PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan masih memerlukan sumbangan sektor
swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam penyediaan biasiswa
pendidikan untuk membantu meningkatkan kualiti modal insan negara, kata
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata walaupun kerajaan ada
menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan tetapi ia tidak mencukupi
kerana bilangan yang masih memerlukan bantuan pendidikan amat besar
terutama mereka yang kurang berkemampuan.
"Jadi kerajaan amat mengalu-alukan sumbangan sektor swasta, NGO dan
syarikat yang berkemampuan untuk membantu negara meningkatkan dan
melahirkan anak-anak Malaysia yang terpelajar terutamanya dalam bidang
sains dan teknologi," katanya pada majlis pelancaran Biasiswa Yayasan
Pendidikan Cheras (YPC) dan Utusan Malaysia di sini Rabu.
Beliau berkata inisiatif seperti itu perlu diteruskan dan gabungan
antara YPC dan Utusan Malaysia sesuatu yang amat baik kerana pelajar
berbilang kaum akan mendapat faedah yang bersandarkan kepada Gagasan
1Malaysia.
"Saya berharap pelajar yang terpilih mengambil peluang itu dengan sebaik
mungkin dan selepas ambil sijil dan diploma mereka akan berpeluang pula
untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Projek biasiswa YPC-Utusan itu akan memberi peluang kepada 200 pelajar
kurang berkemampuan yang memperoleh sekurang-kurangnya lima kredit dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Pelajar terpilih akan mendapat biasiswa bernilai RM5,000 setahun untuk
mengikuti kursus Foundation in Business dan Teknologi Maklumat selama
setahun.
Pada sidang media kemudiannya, Pengerusi YPC Datuk Wira Syed Ali
Alhabshee berkata borang permohonan untuk biasiswa itu boleh didapati
menerusi akhbar Utusan Malaysia mulai bulan ini.
"YPC memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk biasiswa itu dan akan
diberikan untuk pelajar yang memilih untuk melanjutkan pelajaran di
Kolej YPC sahaja," katanya.
YPC sejak ditubuhkan sepuluh tahun lepas telah menyediakan bantuan pendidikan pelbagai bentuk berjumlah hampir RM7 juta.
Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan