Jawapan al-Ustaz Mohd Khairuddin at-Takiri:
Setiap muslim meyakini bahawa setiap detik masa yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia merupakan saat-saat yang sangat berharga. Ia perlu digunakan sebaik mungkin untuk melakukan pekerjaan yang diredhai oleh Allah agar akhirnya mendapat ganjaran syurga di alam abadi. Allah berfirman:
[1] al-Qur’an, surah al-`Asr, 1-3.
Maksudnya:
Demi masa! Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman dan melakukan pekerjaan yang baik, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Dalam keadaan begitu Islam membenarkan manusia untuk mengambil sedikit ruang masa untuk berhibur dan bergurau senda kerana itulah fitrah manusia. Imam Muslim meriwayatkan satu cerita tentang seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah. Suatu hari ketika bertembung Abu Bakar bertanya kepadanya
: كَيْفَ أَنْتَ يَا حَنْظَلَةُ قَالَ قُلْتُ نَافَقَ حَنْظَلَةُ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ مَا تَقُولُ قَالَ قُلْتُ نَكُونُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُذَكِّرُنَا بِالنَّارِ وَالْجَنَّةِ حَتَّى كَأَنَّا رَأْيُ عَيْنٍ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَافَسْنَا الْأَزْوَاجَ وَالْأَوْلَادَ وَالضَّيْعَاتِ فَنَسِينَا كَثِيرًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ فَوَاللَّهِ إِنَّا لَنَلْقَى مِثْلَ هَذَا
“Bagaimana keadaan kamu wahai Hanzalah?” Hanzalah lalu menjawab: “Hanzalah telah berpura-pura.” Abu Bakar terkejut mendengar jawapan Hanzalah lalu bertanya maksud ungkapannya itu. Jawab Hanzalah: “Kami ketika berada di sisi Rasululullah selalu diperingatkan dengan neraka dan syurga hingga kita terasa bagaikan kedua-duanya berada di hadapan mata. Tetapi apabila kita keluar meninggalkan Rasululullah sallalahu alaihi wasallam kita mula sibuk dengab isteri dan anak-anak serta harta benda. Dengan itu banyak perkara yang kita lupakan.”Sambut Abu Bakar: “Demi Allah kami juga mengalami perkara yang sama.”Mereka berdua lantas bertemu dengan Rasululullah sallallahu alaihi wasallam mengadu tentang apa yang mereka rasai dan alami. Baginda lalu bersabda:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي وَفِي الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمْ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً ثَلَاثَ مَرَّاتٍ
Bermaksud: Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya. Sesungguhnya sekiranya kamu berterusan dengan kelakuan kamu ketika bersamaku dan berterusan dalam keadaan zikir, tentu para Malaikat Allah akan bersalam-salaman dengan kamu di tempat pembaringan dan di jalanan kamu. Tetapi wahai Hanzalah, ada ketika-ketikanya, ada ketika-ketikanya, ada ketika-ketikanya (baginda mengulanginya tiga kali).[2]
Syeikh Ubbiy mengulas hadis ini dengan katanya; “Sunnah Allah untuk alam kehidupan manusia iaitu segala perlakuannya adalah pertengahan antara alam Malaikat dan alam Syaitan. Malaikat dipermudahkan untuk melakukan kebaikan di mana mereka melakukan segala apa yang disuruh serta bertasbih menyucikan Tuhan malam dan siang tanpa henti. Syaitan pula dipermudahkan untuk melakukan kejahatan dan menggoda manusia tanpa pernah lalai. Sementara alam manusia dijadikan pelbagai rupa. Inilah yang disentuh oleh Baginda menerusi ucapan baginda: “Ada ketika-ketikanya wahai Hanzalah.”Beliau juga menegaskan: “Orang yang berakal perlu mempunyai saat-saat untuk dia bermunajat dengan Tuhannya, saat-saat untuk dia menilai kembali dirinya, saat-saat untuk dia berfikir meneliti ciptaan Allah dan saat-saat untuk dia menunaikan keperluan dirinya seperti makan dan minum.” [3]
Justeru hadis di atas menjelaskan kepada kita kewujudan sifat fitrah manusia yang inginkan sedikit masa untuk menghiburkan hati. Ibn Qayyim berpendapat, setiap orang perlu mendapatkan ruang yang cukup untuk menghiburkan hati dan berehat untuk menghilangkan kepenatan dan keletihan, memperbaharui kecergasan dan daya kerja dan memperkuatkan tenaga untuk bergerak.
Sammak bin Harb menceritakan bahawa dia pernah bertanya kepada Jabir bin Samurah:
أَكُنْتَ تُجَالِسُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ كَثِيرًا كَانَ لَا يَقُومُ مِنْ مُصَلَّاهُ الَّذِي يُصَلِّي فِيهِ الصُّبْحَ أَوْ الْغَدَاةَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ قَامَ وَكَانُوا يَتَحَدَّثُونَ فَيَأْخُذُونَ فِي أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ فَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّم[4]ُ
Maksudnya: Pernahkah kamu mendampingi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam? Jawab Jabir: “Pernah! Baginda suka mendiamkan diri. Para sahabat Baginda pula selalu mendendangkan syair di samping baginda dan bercerita tentang perkara-perkara yang berlaku di zaman Jahiliyyah sambil bergelak ketawa. Apabila mereka ketawa baginda akan tersenyum.
Rasulullah saw sukakan perkara-perkara yang menggembirakan dan menceriakan. Justeru itu baginda memohon kepada Allah agar dijauhi daripada kesedihan
:اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن
[5]
Maksudnya: Ya Allah, saya memohon perlindungan kepada-Mu daripada rasa bimbang dan sedih Para sahabat Nabi saw juga bergurau-senda dan bergelak ketawa. Sayyidina Ali berkata: “Hiburkanlah hati dan carilah ungkapan bijaksana yang melucukan kerana hati juga menjadi jemu sepertimana jasad.”[6]
Dr Yusof al-Qaradawi menyebut: ”ketawa merupakan antara keistimewaan manusia. Binatang tidak boleh ketawa kerana ketawa datang hasil satu bentuk kefahaman dan pengertian terhadap satu ucapan yang didengarinya atau satu kejadian yang disaksikannya. Rentetan itu dia ketawa. Kerana itu dikatakan manusia adalah haiwan yang ketawa. Benarlah ucapan yang menyatakan: saya ketawa, justeru saya adalah manusia.”[7]
Rasulullah saw bergurau senda dengan isteri-isteri baginda dan mendengar cerita-cerita mereka. Aishah bercerita bahawa baginda pernah ketika bermusafir berhibur dengannya dengan aktiviti lumba lari. Pada permulaannya dia menang dengan mendahului Baginda. Tetapi kemudiannya ketika beliau sedang meratah daging bersamanya baginda pula mendahuluinya lalu menang. Baginda lalu berkata: “Ini adalah imbalan kekalahan sebelumnya.”[8]
Rasulullah saw juga membiarkan kedua-dua cucunya yang disayangi iaitu Hasan dan Husin ketika mereka masih kecil untuk menunggang belakangnya. Seorang sahabat masuk bertemu baginda saw ketika itu dan menyaksikan apa yang berlaku lalu bergurau dengan katanya lalu berkatalah mereka berdua itu dan menyaksikan apa yang berlaku lalu berkata: " belakangnya: “Kamu berdua menunggang sebaik-baik tunggangan.” Baginda lantas menjawab dengan gurauan: “Sebaik-baik penunggang kuda adalah mereka berdua.”[9]
Baginda juga membenarkan orang-orang Habsyah bermain anak panah dan tombak sebagaimana adat kebiasaan mereka di dalam Masjid Nabawi. Malah menawarkan kepada Aishah untuk menonton sama pertunjukan mereka.[10]Baginda saw juga membenarkan para wanita bernyanyi dan memukul gendang pada hari keramaian dan perayaan. Malah baginda menggesa Jabir bin Abdullah mengahwini anak dara dengan alasan boleh bergurau senda dengannya berbanding wanita janda.[11]Rasulullah saw juga pada satu hari menegur satu majlis menghantar pengantin perempuan kepada pengantin lelaki yang dibuat diam-diam tanpa diiringi dengan hiburan dan nyanyian. Baginda bersabda:
ما كان معها لهو؟ فإن الأنصار يعجبهم اللهو[12]
Maksudnya:Kenapa tidak diiringi dengan hiburan? Orang-orang Ansar sukakan hiburan.” Dalam beberapa riwayat
:هلا بعثتم معها من تغني وتقول: أتيناكم أتيناكم ...فحيونا نحييكم
Maksudnya:Alangkah baiknya kamu hantar bersamanya orang yang menyanyi dan melagukan: Kami mendatangimu, kami mendatangimu….justeru berilah ucapan penghormatan kepada kami, nescaya kami berikan ucapan penghormatan kami.
[1] Al-Qur’an, surah al-`Asr, 1-3.
[2] Hadis riwayat Muslim-Kitab Taubah, Tirmizi-Kitab Sifat al-Qiyamah, Ibn Majah-Kitab al-Zuhd dan Ahmad.
[3] Ikmal Ikmal al Mu`allim, Syarh Sahih Muslim (7/ 156-157)
[4] Hadis Riwayat Muslim no 286, Kitab Masjid-Masjid Dan Tempat-Tempat Solat, Ahmad
[5] Hadis riwayat Bukhari-Kitab al-Da`awat (no 6376).
[6] Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Jami` li akhlak al-Rawi wa Adab al-Sami`, juz 2, hlm. 129.
[7] Fiqh al-Lahw wa al-Tarfih, Maktabah Wahbah, hlm. 20.
[8] Hadis Riwayat Abu Dawud, No 2578, Kitab Jihad
[9] Hadis riwayat al-Hakim. Katanya, Sanadnya adalah sahih.
[10] Hadis Riwayat Bukhari, No 949, Kitab Dua hari Raya
[11] Hadis Riwayat Bukhari, No 5079, Kitab Perkahwinan
[12] Hadis riwayat Bukhari-Kitab al-Nikah (no 5162).
ilmu yg bermanfaat...
BalasPadam