KUALA LUMPUR: “Semua yang saya lakukan untuk ibu bapa menyebabkan sentiasa belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan terbaik,” kata penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kolej Teknologi YPC iT-WEB (Kolej YPC), Nur Aini Mawi, 21.
Nur Aini yang mengikuti Diploma Teknologi Maklumat Perniagaan di kolej itu berkata, dia berharap anugerah diterimanya itu dapat membalas jasa ibu bapa yang membanting tulang bagi membiayai pengajiannya.
“Bapa seorang buruh kasar di tapak pembinaan. Bapa melakukankerja berat, manakala ibu terbabit sama dengan mengacau simen. “Saya berharap ini dapat memberi semangat supaya saya lebih berjaya pada masa depan,” katanya selepas menerima anugerah itu dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, pada Majlis Konvokesyen ke-8 Kolej YPC, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Kolej YPC , Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Noel Robert. Pada majlis itu, 201 graduan menerima diploma dan sijil kursus persediaan.
Nur Aini berkata, anugerah itu juga membuktikan sesiapa saja boleh berjaya meskipun tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di universiti selepas Sijil Pelajaran Malaysia. “Saya berharap melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi menyumbang kepada pembangunan teknologi maklumat negara,” katanya.
Penerima Anugerah Pelajar Terbaik, Lim Chin Tiong, 21, pula berkata, pengiktirafan itu adalah hadiah kepada pengorbanan bapanya yang menyara keluarga dengan bekerja sebagai mekanik di Klang. Dia yang turut mengikuti Diploma dalam Teknologi Maklumat Perniagaan berkata, ia juga umpama ganjaran atas penat lelah berulang-alik dari rumahnya di Telok Gadong, Klang bagi mengikuti kelas di Cheras.
“Saya keluar rumah seawal jam 4 pagi, menaiki komuter sebelum bertukar bas untuk ke kolej. Saya melakukannya kerana perlu berjimat,” katanya.
Lim juga berterima kasih kepada kolej yang turut memberikan bantuan kewangan kepada pelajar kurang berkemampuan sepertinya sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan nilai purata gred 3.85. Seorang lagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik, pelajar Diploma Perakaunan, M Thaevieswari, 21, pula berkata, ia adalah kenangan manis memandangkan dia terpaksa menjaga ibunya yang sakit sehingga menamatkan pengajian.
“Ibu saya tidak sihat, mengalami kemurungan dan sukar tidur. Saya kena jaga dia dan pada masa sama perlu mengikuti kelas,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan. Selain mereka, seorang lagi pelajar Diploma Perakaunan, Ayu Oktaviani, 21, turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.
Sementara itu, Koh pada ucapannya menyarankan graduan supaya merebut pelbagai peluang pekerjaan hasil pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Pada masa sama katanya, graduan perlu meneruskan kecemerlangan dalam pendidikan untuk diterapkan apabila menceburi alam pekerjaan kelak.
“Kita kena hormat dan sukakan pekerjaan kita,” katanya.
http://my.linkedin.com/pub/nur-iezah-ibrahim/5/30b/787
Tiada ulasan:
Catat Ulasan