Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Isnin, 30 September 2013

Berkirim Salam Kepada Junjungan SAW


Telah sampai kepada ese akan perkataan seorang ustaz yang menyalahkan perbuatan sebahagian umat berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW melalui jemaah haji / umrah. Menurut beliau perbuatan tersebut adalah satu amalan yang salah dan menyeleweng, yang tiada sandaran sama sekali daripada para ulama yang muktabar. Allahu … Allah, alangkah baik jika sekiranya kita sebelum mengeluarkan pendapat dan/atau fatwa sedemikian, mentelaah dahulu kitab – kitab turats para ulama. Mungkin juga beliau hanya menelan bulat – bulat fatwa ulama Nejd yang menyalahkan amalan tersebut, tanpa mengambil kira pandangan dan fatwa para ulama lain.



Sebenarnya, tiada kesalahan untuk seseorang menyampaikan salam atau berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW melalui orang lain yang menziarahi makam baginda di kota suci Madinah al-Munawwarah. Qadhi Iyadh al-Yahshubi rahimahullah dalam kitab beliau yang masyhur, “asy-Syifaa` bi ta’riifi huquuqil Musthafa” pada juzuk ke-2 halaman 85 menyatakan:-

“Daripada Yazid bin Abi Sa`id al-Mahriy yang berkata: “Aku telah datang mengadap Khalifah ‘Umar bin `Abdul `Aziz, ketika hendak pulang, beliau berkata kepadaku: “Aku mempunyai satu hajat daripadamu, apabila engkau datang ke Madinah dan menziarahi kubur Nabi SAW maka ucapkanlah kepada baginda salam daripadaku.” Dalam riwayat daripada orang lain dinyatakan bahawa Khalifah `Umar mengutus salamnya kepada Nabi SAW melalui surat yang baginda hantar dari Syam.”

Oleh itu, tidaklah menjadi sesuatu yang pelik jika amalan berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW ini dibenarkan oleh para ulama kita. Imam an-Nawawi rahimahullah dalam kitab “al-Idhah fi manaasikil hajj wal `umrah” pada halaman 453 menyatakan:-

“Kemudian, jika seseorang berpesan kepadanya (yakni berpesan kepada si penziarah) untuk menyampaikan salam kepada Junjungan Rasulullah SAW, maka disampaikannya dengan mengucapkan: “as-Salamu ‘Alaika, ya RasulAllah min fulanibni fulan” (Salam kesejahteraan atasmu wahai Utusan Allah daripada si fulan anak si fulan ) atau “Fulanubnu fulan yusallim ‘alaika, ya RasulAllah” (Si fulan anak si fulan mengucap salam kepadamu, wahai Utusan Allah) atau dengan ucapan lain yang seumpamanya.”

Menurut Syaikh `Abdul Fattaah bin Husain bin Ismail bin Muhammad Thayyib Rawah al-Makki (1334H – 1425H) rahimahullah dalam “al-Ifshaah ‘ala masaail al-Iidhaah”, hukum menyampaikan kiriman salam yang dipesankan seseorang kepada Junjungan Nabi SAW adalah sunnat sahaja kerana tujuan berkirim salam tersebut adalah semata-mata untuk bertabarruk dengan Junjungan Nabi SAW.

Maulana Zakaria al-Kandahlawi rahimahullah dalam karya beliau yang diterjemahkan dengan jodol “Fadhilat Haji” pada halaman 204 – 205 menyebut:-

” ……., mungkin seorang lain yang telah menyuruh kamu untuk menyampaikan salamnya kepada Rasulullah SAW. Dengan demikian sampaikan salam secara demikian: (Salam ke atasmu ya Rasulullah, daripada orang ini bin orang ini yang memohon syafaatmu dengan Allah bagi pihaknya)

Jika ini menjadi satu kesukaran untuk diucapkan di dalam bahasa Arab, maka lakukanlah di dalam bahasa Urdu atau di dalam bahasamu sendiri. Imam Zurqani (Zarqani) rahmatullah `alaihi berkata: “Jikalau seorang telah meminta kamu menyampaikan salam dan kamu telah menerimanya dan berjanji untuk melakukannya, maka ianya menjadi wajib untuk menyampaikan perutusannya kerana ia adalah seumpama memegang amanah yang diterimai oleh seseorang. Ithaaf menyatakan bahawa daripada kalangan orang – orang dahulu telah menjadi adat sejak beberapa kurun untuk mengutuskan salam mereka kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan orang lain. Sebenarnya setengah pemerintah – pemerintah pernah menghantar satu utusan khas yang bertugas menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW seperti Umar bin Abdul Aziz RA pernah lakukan.”

Oleh itu, memfatwakan bahawa amalan berkirim salam kepada Junjungan Nabi SAW melalui seseorang sebagai salah dan menyeleweng adalah fatwa yang gegabah. Ini adalah kerana rata-rata ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jamaah, membenarkannya. Di sisi sebahagian ulama, adalah menjadi kewajipan kepada orang yang dipesan untuk menyampaikan kiriman salam tersebut kepada Junjungan Nabi SAW, manakala sebahagian yang lain hanya menghukumkannya sebagai sunnat sahaja untuk disampaikan kepada Junjungan Nabi SAW. Maka, kita boleh, bahkan digalakkan untuk mengucapkan sholawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW di mana jua kita berada. Ucapan sholawat dan salam kita akan diberi ganjaran pahala daripada Allah SWT dan akan disampaikan kepada Junjungan Nabi SAW oleh Allah SWT melalui para malaikatNya, sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa hadits, antaranya hadits yang diriwayat oleh Imam Ahmad RA daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud RA bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:-

إِنَّ لِلَّهِ مَلائِكَةً سَيَّاحِينِ فِي الأَرْضِ ، يُبَلِّغُونِي عَنْ أُمَّتِي السَّلامَ

“Sesungguhnya Allah mempunyai para malaikat yang ditugaskan berjalan ke serata pelusuk bumi untuk menyampaikan kepadaku salam umatku.”

Dan tiada juga halangan untuk kita mengutuskan salam kita kepada Junjungan Nabi SAW melalui para penziarah yang sejenis dengan kita, iaitu sama-sama keturunan Nabi Adam `alaihis salam, bahkan ianya juga dianjurkan sebagai sarana untuk kita bertabarruk dengan Junjungan Nabi SAW. Namun bagi sesiapa yang tidak mahu beramal dengan amalan berkirim salam ini, maka tidak juga menjadi kesalahan, apa yang menjadi kesalahan ialah sikap suka menyalahkan amalan orang lain tanpa usul periksa. Moga Allah sentiasa memberikan kita taufik dan hidayahNya agar kita tetap atas jalan orang – orang mukmin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan