Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 25 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 7 (Singggahsana)

Ala Komando

Abg Mat tekong yang mengemudikan bot kami; anak kepada Pak Aris, segak orangnya nampak sasa ala komando. Jika dia mengikat kepalanya dengan sapu tangan brutal & pakai topeng sebelah mata itu, mahu demam lanun jika cuba menyanggah bot kami. Awak-awaknya pula ada dua orang. Pak Ali nampak alim amat orangnya. Tok Siak surau pastinya. Seorang lagi Pak Arip nampak wajah nelayan sejati. Biarpun aku agak berumur sekitar hujung empat puluhan tetapi nampak amat segak & bertenaga. Pandai memasak, dalam bualannya dia rajin ke rumah anaknya di KL & kalau ada kenduri di kampungnya dia memang menjadi tukang masak kenduri kendera.

Aku nampak di langit selimut mendung bagaikan tidak mahu terurai dari menutup lenanya beradu Dewi Tenggiri. Angin basah terusan membelai kulit Dewi Tenggiri. Laut kucah sejak berminggu. Aku tak berani menjanjikan apa-apa tangkapan besar buat ekspedisi kami kali ini. Ombak bagaikan ribut malam yang menguncangkan kelambu Dewi Tenggiri. Huru hara amat cuaca.

Bot yang aku naiki teramatlah besarnya. Pertama kali aku turun ke laut menaiki bot sebesar ini. Selain Abg Mat yang leka mengemudi bot, awak-awak, Che Wan & aku sahaja yang berjaga. Yang lain meringkuk di ruang pondok bot melayan mimpi. Aku lihat Pak Arip menjerang air, pastinya buat kopi untuk kami.

Aku mengambil Suria untuk & melayan anganan sendiri. Tak tahu mahu berbual apa dengan Che Wan, rasa segan, rasa rendah diri & perbagai berbaur dalam diri. Che Wan pun jenis seorang yang agak pendiam. Bagai ada watak yang bagiku tak selayaknya aku boleh berborak kosong dengannya. Asap Suriaku cepat amat hilang bersama basah angin tenggara. Ombak semakin ganas.

Aku menanti cahaya mentari di ufuk timur. Dunia ini jika tanpa mentari sememangnya amat suram. Cuaca mendung seakan mahu ribut, membuatkan aku amat payah melihat rona awan. Tau-tau cahaya siang semakin cerah. Aku mencari ruang di sisi bot untuk syolat duduk. Tak sabar mahu menanti panggilan unjam. Mengikut perancangan unjam pertama kami akan sampai sekitar jam 7:00 pagi.

Fareez bangun awal, diikuti yang lain. Aku telah celik mata sejak awal makin segar pekena kopi Pak Arip. Pak Ali nampaknya membetulkan apollo panjang yang dililit di koyan. Telah nampak petanda unjam pertama yang kami jejaki. Abg Mat memperlahankan enjin bot.

"Kita guna apollo untuk mendapat ikan sebagai umpan tenggiri" Fareez berpesan. Semua kami sibuk menggunakan apollo di celahan kucah laut. Memang cepat sahaja kami telah selesa dengan tangkapan anak kembung & anak selar. Biarpun tidak sebanyak anak kembung di Penyabong tetapi sudah cukup melegakan kami mendapat umpan segar.

Karang Pak Ngah sememangnya panjang. Maka itu tidak hairan banyak unjam yang bagaikan Istana Tenggiri di sepanjang unjam. Satu yang menarik banyak amat camar yang cuba menyambar anak kembung & selar. Bagaikan pesta keraian yang tidak berpenghujung. Atau mungkinkah camar ini bagaikan pengintip atau hulubalang Dewi Tenggiri.

"Ombak besar!, elok kita berlindung lama di unjam ini!" Abg Mat bersuara, aku telah penat menjatuhkan apollo ke dasar laut. Abg Arip & Abg Ali tak pernah penat memerangkap ikan unjam dengan kemahiran nelayan mereka. Kami menggunakan tiga joran untuk merisik Dewi Tenggiri. Aku mengalah sahaja bilamana pancing yang Che Wan pinjamkan buat aku memikat tenggiri diguna oleh Aru. Che Wan, Aru & Fareez leka mengintai riak Dewi Tenggiri.

Tetapi kami digempakkan oleh ragutan ganas pancing Shimano Tekota dipadankan dengan rod x-zoga yang berumpan anak selar. Garang, lasak, berlawan dengan rentapan Che Wan, masing-masing kami menaikkan mata kail. Tak sabar menunggu, siapakah gerangan si ikan yang tampak ganaslah amat. Selang beberapa minit kami dikecewakan, terlepas;

"Haruan Tasik kot, tak nampak pun calar pada ikan ini..!" Che Wan hampa. Sangkaku pula ialah hulubalang Dewi Tenggiri, melindungi Dewinya dari terjaga dari tidur yang lena.

Aku lihat Amirul cahayamata Che Wan telah mabuk laut, kejap bangun & termuntah kemudian dia tidur semula. Banyak air jus buah ditelannya. masih lagi mabuk. Kes mabuk laut ini memang berlaku setiap kali aku turun ke laut. Bagaikan satu sumpahan. Seingat aku paling teruk rakanku mabuk laut ialah abang kandung Sharil Smart. Dari awal jejak kaki ke bot hinggalah ke saat bot berlabuh di jeti untuk balik. Sepanjang ekspedisi memancing mabuk laut memanjang.

Hampir dua jam kami di unjam yang sama. Sekitar jam 11:00 pagi barulah kami dapat merisik Sang Tenggiri. Bukannya Dewi Tenggiri tetapi sekadar sepupunya yang seberat sekitar 4 kg. Itupun lantaran sifu yang sahih Abg Mat tekong kami. Yang menariknya di unjam ini kami berjaya menaikkan ikan unjam penuh tong 100qt.

Harap-harap cuaca akan terusan cerah

- Bersambung

Tip Che Wan

A.alaikum kenkawan..

Tsunami..dalam keadaan laut yang bergelora/kucah membuatkan air menjadi keruh kerana pergerakan air akan menjadikan pasir dan lumpur didasar bergerak. Ikan2 kembong dan selar karang yang mencari makan dalam karang akan menghilangkan diri atau menjadi halimunan iaitu ada tapi tak kelihatan. Kekeruhan air tadi berpunca dari pergerakan pasir dan lumpur didasar dan kebiasaannya dibahagian lain airnya lebih jernih dari biasa. Jadi menggerakan umpan perlu dibuat supaya peluang lebih tinggi. Manakala tenggiri sudah dapat mengesan umpan ia akan naik ke atas ditempat yang jernih dan pasti akan dapat mengesan benda2 asing yang terikat pada umpan kita.

Kalau menggunakan kekili light yang spool kecil spt yang kawan pakai tu hanya boleh muat tak sampai 100 meter braided 20lb jadi kawan masukkan tali sulam sufic 12 lb sepanjang 135m kemudian kawan sambung dengan mono f/c 10 lb sepanjang 50 meter.

Perlu diingat kalau menggunakan kekili yang kecil dengan tali utama yang halus, pasangannya pula kena betul2 serasi. Joran yang sesuai dan shock leader pasti dapat serap lebihan sentapan yang boleh memutuskan weak point ikatan pada perambut akibatkan kejutan(shock) yang berlebihan. Ramai di antara kita tidak peka dengan keadaan ini. Bila orang kata pakai 15lb merekapun pakailah 15lb tapi menggunakan joran PE3-8.

Kadangkala kita boleh lihat ada yang menggunakan line 10lb tapi menggunakan kekili spinning saiz 8000. Kita perlu seimbangkan set kita supaya ia dapat berikan kepuasan dan keseronokan disamping dapat mengawal pancingan dengan baik.

Set yang kawan gunakan tu ialah: kekili baitcaster Shimano Speed Master & joran Xzoga Pe 1.

- bersambung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan