Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 5 Mac 2009

MENTAFSIR PUTIH dll (Sisipan Sastera)


Sajak...


MENTAFSIR PUTIH

Putih sebuah rumah
Rumah Putih
tapi pemiliknya berhati
arang.

Putih merpati
merpati putih
tapi matanya berbiji saga.

Putih sehelai bendera
bendera putih
berkibar di selaput awan.

Putih selimut
selimut putih
membalut tubuh
kebenaran.

Abdul Hadi Yusoff
Jan 2009

MALAM PERTAMA DI TAKAH TIGA

Dari damai rahim Bonda
kita bertapak ke alam fana
menuju gerbang alam baka.

Sahabatku
kembara ini pasti
mencapai satu destinasi
dan malam ini
engkau telah sampai
bagi menikmati
malam pertama di takah tiga.

Sahabatku
kuiring doa sayu
di pintu gerbang pilu.

“Ya Allah
kurniakanlah sahabatku
malam pertama di takah tiga
dengan malam syurga
jauhlah malam-malam neraka
hiruplah madu takwa
di teduhan wakaf takah tiga
bekalan uncang kembara
dari takah dua”.

Shukran
Chini

SIMFONI PALESTIN

Suara itu
suara meminta keamanan
berdekad lalu
tak sanggup bebola besi
menghujani daerah itu lagi.

Tangisan itu
tangisan ketakutan
meminta sebuah pengertian
yang tak di pedulikan
lara terus setia menemani Palestin.

Burung-burung pagi tak lagi bersiul riang
awan terlukis kehampaan
tiada lagi pelangi damai.

Kau terus angkuh Israel
bersama kekejaman
tiada cerita keamanan
yang kauberikan
hanya cerita kematian
mayat syuhada gugur dalam perjuangan
tangisan dan kematian
satu kemenangan bagimu
si hati batu.

Semoga sepotong doa keamanan
Palestin
masyarakat dunia
dimakbulkan-Nya

Nur Nabila Ahmad
Taman Sri Bakri 3,
Muar

PUISI MEMANUSIAKAN KEYAHUDIAN

Siapa antara kita tertawa keyahudian tatkala
berjuta sel hati bayi suci mati musim ini
lupa kerana kedunguan sebab sibuk punca
hilang hati
saat ini
ribuan isteri tentera, menteri, guru, agamawan Israel
yang bersama suami dan hamil
6 hingga 13 bulan kemudian, pasti, aku pastiiiiiiii!
yang lahir ialah berjuta anak Palestin
yang suci dan berani yang disayangi dan besar nanti
jadi seperti Musa, menentang nahi mungkar.

Yang lahir, lahir - berjuta bayi di AS
daripada rahim daripada perut
penuh kasih tepu cinta
bayi itu - kesemuanya Palestin jua Islam
aku amat yakiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiinnnnnnn!

Mukmin mukminah itu baik suci dan siddiq
bagai air mengalir disekat batu atau kuasa
alirannya pasti sejuk halus tajam dan berani
siddiq yang dibawa bukan untuk diri
tapi semua manusia, semua
selagi belum jadi binatang belum jadi jin
belum jadi syaitan.

Muslim muslimah itu sejahterakan alam ini
itu pasti, aku pasti. Andai tiada mereka,
dunia ini hancur di mana-mana. Jagalah
mereka
dengan sejahtera.

Daeng Ramliakil
Akademi Pengajian Melayu, UM

PERSATUAN (PEM) BUNUH BERLESEN (PBB)

Pohon itu bukan tempat berteduh
para tamunya terpasung di meja tulang-belulang
produk Iraq dan semua musuh Amerika
hidangannya daging import dari bumi
Palestin
minumannya darah berwap nafas
yang baru saja dicabut
dari tubuh yang sedang disusui
dari jasad yang mereka cabuli
bakarlah bendera Amerika, Britain atau PBB
yang hangus cuma hati sendiri
pijaklah patung Bush atau konco-konconya
yang terkoyak bukannya kulit
mereka.

Mereka suka dicaci maki
gemar mendengar kematian
akibat rempuhan berdemonstrasi.

Esoknya di kerusi PBB
mereka luluskan resolusi
Tunggulah kematian setiap hari!

Che Soo Ismail
Alor Setar 3-6 Januari 2009

SEGELOMBANG LAUT

Bintik-bintik buih
batas-batas ombak
adalah cintaku segelombang laut
yang memberi rezeki
yang meregut kematian.

Di balik segelombang laut
kupungut barakah riak ombaknya
kupetik bulan di pucuk alun geloranya
letak kasih sayang cinta kepada-Nya.

Segelombang laut kuhidupkan jiwa
menghimpun sakit dunia ini
tahap cinta ombak
reda rela badai kekuatan
pada-Nya jua kubertahan
berkampung harapan sepanjangan.

Jamaludin D
Sungai Petani - Shah Alam - Dungun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan