aliran perdana membuat laporan yang tidak berasas untuk memburukkan diri saya. Saya tidak boleh jawab, tidak boleh nafi walaupun laporan telah diputar.

Inikah yang dikatakan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar zaman Pak Lah. Segala saluran untuk seseiapa mengkritik kerajaan ditutup.

Jawapan Pak Lah dan konco-konconya tidak tertumpu kepada kritikan yang dibuat. Sebaliknya semua marah kerana saya membuat kritikan.

Jangan kritik.

Kalau nak kritik keluar dari parti.

Semua mesti akur kepada Pak Lah.

Jika tidak buang jawatan.

Apakah pernah perkara seperti ini berlaku di zaman Dato Onn, Tunku, Tun Razak, Tun Hussein dan saya sendiri?

Tunku dan Tun Hussein bebas mengkritik saya. Tidak ada sekatan. Polis tidak menganggu sesiapayang ingi dengar kritikan mereka. Tidak ada ugutan untuk bertindak terhadap Tunku dan Tun Hussein.

Percayalah apabila pemimpin tidak boleh ditegur dia akan salahguna kuasa. Dia akan utamakan kepentingan diri, keluarga dan kroni. Kepentingan negara, kepentingan rakyat akan diabaikan. Akhirnya negara akan rosak dan rakyat akan menderita.

Pak Lah dan keluarganya takut membenarkan saya bercakap kerana kebenaran apa yang saya akan perkatakan. Jika apa yang saya perkatakan tidak benar, tentu mudah untuk membuktikan apa yang saya kata adalah tidak benar.

Berani kerana benar.

Takut kerana salah.

Takutnya Pak Lah jika rakyat dengar saya ialah kerana dia dan konco-konconya bersalah.

Saya guna saluran ini kerana tidak ada saluran lain bagi saya. Sama-samalah kita renung perkara ini.

Sekian,

Dr Mahathir Mohamad
3 November 2006.

http://www.harakahdaily.net/

iDAN Menulis


Nampaknya pertemuan antara dua pemimpin besar ini memang tidak membuahkan hasil yang ranum. Perbalahan politik orang kita memang tak akan selesai nampaknya. Bekas PM & PM pun berbalah. Dari tuding menuding UMNO & PAS, ujud Parti KeAdilan, dulu Semangat 46. Entah macam-macam lagi bakal timbul lantaran lumrahnya politik memang tidak akan selarinya visi arah perjuangan baik antara individu mahupun kalangan parti itu sendiri.

Dari segi kepimpinan, parti, perjuangan, matlamat & hasil pembangunan ke mana arahnya, tentunya melibatkan keadaan ekonomi negara kita. Jika kita dapat mengesan berapa banyak pelabur makin ghairah melabur ke negara China atau negara lain yang murah kos operasinya memang kita makin rasa tergugat. Tentunya kita sedar makin banyak kilang di negara kita telah ditutup. Kehidupan kita makin dilanda inflasi. Kuasa membeli kita makin rendah. Malahan cubalah kita buat kajiselidik masalah hutang. Memang kita jadi rakyat yang kian dibelenggu hutang. Anak muda zaman aku dulu sekadar berhutang motorsikal, sekarang bayangkan ramai kalangan penjawat jawatan baru makin berani berhutang kereta yang begitu tinggi nilainya. Kita bagaikan telah mengutip rezeki di langit yang belum tentu akan jatuh ke riba kita.

Memang kita mampu berhutang, tetapi apakah dengan berhutang itu kita mampu menabung di hari tua. Menuntut ilmupun sekarang perlukan pinjaman bukan biasiswa lagi. Itu sudah pasti satu bebanan. Banyak lagi perkara lain yang kian memerangkap masa depan kita ke arah muflis, tidak muflispun mungkin kita akan papa. Tidak papa pun mungkin kita akan miskin, tak miskin pun tentunya kita akan jadi manusia susah; Untuk kehidupan & nafas & nyawa & dunia yang Tuhan beri percuma sahaja.

Sebenarnya kita menuju ke sebuah negara yang bakal meresahkan setiap rakyat. Kita kena banyak berjimat, kena perlu memikirkan jangan berboros. Kenapa kita berani menggadaikan kesenangan kita dengan kadar faedah yang tinggi bila berhutang. Tidak kiralah hutang itu secara Islam atau secara komersial bank, tapi memang kita kian menjerat tengkok kita dengan kepayahan masa hadapan. Kita jadi manusia yang tidak pandai mengagihkan harta sendiri apatah lagi harta negara.

Jika antara pemimpin pun berbalah berpunca harta; bagaimana kita boleh nampak arah kemajuan & keamanan jiwa raga.

Aku teringat akan Pak Cik aku yang darahnya masih mengalir di darahku; Jadi mangsa politik. Dia pergi meninggalkanku dengan perjuangannya yang memang belum selesai. Dia tak punya apapun harta untuk dipanggil kaya jauh sekali jadi jutawan segera seperti Mawi. Sekadar kian lupus dari catatan sejarah.

Isteri Allahyarham hanyalah orang biasa, jauh sekali jadi seorang hartawan.

BATU CAVES: Tidak ada kata-kata yang dapat mengungkapkan makna kegembiraan dan kebahagiaan hidup sebagai seorang isteri pejuang kemerdekaan tanah air, walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan pahit maung kehidupan.

Dan tidak ada nikmat yang lebih bermakna, selain kegembiraan dan kebahagiaan hidup bersama suami dan pejuang untuk kedaulatan agama, bangsa dan tanah air sekalipun kehidupan tidak menjanjikan masa depan yang cerah dan keselesaan.

Demikian pengalaman Hajah Suri Haji Yahya, 76, balu pejuang awal dan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Prof Dr Burhanuddin Al-Helmi.

Sebelum bersara sebagai Pengelola Sekolah-sekolah Perak Utara pada tahun 1978, beliau tinggal di kampung asalnya di Asam Kumbang, Taiping, Perak.

Tetapi pada tahun 1987, oleh kerana kesukaran hidup berseorangan, beliau terpaksa berpindah dan tinggal menetap menghadapi hari-hari tuanya di Taman Seri Selayang bersama anak lelaki dan menantunya serta empat orang cucu.

"Kepimpinan Allahyarham Dr Burhanuddin menjadikan kehidupan keluarga kami aman damai, bahagia sehingga tidak pernah kenal bertengkar atau berkelahi," katanya kepada wakil Harakah yang datang mengunjunginya.

Beliau menyaksikan malah turut terlibat dalam perjuangan dan pergolakan politik tanah air sejak awal l950-an sehingga Dr Burhanuddin ditahan di bawah ISA dan meninggal pada Oktober, 1969.

"Rakan-rakan di pejabat menjadi agak renggang dan memandang serong terhadap mak cik mungkin kerana takut ditangkap dan sebagainya. Tetapi ada juga jiran yang memberikan semangat, menasihati supaya jangan bimbang dengan mengatakan "suami puan seorang pejuang 'a great man'".

"Mak cik sendiri memang tidak ada perasaan bimbang ataupun takut walaupun ada kalanya kehidupan kami dalam serba kekurangan. Begitu juga dalam menghadapi ancaman dan gangguan pihak tertentu, kami tidak bimbang. Ini kerana keyakinan bahawa perjuangan Pak Doktor semata-mata jujur dan ikhlas untuk negara, berkorban seperti lilin untuk menerangi alam," katanya dalam nada agak sayu.

Ditanya mengenai kegiatan sekarang, beliau berkata, memang mengikuti perkembangan dan kejayaan PAS melalui akhbar Harakah, cuma keadaan tidak mengizinkan beliau untuk aktif sebagaimana dalam usia mudanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan mendoakan agar pemimpin dan generasi muda meneruskan perjuangan PAS bagi mencapai segala hasrat dan cita-citanya yang telah diperjuangkan sejak awal oleh Allahyarham Dr. Burhanuddin.

iDAN Menulis


Apakah perjuang Pak Cik aku ini salah arah? Bagaimana penghujungnya perjuangan anak buahnya nanti. Apakah boleh dari macam dua pemimpin yang berbalah tadi.

Amat payah PAS akan dapat menjadi parti politik yang boleh diterima semua kaum seperti Barisan Nasional, lantaran cukuplah bagaimana kita melihat dari sudut identiti Pemimpinnya, belum lagi perjuangan, Islam yang diperjuangkannya.

Jika sebahagian masyarakat Melayu boleh menerima Ketuanya beridentitikan Islam, berpakaian macam Tok Guru Nik Aziz, bagaimana dengan masyarakat cina? Bolehkah menerima identiti Tok Guru... rasanya amat payah. Seolah-olah kita orang Melayu nak terima Ketua berpakaian Sami Buddha. Tentulah tidak mungkin. Memang payah kita ini manusia, di satu sudut kecil sahaja; pakaian. Biarpun pakaian itu mencermin Islam tapi kita mentafsirnya perbagai biarpun kita tahu Islam itu memang agama benar. Agama kita anuti. Sampaikan ada kalangan kita sampaikan berani mengatakan Tok Guru Nik Aziz itu bertopengkan agama untuk mencapai cita-cita politiknya. Itulah kita.

Agama, Kaum, Perjuangan, Matlamat, Laba, Sejarah, Keturunan dan banyak lagi perkara yang boleh mengikat kita menjadikan kita terbelit sesama sendiri. Bagitulah juga yang kita nampak dua tokoh pemimpin ini. Siapa Pak Lah yang memang memang dari keluarga rapat dengan Islam. Bagaimana pula Tun Mahathir yang tentunya kita nampak akan visi utamanya pembangunan. Dua tokoh berlainan impian, apatah lagi Mahathir yang telahpun melepaskan jawatannya. Memang jadi perbagai andaian biarpun mungkin ada sesuatu yang baik dia mahu tegur & kritikkan.

Asal dipos pada 4.11.2006 at 6:14 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan