Ikmal Johari | Tuesday, 7 September 2010
Semasa rasulullah menghantar Mu’az bin Jabal ke Yaman, baginda sempat menitipkan beberapa pesananan kepadanya. Antara pesanan yang diingatkan oleh rasulullah kepada Mu’az ialah agar beliau sentiasa berlaku baik dalam pergaulan dengan orang ramai.
Sabda Rasulullah dalam hadith hasan sahih yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi, “Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”
Pesanan ini diberikan oleh Rasulullah kerana ia mempunyai kepentingan yang tersendiri. Lebih-lebih lagi, kehadiran Mu’az di Yaman adalah sebagai duta Islam yang akan menjadi guru, tempat rujukan feqh dan hakim kepada penduduk di sana. Oleh sebab itu, Mu’az perlu bergaul dengan cara yang baik dan sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia kepada para penduduk.
Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali, Rasulullah mengingatkan Mu’az terhadap hal ini kerana kebanyakkan manusia menyangka bahawa ketaqwaan hanya boleh dicapai dengan melaksanakan perintah Allah tanpa mengambil kira hak hamba-Nya. Sedangkan bersikap baik dengan orang ramai juga antara pra-syarat seseorang itu mendapat keredhaan Allah.
Allah telah berfirman dalam surah al-Imran 3: 133-134 yang bermaksud, “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.”
Bersikap baik dengan akhlak islam adalah tuntutan yang besar dalam agama. Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Ahmad, An-Nasai, Ibnu Majah dan Abu Daud, Rasulullah pernah ditanya oleh para sahabat tentang apakah anugerah terbaik yang boleh diberikan oleh seorang Muslim kepada orang lain. Maka Rasulullah menjawab, “Akhlak yang baik.”
Bukan itu sahaja, Rasulullah juga memberitahu kepada para sahabat bahawa orang yang berakhlak mulia akan mencapai darjat seperti seorang yang berpuasa dan berqiamulail (solat malam). Berita gembira ini disampaikan oleh Rasulullah agar orang yang mengejar takwa tidak hanya terus-menerus berpuasa dan berqiamulail sedangkan mereka meninggalkan akhlak yang mulia.
Imam Ahmad dan Abu Daud merekodkan bahawa Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang berakhlak mulia mencapai kedudukan seperti seorang yang berpuasa dan berqiamulail.
Jika bercakap tentang akhlak mulia, pasti semua agama turut menekankan hal ini. Namun yang membezakan Islam dengan agama yang lain ialah petunjuk datang dari Allah dan Rasul.
Neraca ataupun petunjuk bagaimanakah sikap akhlak yang diterima oleh Islam sudah pasti diambil dari diri Nabi Muhammad SAW. Selari dengan apa yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Ahzab 33:21 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
Manakala Imam al-Hakim pula merekodkan sebuah hadith dari Uqbah bin Amir al-Juhani, katanya: “Rasulullah bersabda kepadaku: Wahai Uqbah mahukah saya memberitahumu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Kamu menyambung silaturahim orang yang memutuskannya, kamu membantu walaupun sebelum ini dia enggan membantumu, dan kamu memaafkan sesiapa yang menzalimimu.”
Manakala Salam bin Abu Muti’ pernah ditanya oleh orang ramai tentang akhlak mulia. Kemudian beliau menjawab soalan ini dengan membaca beberapa rangkap puisi. Katanya:
Kamu melihatnya apabila dia datang dengan wajah yang girang, Seolah-olah kamu memberinya barang yang kamu minta daripadanya, Jikalau hanya rohnya sahaja yang dimilikinya, Dia tetap bermurah hati memberinya kepada pemintanya, Maka peminta hendaklah bertaqwa kepada Allah, Dia tetap lautan walau dari sudut mana kamu mendatanginya, Laut dalamnya mengandungi kebaikan dan pantainya mencurahkan kemurahan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan