Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Khamis, 28 Ogos 2008

35 Tahun Tidak diJejak 3 (Singgahsana)


Gantung Ubat Nyamuk

Aku membeli lima bungkus nasi lemak, sebungkus tujuh kupang. Dua ringgit kuih udang siap sambal kacang. Kak Kencon sedekah sebungkus nasi lemak. Itu yang payahnya beli dengan orang kampung. Serba salah nak terima sedekah orang. Di rumah arwah Opah Bi yang mana Raman tinggal, memang ada ulam-ulaman yang aku kutip sejak petang semalam. Pucuk sentang, ulam raja & pucuk mengkudu hutan. Aku makan berulam dengan bersambalkan nasi lemak Kak Kencon. Amat menyelerakan.

"Mila ayah nak kasi ikan keli salai ini dengan Kak Sala! ada nasi lebih ini kita kasi merekalah buat sarapan" Dua hari lalu khamis aku ambil cuti pergi MAHA di sebelahan tempat kerjaku di Serdang. Ada dua kampit ikan keli salai aku beli; ingat nak kasi Ijan masak. Nampaknya isteri si Raman ini tak balik-balik. Kami yang jadi tuan rumah. Jam baru 8:30 pagi, sebaik sahaja aku mahu ke rumah Abg Jelani, terpocol Pak Cik Nan di muka pintu. Masih segak Pak Nan ini, wajahnya kemerahan macam Mat Saleh sudah berusia 75 tahun masih macam orang berumur 40an.

"Abg Haji Jelani kita ada di depan tu iDAN!"

"Laa... dia jalan kaki ke datang ke sini"

"Nampak gayanya begitulah...!"

Aku menjemput Pak Cik Nan & Abg Jelani bersarapan apa yang ada. Aku lihat Abg Jelani telah memasang ubat nyamuk. Tergantung di pinggangnya. Dengan sebilah parang bengkuk berikat tali merah. Bersama bekal air & tak pasti apa lagi dibawanya.

"Kenapa Abg Jelani jalan kaki, kan ke saya dah janji nak jemput di rumah"

"His!... tak sedap bebenor jadi tuan beso!.." Masih sebut ayat yang sama.

"Abg Jelani ada jemputan jiran kita sebelah bertunang tak?. .."

"Ada.. katanya jam 12:00 tgh hari "

"Kita kena cepatlah ni...!" Jiran sebelah rumah arwah Opah Bi, kakak Mat Roti bakal menyambut menanti. Adatnya orang kampung mesti makan sekali. Serentak makan setelah berdoa selamat.

Aku meminta diri kepada Pak Cik Nan untuk ke rumah Abg Jelani; terbayang Kak Sala, aku menghantar ikan keli & nasi lemak yang telah aku bekalkan. Sebelum naik Avanza Abg Jelani terkecuh-kecuh memadamkan ubat nyamuknya.

"Ubat nyamuk ini racun, nanti mabuk pulak kita dalam motokar ini!" Aku senyum sahaja.

Aku membawa peta, air minuman & keperluan asas ke hutan.

"Abg Jelani tahan dengan penghawa dingin tak?" Aku teringat emak mertuaku memang alahan penghawa dingin kereta. Pak Jelani telah 60an usianya pasti banyak pantang larangnya.

"Tak apa!.. tahan!"

"Kita sedut udara kampung sahajalah... lagi pun masih awal pagi!" Aku lihat tiap kali buat apa saja Abg Jelani ini penuh dengan doa & niatnya.

"Kita cuba ikut rumah Wan Bedah, rasanya tak jauh Tanah Paya Asap itu dengan rumah Haji Soba" Aku memang sering melihat & mengagak kedudukan Tanah Paya Asap melalui wikimapia.

"Harap-harap betul arah kita!"

Di Kampung Changkat Tualang Hulu, aku berbelok ke sebelah kanan masuk ke ladang kelapa sawit kepunyaan bang Cina yang nampak seperti hampit 20 tahun usia pokoknya. Aku sempat bertanya di mana kampung asal Pak Jelani, katanya dia berasal dari keturunan Minang. Kampung Asalnya tak jauh dari Padang. Bila aku tanya tentang Hamka dia memang tahu.

"Ramai orang bertanya tentang parang ini kenapa saya ikat dengan kain merah!, kata ada jampinya atau tangkal!... sebenarnya tak ada apa, kalau cicir di hutan senang nak cari! "

Aku mengeluarkan Nusantara "Abg Jelani tak merokok ke?"

"Jangan!, nanti mabuk pula kat hutan!" Aku lihat dia menyalakan semula ubat nyamuknya. Kami telah di tengah ladang kelapa sawit kini.

Hampir setengah jam kami melilau di ladang kelapa sawit. Masih buntu, aku melihat peta yang aku bawa, aku begitu yakin amat jauh dari pengecaman Abg Jelani.

"Tak nampak langsung pokok getah, hilang panduan saya!.." Sungut Abg Jelani. Katanya telah lebih belasan tahun tidak menjejak kebun getah di Tanah Payah Asap. Aku lagilah lama, telah lebih 35 tahun tidak menjejaknya. Masih ingat estet getah arwah apak lapang & bersih. Ada alur sungai kecil, jernih airnya. Kenangan itu berbalam-balam dalam ingatan tetapi damai.

"Saya ingat lagi masa saya banyak kerbau dulu, saya sering membawa kerbau-kerbau saya ke ladang kelapa sawit ini... macam mana saya boleh tak jumpa..."

"Abg Jelani tenguk dalam pelan ini, tanah yang diwakafkan kepada Baitulmal itu kat sini... ada 70 ekar, bentuk spanna; Tanah Paya Asap yang ini, jauh ke atas ni... !" Abg Jenani macam tak pasti dengan peta atau pelan tanah yang aku bawa. "Kita kat sini sekarang ini, apa kata kita ke seberang tasik ini, ikut dari ladang kepala sawit milik si Hamidah..."

"Hemm!, kalau bawa orang lain, mau kena saman saya ni iDAN, bagaimana saya tak boleh cam tanah arwah apak iDAN ini, jika kita redah paya ini macam mana?..."

"Bahayalah Abg Jelani, kita tak pasti apa ada dalam paya ini, baik kita ikut jalan ini, jalan ladang kelapa sawit si Hamidah...!" Paling aku takut anakonda. Aku menunjukan arah yang aku pasti terletaknya Tanah Paya Asap.

Deruman jentolak yang sedang menerangkan tanah wakaf yang mahu ditanam kelapa sawit jelas kedengaran. Berpandukan tetakan daun kelapa sawit kami mencari semula di mana kami parkir Avanza.

Treron fulvicollis. Burung Punai Bakau

"Ini satu kemestian iDAN jika kita ke hutan, kena ada penanda... nampak ini daun yang kita tetak tadi" Aku lihat Abg Jelani masih mantap melangkah. Memang hebat orang kampung seperti Abg Jelani dalam usia mencecah 60an masih segak & sasa. Aku tercungap-cungap mengikut langkahannya. Berat kaki melangkah tambah berat rasanya mengusung perut boroiku.

Sesekali aku nampak ayam hutan & burung punai daun (ada yang panggil Punai Bakau) terbang. Syoknya kalau dapat memburu punai. Bersih & nyaman amat suasana di tengah ladang kelapa sawit ini. Setahu aku masa aku meninggalkan kampung halaman sekitar penghujung tahun 70an, payah untuk ketemu burung punai daun. Sekarang makin banyak. Sesekali bau ubat nyamuk kepunyaan Abg Jelani menyucuk hidungku. Nyamuk lintang pukang lari di celahan pelepah kelapa sawit takut terhidu asap ubat nyamuk.

http://wikimapia.org/#lat=4.4343649&lon=101.0922968&z=18&l=0&m=a&v=2&show=/2113392/ar/Tasik-Samai-Hijau

Aku memandu Avanza ke arah Tasik Samai Hijau. Nampak air tidak sejernih dulu mungkin lantaran musim hujan. Aku nampak pintu pagar besi sasa yang berkunci, ada lima ekor anjing atau lebih menanti di pintu pagar.

"Saya tak suka dengan anjing ini iDAN, nak ditetak bergaduh pula dengan tuannya!" Aku tambah gurur & terpaksa berpatah balik. Tanah Paya Asap makin kabur dari pandangan.

- bersambung.

Sila Klik sini 35-tahun-tidak-dijejak-4-singgahsana.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan