PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan negara ASEAN lain untuk membuat bidaan bersama selaku tuan rumah Piala Dunia 2034 harus dibuat dengan perancangan yang teliti.
Sambil menyokong usaha itu, beliau berkata, cadangan bidaan itu merupakan idea asal badan induk bola sepak kebangsaan berkenaan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Presiden II FAM dari 2007 hingga 2010.
“Saya lihat bidaan (bersama) ini akan menjadi lebih serius dan saya fikir ia merupakan satu idea yang baik,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai KBS, di sini hari ini.
Khairy yang memulakan tugas rasmi selaku Menteri Belia dan Sukan yang baharu hari ini, berkata beliau akan menghadap Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat bagi membincangkan lebih lanjut berhubung bidaan itu.
“Secara dasarnya, saya melihat ia (bidaan) idea yang baik dan kita seharusnya membuat perancangan yang teliti. Walaupun bidaan dibuat oleh persatuan (FAM), kerajaan yang akan mengendalikan kemudahan dan sebagainya,” kata beliau.
Dua hari lepas, Tengku Abdullah yang juga anggota Jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF), menyifatkan 2034 sebagai tahun paling sesuai buat rantau ini khususnya Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia.
Tengku Abdullah membayangkan pada 2034, Malaysia mampu menjadi tuan rumah Piala Dunia bersama sebuah negara Asia Tenggara, seperti yang dilakukan Jepun-Korea Selatan pada 2002.
Media juga melaporkan bahawa baginda turut diminta mempengerusikan sebuah jawatankuasa peringkat Asean bagi tujuan membida kejohanan bola sepak dunia itu dan ia dijangka diumumkan selepas mesyuarat bersama wakil negara Asean pada 16 Jun.
Khairy dan timbalannya, Datuk M. Saravanan memulakan tugas rasmi masing-masing hari ini, selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara, semalam.
Sumber: Bernama
iDAN:
Wah 10 tahun lagi sempatkah aku menyaksikannya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan