Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 31 Disember 2008

Aziq Tak baca Buku (Singgahsana)



"Sekolah Aziq tu perlukan berapa A baru Aziq kekal di sana"

"Empat!"

"Habis tu Aziq rasa dapat berapa A?" Keputusan PMR Aziq akan diumumkan hari ini.

"Boleh kot dapat empat A..."

"Tak baca buku bagaimana mahu dapat empat A..., habis tu kalau tak dapat kena tukar sekolah macam mana?"

"Kena terimalah hakikat... dan kenalah baiki & uasaha lagi" Endah tak endah sahaja jawapan Aziq.

"Habis tu tak malukan jika kena ke sekolah Saujana Impian.."

"Mana-mana sekolah sama sahaja ayah!" Betul juga cakap Aziq ini, dulu pun abangnya Afiz Sekolah biasa, dia dapat juga masuk Poli.

Impian Aziq itu memang tinggi, dia kalau boleh mahu belajar sampai luar negara. Negara pilihannya ialah Jepun. Sekarang pun dia banyak belajar Bahasa Jepun melalui internet.

Sepanjang hari aku terkenang juga akan keputusan PMR Aziq tapi tak sanggup nak telefon. Takutnya dia gagal & kena tukar sekolah biasa. Bagiku SAM 10 itu sudah cukup baik buat dia. Tiga tahun dia di sana. Biarlah SPM pun dia di sana.

Setibanya aku di rumah telah pun masuk magrib.

"Macam mana PMR Aziq?"

"Langsung tak ada A ayah!.."

"Ish! tak kan teruk sangat!, Aziq macam yakin sangat dapat lebih dari 4 A"

"6 A lah ayah..."

"Tak baca buku pun dapat 6 A ..." Aku macam tak percaya, dan tak tergamak mahu melihat keratan keputusannya. Kot lain ceritanya. Memang payah mengenal watak Aziq ini. Setahu aku dia memang anak yang pintar cumanya kurang tumpuan dengan pelajarannya.

Posted on 31.12.2008 at 4:40 PM

Karpersky Anti Virus (Kerjaya)



Pening amat mahu muat turun pembunuh birus terkini dari server Karpersky. Telah hampir empat jam aku menunggu masih terkedek-kedek tak siap². Yang ralatnya ketika 99% tetiba sahaja servernya tidak memberi respon. Aku tak terfikir pula untuk mencari server lain. Selalunya guna yang percuma di internet. Bila guna yang asli jadi perbagai pula masalahnya.

Nasiblah ada Hafizi yang pakar ICT, cuba muat turun pembunuh birus yang terkini. Nampaknya macam okey. Setengah jam telah 73%. Harap-harap aku akan dapat mengemaskinikan anti birus ini menjelang masa sasaran 4:30 ptg.

Maka itu jika dedulu aku suka guna Norton 5.0, Norton lama, amat mudah menggunakannya tidak berat malahan paten birus terkini mudah sahaja di muat turun. Cuma sayangnya ianya hanya boleh digunakan untuk Windows ME & ver terdahulu. WindowsXP tidak menampung perisian Norton 5.0.

Norton memang boleh kita crack lesennya. Tapi sejauh mana kita mahu setaraf dengan lanun cetak rompak. Punyalah payah pereka anti birus ini. Kita senang² belasah imbuhan penat lelah orang. Sekarang Karpersky sekitar RM70, tidaklah semahal mana. Selalunya jika kita tambah sekitar RM10 kita dapat lesen untuk kegunaan tiga buah komputer. Tidaklah semahal mana.

Banyak lagi anti birus yang boleh kita cuba, seperti McAfee, Avira, Panda, AVG, Parallels Plesk dan banyak lagi yang jarang kita dengar. Bagiku semuanya amat memberatkan komputer. Maka itu aku lebih suka guna, Boot Disk anti birus, seperti BDC atau Hiren Boot. Tetanyalah kekawan jika dia menyimpan dua jenis anti birus ini, atau pun apa juga jenis anti birus yang tidak sampai memberatkan komputer.

Posted on 31.12.2008 at 3:06 PM

Polis kenal pasti dalang laman blog (Ceritera)



IPOH 30 Dis. - Polis telah mengenal pasti beberapa lelaki yang dipercayai terlibat dalam penulisan dan penyiaran gambar dalam sebuah laman blog yang menghina Nabi Muhammad.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagaimanapun berkata, siasatan kes tersebut masih berjalan dan belum selesai.

Menurutnya, satu pasukan khas di bawah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) bagi mengesan dalang penerbitan laman blog itu.

''Kita juga dapat tahu laman blog itu menggunakan pelayan (server) di luar negara dan ini satu tugas yang sukar tetapi kita akan cuba yang terbaik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan beret Pasukan Gerakan Khas (PGK) kepada 48 anggota 69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK) yang tamat latihan di Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta di sini hari ini.

Beliau mengulas perkembangan siasatan sebuah laman blog yang didakwa milik seorang wanita Melayu, menyiarkan artikel yang disertakan gambar wajah orang yang diubah suai bagi tujuan menghina dan memburuk-burukkan Nabi Muhammad.

Dalam pada itu, mengulas mengenai majlis hari ini, Ismail memberitahu, anggota yang tamat latihan harus berbangga kerana berjaya menyertai dua unit elit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

''Bukan semua anggota polis boleh lulus ujian memasuki 69 Komando dan UTK kerana kedua-dua unit khas itu memerlukan disiplin, ketahanan mental dan fizikal yang tinggi selain kepakaran seperti mengendalikan senjata, terjun udara dan serangan menyelamat,'' katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kumpulan terbaru ini merupakan generasi baru berusia 20 hingga 30 tahun dan mereka akan diserapkan bagi memantapkan unit sedia ada.

''Kita masih kekalkan mereka yang sudah berkhidmat 30 tahun supaya kekuatan lama digabungkan dengan kekuatan baru,'' ujar beliau.

Ismail berkata, PDRM sentiasa bekerjasama dan bertukar maklumat dengan polis negara lain seperti Thailand, Amerika Syarikat dan Australia bagi meningkatkan aspek pengetahuan dan taktikal pasukan dari semasa ke semasa.

Utusan Malaysia

Selasa, 30 Disember 2008

Makin Penghujung Usia Kini (Singgahsana)

Makin penghujung usia kini, selalu orang berkata; Rumah kata pergi Kubur kata mari. Itu yang berlaku bagi orang setua aku. Kata-kata itu bagaikan bergenang selalu dalam jiwawi. Anak-anak pun makin payah berunding. Sepatah kita menegur, berpatah-patah jawapannya. Begitu juga isteriku. Makin kita menegur makin kita diherdik. Makin risau tenguk lagak isteri kini; tau-tau telah merancang segala, sekadar beritahu bukan pinta izin lagi. Begitu juga dengan kekawan. Makin mencari orang sealiran. Makin kurang kawan, Di tempat kerja makin bertambah staf muda-muda. Staf muda selalunya komitmennya berbeda kita yang telah berkeluarga. Maka semakin kuranglah sahabat kita.

Jika rakanku seorang pemegang PhD. Makin sibuk dengan penyelidikannya. Jika rakan ku sesama staf sokongan; makin berebut dengan status. Mahu mengejar jawatan kanan. Mahu saban tahun berkursus sini sana, malahan ada yang berkata.

"Aku kalau boleh iDAN setiap tahun akan dapat berkursus ke luar negara.." Memanglah kawan jenis yang ini akan menyembah kerja sepanjang masa, menyembah bos pagi petang. Tak lekang dengan kerja yang pastinya sampai kiamat pun tak habis.

Makin penghujung usia kita, makin bertambah hutang kita. Sementelah kita makin menjadi pencari harta karun. Jika mereka berkolar putih pastinya impikan mahligai indah, rumah idamannya sebuah banglow mewah siap kolam renang. Jangan bandingkan kereta mereka dengan kereta perangku. Tadi Ustaz Halim tergelak besar bila aku kasi tahu. Kereta perangku telah jadi stor. Di bonetnya penuh perbagai baranngan.

"Baik kau buka saja bangku belakangnya iDAN, banyak barangan boleh muat tu..!" Dia menyambung gelaknya. Kereta perangku makin laeh & entah bila dapat aku betulkan.

Makin dekat saat aku secara sah menjadi Pesara. Sekitar empat bulan lagi. Besar kemungkinan menjelang 1 Mei tahun depan, aku tidak lagi dapat klik-klik komputer kerajaan begini lagi. Tak pasti lagi, apakah aku akan berteman dengan cangkul atau parang. Niat & tekadku bulat, mahu memulihkan tanah pusaka. Langkah terawal pastinya menebas dusun buahan di kampungku. Menanti bantuan RISDA Perak untuk tanam semula kebun getah arwah ayah. Jika pun tak dapat bantuan, aku kena menerangkan tanah yang terbiar itu. Paling tidak aku akan mengorek kolam. Buat penternak ikan.

Siapa boleh menemankan aku di sana iyer!. Afiz baru semester dua di Poli, Aziq pastinya akan tambah sibuk dengan dunia remajanya. Anif & Azim masih lagi di bangku sekolah, lima atau enam tahun lagi barulah tahu ke arah mana pembelajarannya.

Minggu lalu Salleh rakan kerja sebilik; baru saja bernikah. Aku sempat ke majlis nikah & kendurinya di Sungai Besi; keluarga orang rumahnya di sana. Kalau dulu terkenal dengan Kampong Konggo; telah tak ujud lagi nama itu. Dia cuti dua minggu, jadi aku menjadi bos besar di sini, menjaga lima makmal komputer. Kembali bagai aku di KKK dulu, menjaga makmal komputer. Tugasan ini memang amat rutin bagiku. Jika tanpa gangguan luar memang amat selesa bagiku menjaga makmal komputer. Telah hampir empat bulan aku tidak langsung punyai kunci makmal atau kunci tempat berkerja. Sekadar janjiku dulu menumpang sebelum pencen. Empat bulan aku tak rasa berkerja bagai dulu. Lagi empat bulan pula tak sabar rasanya aku mahu mula berpencen. Cumanya masa itu tak dapat ditarik-tarik agar cepat beralih.

Makin penghujung usia kini, makin aku mencari makna diri.

Posted on 30.12.2008 at 1:11 PM

Isnin, 29 Disember 2008

PMR 2008 cemerlang (Ceritera)



*Sebanyak 472,060 calon menduduki PMR 2008. 26,378 pelajar atau 5.96 peratus mendapat A dalam semua mata pelajaran.

*Semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Komunikasi mencatat kenaikan tertinggi iaitu 3.6 peratus.

*Peratus kelulusan calon mendapat sekurang-kurangnya D bagi semua mata pelajaran adalah 62.93 dan calon memperoleh

semua E seramai

440 (0.10 peratus).

*Pelajar yang menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris meningkat kepada 51.2 peratus berbanding 21.5 peratus pada 2007, manakala Matematik naik 26.9 peratus berbanding 4.6 peratus pada 2007.

*Jurang perbezaan antara pelajar bandar dengan luar bandar terutama bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains semakin mengecil.

Utusan Malaysia.

Ahad, 28 Disember 2008

Kopi O kosong, halia tahan mabuk (Petua)



Oleh Nuri Angkasa

MASIH lagi kita bincangkan cerita mabuk laut. Banyak lagi yang bertanya tentang yang berterusan, walaupun sudah makan pil mabuk yang dibeli di farmasi dan beberapa petua tradisional sebelum turun ke laut.

Rata-rata mereka mendakwa tidak boleh terhidu bau air laut, bau lantai bot dan goyang bot walaupun sedikit. Ini sukar Pak Nuri hendak menjawabnya, kerana jika sudah begitu teruk menyeksa badan adalah baik batalkan saja niat untuk turun ke laut kerana tentunya anda bakal berdepan dengan ribut dan gelombang besar. Sekiranya anda masih berminat untuk menjadi seorang pengail sambil menanam azam bahawa anda juga boleh memancing seperti orang lain.

Jika begitu kuat azam dan semangat anda untuk terus meneroka laut, langkah terbaik yang harus anda lakukan ialah amalkan petua seperti yang telah Pak Nuri muatkan dalam halaman ini beberapa bulan yang lalu dan elakkan dari terus bergantung kepada ubat mabuk, kerana ubat mabuk yang dibeli di farmasi atau kedai ubat lain membuatkan anda akan tidur yang tentunya tidur sehingga tidak sedarkan diri.

Jika ini terjadi tentunya cita-cita dan hasrat anda untuk memancing akan lenyap bersama dengan tidur anda. Bagi mereka yang sudah berkali-kali turun memancing ke laut tapi masih mabuk dan muntah walaupun keadaan laut terlalu baik, air laut tenang bagaikan di tasik, tidak bergelombang, jika ada pun cuma anak gelombang saja yang bermain, justeru nasihat Pak Nuri anda kena banyak minum air mineral berselang dengan makan makanan masam dan biarkan dalam mulut anda barang di kunyah.

Petua yang Pak Nuri dapati daripada sahabat pemancing juga menceritakan air halia pekat juga boleh menahan mabuk terutama kerana terlalu lama di lambung gelombang. Ada juga sesetengah pemancing minum kopi O kosong pekat sebelum naik bot.

Perut jangan dibiarkan kosong dan tidak terlalu kenyang, sambil itu jika melakukan potongan isi ikan atau sotong yang sudah berbau anda hendaklah cepat membasuh tangan dan keringkan dengan kain bersih supaya baunya tidak berkesan pada hidung anda dan satu perkara lagi yang perlu anda jauhi ialah jika membetulkan tali apollo atau perambut yang kusut jangan sekali-kali anda tunduk terlalu lama, adalah lebih baik anda simpan atau menukarkan pada yang baru.

Lakukan petua ini dan cuba elak tidak terlalu bergantung pada pil mabuk, kerana anda boleh mengubahnya dengan kekuatan semangat dan daya tahan dalaman.

Joran

Sabtu, 27 Disember 2008

Hanya 14.5% ibu beri susu badan (Ceritera)



KUALA LUMPUR 26 Dis. - Budaya penyusuan badan di kalangan ibu-ibu di Malaysia sangat rendah hanya 14.5 peratus daripada mereka memberikan susu badan kepada bayi mereka sehingga berumur enam bulan, menurut statistik Kementerian Kesihatan.

Ini disebabkan kejahilan mengenai nilai susu badan, kurang sokongan daripada anggota keluarga dan kakitangan penjagaan kesihatan serta kembali bekerja sebaik sahaja tamat tempoh cuti bersalin yang diwajibkan.

Sebab utama lain ialah makanan bayi komersial yang ada menggambarkan ia adalah sama jika tidak lebih baik daripada susu badan.

Bagi melindungi, mempromosi dan menyokong amalan penyusuan badan di negara ini, kementerian tersebut merangka satu kod etika produk formula bayi yang berkuat kuasa Ogos lepas.

Kod etika pertama diperkenalkan pada 1979 yang didapati tidak berkesan. Salinan kod etika terkini diperoleh Bernama di sini hari ini.

Kod itu memberikan garis panduan yang jelas untuk mengawal promosi yang kompetitif dan mengiklankan produk komersial bayi yang mungkin dilihat mengatasi kemampuan susu badan.

Ia juga bertujuan memastikan penggunaan formula bayi sewajarnya, berkaitan produk dan makanan tambahan.

Tujuan utama kod itu ialah terhadap pekilang dan pengedar agar jangan memasarkan, mempromosi atau mengiklankan produk itu dalam cara sebagai mencabar atau mengatasi mutu dan kualiti terbaik susu badan.

Penyelidikan menunjukkan susu badan adalah yang terbaik untuk bayi kerana ia memberikan perlindungan terhadap penyakit dan membantu menjalin hubungan rapat antara ibu dan anak. Mengenai kod itu yang dikaji semula, jururawat kesihatan kanak-kanak, Tan Bee Lan berkata, ia satu langkah yang sangat baik kerana syarikat mengunakan ibu yang mengandung, pekerja kesihatan, doktor malah kanak-kanak sekolah mempromosikan produk mereka.

Kini diharap dengan kod yang lebih terkini dan berkesan ini, ibu-ibu janganlah terpengaruh dengan memberikan susu formula kepada bayi mereka," katanya.

Bee Lan yang bertugas dalam bidang ini selama 30 tahun berkata, susu badan secara idealnya hendaklah merupakan satu-satunya sumber makanan untuk bayi sehingga sekurang-kurangnya enam bulan.

- Bernama

Posted on 27.12.2008 at 5:06 PM

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mangkat



27/12/2008 4:31pm
oleh Ainol Amriz Ismail

SEREMBAN 27 Dis. – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman, 86, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kira-kira pukul 11.45 pagi.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor ketika membuat pengumuman itu di HTJ tengah hari ini memberitahu, Tuanku Ja'afar berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

``Saya ingin memaklumkan, Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ. Kebawah Duli Tuanku mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi.

``Pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr. Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr. K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku,'' kata beliau pada sidang media khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini.

- Utusan

Abdullah: Ambil tindakan terhadap blog hina Rasulullah (Ceritera)



27/12/2008 5:42pm
ALOR GAJAH 27 Dis. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis mengambil tindakan segera terhadap sebuah laman blog yang dikesan penuh dengan penghinaan yang amat sangat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menimbulkan masalah besar dalam negara ini.

“Saya sudah beritahu kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya mengambil tindakan segera,” katanya kepada pemberita selepas melawat Dusun Buah-Buahan Tropika D-Paradise dekat sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laman blog tersebut yang turut menggunakan gambar dan lukisan kononnya milik seorang wanita Melayu.

Bagaimanapun dipercayai gambar dan nama wanita itu hanya diperalat pihak lain.

Abdullah berkata: “Saya baru saja, dalam ucapan Hari Krismas baru-baru ini, mengatakan kita perlulah bersikap toleran, perlu pastikan kehidupan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan berlainan keturunan, kita mesti sentiasa waspada, sentiasa mengingati diri kita, jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keadaan yang tidak kita suka, ini pula hal berkaitan dengan agama”.

- Bernama

Wanita laman blog hina Nabi jumpa Shabery (Ceritera)



27/12/2008 5:44pm

KEMAMAN 27 Dis. — Wanita yang gambar serta identitinya digunakan dalam sebuah laman blog yang artikelnya menghina Nabi Muhammad S.A.W, mendakwa laman blog tersebut bukan miliknya sebaliknya disalahgunakan pihak lain yang tidak diketahui motifnya.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, wanita berkenaan membuat pengakuan tersebut dalam pertemuannya dengan beliau dua minggu lepas dan meminta RTM menyiarkan tentang perkara tersebut untuk membersihkan namanya.

“Wanita itu yang berusia dalam lingkungan 20-an ada berjumpa dengan saya untuk meminta pertolongan bagi membersihkan nama serta identitinya yang digunakan dalam sebuah laman blog menghina Nabi Muhammad S.A.W,” katanya kepada pemberita di majlis perasmian Nur Sejahtera peringkat Parlimen Kemaman di sini hari ini.

“Dia memohon bantuan RTM supaya menghebahkan perkara itu kerana laman blog yang turut mengandungi mesej serta ucapan Deepavali berbaur penghinaan terhadap penganut agama Hindu itu bukan dilakukan oleh dirinya dan telah menjejaskan nama baik dirinya serta syarikat tempat dia bekerja.

“Saya telah minta RTM muat cerita itu untuk mengingatkan orang ramai yang menerima kad ucapan dari laman blog itu supaya berhati-hati dan membuat laporan polis,” katanya. -

Bernama

Jumaat, 26 Disember 2008

Kuasa Allah tiada tandingan makhluk (Agama)



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. “Engkaulah (Wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati daripada sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya. (Ali Imran: 26-27)


Al-MARAGHI berkata: "Perbincangan yang lalu tentang dakwah Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Musyrikin dan Ahli Kitab. Malangnya golongan Musyrikin menentang Baginda lantaran perilakunya sebagai manusia yang makan dan berjalan ke pasar. Keingkaran yang ditunjukkan oleh mereka turut berlaku terhadap para Nabi yang sebelumnya. Cuma berbeza sedikit, kerana golongan Ahli Kitab menunjukkan sikap mengingkari Nabi yang bukan datang daripada kalangan Bani Israel .

Justeru, turunnya ayat di atas bagi menghiburkan Nabi Muhammad SAW yang sedang menghadapi penderhakaan dan kesombongan mereka. Di samping itu juga, untuk mengingatkan Baginda SAW bahawa Allah SWT sahaja Yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada Baginda SAW dan meninggalkan agama-Nya.

Dalam situasi ini, seolah-olah Allah SWT berfirman kepada Baginda: "Seandainya golongan penderhaka itu menolak ajakan kamu, tidak mahu tunduk kepada kebenaran, manakala kaum Musyrikin pula masih berkelakuan bodoh (jahil), sementara Ahli Kitab dengan sifat takburnya, wajarlah kamu memohon perlindungan daripada Allah SWT, berdoa, menyatakan pujian, sentiasa mengingati bahawa segala urusan berada ditangan-Nya. Sesungguhnya Allah SWT berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Sebab Nuzul Surah Ali Imran: 26

Al-Wahidi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan Anas Ibnu Malik bahawa sewaktu Rasulullah SAW menakluk kota Mekah, Baginda menjanjikan kerajaan Parsi dan Romawi akan mereka kuasai. (Mendengarkan janji ini), golongan munafik berkata: "Mustahil! Mustahil! Bagaimana Baginda boleh menguasai kerajaan Rom dan Parsi, kerana mereka memiliki kekuasaan dan kelengkapan yang banyak. Adakah Nabi Muhammad SAW masih berasa tidak cukup dengan kejayaan menguasai Mekah dan Madinah, dan mahu ditambah lagi dengan menakluk Parsi dan Romawi?" Sebagai menjawab ejekan mereka itu, Allah SWT menurunkan ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

Ibnu Kathir berkata: "Ayat ini menyuruh Muhammad SAW untuk membesarkan Tuhan-Nya, bersyukur dan berserah kepada-Nya. Ayat ini sebagai satu peringatan dan petunjuk supaya bersyukur atas nikmat Allah SWT kepada Rasul-Nya dan umat ini kerana Allah SWT telah menukar keNabian kepada Nabi berbangsa Arab dan menjadikannya Rasulullah SAW kepada manusia dan jin serta dikurniakan banyak keistimewaan yang tidak dikurniakan kepada nabi sebelumnya.

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya kemuliaan dan kehinaan mempunyai pengaruhnya masing-masing. Bagi golongan yang mulia, mereka mempunyai pengaruh, memiliki sahabat handai yang ramai, segala kebesaran atau ilmu yang dimilikinya dapat memberi kesan terhadap jiwa orang lain. Dalam pada itu, rezekinya banyak mencurah, dan bersikap dermawan kepada orang lain."

Ibnu Abbas menafsirkan al-Mulk iaitu kekuasaan ialah al-Nubuwah atau keNabian.

Hamka berkata: "Maka di dalam rangka kekuasaan Allah SWT, dicabutlah nikmat kekuasaan itu daripada Bani Israel. Allah SWT Maha Berkuasa mewujudkan Dunia Baru, yang membuatkan revolusi dalam alam pemikiran manusia dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang mulia timbul dari suatu daerah tandus dan gersang di padang pasir, di lembah yang tiada tumbuh-tumbuhan."

Seorang pujangga Inggeris yang terkenal, Thomas Carlyle berkata: "Dengan berkat ajaran Nabi Muhammad SAW dan kedatangannya, maka padang pasir yang kering berubah menjadi subur yang membakar susunan masyarakat lama, dari Barat sampai ke Cordova, Timur sampai ke Delhi. Dia telah mendirikan pusat-pusat kebudayaan dan peradaban di Damsyik, Baghdad, Kaherah, Samarkand, Delhi sampai ke pulau-pulau daerah Khatulistiwa."

Hamka berkata: "Adapun ulama-ulama yang lemah jiwanya, otaknya hanya penuh dengan ilmu-ilmu agama inilah yang kerap kali terjual dan tergadai ke dalam istana raja-raja dan pembesar-pembesar tertinggi. Kalau ada ulama sebegini pembesar-pembesar itu berasa lega berbuat maksiat dalam negara, menindas rakyat, menghisap darah dan mengganggu rumah tangga orang lain. Ini berlaku kerana ulama yang seharusnya menegur perihal pembesar sudah tiada lagi. Mulut-mulut mereka telah disumbat dengan segala macam kemewahan dunia yang sementara."

Mohamad Quraish Shihab berkata: "Dengan menyebut nama Allah SWT, yang lafaz-Nya menyiratkan makna ketaatan dan ibadah hanya wajar diarahkan kepada-Nya semata, pengucap doa ini diharapkan dapat meraih kekhusyukan serta menyandangkan segala sifat terpuji kepada Allah SWT dan menyucikan-Nya daripada segala sifat tercela. Dengan menyeru Malik al-Mulk diharapkan dapat tercermin kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, serta kelemahan seluruh makhluk di hadapan-Nya."

Penulis berpendapat jelas menunjukkan betapa kuasanya Tuhan dalam melakukan apa sahaja. Justeru, taat dan patuh kepada-Nya.

Surah Ali Imran: 27

Iktibar dan fiqh ayat:

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT yang mengeluarkan benih-benih tanaman sehingga membesar yang asalnya daripada sebiji benih, begitu juga mukmin daripada kafir dan kafir daripada mukmin, ayam daripada telur dan telur daripada ayam. Begitulah yang berlaku kepada seluruh alam. Ini melambangkan daripada hikmah iradah dan kehendak Allah SWT.

Al-Maraghi berkata: "Sebagaimana yang sehari-hari terjadi bahawa yang hidup dapat tumbuh kerana minum susu dan lain-lain, sedangkan makanan itu adalah benda yang mati menjadi bahan makanan untuk menumbuhkan badan, merupakan tanda yang paling penting untuk membezakan benda yang hidup daripada benda yang mati.

Para biologi telah mengatakan, misalnya ulat yang memakan daun dan daun ini berubah menjadi dagingnya. Ini merupakan tanda yang paling penting bahawa ulat itu hidup. Begitu juga bayi yang meminum susu merupakan benda yang mati kemudiannya berubah menjadi tubuh yang hidup.

"Segala urusan berada di bawah kekuasaan Engkau, dan tiada apa pun yang dapat mengatasi kekuasaan-Mu dan mengadili-Mu. Hanya Engkaulah Yang Maha Berkuasa untuk mencabut kekuasaan daripada orang yang berada di luar Islam dan menjadikan mereka hina. Sesungguhnya Engkau telah berikan kekuasaan itu kepada umat Islam dan Engkau jadikan mereka sebagai golongan yang mulia."

Hamka berkata: "Apabila Allah SWT menyuruh Rasul-Nya membaca ayat ini sebagai doa akan terlepaslah kita daripada suasana terumbang-ambing melihat perubahan keadaan dan suasana di dalam alam ini. Maka wujudlah rasa Tauhid iaitu menghimpunkan kekuasaan dan kemuliaan kepada Allah SWT. Maka bersyukurlah kepada Allah SWT ketika diberi-Nya kurnia dan bersabarlah atas dugaan-Nya."

Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi berkata: "Allah SWT tidak membuat kadar siang untuk setiap waktu persis sama; kadang-kadang siang berkurang sekian jam, malam pun begitu jua. Namun, pengurangan itu tidak sekali gus, melainkan sedikit demi sedikit. Memang ada saat-saat perhentian antara pergantian jarum minit ke minit berikutnya, tetapi sebenarnya waktu bergerak setiap minit, bahkan setiap detik walau kita tidak melihat atau menyedarinya.

Kita tidak menyedari pertumbuhan anak yang kita lihat setiap saat, ini berbeza kalau kita meninggalkannya sebulan atau dua bulan. Ia sebenarnya akan membesar setiap detik. Oleh yang demikian, merupakan suatu pengaturan yang amat teliti, yang tidak dapat dilakukan kecuali oleh Allah SWT yang menjadikan malam ke dalam siang dan menjadikan siang ke dalam malam.

Kalau keadaan anak merupakan contoh daripada yang kecil menjadi besar, maka yang besar pun dapat mengecil. Manusia tidak memiliki kemampuan untuk mengamatinya secara langsung. Al-Sya'rawi memberi contoh tentang hal ini dengan gambar New York yang diambil oleh satelit. Begitu jugalah contoh yang telah dihuraikan secara panjang lebar oleh kami."

Syeikh Mutawalli al-Sya'rawi berkata: "Kebanyakan orang tidak mengetahui bahawa dalam satu butir tumbuhan terdapat kehidupan, dan ia berpotensi untuk tumbuh berkembang. Mereka juga seringkali tidak menyedari perbezaan antara hidup dan potensi hidup. Biji kurma yang ditanam akan tetap menjadi biji sampai ia ditanam dalam satu lingkungan yang sesuai.

Bahkan lanjut al-Sya'rawi mengutip pendapat ilmuwan, potensi gerak yang terdapat pada butir-butir kepala sebatang korek api pun berpotensi menggerakkan kereta api mengelilingi dunia sekian tahun lamanya."

Dalam ayat ini menggambarkan betapa kuasa Allah SWT tiada mungkin ditandingi oleh mana-mana makhluk. Oleh itu marilah sama-sama menjadi hamba-Nya yang benar-benar patuh kepada-Nya.

Utusan

Nabi Ibrahim melawan Raja Namrud (Agama)


APAKAH kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan." Orang itu berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan." Ibrahim berkata, "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat." Lalu terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258)

Peristiwa ini berlaku selepas sahaja baginda keluar dari api yang membakar dirinya. Nabi Ibrahim semakin bersemangat untuk meneruskan dakwah kerana bertambah yakin dengan petunjuk dan perlindungan daripada Allah SWT. Baginda menjalankan dakwah tidak berhenti-henti kepada kaumnya.

Suatu hari, kegiatan dakwahnya itu telah diketahui oleh Raja Namrud. Raja Namrud berasa sangat risau dan susah hati. Dia bimbang kekuasaannya akan tergugat kerana dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim. Dia juga bimbang sekiranya kerajaannya akan musnah disebabkan oleh pengaruh dan dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim.

Raja Namrud telah memanggil Nabi Ibrahim supaya datang mengadapnya. Apabila Nabi Ibrahim tiba, Raja Namrud pun bertanya kepada Nabi Ibrahim:

"Apakah fitnah dan api permusuhan yang engkau sebar dan engkau khabarkan di tengah-tengah rakyatku? Siapa Tuhan yang engkau minta rakyatku menyembahnya? Ada lagikah Tuhan yang engkau kenal dan patut disembah selain aku? Siapa yang mempunyai kedudukan setinggi kedudukanku dan siapa yang memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku? Tidakkah engkau nampak, aku berkuasa mengatur dan mentadbir kerajaanku yang luas ini, menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada sesiapa dapat menghalangnya ? Segala keputusanku ditaati dan tidak ada sesiapa pun dapat menundanya. Semua orang bergantung kepadaku untuk meminta pertolongan dan mereka tidak berani melawannya. Mengapa engkau berani menentang aku? Kamu bukan menghina malah merosakkan sembahan-sembahan rakyatku."

Nabi Ibrahim pun menjawab kata-kata Raja Namrud itu dengan tenang sekali, "Aku tidak menyebarkan fitnah atau menimbulkan kekacauan. Aku hanya membawa kebenaran dan mahu menghapuskan kesesatan. Aku mengajak orang ramai supaya menyekbah Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, memberi kehidupan kepada makhluk-Nya atau mencabut nyawa.

Itulah Tuhan yang aku sembah dan aku mengajak orang menyembah-Nya. Bukan patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri."

Namrud berasa amat tidak berpuas hati. "Jika Tuhan yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan, aku pun mampu melakukannya. Seseorang yang mesti menjalani hukuman mati apabila diampunkan olehku maka dia akan hidup dan apabila orang itu dijatuhi hukuman mati, maka ertinya aku telah mematikan dia. Sekarang tidak ada bezanya Tuhanmu dengan diriku. Mengapa engkau tidak menyembahku?"

Nabi Ibrahim masih tidak berputus asa. "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan kedudukan terbit setiap hari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Jika engkau benar-benar berkuasa, cubalah engkau ubah kedudukannya itu. Dapatkah engkau melakukannya?"

Namrud akhirnya terdiam seketika. Dia tidak dapat melawan kata-kata dan hujah daripada Nabi Ibrahim. Mulai dari saat itulah, Namrud menganggap Nabi Ibrahim sebagai musuh yang perlu dilayan dengan berhati-hati. Dia tidak mahu menampakkan kebencian yang nyata kepada Nabi Ibrahim. Sebagai langkah berjaga-jaga Namrud telah menghantar beberapa pasukan pengawal untuk menyiasat segala kegiatan Nabi Ibrahim.

Utusan

Khamis, 25 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 7 (Singggahsana)

Ala Komando

Abg Mat tekong yang mengemudikan bot kami; anak kepada Pak Aris, segak orangnya nampak sasa ala komando. Jika dia mengikat kepalanya dengan sapu tangan brutal & pakai topeng sebelah mata itu, mahu demam lanun jika cuba menyanggah bot kami. Awak-awaknya pula ada dua orang. Pak Ali nampak alim amat orangnya. Tok Siak surau pastinya. Seorang lagi Pak Arip nampak wajah nelayan sejati. Biarpun aku agak berumur sekitar hujung empat puluhan tetapi nampak amat segak & bertenaga. Pandai memasak, dalam bualannya dia rajin ke rumah anaknya di KL & kalau ada kenduri di kampungnya dia memang menjadi tukang masak kenduri kendera.

Aku nampak di langit selimut mendung bagaikan tidak mahu terurai dari menutup lenanya beradu Dewi Tenggiri. Angin basah terusan membelai kulit Dewi Tenggiri. Laut kucah sejak berminggu. Aku tak berani menjanjikan apa-apa tangkapan besar buat ekspedisi kami kali ini. Ombak bagaikan ribut malam yang menguncangkan kelambu Dewi Tenggiri. Huru hara amat cuaca.

Bot yang aku naiki teramatlah besarnya. Pertama kali aku turun ke laut menaiki bot sebesar ini. Selain Abg Mat yang leka mengemudi bot, awak-awak, Che Wan & aku sahaja yang berjaga. Yang lain meringkuk di ruang pondok bot melayan mimpi. Aku lihat Pak Arip menjerang air, pastinya buat kopi untuk kami.

Aku mengambil Suria untuk & melayan anganan sendiri. Tak tahu mahu berbual apa dengan Che Wan, rasa segan, rasa rendah diri & perbagai berbaur dalam diri. Che Wan pun jenis seorang yang agak pendiam. Bagai ada watak yang bagiku tak selayaknya aku boleh berborak kosong dengannya. Asap Suriaku cepat amat hilang bersama basah angin tenggara. Ombak semakin ganas.

Aku menanti cahaya mentari di ufuk timur. Dunia ini jika tanpa mentari sememangnya amat suram. Cuaca mendung seakan mahu ribut, membuatkan aku amat payah melihat rona awan. Tau-tau cahaya siang semakin cerah. Aku mencari ruang di sisi bot untuk syolat duduk. Tak sabar mahu menanti panggilan unjam. Mengikut perancangan unjam pertama kami akan sampai sekitar jam 7:00 pagi.

Fareez bangun awal, diikuti yang lain. Aku telah celik mata sejak awal makin segar pekena kopi Pak Arip. Pak Ali nampaknya membetulkan apollo panjang yang dililit di koyan. Telah nampak petanda unjam pertama yang kami jejaki. Abg Mat memperlahankan enjin bot.

"Kita guna apollo untuk mendapat ikan sebagai umpan tenggiri" Fareez berpesan. Semua kami sibuk menggunakan apollo di celahan kucah laut. Memang cepat sahaja kami telah selesa dengan tangkapan anak kembung & anak selar. Biarpun tidak sebanyak anak kembung di Penyabong tetapi sudah cukup melegakan kami mendapat umpan segar.

Karang Pak Ngah sememangnya panjang. Maka itu tidak hairan banyak unjam yang bagaikan Istana Tenggiri di sepanjang unjam. Satu yang menarik banyak amat camar yang cuba menyambar anak kembung & selar. Bagaikan pesta keraian yang tidak berpenghujung. Atau mungkinkah camar ini bagaikan pengintip atau hulubalang Dewi Tenggiri.

"Ombak besar!, elok kita berlindung lama di unjam ini!" Abg Mat bersuara, aku telah penat menjatuhkan apollo ke dasar laut. Abg Arip & Abg Ali tak pernah penat memerangkap ikan unjam dengan kemahiran nelayan mereka. Kami menggunakan tiga joran untuk merisik Dewi Tenggiri. Aku mengalah sahaja bilamana pancing yang Che Wan pinjamkan buat aku memikat tenggiri diguna oleh Aru. Che Wan, Aru & Fareez leka mengintai riak Dewi Tenggiri.

Tetapi kami digempakkan oleh ragutan ganas pancing Shimano Tekota dipadankan dengan rod x-zoga yang berumpan anak selar. Garang, lasak, berlawan dengan rentapan Che Wan, masing-masing kami menaikkan mata kail. Tak sabar menunggu, siapakah gerangan si ikan yang tampak ganaslah amat. Selang beberapa minit kami dikecewakan, terlepas;

"Haruan Tasik kot, tak nampak pun calar pada ikan ini..!" Che Wan hampa. Sangkaku pula ialah hulubalang Dewi Tenggiri, melindungi Dewinya dari terjaga dari tidur yang lena.

Aku lihat Amirul cahayamata Che Wan telah mabuk laut, kejap bangun & termuntah kemudian dia tidur semula. Banyak air jus buah ditelannya. masih lagi mabuk. Kes mabuk laut ini memang berlaku setiap kali aku turun ke laut. Bagaikan satu sumpahan. Seingat aku paling teruk rakanku mabuk laut ialah abang kandung Sharil Smart. Dari awal jejak kaki ke bot hinggalah ke saat bot berlabuh di jeti untuk balik. Sepanjang ekspedisi memancing mabuk laut memanjang.

Hampir dua jam kami di unjam yang sama. Sekitar jam 11:00 pagi barulah kami dapat merisik Sang Tenggiri. Bukannya Dewi Tenggiri tetapi sekadar sepupunya yang seberat sekitar 4 kg. Itupun lantaran sifu yang sahih Abg Mat tekong kami. Yang menariknya di unjam ini kami berjaya menaikkan ikan unjam penuh tong 100qt.

Harap-harap cuaca akan terusan cerah

- Bersambung

Tip Che Wan

A.alaikum kenkawan..

Tsunami..dalam keadaan laut yang bergelora/kucah membuatkan air menjadi keruh kerana pergerakan air akan menjadikan pasir dan lumpur didasar bergerak. Ikan2 kembong dan selar karang yang mencari makan dalam karang akan menghilangkan diri atau menjadi halimunan iaitu ada tapi tak kelihatan. Kekeruhan air tadi berpunca dari pergerakan pasir dan lumpur didasar dan kebiasaannya dibahagian lain airnya lebih jernih dari biasa. Jadi menggerakan umpan perlu dibuat supaya peluang lebih tinggi. Manakala tenggiri sudah dapat mengesan umpan ia akan naik ke atas ditempat yang jernih dan pasti akan dapat mengesan benda2 asing yang terikat pada umpan kita.

Kalau menggunakan kekili light yang spool kecil spt yang kawan pakai tu hanya boleh muat tak sampai 100 meter braided 20lb jadi kawan masukkan tali sulam sufic 12 lb sepanjang 135m kemudian kawan sambung dengan mono f/c 10 lb sepanjang 50 meter.

Perlu diingat kalau menggunakan kekili yang kecil dengan tali utama yang halus, pasangannya pula kena betul2 serasi. Joran yang sesuai dan shock leader pasti dapat serap lebihan sentapan yang boleh memutuskan weak point ikatan pada perambut akibatkan kejutan(shock) yang berlebihan. Ramai di antara kita tidak peka dengan keadaan ini. Bila orang kata pakai 15lb merekapun pakailah 15lb tapi menggunakan joran PE3-8.

Kadangkala kita boleh lihat ada yang menggunakan line 10lb tapi menggunakan kekili spinning saiz 8000. Kita perlu seimbangkan set kita supaya ia dapat berikan kepuasan dan keseronokan disamping dapat mengawal pancingan dengan baik.

Set yang kawan gunakan tu ialah: kekili baitcaster Shimano Speed Master & joran Xzoga Pe 1.

- bersambung

Rabu, 24 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 6 (Singgahsana)

Wajah Jawa

Aku bersalaman dengan Aru, Ajak, Brother Joe & Amirul. Aru seorang yang segak ala pelakon filem, putih & terpancar perasaan jujur di raut wajahnya. Ajak nampak brutal dengan jeansnya, muda & seorang periang. Brother Joe mengingatkan aku tentang Pak Toyo... Pakcik Mila, berkulit sawa matang dan dari bualannya tampak akan sikap merendah dirinya. Macam wajah Jawa, hatiku terdetik mahu bertanya. Takut silap tafsiran pula. Amirul adalah cahayamata Che Wan masih di bangku sekolah. Pasti seorang sifu dalam bab memancing. Fairuz selalu cerita pasal keluarga Che Wan. Pertemuan dengan Amirul ini bukan pertama baginya. Amirul memang rajin mengikut ayahnya memancing.

WarnJohoe meminta diri kami menuju ke destinasi seterusnya.



Sempurna sudah kami berlapan akan menjadi penjejak Dewi Tenggiri. Aku memang tak sabar lagi dilambung ombak & ingin menghulur umpan ke dasar laut. Memujuk khazanah laut agar naik ke darat. Mengacau perkampungan ikan yang tentunya amat luas & tidak terduga.

Tanjung Sedili Besar, itu yang tertera di wikimapia; Jeti yang kami akan tuju. Agak jauh juga melintasi jambatan lengkung juga merentas kelapa sawit. Sepanjang dinihari ke Tanjung Sedili hanya kereta kami saja membelah dingin kabus.

Sekitar empat puluh lima minit kami sampai di jeti.

Masih gelap, tak dengar pun bunyi cengkerik, jauh sekali desah ombak. Tenang amat dinihari di Sedili. Nampak cahaya bulan tumpah ke laut. Padanlah Usman Awang tegar tenang mengarang di sini. Ada masjid bersebelahan jeti. Ada sekumpulan pemancing lain yang tentunya akan ke Karang Pak Ngah. Lampu jeti pun tidak dinyalakan. Dalam kegelapan aku terkial-kial menghantar SMS ke Aziq menyampaikan pesan buat ibunya yang ayahnya telah selamat sampai di Sedili. Aku masih amat gerun menerima SMS dari isteri, takut ayat lazim yang boleh menyiat hati.

"Fairuz kau cubalah ambil gambar pepagi kat jeti ini kot boleh kita masukkan ke dalam jurnal abg kau ini!..." Aku memujuk Fairuz dia menyelongkar beg galasnya untuk mengodek kamera digitalnya. "Tak payahlah ambil gambar abg kau ini, tak lawa kat gambar... perut dah boroi amat ini!" Dia klik beberapa keping.

Aku dengar Che Wan menelefon tekong yang tentunya telah bersedia untuk belayar. Memang tak lama kami menunggu, sebuah bot yang sasa. Besar amat berlabuh di jeti dengan tiga orang anggota mengemudinya. Tentunya seorang tekong & dua orang awak-awak.

Nun jauh di hayalanku. Aku nampak riak di air & bagaikan sirip Dewi Tenggiri berkicau di celahan buih ombak. Pastinya aku tergoda dengan silauannya bagaikan Nordin Ahmad tengah diamok asmaradana.

Che Wan & cahayamatnya ... Amirul di dingin dinihari

Sila Rujuk sini kisah seterusnya...

Mirror Menjejaki Dewi Tenggiri... Klik di bawah... Jika ingin menghabiskan ceritera ini.
Mirror Menjejaki Dewi Tenggiri ...tulisan Fareez

(Emmm! begitu cepat masa beredar, sedar tak sedar kekinian telah sekitar empat bulan aku tidak menulis untuk MFN. Lama tu!. Aku banyak menumpukan penulisan di jurnalku di easyjournalhttp://idanradzi.easyjournal.com. Sesekali aku suka menulis di forum politik; sejak harga minyak naik & kekinian kembali turun. Dua hari lalu aku jumpa Fareez; kami memancing di Melimau Melaka; Dia bising sebab aku berhenti menulis di MFN..)

Ceritera ini aku sunting dari MFN

- bersambung

Selasa, 23 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 5 (Singgahsana)

Andaian Meleset

"Mana Restoran Jinggo ni!" Fareez memecah kesunyian. Kenangan misteri Syukria pecah & hilang dari ingatanku.

"Kata lagi dua jam!" Aku rasa tertipu dengan sakatan Fareez. Fareez senyum melebar. Jam di tanganku belum pun cecah 1:00 pagi.

Dalam hati memang aku tak sabar mahu berkenalan dengan otai-otai pancing di Johor. Paling teruja mahu ketemu Che Wan. Apakah sama empunya diri seperti bayangan di kotak fikiranku. Kami parkir di hadapan bangunan kedai sebelahan kiri Restoran Jinggo. Besar Restoran Jinggo ini. Sudah awal dinihari, tak ramai pelanggannya. Dari jauh aku sudah meramal mesti yang duduk berbual itu Che Wan.

"Abg iDAN inilah Che Wan... " Fairuz memperkenalkan aku kepada Che Wan.

"Gelenggang!..." Aku memang tergamam. Dalam hatiku berbisik "Machoo orangnya... siap ada lesung pipit lagi" Senyuman Che Wan memang boleh menggoda siapa jua. Aku terbayangkan bagaimana beruntungnya isteri Che Wan dapat menambat hati Che Wan. Wajah semachoo Che Wan tentunya ramai peminatnya. Pastinya satu penasaran yang amat sangat untuk dapat mencuri hati Che Wan.

"Saya Abg Wan..." Rakan Che Wan dalam MSN nicknya WarnJohoe, orang Johor juga berkulit cerah. Bentuk mukanya bagaikan arwah Pak mertuaku. Nampak peramah & bewajah periang.

Aku banyak mendengar sahaja Che Wan, WarnJohoe, Fairuz & Fareez berbual. Banyak berkisar tentang pengalaman memancing. Paling baru WarnJohoe katanya dapat menjinakkan Patin bukan main besar. Faruz banyak menceritakan pengalaman dia memancing di Thailand. Bilamana mereka berceritera bab pancing memancing di laut dalam sememangnya aku yang lebih banyak mengail di tapak lombong seakan terpinggir rasa kecillah amat pengalaman memancingnya.

Memikirkan status Che Wan kesifuannya dalam bab memancing lagilah aku makin payah berbual. Rasa ingin belajar, segan & perbagai lagi berbaur dalam ingatan.

Aku sekadar minum, terasa juga laparnya perut, tak sedap hati nak makan sebab kata Fairuz kebiasaannya makan-makan semua tu memang Che Wan yang bayar. Memang aku amat keberatan nak makan belanja seseorang, masalahnya bila aku boleh membalas budi seseorang. Aku sendiri jenis manusia yang yang secukup & sekadarnya rezeki yang di miliki. Lagipun semasa di hentian Ayer Keroh aku telah pekena mi kari. Perut ini yang tak tahu rasa kenyang kot.

Ada lagi empat orang pemancing yang belum muncul-muncul. Hari telah melintasi 1:30 pagi. Kata Fareez dari Restoran Jinggo ke Jeti Sedili Besar sekitar sejam. Aku tidak yakin lagi dengan jangka waktu yang Fareez congakkan.

Bualan memancing empat pemancing ini memang tak habis-habis. Selang beberapa ketika ada kumpulan pemancing dari Singapura singgah sebentar. Tentunya mereka yang sering membaca MFN. Pelawaan Che Wan untuk berkenalan dengan kami nampaknya mendapat respon.

Memancing sesungguhnya dapat mengeratkan sirratulrahimi antara pemancil seluruh pelusuk negeri malahan negara yang lain.

Amirul cuba merisik Dewi Tenggiri.

- bersambung

Isnin, 22 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 4 (Singgahsana)

Kulai

Bilamana dari tingkap Wira aku lihat ada kabel yang menggantikan bingkai besi pengadang jalan, pastu aku teringat Arwah Firwan yang kemalangan ketika idia mahu ke Johor Baharu. Aku memang tidak puas hati & bersungut kenapa Plus menggunakan kabel ini yang memang amat bahaya bagi mereka yang menggunakan motosikal. Bayangkan lah betapa tersiksanya Arwah Firwan jika memang betul dia tercampak ke kabel ini dengan motosikal berkuasa tingginya. Perbagai cerita tentang kemalangan Arwah Firwan ini di internet & bualan kekawanku.

Harapanku pihak Plus akan menukar kebal ini agar tidak sampai membahayakan pengguna lebuhraya. Terutama penunggang motosikal.

Bilamana Wira kepunyaan Fairuz menjejaki Pulai. Terasa pula bagai masuk ke jalan utama UPM. Pokok hujan-hujan nampak rendang menutupi lorong jalan. Panjang bandai Kulai ini. Dari kedai-kedai yang berselerak di sepanjang perjalanan nampak bandar ini kepunyaan Cina.

"Jauh lagikah Restoran Jinggo tu Fareez..?" Aku memecah kesunyian;

"Dua jam lagi kot!..."Dari percakapan Fareez memang dia suka berceritera dongeng. Aku antara percaya & tidak. Entah-entah lagi tiga jam.

Banyak maklumat yang Fareez berikan bagaikan bahan gurauan. Seperti abgnya Fairuz; main sebut saja bilamana aku bertanya perkara yang dia tak pasti. Itu yang terjadi pada kes nama si Zeedin, entah mana dia dapat. Bila aku telah tulis jurnal untuk pengembaraan aku ke perkambungan Mambang Masjid Kristal tempoh hari; semua yang membaca watak Zeedin tergelak besar. Zeedin sendiri meraban melihat wajahnya bernama lain.

Kalau dua jam sah kami telah lewat. Sekarang pun telah jam 12:15 tengah malam. Aku bersungut dalam hati. Aku terbayangkan Restoran Jinggo kosong, macam kedai di pekan Koboi. Tak ada siapa menanti. Salah siapa?. Sudah berjanji jam 1:00 pagi siapa suruh datang dekat 3:00 pagi. Che Wan entah-entah telah naik bot. Mahu tak dikasinya kami naik bot nanti. Memang Janji Melayu.

Aku melayan fikiranku. Teringat akan pengalaman Shukria ketika berulang alik lewat dinihari dari Kulai ke Kota Tinggi. Pernah pada satu malam itu hujan renyai-renyai. Kilat ketika itu sambung bersambung.

Jam di tangan Skukria telah melewati 1:45 Pagi. Dia mengemaskan butang jeketnya. Kabus telah mula memasahi jeketnya. Kabus bercampur rintik hujan.

"Sunyi amat malam ni.." Bisik hati Syukria.

Tiada kenderaan yang mengekori atau berselisih. Lampu RXZnya didongakkan. Nampak jelas garisan putih jalan yang baru dicat.

Syukria mula rasa tidak sedap hati sebab kilat tak putus-putus. Pokok-pokok getah disekeliling pula bagaikan mahu menyembah bumi. Angin begitu deras & kencang bagaikan ribut mahu melanda. Tambahan pula kabus dicelahan hujan renyai-renyai.

Memang sunyi jalan Kulai ke Kota Tinggi ini. Tiba-tiba sampai sahaja Syukria di satu selekoh tajam. Dari celahan kabus & titis hujan gerimis, dia nampak satu lembaga berpakaian putih di tepi jalan melambai-lambai tangan; seolah-olah ingin menumpang RXZnya. Belum pun sempat dia membuat keputusan lembaga itu sudah kian menghampiri motosikalnya.

Syukria memperlahankan motosikalnya. Hatinya memang was-was, sebab kawan itu kawasan paya bakau. Hutan, memang dia tahu tiada perkampungan siapa pun di situ. Malahan memang kawasan itu ada papan amaran kawasan kemalangan.

Syukria telah mereka-reka tindakan; jika lembaga itu akan menghalang dia; pasti akan nekad melanggarnya sahaja. Dia tidak memikirkan lembaga itu manusia.

Bilamana telah benar-benar setentang dengan motosikalnya, Syukria memberanikan diri & cuba mengecam wajah lembaga berpakaian serba putih itu.

Sepintas dia melihat wajah yang bertutup dengan kelubung kepala sudah sampai mahu melemahkan setiap sendi tubuhnya. Hitam gelap & nampak matanya merah amat; bagaikan bercahaya. Bilamana Syukria melihat ke arah kakinya memang tergantung bagaikan tiada kaki terapung di bumi.

"Sah bukan manusia!!" Syukria memecut RXZnya bagaikan nak pecah enjinnya. Dia mengigil ketakutan. Apatah lagi jeketnya makin basah dilenjuni hujan. Dia tidak menoleh lagi di belakang & berdoa agar lembaga itu tidak sampai mengejarnya dari belakang.

Besoknya Syukria demam tak kebah & memang dia serik mahu pulang lewat malam melalui jalan Kulai itu lagi. Dari bualan kekawannya memang pada waktu magrib itu ada kemalangan maut di situ. Padanlah asyik menganggu.

-bersambung

Ahad, 21 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 3 (Singgahsana)

Siapakah Che Wan

"Abg iDAN Che Wan telah sediakan set pancing tenggiri untuk abg iDAN" Fareez mengejutkan aku ketika kami telah menuju ke lebuhraya dari Banting.

Aku diam sahaja, terbayang akan cita-citaku agar memiliki barang sebuah kekili yang baik bagi meminang Dewi Tenggiri. Jika aku tidak mampu membeli yang baru, cukuplah sekadar kekili terpakai. Aku selalu juga membuat tinjauan di kedai menjual peralatan pancing. Boleh dikatakan semua kekili yang cantik & berjenama mesti sekitar RM500 ke atas harganya.

Aku melihat jam tangan 8:45 malam. Congakan aku agar tiba di lebuhraya ke Selatan sekitar jam 9:00 malam hampir menepati sasaran. Aku terbayang wajah Nik yang machoo, kasihan dia; atas gesaanku dia awal-awal Fairuz telah hantar di Terminal Bas Kajang. Belum magrib kami telah pun menghantar dia. Tentunya dia telah pun menaiki bas untuk ke Pantai Timur.

Pak Mertua Fareez yang aku temui tadi masih lagi tak kebah demamnya. Memang musim demam. Aku pun baru sahaja diserang demam & batuk dua minggu lalu. Satu yang mengejutkan Pak Mertua Fareez pernah berkerja dengan MARDI tempat kerja lamaku. Dia bertahun-tahun berkerja di Cameron Highland. Sebut MARDI di sana tentunya aku teringat abg saudaraku sebelah Opah Bi. Abg Rosli.

"Abg kenal tak dengan Abg Rosli..?"

"Apa tak kenalnya lama kerja dengan dia di Cameron Highland!, kenapa kenal rapat dengan dia ke?"

"Pangkat abang saudara, masa saya kerja di MARDI Serdang memang kerap berjumpa dengan dia. Bila dia telah pindah ke Cameron Highland memang lama tak jumpa"

Kecil dunia ini, pusing-pusing sudah kenal dengan orang yang sama. Ayah Fareez dikira tekong juga, punyai bot sendiri pun kerap turun ke laut dengan Fareez & Fairuz.

Aku tersepit di celahan peti ikan yang besar di kerusi belakang. Ngam-ngam muat badanku dengan saratan barangan lain. Entah bagaimana boleh Fairuz tersilap susun barangan. Seharusnya peti ikan besar muat di bonet belakang. Harap-harap sampai di Sedili badanku boleh mengecil dihimpit barangan. Langsing seperti zaman bujangku.

Aku terbayang wajah Che Wan di internet, aku mengandaikan Che Wan tak jauh rupanya macam Pak Mertua Fareez, berwajah sawa matang; Kulitnya terbakar. Sebab asyik ke laut.

Aru & Fareez mengintai Dewi Tenggiri

Lebuhraya agak sesak sebab Senin cuti umum. Tentunya ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung. Malahan kenderaan yang menuju ke ibukota pun tak kurang saratnya. Aku menjeling meter kereta Wira Fairuz yang dipandu Fareez. 120 km terkadang lebih dari itu. Nampak meter kepanasannya naik meninggi.

"Ini kali ke berapa iyer Fairuz kau turun ke laut dengan Che Wan!"

"Lima atau enam kot lupa dah!... rasanya ada setahun lebih tak jumpa dia!" Memang Fareez & Fairuz kerap memancing dengan Che Wan. Bagiku memang tidak dapat membayangkan bagaimana orangnya Che Wan. Apatah lagi rakan pemancing Johor yang lain.

"Tadi aku cuba respon forum yang Che Wan tulis, teruk amat talian internet di UPM; tak kesampaian.."

"Isu apa tu abg iDAN!"

"Dia ajak rakan MFN yang di Johor jika ada masa sesama berkenalan dengan kita di Restoran Jenggo."

Aku membayangkan wajah-wajah asing yang bakal aku kenali nanti. Memancing disamping dapat mengail ikan; sesungguhnya dapat menjalinkan talian persahabatan. Biarpun ada setengah kenalan itu agak janggal untuk didekati tetapi ada juga yang cepat mesra & rasa senang digauli.

"Nik hantar SMS ini dia dapat kenalan sebangku... gadis pantai timur!" Biasalah berjalan jauh. Di mana-mana kita boleh dapat kenalan.

"Jangan lupa isteri dalam pantang pulak!"

Sebut masalah isteri; bagaimana kaki pancing meminta izin turun ke laut dengan isteri. Apatah lagi jika kerap sangat. Tahun lalu jika tak silap aku sekadar dua kali ke laut. Selebihnya memancing sekitar tempat kerja sahaja. Fairuz kerap juga memancing sampai ke Thailand. Dengar khabarnya Che pun kerap memancing sampai ke Sarawak. Bagaimana penerimaan isteri. Apatah lagi terkadang terpaksa bermalam di Thailand.

Memancing terkadang memang boleh diandaikan mengutip pengalaman; boleh juga diandaikan melancung.

"Kita akan keluar pintu tol apa iyer!'

"Kulai!!!"

Mata tak mahu mengantuk, bayangan senyum Dewi Tenggiri langsung tak nampak di kotak ingatanku.

Tip Daripada Che Wan

Kangbelu
Advanced Member

Benarkah fakta jika menguna light rod, sentapan akan kurang terpacak pada tenggiri dan menyebabkan selalu rabut pada hook?
Untuk rod PE2 apa kombinasi terbaik bagi mainline(braided) dan shock leader.

Terima Kasih

A.alaikum kenkawan..

Kangbelu..set bro xzoga PE 2 tu sangat sesuai untuk tenggiri. Fakta yang bro tanyakan tu memang benar tetapi seperti mana kawan bagitahu penggunaan light rod ialah untuk menyerap lebihan power sentapan. Jadi kita kena sentap dengan kuat. tapi yang paling penting sekali kita jangan biarkan tali pancing kendur bila sudah mengena..InsyaAllah berhasil.

Mari kita bandingkan..antara gunakan set biasa tenggiri yang sesuai tapi tenggiri tak jamah dengan menggunakan set yang light tapi sudi dijamah tenggiri walaupun peluangnya kurang.

Set bro tu dipadankan dengan kekili kelas avet yang Rahim pakai tu sesuai dikenakan dengan mainline 20lb-25lb kerana selain spoolnya dalam, powernya pun bagus. Kalau nak masukkan line 12lb-15lb kawan takut hujung joran yang keras boleh mengakibatkan over shock pada line dan boleh memutuskan line atau perambut.

- bersambung

Sabtu, 20 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 2 (Singgahsana)

Asal Usul Sedili

Sepanjang Jumaat seperti lazimnya aku akan menari maklumat tentang tempat yang bakal botku berlabuh. Sedili, Pulau Aur & perairan sekitarnya.

Tanjung Sedili

Tanjung Sedili ialah sebuah kawasan di timur laut negeri Johor, Malaysia. Terletak di muara Sungai Sedili di pinggir Laut China Selatan, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kota Tinggi, kawasan ini dibahagikan kepada tiga kawasan utama, iaitu Tanjung Sedili, Sedili Besar dan Sedili Kecil.

Kampung ini ialah tanah kelahiran Sasterawan Negara Allahyarham Dato Dr Usman Awang, serta Allahyarhamah Rosiah Chik, penyanyi lagu asli negara yang terkenal.

Sejarah Sedili

Mengikut pendapat orang lama, asal-usul nama Tanjung Sedili yang dibuka pada tahun 1937 adalah sempena mengambil nama seorang penduduk awal iaitu Deli yang berasal dari Siam. Pada masa yang sama ada seorang Cina bernama Pongsai yang menetap dan menjadi peniaga di tempat tersebut. Suatu hari, Deli jatuh sakit dan penduduk bertanya sesama mereka yang berbunyi "Tak tengok si Deli ke?" dan akhirnya perkataan ini dikenali dengan Sedili. Pada masa itu, perkataan pelat Pongsai juga menyebabkan Kuala Sedili mendapat nama.

Penghulu pertama pada masa itu ialah Wan Muda yang berasal dari Sungai Rengit berketurunan Mengkabal dan pada masa yang sama mereka adalah pelopor kepada kawasan Tanjung Sedili ini. Pengganti kepada Wan Muda ialah Penghulu Md. Akhir Bin Kahar yang dilantik oleh Sultan Johor dan kemudiannya digantikan dengan Penghulu Hj. Md. Lazim Bin Md. Akhir disebabkan oleh keuzuran.

Mengikut pendapat yang kedua pula, asal-usul nama Tanjung Sedili berasal daripada dua orang adik-beradik yang berasal dari Pahang iaitu Ali Besar dan Ali Kechil. Mengkikut cerita, kedua-dua mereka telah bergaduh dan membawa haluan masing-masing. Ali Besar telah berpindah ke Sedili Besar dan Ali Kechil pula telah berpindah ke Sedili Kecil. Maka, disebabkan oleh adik-beradik inilah terciptanya nama Sedili Besar dan Sedili Kecil.

Mengikut cerita orang tua-tua, pada asalnya kampung ini dinamakan Tanjung Lembu yang mana ia telah dibuka dan mula diterokai oleh beberapa orang yang tidak dikenali asal-usul mereka. Mereka menetap di bahagian tanjung dan menjalankan aktiviti penternakan lembu selain menjadi nelayan. Disebabkan ternakan lembu tersebut mula membiak dan terus bertambah bilangannya, maka mereka terus menetap dan menamakannya sebagai Tanjung Lembu. Ketua Kampung yang dilantik secara rasmi ialah Mohd Salleh Bin Mohamad dan digantikan oleh Syed Salim Bin Omar. Selepas tamat tempoh memegang jawatan tersebut beliau digantikan oleh Hj. Esa Bin Abdullah mulai tahun 80-an. Pada masa kepimpinan beliau, nama Tanjung Lembu telah ditukarkan kepada Tanjung Sedili secara rasminya. Bermula dari pertengahan tahun 90-an sehingga kini, Ketua Kampung Tanjung Sedili ialah Tuan Haji Ibrahim Bin Yahya.

Bot kami bakal bertolak dari Jeti Sedili Besar.

Pulau Aur

Pulau Aur, seperti Pulau Dayang, Pulau Lang dan Pulau Pinang yang terletak di Taman Laut Johor berhampiran Mersing terkenal sebagai salah sebuah destinasi menyelam skuba yang terunggul. Kawasan laut yang lebih dalam di sekitar pulau ini menjanjikan jarak penglihatan bawah laut yang jelas serta pelbagai jenis spesis hidupan laut yang mempesona yang dapat menarik ramai pelancong dan penyelam di hujung minggu.

Keadaan hidupan laut yang sihat dan pelbagai di sini juga menarik minat pemancing ikan yang berharap dapat menangkap spesis ikan besar seperti ikan mersuji atau ikan layaran di luar kawasan Taman Laut yang terlindung. Banyak kapal-kapal layar bersauh di perairan laut tenang antara Pulau Aur dan Pulau Dayang.

Terumbu karang utama terletak di sebelah selatan Pulau Aur dan Pulau Pinang. Bahagian teratas terumbu di sini terletak di kedalaman lebih kurang 12 meter dan melandai ke bawah sedalam lebih 25 meter membuatkan lokasi ini amat menarik untuk diselam.

Tips

Sekiranya anda merancang untuk pergi menyelam di sini, anda boleh mengambil kesempatan pakej percutian yang merangkumi penginapan, makanan dan aktiviti menyelam skuba yang ditawarkan oleh pengendali tempat penginapan di pulau ini.

Pengangkutan

Jalan Darat

Dari kesibukan pusat bandar Johor Bahru, gunakan jalanraya Johor Bahru - Kota Tinggi hingga sampai ke jalanraya Kota Tinggi - Mersing (Lebuhraya 3). Dari Lebuhraya Utara-Selatan, ambil susur keluar Ayer Hitam (Persimpangan 244) dan pandu terus menghala ke Kluang melalui Jalanraya Kluang-Jemaluang (Lebuhraya 50). Selepas pekan Jemaluang, masuk ke jalanraya Kota Tinggi-Mersing menghala ke Mersing. Ikuti arahan papan-papan tanda yang menunjukkan jalan untuk ke Jeti Mersing.

Talian Untuk Dihubungi

Untuk maklumat lanjut mengenai Johor Bahru, sila hubungi Pusat Penerangan Pelancongan Johor (JOTIC) di talian 607-2242000.

Penginapan

Terdapat tempat penginapan calet yang kadangkala tutup sewaktu hari minggu sekiranya tiada pengunjung yang datang di sini.

Abstrak

Laporan ini mendokumentasikan penyelidikan arkeologi di Pulau Aur, Mersing, Johor. Tercetusnya idea untuk membuat kajian arkeologi itu disebabkan maklumat dan laporan tentang adanya artifak-artifak di sekitar Pulau Aur. Hasil daripada tinjauan serta galicari yang dilakukan itu, pulau itu didapati kaya dengan artifak-artifak dari dalam dan luar negeri, termasuk porselin biru putih dari negeri Cina, porselin Belanda, tembikar berglais dari Cina, tembikar tanah dari Aceh, tempayan Cina, meriam lama, tapak meriam dan kubur lama. Selain itu, Teluk Meriam, Teluk Berhala, Teluk Galing, Pasir Teluran dan Teluk Miyang pernah menjadi tempat persinggahan pedagang dari negeri Cina, Aceh, Belanda, dan Portugal untuk mengambil bekalan makanan dan air di samping berurus niaga dengan penduduk tempatan sekitar abad yang ke-17.

Kata kunci: Pulau Aur, Mersing, survei arkeologi, carigali arkeologi...

Banyak maklumat boleh didapati di Alam Maya tentang Pulau Aur. Ada banyak gugusan pulau, seperti Pulau Pinang (Bukan satu saja Pulau Pinang di Malaysia) , Pulau Dayang, & Pulau Lang segugus yang cantik batu karangnya. Berdekatan Pulau Pemanggil:

Pulau Pemanggil merupakan salah satu dari gugusan pulau di Laut Cina Selatan di persisiran laut Johor, Malaysia. Pulau Pemanggil terletak berhampiran dengan beberapa pulau lain iaitu Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Aur, Pulau Besar, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi. Pulau Pemanggil merupakan salah satu tapak penyemaian Kerang Gergasi (giant cockles). (Ada ceritera menarik tentang Pulau Pemanggil ini... nanti)

Pasir di pantai sekitar Pulau-Pulau ini memang putih bersih.

Pulau Tioman entah kali ke berapa aku nampak lambaiannya. Sejak di Penyabong lagi. Pulau impian yang teringin sangat aku bercuti. Tak sangka pula Pulau Aur, pun Pulau Pemanggil cantik & ada rumah resort yang memang menarik.

Sasaran menjejaki Dewi Tenggiri hanyalah di sekitar Pulau Aur.

Fairuz sempat mengikat mata kail untuk tenggiri. Masalah yang timbul bagaimana mahu mendekati Dewi Tenggiri jika tiada kekili yang sesuai. Diam-diam Fareez telah SMS Che Wan agar menyediakan aku satu set pancing untuk tenggiri.

Aku membuat keputusan setelah syolat Jumaat terus sahaja pulang ke rumah. Terlalu suntuk masanya jika mahu balik ke rumah setelah cop jari 5:30 petang.

Seperti yang aku jangkakan bilamana aku balik ke rumah Mila telah lepak di depan TV. Hasrat mahu lari dari rumah nampak terbatal!.

"Nak ke mana nampak kemas-kemas barangan ini!"

"Biasalah tuntutan hobi, nak turun ke laut mancing!" Nampak wajah Dewi Tenggiri siap bergincu.

"Bila pula baliknya.. nak baliknya bila...!" Macam lain saja ayatnya.

"Ahad petang sampailah rumah!"Dalam hati yakin memang takkan sampai petangnya!.

"Mak kat hospital lagi, Mila nak lawat emak esok!" Emmm! boleh katakan dalam sebulan dua mesti akan ditahana di wad. Mak mertuaku ini sudah malas nak makan ubat.

"Okey, kirim salam kat emak!" Aku memang tak berani bual panjang. Dari lirik wajah Mila jelas bagaikan wajah isteri yang tidak gumbira suaminya turun ke laut.

Kerahkan Aziq untuk angkat barangan ke kereta perangku. Kena cepat bertolak dari rumah. Lagi pun telah jam 4:45 petang. Jenaris ke UPM sekitar setengah jam berkereta.

Subuh nan mengejutkan

- bersambung

Jumaat, 19 Disember 2008

Menjejaki Dewi Tenggiri Episod 1 (Singgahsana)


Che Wan merenung jauh ... Amirul dibelai mimpi Sang Puteri si Dewi Tenggiri. Mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi!! Dalam mabuk² boleh lagi naikkan tenggiri...

Ini Pengenalannya sedikit

“Ada tiga orang lagi tidak pasti ikut trip kami” Awal pagi Rabu Fairuz bersungut.

“Dari sini Fairuz berkereta dengan siapa?” Aku cuba mengungkai trip memancing yang did rancang sejak tahun lalu.

“Saya dengan adik saya sahaja”

Aku mula terbayang bagaimana kecewanya aku ketika di Perairan Wan Man. Aku tumbang. Misi utama mahu mancandat sotong gagal. Memang tak puas memancing bilamana laut bergelora & aku terkapar menatap bintang di celahan awan menggamit aku.

Bukan sotong yang dapat aku candat tetapi berkhayal dengan Mambang Masjid Kristal & Geisha Bunian Jepun bercakaran.

“Bagaimana aku mengikut trip Fairuz ini demi menebus rasa tidak puas di Perairan Wan Man” Aku berbisik dalam hati.

“Jika aku nak ikut boleh tak?” Aku terbayang Fairuz , Fareez, rakan lain & aku akan …menjejak Dewi Tenggiri. Sedili memang perkampungan keluarga tenggiri. Aku memang teringin menjejaki Dewi tenggiri. Belum pernah aku melihat senyum Dewi Tenggiri dalam khayalanku.

“Jika abg iDAN nak pergi bayar RM170 pun tak kisah yang lain saya boleh tampung” Fairuz macam beriya-iya ingin aku pergi.

“Perbelanjaan itu bukan isunya Fairuz…Siapa iyer rakan lain itu”

“Che Wan & pemancing Johorlah abg iDAN” Aku memang teringat akan sapaan Che Wan di MFN untuk bersama memancing di Penyabong kira-kira dua tahun lalu. Malahan dia ingin menampung semua perbelanjaan aku jika sudi bersama memancing dengannya. Mungkin ketika itu dia terbaca ceritera Pari Jelmaan yang aku tulis di MFN.

Siapa Che Wan ini memang menjadi misteri bagiku. Tetiba begitu baik & bersungguh-sungguh mahu bersama memancing denganku memang membuat aku tertanya-tanya.

Senyap-senyap aku ke Penyabong kali kedua.

Bila terkenang Che Wan aku terasa bersalah lantaran aku pergi ke Penyabong tanpa pengetahuan Che Wan; ada aku tulis ceritera Sayunya si ikan Yu. Trip kecewa dengan Tekong di Penyabong. Teringat akan Penyabong memang aku rindu amat untuk ke sana lagi. Terutama mahu ketemu dengan Tekong Tenang.

Bilamana aku amati pelawaan Che Wan memang teringin mengenali siapa sesungguh Moderator MFN ini Kerap aku bertanya dengan Fairuz bagaimana perwatakan Che Wan. Sebab aku tahu Fairuz & Fareez kerap telah memancing dengan Che Wan selaku ketua kumpulan.

Di desiran ombak ganas inikah Dewi Tenggiri menyendiri!...

“Okeylah jadi!!!… abg kau nak ikut!, emmm! aku suka guna duit aku sendiri tak sedap hati kalau orang sponser, Fairuz sendiri faham perangai aku kan? Fairuz pastikan berapa tambang bot…”

“Betul ini abg iDAN , saya telefon Fareez & Che Wan kasi tahu abg iDAN ikut sekali!.. abg iDAN bayar tambang bot sahaja duit minyak & tol tu kami tampung!”

Fairuz terus menelefon Che Wan, dari bualan di telefon bimbit Fairuz, tambang bot sahaja RM200. Aku mencongak tambang perjalanan kami duit tol & minyak sekitar RM150. Selalunya setiap kali trip yang Fairuz kelolakan kami kira bersama perbelanjaannya & membahagikan samarata dengan ahli rombongan. Memancil@mengail bagiku adalah aktiviti rekreasi & salah satu cara mencari rakan sehobi. MFN adalah satu wadah yang cepat & tepat untuk kita mencari rakan memancing; itupun jika kita pandai membawa diri & ikhlas.

Episod i

Dari Pengesahan Doktor Imah Pusat Kesihatan UPM (PKUPM) Kesihatan aku kembali normal. Tekanan darahku jarang dapat sebaik ini 127/78 mm Hgsystolic, Glukos yang hampir ke 7 mmol ( 6.7 mmol glukosa/liter ) Kini telah pun normal sekitar 5 mmlol. Pastinya satu perkhabaran gembira buatku.

Malahan Dr Imah telah mengurangkan kadar dos ubat tekanan darah tinggi. Sakit buah pinggang pula aku masih yakin dengan Dukun Kim Loy. Memandangkan tekanan darahku aku telah normal, seharusnya aku buat ujian kolestrol dibatalkan.

"Bulan Jun nantilah kita buat ujian.." Pastinya aku gumbira, ambil darah untuk ujian kolestrol selalunya bukan sekadar sedikit. PKUPM sudah bagaikan markas Drakula, asyik sedut darahku. Sebaba itu bebaru ini aku demam lebih dari seminggu tak mahu aku ke klinik, aku telah pasti mesti darahku akan jadi mangsa.

Jika diamati tekanan darahku di bukan Februari 20.2.2008 sekitar
141/99 mm Hgsystolic masih tak normal, biarpun aku sudah makan ubat. Bagi mereka yang senasib sakitnya denganku pasti tahu betapa beratnya ingin bangun pagi pun betapa terketar-ketar tangan jika terlewat makan ubat.

Aku juga banyak memakan ubatan herba dengan secara ulaman, seperti berulam pucuk mengkudu. Tuju jarum, misai kucing jika terasa buah pinggang sengal-sengal aku akan rebus daun pecah kaca.

Jadi aku terfikir apa salahnya jika aku menyambut kejayaanku menentang pakej sakit tua ini untuk mengikut trip Che Wan. Lagipun pastinya Che Wan memerlukan pemancing di saat-saat akhir ini. Demi mengurangkan kos sewaan bot dan lain-lain.

Lagipun aku, Fairuz & Fareez memang rasanya rakan yang sepadan untuk ke laut.

Sedili memang menjanjikan banyak tenggiri. Rekod Fairuz mendapat 27 ekor tenggiri masih belum pecah lagi bagi dia & Fareez. Aku membayangkan pasti ada Dewi Tenggiri yang masih bersembunyi di Sedili. Kenapa aku katakan ada Dewi Tenggiri. Selalunya begitu jika terlalu banyak lebah berkumpul mencari makan mesti ada Ratu Lebah. Semut juga begitu; jadi pasti ada Dewi Tenggiri yang tentunya bersaiz ratu & anggun menggemparkan. Aku ingin menjejakinya!.

Cuma masalahnya bagaimana aku mahu meminta izin dari Mila. Baru sangat aku turun ke laut.

"Petang Jumaat aku akan bertolak dari rumah, Mila selalunya balik sekitar magrib; emmm! pesan kat anak-anak sahaja yang ayahnya turun ke laut... lagipun dua malam sahaja di laut!" Aku merancang cara terbaik lari dari rumah. Jika bersemuka dengan Mila silap-silap dapat ayat yang panas telinga mendengarnya.

Jenaris lama tak turun hujan, harap-harap Sedili juga begitu

"Abg iDAN cuba baca forum di MFN tentang trip kita ini.." Fairuz mengganggu menunganku.

Trip Karang Ngah (sedili)

http://www.fishing.net.my/forum/topic.asp?TOPIC_ID=13020&whichpage=4

Che Wan...

sebarau..tolong inform semua kaki2 yang akan ikut serta dalam trip may ini. kawan rasa kita buat trip 2 hari 1 malam sahja dikarang ngah kerana tenggiri sedang frenzy sekarang. dan tolong konfemkan dgn tekong berapakah kos sebenar untuk karang ngah 2 hari 1 malam.

Aku kasi respon...

Salam...
Tak sangka pula boleh ikut trip ini, insyAllah kami boleh sampai sekitar 1 pagi, kami merancang bertolak sebelum magrib sbb ada agenda hantar & mengambil seseorang di perjalanan. C.Wan... dah berapa orang yg pasti pergi selain kami bertiga. Sy punya tambang bot dah kasi kat Fairuz.

C. Wan sebagai sifu kena turunkan segala ilmu@saka ngail kat sy baru amat kenal dengan persekitaran laut ini.

Che Wan:

a.alaikum kenkawan..
kawan sangat berbesar hati dapat memancing bersama gelenggang. insyaallah sepanjang trip nanti kita akan kongsikan bersama tip, ilmu, info dan pengalaman kita semua. semoga allah swt permudahkan segala urusan...insyaallah.

kami seperti biasa akan berada di Restoran Jenggo jam 1 pagi hingga jam 2.30 pagi. sekiranya bro nak join datanglah kesana.

"Jika jam 1:00 pagi ... sempatkah kita sampai jika mahu bertolak selepas magrib?." Aku persoalkan perancangan Fairuz; sebab ada dua agenda yang terpaksa dia tunaikan.

Pertama mahu menghantar rakannya ke Terminal Bas Kajang selepas magrib; Kedua mahu menjemput Fareez di rumah mertua di Banting setelah ke Kajang. Sempatkah?.

Aku membayangkan Kota Tinggi itu terlalu jauh; aku macam biasa tidak sabar jika mahu ke laut. Apatah lagi memang aku pernah ke Kota Tinggi; sungguh teramat jauh. Rasanya empat jam belum tentu boleh sampai.

"Elok kita bertolak sekitar jam 6:30 petang dari Bangi; aku telah mencongak waktu jika selepas magrib memang tidak sempat tiba sekitar 1:00 pagi di Kota Tinggi..."

Sebenarnya jika boleh aku tidak mahu ketemu Mila ketika Magrib Jumaat itu. Maka itu lebih suka cepat keluar rumah.

Khamis malam Jumaat itu aku telah mengemaskan semua baranganku. Kebetulan Mila melawat ibunya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR). Jadi tidak timbul dia persoalkan kenapa aku berkemas. Setelah kemas semua aku terus tidur awal. Dari kebiasaannya Mila pasti akan pulang sekitar 10:00 ke 11:00 malam.

Telahanku meleset!. Pagi Jumaat dia lewat bertolak ke ofis, selalunya jika dia lewat mesti ke klinik; bagaimana aku ingin lari dari rumah; Mila senyap-senyap bercuti tentunya, masalah sakit di bahunya tidak selesai. Dia jarang meminta aku menghantarnya. Bagaimana aku mahu minta izin ke laut petang nanti!

- Bersambung

Khamis, 4 Disember 2008

Syor penempatan sementara : Tanah Runtuh (Ceritera)



KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencadangkan kerajaan menyediakan penempatan sementara kepada mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa, Hulu Klang yang sehingga kini masih tidak mempunyai tempat tinggal.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, cadangan itu boleh dibuat dengan pelbagai cara termasuk menempatkan mereka di hotel atau kawasan lain yang dianggap bersesuaian dan tidak membebankan.

"Langkah proaktif perlu diambil bagi membantu mereka seperti menempatkan mangsa di hotel atau tempat bersesuaian.

"Ia untuk mangsa yang masih tiada tempat tinggal atau saudara atau sahabat di ibu kota untuk menumpang sementara sehingga keadaan pulih," katanya ketika melawat kawasan tanah runtuh di sini, semalam.

Turut mengiringi Muhyiddin ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Panglima 11 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral, Datuk Md Azman Rosli.

Muhyiddin berkata, beliau membuat cadangan itu supaya mangsa tidak terus berfikir dan mencari tempat tinggal baru sedangkan masalah mereka sudah berat.

"Kita tidak bimbang jika mangsa menumpang sama saudara mara atau sahabat-handai tetapi ada juga penduduk yang masih tiada tempat berlindung," katanya.

Muhyiddin berkata, perkara itu perlu segera dilaksanakan bagi membolehkan taman perumahan berhampiran kawasan tanah runtuh dikosongkan sehingga keadaan kembali selamat.

Ketika ditanya pampasan kepada mangsa, Muhyiddin berkata, perkara itu di luar bidang kuasa beliau.

Berita Harian

Rabu, 3 Disember 2008

Ada Masalah (Singgahsana)


Sila ke Blogspot... jurnal ini ada masalah dalam seminggu dua ini;

Penyair iDANRADZi di Blogspot

Terlelap di kerusi (Singgahsana)



Wednesday, December 03, 2008

"Aku perasan kau terlelap, sebab itu aku senyap² buka pintu & biarkan kau tidur" Tok Perak tersengeh.

"Berdengkur kuatlah aku... berapa lama aku tidur iyer! Zali"

"Lama jugak!" Aku melihat jam di tangan. Emmm! dah dekat Asar. Sampai hati betul si Zali ini biarkan aku terlelap di kamarnya. Rungut hatiku.

Aku bergegas ke bilik air basuh muka sekali gus ambil air sembahyang. Sejak kebelakang ini sudah menjadi masalah rutin harian. Aku asyik mengantuk. Terlelap di kerusi. Dah jadi perkara biasa.

Aku teringat akan Kak Kencoon di Desa Tualang. Semasa aku berbual dengan dia, dia juga mendapat sakit yang sama. Kolestrol. Ceritanya sama. Asyik mengantuk. Tak dapat aku bayangkan bagaimana rupa Kak Kencoon terlelap di kerusi malasnya. Mesti tambah tembam. Aku adalah peminat sejati Kak Kencoon sejak zaman remaja lagi. Kak Kencoon masa zaman remajanya memang menggoda. Aku pernah menceritakan kisah bualan aku dengan dia di jurnalku lalu. Di DesaTualang@Jenaris.

Masalah mengantuk ini bukan dibuat². Memang mengantuk yang amat² tak boleh dikawal. Maka itu kalau memandu jarak jauh, tiba saat mengantuk, aku terpaksa mencari tempat rehat. Basuh muka atau hisap rokok agar hilang mengantuk. Aku tak berani minum kopi sebab sejak aku mendapat masalah buah pinggang aku telah berpantang lama tidak minum kopi lagi. Katanya kopi boleh membuat ubat kurang mengantuk.

Jika dulu aku rajin sarapan di Gerai Roti Canai Ali PKNS Seri Kembangan. Sebut sahaja.

"Ali... minum biasa " Dia tahulah akan sediakan Kopi Ais. Sesekali kalau cuaca hujan aku akan minum Kopi O panas. Sekarang kenangan ketagih kopi telah menjadi kenangan sahaja. Aku tak berani pun nak minum Kopi Jantan, Kopi Tongkat Ali & entah apa² kopi lagi yang diwar²kan di pasaran.

Sekarang aku kerja di Unit IT, memang ceritanya sama, Salleh jenis kaki forum payah ajak berbual. Asyik dengan forum gengnya orang Perak. Klik² kekunci dari pagi hingga ke petang. Jika aku di meja aku di Pejabat Am lagilah mengantuk. Yang rajin aku ajak berbual ialah si Leez atau Azahana; Leez mejanya jauh dariku. Azahana pula tengah berbulan pantang. Mati kutu betul aku jika duduk di mejaku di Pejabat Am itu. Asyik terlelap di kerusi saja.

Bagaimana mahu mengelaknya masalah mengantuk ini memang aku masih buntu. Aku mengatakan dalam diri ianya berpunca dari masalah usia & kesihatan. Memang sudah sampai masanya begitu. Gasaklah:

Posted by iDANRADZi at 6:53 PM

Sisipan Dari BlogSpot

Selasa, 2 Disember 2008

Twilight (Singgahsana)

www.twilightthemovie.com

"Ibu nak tenguk tak kami tengah depan kaunter tiket ini" Aziq & Afiz berpakat untuk memujuk ibunya sama menonton. Padahal kami masih dalam Avanza perjalanan ke Cheras Selatan.

"Ok Ayah... ibu kata bolehlah... dia nak ikut kita!"

Memang lama Mila tak pernah mahu mengikut aku menonton, entah kenapa terbuka hatinya pergi menonton bersama kami. Aku memang tak berani nak mengajak Mila menonton. Selalunya akan terbit ayat-ayat yang mengejutkan hatiku. Antaranya:

"ayah pergilah dengan hiburan ayah tu!" Huh! tak terdaya aku mendengarnya.



Sebelum ini kami menonton cerita James Bond pun secara senyap-senyap. Sudah balik baru dia teringin nak menonton cerita itu. Cerita James Bond dapat banyak bintang. Tapi entah kenapa tak seorang pun mengatakan bagus ceritanya.

Tapi Twilight memang sedap cerita. Macam cerita cerita hindustan pun ada. Di Imdb dia mendapat enam bintang sahaja. Tapi aku memang suka cerita ini. Tak rugi Mila ikut kami menonton. Aku boleh meletakkan ianya antara filem yang paling menarik sepanjang tahun.

http://www.imdb.com/title/tt1099212/

Jika aku memberi bintang pastinya aku meletakkannya paling tidak 9 bintang. Ianya berkisar tentang kasih sayang. Kisah keretakan rumah tangga & cinta remaja yang luhur. Serigala pun amat menyayangi kekasihnya. Sanggup berkorban nyawa agar kekasihnya tidak sampai menjadi sepertinya ada ketikanya terpaksa menjadi Serigala Jelmaan. Amat asyik melihat pasangan kekasih remaja ini bercinta dari dahan ke dahan pepohonan.


Posted on 2.12.2008 at 3:00 PM

Isnin, 1 Disember 2008

Hotel hanya untuk penghuni rumah yang ranap (Ceritera)



KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menjelaskan hanya mangsa dari 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Sabtu lalu, yang layak mendapat penginapan di hotel.

Beliau berkata kerajaan hanya akan menanggung kos penginapan di hotel bagi mangsa yang berkenaan dan bukan untuk penghuni yang diarahkan supaya mengosongkan rumah mereka.

“Mangsa yang tinggal sehelai sepinggang saja yang akan ditanggung kerajaan. Mangsa yang terbabit diminta mendaftar di pusat operasi Yang Dipertua MPAJ di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini.

Khalid berkata timbul kekeliruan di kalangan penghuni yang diarah mengosongkan kediaman mereka mengenai penginapan di hotel yang ditanggung kerajaan.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang pembantu rumah warga Sri Lanka, diteruskan pagi ini dengan lokasi mencari diperluaskan.

“Kita guna dua mesin pengorek dalam operasi hari ini dan akan diteruskan sampai pukul 2 petang. Operasi akan dibantu oleh beberapa pegawai dari Ikram yang ditugaskan untuk menilai struktur tanah.

“Pada jam 2 petang tadi kita hentikan operasi seketika untuk bermesyuarat bersama Ikram dan operasi akan diteruskan selepas mesyuarat selesai,” katanya.

Khalid berkata penghuni-penghuni dibenarkan masuk ke rumah masing-masing untuk mengambil barangan mereka dengan pengawasan pasukan SAR.

Beliau berkata masih terdapat penduduk yang kurang jelas mengenai arahan pindah yang dikeluarkan.

Katanya hanya kawasan kondominium Impian Selatan, Jalan 9 dan 11, Taman Wangsa Ukay, Jalan 6, Taman Bukit Jaya dan Taman Bukit Mewah diarahkan untuk kosongkan rumah.

“Kawasan lain selain daripada kawasan itu tak perlu pindah tapi, kalau ada juga nak keluar kita tidak halang. Arahan pindah dikeluarkan untuk tempoh 10 hari bermula Sabtu lepas sebelum pihak berkuasa membuat penilaian sama ada kawasan berkenaan selamat atau tidak.

“Kita telah sediakan tempat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang, tetapi jika mangsa tidak mahu tinggal saya minta mereka meninggalkan nombor telefon di pos pendaftaran operasi untuk mudah dihubungi,” katanya. - Bernama

Usul tanah runtuh dibahas petang ini

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini membenarkan pembentangan usul bagi membahaskan isu kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang berlaku Sabtu lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menerima usul yang dibentangkan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berdasarkan peraturan mesyuarat 18 (1).

"Isu itu menepati peraturan mesyuarat iaitu perkara tertentu, mempunyai kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

"Usul ini akan dibahaskan bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang ini," katanya.

Berita Harian

Mangsa boleh mohon kuarters di Putrajaya

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kakitangan kerajaan yang tinggal berhampiran kawasan tanah runtuh, Taman Bukit Mewah yang terpaksa mengosongkan kediaman boleh memohon kuarters di Putrajaya.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata keutamaan diberikan kepada kakitangan kerajaan di sekitar kawasan tragedi itu.

"Kerajaan akan melihat jumlah kekosongan dan permohonan mendiami kuarters kerajaan terlebih dulu.

"Cara permohonan tetap melalui prosedur biasa, cuma kita memberikan keutamaan kepada mangsa tragedi itu," katanya, semalam.

Beliau mengulas saranan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad yang meminta kerajaan membenarkan kakitangan yang terpaksa mengosongkan rumah di Bukit Antarabangsa tinggal di kuarters di Putrajaya.

Kelmarin, polis mengarahkan 3,000 penduduk lima kawasan kediaman sekitar lokasi tragedi yang meragut empat nyawa di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang, mengosongkan kediaman serta-merta kerana berbahaya.

Arahan dikeluarkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian Polis Diraja Malaysia itu membabitkan penduduk seluruh Taman Bukit Mewah iaitu lokasi 14 banglo yang ranap dalam kejadian tanah runtuh itu.

Kawasan lain ialah Kondominium Impian Selatan, rumah berkembar di Jalan 6A Taman Bukit Jaya serta rumah teres dua tingkat di Jalan 9 dan Jalan 11, Taman Wangsa Ukay.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata arahan pengosongan dibuat selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengesahkan kawasan berkenaan tidak selamat kerana runtuhan susulan boleh berlaku bila-bila masa.

Mohd Sidek berkata, kerajaan juga belum mendapat maklumat jumlah kakitangan kerajaan yang terpaksa mengosongkan kediaman akibat tragedi itu.

Berita Harian