Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 3 Julai 2014

tragedi, trauma dan kehilangan

Sewaktu membaca akhbar kosmo tadi, aku terjumpa artikel tentang tragedi tanah runtuh di bukit antarabangsa bertarikh 6 disember, 2008. sudah dua tahun berlalu namun bila membaca detik-detik cemas yang diceritakan sendiri oleh mangsa, dan trauma yang mereka alami, hati kecil ini turut bersimpati. apatah lagi, ada di antara mereka yang kehilangan ahli keluarga tersayang. 

marilah kita selami perasaan mereka.
cerita keluarga rohana mahmood, 55 tahun. 

"SEGALA-GALANYA berlaku dengan pantas. Sedang lena diulit mimpi, saya tiba-tiba tersedar gara-gara katil berpusing 360 darjah. Ruang kamar tidur mula berdebu manakala lantai berselerakan serpihan pecahan atap genting. Suasana bertambah cemas apabila satu persatu batu-batu kecil jatuh dari siling bilik. Lebih menakutkan bila rumah bergerak bak kapal di lautan."

"Saya menjerit memanggil anak-anak dan isi rumah yang lain. Tetapi tiada jawapan kerana pada waktu itu hanya kedengaran jatuhan konkrit dan bunyi letupan seperti bom. Dalam keadaan gelap itu juga saya gigih keluar dari bilik untuk mencari mereka. Malangnya, saya sukar untuk keluar kerana depan pintu bilik dihalangi besi-besi tinggi. Ibarat terperangkap di dalam penjara, namun mujur saya berjaya meloloskan diri dan lega menemui mereka di ruang televisyen berhadapan bilik saya. mujurlah, dua anak saya, Ungku Afiq Ungku Farid, 24 dan Ungku Asif, 21, tidak panik pada hari kejadian."

Ketika itu juga ibu mertua Rohana dan ibu saudaranya sudah berada di ruang TV rumah. Kedua-dua anaknya pantas mencari laluan keluar dan berpatah balik ke dalam bilik untuk mengambil telefon bimbit serta lampu suluh.

"Saya tergamam sebaik sahaja menjengah ke luar rumah. Rupa-rupanya rumah kami telah bergerak sejauh 100 meter dari tapak asal dan meninggi seperti rumah tiga tingkat. Dalam ketakutan itu dua anak saya berjaya menemui jalan keluar. Tapi kami berdepan satu lagi pilihan sukar apabila ibu mertua dan ibu saudara saya tidak mampu meredah runtuhan dan menyelamatkan diri. Berkali-kali saya mencium tangan dan memohon maaf daripada ibu mertua. Air mata saya tumpah tanpa henti sehingga enggan melepaskan tubuhnya."

Ungku Afiq yang berada di sisi Rohana saat temubual bersama Kosmo!, menyifatkan tragedi seumpama itu menyebabkan mereka sekeluarga tersepit antara keputusan hidup dan mati. Pada masa yang singkat mereka perlu membuat pilihan sama ada lari menyelamatkan diri atau terus kekal di dalam rumah.

"Sebaik saja, menemui jalan keluar saya memaksa mama dan adik segera bertindak. Bagi saya lagi cepat kami keluar, ia akan memudahkan saya mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan nenek pula. Alhamdullilah, pasukan Bomba dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) tiba di lokasi kejadian dengan segera. Melihat saja kelibat mereka, saya terus membawa mereka ke rumah supaya mengeluarkan nenek dan mak cik," cerita Ungku Afiq, yang turut sedih kerana gagal menyelamatkan pembantu rumah yang tertimbus di tingkat bawah rumah.

Dalam pada itu, suami Rohana, Ungku Farid Ungku Abd. Rahman, 56, yang pada hari kejadian berada di Johor Bahru atas urusan kerja, mengakui sehingga ke hari ini mereka mengalami trauma dan sedih dengan insiden berkenaan biarpun mereka kini sudah menetap di Bukit Jelutong, Shah Alam. Ungkap Ungku Farid, setiap malam isterinya, mengigau dan menjerit-jerit nama anak mereka supaya lari selamatkan diri.

"Siapa tak sedih apabila rumah yang didiami sejak tahun 1993, musnah begitu saja. Tiada apa-apa yang dapat diselamatkan kecuali gambar keluarga. Inilah harta yang kami ada, selain bersyukur kerana masih dipanjangkan usia," luah Ungku Farid, sambil menunjukkan potret keluarga mereka yang tergantung di dinding bersebelahan pintu masuk.

cerita keluarga suami isteri, Datuk Shaharudin Adnan, 64, dan Datin Jamilah Mohd. Kassim, 61.
Mereka reda dengan pemergian anak bongsu kesayangan, Saiful Khas. Tatkala menceritakan tentang keperibadian anaknya, air mata Shaharudin mula bergenang. Dia sama sekali tidak menyangka anaknya yang ringan tulang dan menghormati orang tua, terkorban dalam keadaan menyayat hati.

"Arwah, seorang yang ceria dan suka membantu ibunya melakukan kerja-kerja rumah. Pada waktu lapang dia gemar duduk di rumah membaca buku berkaitan politik dan isu-isu semasa ataupun duduk di depan komputer. Malah, pada hari kejadian Saiful baru sahaja selesai menduduki peperiksaan semester akhir di Kolej Teknologi YPC-itWEB, Taman Maluri. Tetapi dia tidak sempat untuk menjalani latihan praktikal yang dijadualkan pada bulan Januari 2009," 

Pengalaman Shaharudin turut dikongsi Jamilah, yang menjelaskan mereka terdengar Saiful memekik memberitahu rumah mereka bergegar. Bimbang keadaan Saiful yang berada di bilik tingkat bawah, Jamilah dan suami berusaha memanggil Saiful menerusi balkoni di tingkat atas.

"Panggilan pertama sewaktu gelongsoran awal berlaku, tiga kali arwah menyahut panggilan kami tetapi saat gelongsoran kedua dan ketiga, suara Saiful terus sepi. Sehingga kami menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal dikesan," ujar Jamilah ketika ditemui Kosmo! di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.

Menurut Jamilah, meskipun tapak tragedi tanah runtuh dan tapak asal rumahnya sudah dibaikpulih tetapi untuk membina semula kediaman yang baru di tapak tersebut mungkin tidak. Bukan kerana bimbang tragedi berulang tetapi terlalu banyak momen pahit manis terdapat di sana.

sofi: takziah untuk mereka. 
sumber: kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan