Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
MERDEKA. Alhamdulillah
syukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan 52 tahun kemerdekaan
negara ini. Kini negara kita Malaysia telah menjadi sebuah negara maju
di mata dunia. Namun disebalik 52 tahun mengecapi dan menikmati
kemerdekaan, masih ada masyarakat di negara ini terutama generasi muda
(tidak semua) yang masih belum memahami dan memenuhi erti kemerdekaan
sebenar menurut Islam.
Ya. Apabila kita berbicara tentang erti
kemerdekaan, mungkin setiap individu mempunyai pandangan berbeza dan
kefahaman masing-masing. Secara umumnya, kemenangan menghadapi penjajah
dianggap sebagai suatu kejayaan besar dan mutlak bagi melambangkan erti
kemerdekaan sesebuah negara. Namun demikian, pengertian kemerdekaan
sebenarnya adalah sangat luas serta tidak hanya terikat kepada
pembebasan sebuah negara dari cengkaman kuasa asing.
Kemerdekaan menurut Islam ditakrifkan
apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan
daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau
batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang
baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya
tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti
kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah
Nabi Muhammad SAW.
Selain itu,
menurut pendeta Za’aba, erti kemerdekaan ialah “berubah daripada
kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan
yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan
hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada
i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan
merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada
kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat
kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan
kemaraan yang baik-baik dan mulia.” Kemerdekaan sebenar adalah
kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpa kemerdekaan jiwa dan minda kemerdekaan
fizikal tidak berguna. Ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa
cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda
merdeka.
Walaupun dikatakan negara telah mencapai
52 tahun merdeka, sehingga kini kita dapat melihat penjajahan minda
masih berterusan dan dominan dalam pemikiran anak-anak muda. Tidak
hairanlah kalau kita melihat anak-anak muda berpeluk, bercium
ditempat-tempat terbuka dan khalayak ramai, berpesta dengan minuman
keras dan bercampur antara lelaki dan perempuan, samseng jalanan dan
sebagainya. Apakah ini dikatakan “kebebasan” atau “kemerdekaan” ?
Kemerdekaan yang boleh merosakkan diri, agama, masyarakat dan negara.
Tidak sayukah hati kita melihat kegilaan ini ? Yes. Negara Merdeka !!
Tetapi anak-anak muda (bukan semua) HANCUR!!! Erti kemerdekaan bagi
generasi muda kini sebenarnya sudah luntur dan lusuh di jiwa mereka
serta tidak dihargai lagi. Ini terbukti apabila berlakunya kes-kes
jenayah yang membabitkan golongan ini sepertimana disebut di atas. Apa
yang mereka tahu pada 31 Ogos setiap tahun adalah cuti umum kemerdekaan.
Di zaman teknologi ini, penjajahan datang
dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz walaupun sebelum ini mereka
datang dengan kapal dan senjata. Sekarang mereka masuk menerusi wayar
kuprum, fiber optik serta satelit dan dengan adanya globalisasi dan
dunia tanpa sempadan, lebih mudah untuk mereka mempengaruhi dan mengawal
kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial kita.
Oleh
itu marilah kita menghayati kemerdekaan yang sebenar menurut Islam
sepertimana yang terkandung di dalam kata-kata Rub’ie bin A’mir ketika
bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
Maksudnya:
Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan
manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan
diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan
daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.Rub’ie bin
Amir menyimpulkan kefahaman Islam yang diperolehinya daripada
pentarbiyahan Nabi SAW bahawa penjajahan bukan sahaja boleh berlaku
melalui penguasaan bangsa asing terhadap sesuatu kaum, tetapi ia juga
boleh berlaku melalui penguasaan bangsa sendiri.
Jika kemerdekaan
bererti kebebasan daripada penguasaan bangsa asing, kenapa Rasulullah
saw berjuang membebaskan diri dan manusia daripada kekuasaan musyrikin
Makkah yang sebangsa dan seketurunan dengan nabi?
Ini bermakna: kemerdekaan yang sebenar ialah:
Memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama manusia sama ada:
- Bebas bersuara, pemilikan, bertindak, bermuamalah dan seumpamanya.
- Kebebasan tadi mestilah dibatasi oleh hukum Allah SWT bagi memastikan tiada ruang untuk penjajahan melalui sistem dan undang-undang ciptaan manusia.
- Agama yang dicipta oleh manusia yang dijadikan sembahan, fahaman dan anutan.
- Agama yang diturunkan oleh Allah tetapi ditafsirkan mengikut akal tanpa kaedah yang dibenarkan oleh Syariat.
Membebaskan manusia daripada dibelenggu oleh matlamat dunia yang sempit melalui:
- Menyedarkan manusia bahawa dunia adalah sementara yang menjadi tempat persinggahan.
- Menjadikan manusia bekerja di dunia untuk akhirat yang merupakan kehidupan yang sebenar.
Justeru itu, kemerdekaan yang sebenar ialah membebaskan jasad dan material daripada penjajahan manusia dan membebaskan akal fikiran serta mentaliti daripada dibelenggu oleh doktrin-dokrin yang bercanggah dengan Islam. Wallahu ‘Alam…
Rujukan : http://www.ikim.gov.my dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Tanjong Manis, Sarawak.
Selasa.
25 Ogos 2009M/ 04 Ramadhan 1430H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan