Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Sabtu, 8 Disember 2012

SAKA doa Mazil

Ada orang berpesan agar jangan menceritakan pengalamanku ini kepada orang awam, kelak hanya menimbulkan fitnah dan mereka akan mencibirkan kamu kembali. Saya pula berpendapat bahawa; kerana tidak mahu mempercayai perkara seperti inilah yang menyebabkan akhirnya saya terjebak ke dalam penderitaan yang berpanjangan. Saya mengambil masa hampir dua tahun setengah untuk mengambil keputusan mencuba perubatan secara tradisional selepas seorang teman memberitahu bahawa dia berkeyakinan sungguh bahawa penyakit saya adalah angkara jin / saka. Bahkan saya sanggup meninggalkan amalan saya iaitu membaca ‘doa manzil’ yang sangat ampuh dalam mengatasi masalah gangguan makhluk halus semata-mata hanya kerana mahu memastikan bahawa andaiannya dusta semata. Saya merasa marah kepada teman saya itu, ketakutan dan keliru. Saya amat meyakini hanya Allah yang maha berkuasa, sedangkan makhluk tidak mampu berbuat apa-apa seandainya kehendaknya tidak bertepatan dengan kehendak Allah atau dalam kata lain ‘tanpa izinNya’. Begini kisahnya……….

Semasa menyertai Kursus Khemah Ibadah yang dianjurkan oleh Persatuan Guru Pelatih sebuah maktab perguruan (kini institut pendidikan), kami seramai 4 beradik angkat diserahkan kepada keluarga Pak A (bukan nama sebenar). Ketika itu saya sudah hampir bernikah. Saya terpaksa memilih untuk bernikah belum tamat menjalani kursus perguruan kerana bimbang akan dihantar ke Sabah atau Sarawak sedangkan bakal suami saya pula bekerja di semenanjung. Saya bercerita tentang ehwal saya yang akan bernikah tidak lama lagi kepada ibu angkat saya. Dia berkata “nanti makcik bagi ye, nanti kalau gaduh besar pun, dia (suami) tak lari, dia balik kat kita.” “Apa tu makcik? Ayat Qur’an ke?” Tanya saya. “Nantilah makcik bagi” jawabnya.

Tiba hari terakhir, sedang kami sibuk bersiap, Mak B (bukan nama sebenar) datang kepada saya. “Nah, ambik ni ye,” ujarnya sambil menyalami tangan saya. Saya mengangguk saja seraya tersenyum lalu menyimpan barang yang diberinya itu ke dalam kocek tanpa melihatnya. Maklumlah, saya agak sibuk tatkala tu. Tambahan pula saya memang dididik oleh orang tua supaya sentiasa bersangka baik dengan sesiapa jua. Tiba di asrama, saya keluarkan kertas tersebut untuk melihat apakah yang diberikan oleh Mak B tadi. “Ya, Allah, apalah Mak B ni, orang tanya ayat Qur’an ke tidak, tak jawab!” saya menggerutu lalu membuang kertas tersebut ke dalam bakul sampah. Kertas itu tertulis mentera di dalam Bahasa Melayu. Saya tidak membaca langsung kertas itu kerana ketakutan. Rupa-rupanya ia tidak berakhir di situ…..

Maka bermulalah episod baru dalam hidup saya. Saya sering keletihan. Ada kawan mengatakan saya ini panas baran. Tiada selera makan. Amal ibadah harian seperti solat fardu dan lain-lain masih saya jaga dalam kepayahan. Saya tertanya-tanya mengapa saya jadi begini. Kadang-kadang ingin saja masuk ke dalam badan orang lain untuk merasa seperti apakah mereka itu. Guru-guru pelatih lain aktif, sedangkan saya selalu tidur dan tidur. Saya terfikir mungkin sebab saya sudah berkahwin agaknya.

Semasa semester 5, saya diposting-praktikumkan ke negeri tempat suami saya bekerja. Ketika itu terlalu ramai guru sandaran, jadi kami terus menjalani praktikum di tempat yang akan ditempatkan mengajar sebaik habis berkursus sekaligus. Semasa praktikum, saya langsung tidak dapat berbuat seperti yang sewajarnya sedangkan pada praktikum pertama saya mendapat gred A. Keadaan bertambah parah apabila saya didapati mengandung. Selesai ‘bersama’ dengan suami, saya merasa terlalu lemah, sehinggakan membuka mata, menggerakkan jari atau berkata-kata pun tidak mampu saya lakukan.

Kejadian mewarisi saka berulang lagi ketika berubat. Ketika itu saya telah beranak dua. Anak saya lahir pada tahun 1995 dan 1996. Rahim saya selalu turun. Kadang-kadang di sekolah saya rasa tidak selesa duduk. Saya menjadi murung dan bermacam masalah timbul akibat masalah kesihatan saya itu. Anak-anak tidak terurus, urusan rumahtangga tunggang-langgang dan hubungan kami suami isteri menjadi dingin. Syukurlah kami berdua masih diberi nikmat iman olehNya. Sabar mengatasi segala-galanya. Saya berubat dengan Mak C (bukan nama sebenar) kerana setahu saya dia tidak boleh diganggu selepas waktu Maghrib. Saya beranggapan dia hendak mengaji, bersolat sunat dan sebagainya. Baguslah jika demikian, fikir saya.

Suatu hari dia berkata hendak memberi saya satu amalan kerana kasihankan saya yang sering minta diurut dan anak pula setahun satu. Amalan itu bertujuan untuk menjarakkan anak. “Apa dia Mak C? Ayat Qur’an ke?” soal saya. Nadanya hampir sama dengan soalan yang saya kemukakan kepada ibu angkat saya dahulu. “Alah, kita usaha, tak salah kan... ..…” jawab Mak C. Saya silurus bendul ini terkebil-kebil antara faham dengan tidak. “ Kalau nak, nanti datang, bawak pisau, bungkus dengan kain putih”. Di sana saya tiada saudara mara, dan saya pula seorang yang perahsia. Saya tak sanggup masalah peribadi saya akan menjadi bahan perbualan rakan-rakan setugas pada waktu senggang.Tanpa bercerita kepada seorang pun jua, saya dan suami pun berbuatlah seperti yang diminta.

(Tiba di perenggan ini saya sudah tidak dapat bertahan lagi, hujung jari-jemari saya terasa seperti ditusuk-tusuk. Ibu jari kaki kanan saya juga sama. Lengan kanan saya mula terasa sakit. Saya cuba menjampi dengan cara yang diajar oleh Rasulullah saw. Iaitu memegang dengan tapak tangan bahagian yang sakit sambil membaca bismillah tiga kali dan “a’uuzu bi’izzatillaahi waqudrotihii mins sarri maa ajidu wa’uhaazir” sebanyak tujuh kali. Namun bila saya pegang siku, sakitnya berpindah ke belikat, bila pegang belikat, ia menjalar ke ketiak….ha ha ha…. Tahulah saya ini kerja siapa. ‘Dia' marahlah tu, sebab saya mengumpat pasal ‘dia’. Malas hendak melayan, saya berhentikan menulis kisah ini beberapa ketika)

Bersambung…….Mak C menjelaskan bahawa ayat yang diberi itu hendaklah dibaca semasa sedang ‘sedaaap bersama suami’. Saya sebenarnya tidaklah berapa faham, tetapi terangguk-angguk mengiakan kata-katanya. Sampai di rumah, setelah berwuduk dan bersiap-siap untuk tidur, saya pun mengambil kertas pemberian Mak C itu. Inilah silap saya, sudah sampai di rumah baru hendak diperiksa. “Eh, ayat apa ni bang? Mak C kata baca masa tengah sedap bersama suami, tapi tak kan nak baca ayat ni. Patutnya kan baca doa biar dijauhkan daripada syaitan, zuriatnya pun tidak diganggu syaitan. Tak naklah! Ini nak menjemput syaitan ni bang!” “Kalau tak nak, sudahlah, buanglah,” balas suami saya. Kasihan suami saya, sudahlah letih bekerja, balik rumah kena urus dua anak kecil, isteri pula sakit….Ayat pemberian Mak C itu berupa mentera berbahasa Melayu yang diakhiri dengan ayat... ... dengan berkat la ila ha illah. Saya cuma membaca sekali lalu lantas membuangnya kerana….kerana takutlah apa lagi!

Sakit saya bertambah lagi. Kali ini saya selalu merasakan tulang belakang saya dari pangkal hingga ke hujungnya seperti dihiris-hiris dan diperah dengan air limau. Kepala pula terasa amat sakit seperti hendak meletup. Aduh, tak dapat hendak digambarkan!..… peha kanan di atas lutut pula selalu lebam, bila diadukan kepada suami, jawapannya, “ada terlanggar apa-apa kot” …….Terkadang terlintas juga di fikiran….ntah ntah, ada orang ‘buat’ aku tak? Hei…tak kanlah….setiap kali hendak tidur, amalan sunnah amat saya jaga sejak di bangku sekolah lagi….amalan itu semua insyaAllah dapat menghindarkan perbuatan sihir, khianat dan lain-lain, saya amat berwaspada kerana dahulu saya pernah merancang untuk berkahwin dengan seseorang tetapi tidak kesampaian……..saya terus tertanya-tanya sakit apakah ini, apakah dosa saya sehingga diuji begini. Apabila tidak tertahan dengan perangai ‘pemalas’ saya (tidur memanjang) kadang kala suami mengeluarkan kata-kata yang pedas. Saya apa lagi …… minta cerailah….. perempuanlah katakan….. alhamdulillah akhirnya beliau jugalah yang menyabarkan dan membelai saya. Inilah berkatnya bercinta selepas berkahwin. Sesekali saya masih berurut juga dengan Mak C. Dia tidak bertanya apa-apa dan saya juga tidak menceritakan apa-apa.

Hujung tahun 1997 saya mengikut suami berpindah tempat kerja. Sementara menunggu kelulusan berpindah, saya mengambil cuti tanpa gaji selama 52 hari, sebab tidak mampu berjauhan daripadanya, sayang sangatlah agaknya…... Ingatkan tidak bekerja, saya boleh menguruskan rumahtangga dengan sempurna, rupanya tidak. Sebaik sahaja selesai menyidai kain di awal pagi, badan saya memang sudah tidak boleh berbuat apa-apa kecuali tidur. Tidurlah saya hingga ke tengahari…… saya merasa terkilan sungguh…… "kenapa saya teruk sangat ni "

Dilema ini terus berlanjutan. Setiap kali berkeinginan, suami saya akan berkata, “Esok mc boleh tak?” Sebagai isteri pula saya tidak pernah menolak ajakannya semata-mata kerana Allah. Jadilah saya guru yang paling banyak mc. Sebaik saja mengetahui bahawa kakitangan awam boleh berhenti setelah sah jawatan, saya beristikharah untuk berhenti kerja walaupun saya tahu bahawa emak pasti tidak bersetuju tambahan pula saya sedang menanggung pengajian seorang adik di universiti. Namun demikian saya merasa zalim terhadap murid-murid dan tidak lalu untuk ‘makan’ duit ‘gaji buta’ saya. Tahun 2000 saya pun meletakkan jawatan.

Ketika mengandungkan anak yang ke-empat pada tahun 2002 saya sudah tidak mampu solat berdiri hinggalah anak itu berusia lima tahun. Mencampuri masyarakat usah diucaplah. Kalau kawan mengajak ke surau mendengar pengajian agama, soalan yang terpacul dari bibir saya ialah “ada tempat nak baring tak?” Biasanya saya hanya mendengar sahaja dari rumah kerana kebetulan rumah saya memang berdekatan dengan surau. Dalam sehari hanya dua kerja sahaja mampu saya lakukan. Kalau sudah mengemas rumah dan menyidai kain……tidurlah saya hingga ke malam. Kalau menyapu dan memasak…..lepas itu tidurlah dengan pinggan mangkuk bersepah tidak berbasuh. Kalau malamnya ‘melayan suami’. Esoknya sebelum pulang dari kerja, suamiku nan soleh ini pasti menelefon, “Ayang, ada makanan kat rumah tak? nak abang belikan?”……memang dia maklum pasti tuan putrinya ini sedang melingkar di atas katil seharian……..

Sepanjang sejarah saya memelihara anak kecil, memang jarang saya mendukung mereka. Terkadang untuk ke bilik air memandikan mereka pun terpaksa saya usung dengan kereta sorong. Memang amat sulit saya rasakan dan ingin saja saya menyerahkan anak-anak ini kepada orang lain untuk dipelihara. Kebanyakan masa mereka hanya memakan roti atau biskut………sebak hati saya memerhatikan wajah lugu mereka. Sedangkan saya sendiri memang tiada langsung selera makan dan sering mengeluh mengapakah manusia perlu makan? Saya tahan tidak makan seharian malah langsung tidak terasa lapar. Buang air besar pula hanya seminggu sekali. Langsung tiada ‘rese’ untuk itu. Alhamdulillah doktor membenarkan saya menjalani pembedahan untuk ‘mengikat peranakan’. Sepanjang sembilan bulan mengandung memang katillah tempat saya. Alhamdulillah dengan sebab itu jugalah saya mampu mengkhatamkan Al-Quran setiap kali mengandung dengan izin Allah.

Pantang mendengar syarikat jualan langsung menjual makanan kesihatan, pasti saya mendaftar dan membelinya beratus ringgit sebulan. Sihat tidak juga. Tahun 1999 saya menjalani pemeriksaan tulang belakang di klinik orthopedik dan doktor mengesahkan saya menghidapi penyakit skoliosis (tulang belakang bengkok). Atas alasan itulah saya berhenti kerja. Saya hanya menjalani sesi fisotheraphy sebanyak tiga kali kerana kesakitan memandu berseorangan ke hospital. Tahun 2005 saya menjalani pemeriksaan sekali lagi kerana perlu mendapatkan pengesahan doktor bagi mengisi borang OKU. Saya teringin menikmati benefit yang dinikmati oleh OKU, terutamanya tempat parking kereta. Setiap kali ke shopping kompleks, saya merasa terlalu lemah, rasanya macam tidak boleh melangkahkan kaki, dan ingin sahaja tidur sebentar di tepi-tepi dinding di situ sebelum berjalan pulang. Dalam perjalanan ke tempat parking serasa badan sudah tidak berpijak di bumi dan ingin termuntah-muntah. Bagaimanapun saya terpaksa juga lakukan terutamanya pada musim sesi persekolahan akan bermula dan membeli keperluan hari raya Aidilfitri kerana suami seorang yang sangat sibuk. Malangnya doktor tidak dapat menyokong permohonan saya kerana katanya kebengkokan tulang belakang saya hanya 15 darjah dan umur saya juga sudah tua dan tidak akan bertambah bengkok. Setelah agak sihat barulah saya tahu mengapa terjadi demikian. Rupanya pasar- pasar adalah tempat jin-jin bertelur dan beranak…………….lalu apabila orang yang ‘kebocoran organ’ seperti saya ke sana, ‘kebocoran’ itu akan menyerap segala ‘frekuensi tinggi’ yang bergentayangan di sekelilingnya.

Sebaknya rasa hati hanya Allah saja yang tahu…….lalu saya harus bagaimana?... ... ..Kalau sakit, habis satu katil itu saya bergolek, menelentang, menelungkup, menonggeng mencari posisi yang melegakan. Apa yang ada di atasnya semua saya tendang, tak kira orang atau bukan orang. Saya tidak boleh mendengar suara orang membuat bising, lantaran itulah selalunya saya mengunci
pintu bilik dari dalam, bimbang terambil pisau di dapur dan menikam anak-anak. Perasaan ingin membunuh anak-anak yang membuat bising memang selalu mengganggu. Di dalam kesakitan, saya hanya mampu memegang tasbih dan berzikir; Allah, Allah……… dalam kepayahan….ucapan subhanallah pun tidak mampu diucapkan kerana terasa seperti terlalu panjang ucapan itu. Ketika sakit, ayat-ayat Al-Qur’an yang telah dihafaz pun tidak mampu diingati lagi. Kalau hendak mengaji pun mestilah menatap mushaf sambil berbaring. Selepas itu, biasanya suami akan bertanya “kenapa ni Yang?” “Nak mati, nak mati, nak mati…….kalaulah bunuh diri tu halal bang, dah lama Ayang bunuh diri!……” “Astaghfirullah, janganlah macam tu….” (selepas tu keluarlah entah kisah sahabat, hadis dan ayat Qur’an dari mulutnya). Saya dengar tak dengar saja….buat-buat tidur….sebenarnya terhibur juga mendengar omelannya itu…sampai tertidurlah kata orang..……….

Saya memegang prinsip suka dan redha dengan apa jua takdir Allah samada baik atau sebaliknya. Pada saya apa jua yang Allah berikan itulah yang terbaik buat saya. Saya tidak berani menyerahkan urusan saya kepada diri sendiri sekejap kelipan mata atau lebih singkat masanya daripada itu. Oleh itu, pada tahun 2004 saya pun melakukan solat istikharah memohon petunjuk apakah saya ini lebih baik sakit atau sihat. Saya bimbang untuk memohon agar diberi kesihatan andainya dengan kesihatan itu akan menjauhkan saya daripada rahmatNya. Alhamdulillah Allah memberi petunjuk bahawa saya ini lebih baik jika sihat. Lalu saya pun melakukan pula solat hajat meminta disihatkan daripada penyakit yang saya hadapi sejak tiga belas tahun ini dan dibukakan jalan penyembuhannya.

Sejak itu jalan kesembuhan terbuka satu persatu. Emak saya mencadangkan agar mengamalkan doa manzil. Alhamdulillah setelah mengamalkan, saya rasa lega. Agak menghairankan juga apabila kesakitan seperti hendak ‘mencabut nyawa’ tetapi merasakan kelegaan yang amat sangat seperti tidak pernah sakit setelah membaca doa ini. Sehingga saya kehairanan sendiri, “eh, tadi apa yang rasa sakit sangat ye?”... .. Disember 2004 Allah pertemukan saya dengan Kak D yang telah saya ceritakan pada awal kisah ini. Beliau berpesan supaya mengamalkan doa manzil, selawat tib 4444 kali dan solat hajat. Walau bagaimanapun saya tidak melakukannya kerana kecil hati dan tidak mempercayai kata-katanya. Setelah itu, tahun 2005 hingga Mei 2007 merupakan tahun-tahun uzur bagi saya. Setelah solat biasanya saya terus terbaring. Dalam keadaan berbaring itulah saya berwirid dan berdoa. Mengajar anak mengaji juga saya lakukan sambil berbaring. Waktu matahari naik dan selepas Asar merupakan waktu yang paling nyenyak untuk saya tidur.

Suatu hari saya terdengar cerita benar bahawa ada seorang tua (yang amat saya kenali) susah hendak meninggal walaupun sudah nazak beberapa lama. Setelah dibawa berubat dan diselidiki, didapati bahawa orang tua ini semasa mudanya dahulu pernah mengamalkan mentera dalam Bahasa Melayu sebelum keluar rumah agar dipandang cantik dan menawan. Setelah ‘benda’ itu dibuang, barulah orang tua ini dapat mengakhiri hayatnya. Ha?... ... . Saya pun teringatlah dahulu semasa belasan tahun, pulang dari asrama, saya ada terbaca di dalam sebuah akhbar mingguan tentang mentera supaya wajah kelihatan berseri. Kebetulan ditinggalkan berseorangan kerana emak dan ayah pergi bekerja, saya pun mencubanya. Apabila pulang ke asrama, kawan-kawan menegur, “Eh, kenapa muka engkau cantik sangat?” saya amat terkejut lantas meninggalkan amalan tersebut.

Allah Maha Pengasih. Akhirnya saya mendapat info daripada seorang teman tentang Ustaz Hider di Kampung Bukit Larang, Telok Mas, Melaka yang berkebolehan mengubati penyakit seumpama ini. Setelah beristikharah, (bimbang ustaz ini mengubat dengan cara yang mensyirikkan Allah) sebelum subuh 13 Mei 2007 kami suami isteri pun bertolak ke sana. Belum sempat berkata apa-apa, dia telah bertanya, “ada apa-apa yang hendak dibuang?” Alamak, suspenlah ustaz nih. Setelah menceritakan masalah kesihatan saya, beliau memberitahu bahawa di badan saya memang ada yang ‘menumpang’. Pemberian ibu angkat sayalah yang paling besar. Beliau memberitahu bahawa makanan untuk jin yang bertugas menjarakkan anak ialah janin yang bakal menjadi anak itu. Apabila saya bertanya tentang mentera yang saya cuba-cuba berpuluh tahun dahulu, katanya, “ada tu ha, nampak, nanti saya buangkan.” Astaghfirullaahalazim”……beristighfar panjang saya dibuatnya…… betapa mudahnya ianya berlaku…….saya fikir, kalau berdoa kepada Allah, hati mestilah sepenuh tumpuan, penuh dengan adab-adabnya barulah makbul. Rupanya berurusan dengan makhluk yang amat berdendami anak cucu Adam ini teramat mudah. Astaghfirullaahalaziiiiiim.

Saya amat menyesali kesilapan saya dahulu. Allah tidak mengampunkan dosa orang-orang yang mensyirikkanNya, dan mengampuni dosa-dosa selain daripada itu (syirik) kepada sesiapa yang dikehendakinya. Namun begitu saya amat bersyukur masih diberi nyawa untuk bertaubat dan beramal. Memang patut saya diberi sakit selama ini sebagai kaffarah atas dosa yang terlanjur dilakukan itu. Sepulangnya dari berubat, badan saya terasa amat ringan dan boleh duduk tegak di atas kerusi sebelah pemandu. Selama ini masuk saja ke dalam kereta, sudah pasti kerusi itu terus saya baringkan. Kalau memandu pun saya memandu dalam keadaan kerusi pemandu yang hampir terbaring, tapi mesti kereta auto dan power stering. Kalau tidak, balik rumah tidurlah tak bangun-bangun sampai esok…..jangan tak percaya, saya memandu 140 km/j di atas lebuh raya….ops, naya kalau polis tahu!…..Sampai rumah apa lagi, saya pun mengemaslah rumah yang macam sarang jin itu. Selama ini saya memang tidak pernah menjemput orang datang ke rumah kerana malu dengan keadaan rumah yang bersepah. Tetapi malangnya hanya dua hari sahaja saya sihat. Selama dua hari itu pula suami saya terganggu-ganggu tidurnya. Ada yang mencakar kaki dan menghempapnya.

Ketika ini saya merasakan badan saya amat sensitif kepada persekitaran. Dekat dengan pinggan mangkuk kotor - sakit, dekat dengan kain baju berlonggok tidak berlipat - sakit, dekat dengan benda yang berpalang atau bergantung - sakit, dekat dengan sampah - sakit, keluar rumah -sakit. Lihat suami -sakit. Tengok tv -sakit. Dengar radio pun sakit. Membuang sampah di belakang rumah lagilah sakit. Apabila sakit masih berterusan, pada 28 Jun 2007 seorang lagi kawan mengajak kami ke rumah Ustaz Mustakim di 174, Sri Jaya, Bukit Serampang, Muar. Sekali lagi saya beristikharah. Berubat tiga kali belum sembuh juga. Ustaz itu menyuruh saya membaca doa manzil berterusan, bersedekah, berpuasa dan solat sunat taubat. Badan saya di’alin’ dengan tujuh biji telur ayam kampung sebanyak dua sesi. Malangnya tiada apa-apa yang ditemui di dalam telur itu. Beliau mengatakan bahawa kalau orang 'memberi', samada separuh jin di badannya berpindah kepada orang yang diberi atau dia sudah tidak tahan hendak membelanya. Badan saya kesakitan kerana ‘mereka’ tidak serasi dengan saya (tidak diamalkan, lalu mereka tidak mendapat upah). Dia juga memberitahu bahawa badan saya sudah menjadi seperti magnet. Apabila berpapasan dengan mana-mana jin, kesemua mereka akan memasuki badan saya. Jika berdekatan dengan orang yang membuat pemujaan, jin akan datang tetapi bukan ke arah mereka sebaliknya kepada saya…….ya Allah………saya sentiasa ketakutan dan seperti nak gila di dalam rumah. Pintu dan tingkap bertutup rapat sebab kadangkala sedang saya membaca surah Al-Baqarah pun (saya baca tiga hari sekali sejak berubat) badan tetap terasa sakit, bila diperiksa rupanya ada satu tingkap yang terbuka.

Penunjuk bahawa saya ini sihat ialah kemampuan saya untuk bersolat sambil berdiri. Tetapi yang sedihnya sedang saya elok solat berdiri, andai kedengaran loceng jiran India depan rumah saya bersembahyang, tidak semena-mena terjelepuk saya terduduk di dalam solat itu. Sedang molek membasuh pinggan, tiba-tiba nak terduduk bila kedengaran loceng India belakang rumah bersembahyang ‘dhuha’. Pergi ke kedai orang Melayu (laris kedai ini), tetapi semasa hendak membayar di kaunter, kepala saya seperti disambar elektrik. Cepat-cepat saya ke belakang, lega sedikit. Pergi lagi ke kaunter tempat tuan kedai tu berdiri, sekali lagi kepala saya zzzzzrrrrt….aduhai, kenapakah ini?... ... Makan di kedai pun masalah juga, saya terpaksa pastikan bahawa tuan punya kedai tidak menggunakan pelaris ‘jin’. Jika tidak, walaupun makanan itu ditempah oleh seseorang dan diletakkan di surau untuk diagih-agihkan kepada ahli jemaah, lalu ‘orang berpenyakit’ seperti saya memakannya…..jawablah…..menungging……..ini bukan kasyaf tetapi penyakit….Paling menyakitkan dan taubat kalau bersebelahan dengan orang yang berpenyakit sama dengan saya. Waduh…….nggak tahan……sakitnya pak……... Wah, susah jadinya!….. yang senang duduk dalam rumah diam-diam. Sejak berubat juga barulah insan jahil seperti saya ini mengetahui bahawa untuk membuat air doa ialah dengan menggunakan air yang belum dipanaskan di atas api seperti air zam-zam, air hujan atau air mineral (yang bertutup biru bukan putih).

Akhirnya saya berubat pula dengan cara alternative Colour Vibration Therapy yang diasaskan oleh Prof Emeritus Dr Sir Norhisham Wahab. http://harmoni.kuskom.net/?q=node/29. Mungkin Allah menetapkan cara ini yang secocok dengan diri saya. Banyak info-info yang bersifat saintifik tetapi selari dengan ajaran Islam yang saya pelajari dalam sesi kaunselingnya. Kaunselor itu menjelaskan bahawa penyakit saya ini diistilahkan sebagai `kebocoran organ’. Dia meminta supaya melupakan saja mengapa begini, mengapa begitu, dari manakah datangnya tetapi fokus kepada memulihkan ‘kebocoran’ itu hingga akhirnya apabila saya berada di mana-mana hatta tempat yang paling tercemar sekalipun, saya tidak ‘merasakan’ apa-apa (seperti manusia normal yang lain). Beliau juga menjelaskan bahawa badan saya umpama 'rumah yang ditinggalkan kosong' dan jin-jin yang tidak berkenaan nampak bahawa badan saya pernah berpenghuni lantas mereka ingin 'mencuba'. Beliau menyarankan agar saya membersihkan rumah dengan meletakkan garam beserta niat di setiap penjuru rumah dan melakukan bilasan mandi dengan air ais sendiri di rumah. Apabila belum berkurangan, dia mencadangkan agar saya mandi ais (berendam di dalam air ais selama setengah jam) sebanyak sembilan kali selain menyuruh saya mengemop lantai seluruh rumah dengan air garam dan dicampur dengan dua jenis ubatan formulanya. Ini yang payah….maklumlah sakit dah lama, rumah memang teruk, kena bersihkan pulak. Ambil masa sebulan juga saya clearkan rumah hinggakan bawah katil pun berkilat……dia kata makhluk tu suka tempat yang berhabuk. Betul juga, masa hendak membersihkan, punyalah sakit badan saya. Tapi gagahkan jugalah, alhamdulillah, semakin bersih, semakin berkurangan sakit saya.

Malam nak tidur jangan ceritalah, baca ayat macam-macam; 4 ayat awal surah Al-Baqarah, ayat Kursi, dua ayat selepas ayat Kursi, tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah, Tiga Kul (isyarat meludah lalu sapu ke seluruh badan), tasbih fatimah, dua tiga macam doa tidur, 5 ayat terakhir Surah Al-Kahf. Lelapkan mata, eh, mereka datang!!!! Macam-macam rupa….macam rupa hantu-hantu yang dalam tv tu lah, mula-mula takut, lama-lama senyum jelah kat mereka. Alamak, takleh tido……..camner ni……..Alhamdulillah suatu pagi tu saya terdengar dalam rancangan Tafsirul Quran radio IKIM (memang rancangan fevourite saya) Ustaz Hj. Zahazan mengajarkan doa elak gangguan semasa tidur. Auuzu bikalimaatillahit taaaaaammati min ghodhobihi wa’iqobihii wasyarri ‘ibaadihii wa min hamazaatisy syayatiini waany yahdhuruuuun. Sebelum tidur, kalau teringat, saya baca awal-awal. Kalau terlupa, dia datang…..nak buat tak tahu?……hemph, tak tidur sampai pagi nanti! bacakan sekali, dua kali….hilang terus rupa makhluk tu. Benarlah, Allah Maha kuasa, makhluk langsung tiada kuasa, kita minta perlindungan daripada Allah kalau mereka mengganggu.

Setelah agak sembuh saya menelefon Kakak E yang selalu mengurut saya bila bersalin untuk menceritakan penyakit sebenar saya. Ya Allah, nak tahu apa dia jawab? “Memang ye Minah, sebenarnya akak nak cakap dah lama, tapi takut Minah kecil hati. Dulu kalau akak urut Minah, badan akak jadi ‘tak sedap’. Sebab tu kalau Minah minta urut, akak bagi alasan macam-macam. Sebenarnya akak takut. Baguslah kalau dah berubat…..Dulu akak pelik juga, budak ni amalan ok, tapi kenapa macam ni rasanya kalau urut dia?... ..” Kesian Kak E……Kini alhamdulillah saya hanya perlu mandi ais sebanyak empat kali sahaja lagi (40 hari sekali) dan beransur sembuh walaupun agak memakan masa. Maklumlah dalam badan sudah ada jalan atau wayar, mudah terkena semula jikalau tidak berwaspada. Anak bongsu saya walaupun sudah besar tetap saya dukung (nak qada' kata orang), solat sudah boleh berdiri dan mengaji Al-Quran sambil duduk serta membeli belah dengan tenang. Alhamdulillah... ... ... ...

Pesanku kepada pembaca budiman. Jangan ambil mudah perkara ini. Jangan mudah percaya kepada orang lain. Sekiranya anda diberi ilmu seperti ini, tolonglah jangan amalkan tetapi jangan pula anda membiarkannya begitu sahaja, kelak akan menjadi seperti saya. Sebaliknya pulangkan semula kepadanya secara baik. Jika anda ternampak mentera-mentera berbahasa Melayu di mana-mana walaupun diakhiri dengan ‘dengan berkat kalimah la ilaha illallah’, tolonglah….jangan dicuba langsung. Once (sekali) anda mencubanya, khadam ayat itu akan datang dan tidak bakal pergi kecuali dibuangkan oleh mereka yang mahir. Jin / syaitan memang menunggu-nunggu peluang untuk menjadikan anda syirik kepada Allah. Setiap kerja yang mereka lakukan, pasti berkehendakkan upah, mula-mula memang mereka taat, namun akhirnya anda terpaksa kafir kepada Allah baik dengan ucapan mahupun perbuatan barulah mereka akan menjalankan kerja yang anda pinta seperti menyuruh anda menjadikan Al-Quran sebagai alas selipar yang digunakan untuk ke tandas. Samada untuk; kelihatan hebat, disayangi orang, penjaga harta, kelihatan cantik, menjarakkan anak, merapatkan faraj dan sebagainya. Hidup di dunia hanya sementara, akhirat jua tempat yang kekal abadi. Meminta hanya kepada Allah dan bukan yang selainNya. Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah sedaging tetapi kepada sesiapa sahaja malah mungkin tanpa disedari penerimanya. Ambil tahu kegiatan anak-anak anda, sebab mereka memang suka mencuba dan bekalkan mereka dengan ajaran agama yang mantap. Kepada Mak B dan Mak C, (bukan nama sebenar) saya tetap sayang makcik berdua. Seandainya makcik terbaca kisah saya ini lantas menyesal dan ingin meminta maaf, tidak perlulah makcik bersusah payah mencari saya. Semua yang terjadi atas kehendak Allah. Saya telah maafkan dan pohonlah keampunan kepadaNya. Saya doakan semoga Mak B dan Mak C diberi hidayah oleh Allah dan sempat bertaubat sebelum mati serta selamat dari azab api neraka. Mudah-mudahan iman kita terpelihara sehingga kita selamat bertemuNya……..aamiiiiiin. Wallaahua’lam.

Buku-buku yang boleh dirujuk:
1. Sheikh Wahid Abdus Salam . 2000. Mencegah Dan Merawat Sihir Gangguan Jin & Syaitan . Kuala Lumpur: Darul Nu’man
2. Dr. Amran Kasimin & Dato’ Dr Haron Din. 1997. Doa Dan Rawatan Penyakit (ii). Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd.
3. Abdul Razak Naufal. 1972. Alam Jin Dan Malaikat. Singapura : Penerbitan Pustaka Nasional

4. Muhammad Isa Dawud. 1996. Dialog Dengan Jin Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada
5. Akhbar Berita Harian 19 Ogos 2007.


Sila hubungi mereka di bawah ini untuk mengetahui cawangan yang terdekat dengan anda. Berubatlah dengan cara yang diharuskan syara'.


http://www.darussyifa.org/
http://www.darussalam.org.my/index.php
http://www.esnips.com/web/IsmailKamus/
http://www.ceramahislam.com/audio.html
http://harmoni.kuskom.net/
http://www.pendindingdiri.com/
http://www.syifa-alhidayah.com/index_live.asp
http://terapirohani.com/

http://www.rawatansihir.com/forum/default.asp


Video tentang jin dan rawatan gangguan jin menurut kaedah Islam:


http://www.arabmykrk.com/video/video-rawatan-gangg...


*tambahan*

DOA MANZIL
" DOA MANZIL" ini mengandungi beberapa ayat al-Qur'an yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada Sahabat RA sebagai shifa' (penawar dan ubat) dari beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari sihir. Hadith sahih mengenai amalan ini terdapat di dalam kitab "HAYATUS SAHABAH" (Jld 3 ms 374) yang dikarang oleh as-Syeikhul Kabir Maulana Yusuf rah. Hadith ini telah dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Tirmizi.



Ubai Ibn Kaab RA meriwayatkan : Sewaktu aku bersama Rasulullah SAW, seorang badwi telah datang kepada baginda dan berkata , "Ya Rasulullah SAW, saya mempunyai seorang saudara yang ditimpa penyakit ." "Penyakit apa?" bertanya Rasulullah SAW "Sejenis gila" orang tersebut menjawab. Rasulullah SAW menyuruh orang itu membawa saudaranya. Kemudian baginda membaca Surah al-Fatihah, 4 ayat pertama Surah al-Baqarah. Ayat yang bermula dengan Wa'ilahukum ilahun wahid... , ayat Kursi dan dua ayat seterusnya, 3 ayat terakhir al-Baqarah, ayat Syahidallah annahu... terakhir dari surah al-Mu'minun(Fata'aalallahuu malikul haq... , ayat dari surah al-Jin(Wa annahu ta'ala ), sepuluh ayat pertama surah Wassafat, tiga ayat terakhir dari Surah A1-Hasyr, Surah al-lkhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Nas. Selepas itu orang yang berpenyakit itu bangun dan pergi dari situ. Penyakit yang dideritainya hilang. (Kanz Jil 1 m. 212)Fadhilat Manzil ini terlalu banyak. Dari pengalaman kebanyakan orang, Manzil ini sangat mujarab untuk menyembuh penyakit sihir, jin dan Iain-lain. Dua cara untuk mengubati pesakit ialah dengan pesakit sendiri membaca ayat-ayat tersebut atau pun orang lain boleh membacakan dan menghembus di atas air. Air ini diminum oleh pesakit. Semoga Allah SWT memberkati kita semua dengan kesihatan rohani dan jasmani.

Doa Manzil:(boleh print, pandai-pandailah print agak-agak boleh dibaca)
manzil 1 manzil 2 manzil 3
(Susunan: Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria)

Risalah kecil Manzil yang terdapat di pasaran:

(Lebih mudah, beli saja)

(1) Penerbit: Hj. Abdul Majid Haji Ahmad 1997


manzil lama


(2) Gambar masjid: Penerbit: Perniagaan Jahabersa, Johor. 1999


manzil baru


Rahmat Ujian - Mestica


Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

c/o
Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

c/o

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

repeat c/o 2x

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan