PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra gagal dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman RM150 juta beliau terhadap polis dan tiga lagi kerana didakwa menahannya secara salah.
Bernama Media – Mon, Jun 24, 2013
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus menolak rayuan itu dengan kos RM10,000.
Mohd Hishamudin, yang bersidang bersama Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, memutuskan mahkamah itu tidak akan mengganggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi.
Panel itu membuat keputusan selepas mendengar hujah peguam AS Dhaliwal yang mewakili Tengku Muhammad dan Peguam Kanan Persekutuan Md Azizan Arshad bagi pihak defendan.
Pada 7 Nov lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Tengku Muhammad Fakhry selepas mendengar keterangan lima saksi plaintif dan lima saksi defendan.
-- LAGI
MAHKAMAH-TENGKU FAKHRY 2 (AKHIR) PUTRAJAYA
Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman itu pada 9 Dis 2011 dan menamakan Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Ismail Omar, ketua pengawal peribadi Sultan Kelantan ASP Noorazman Ismail, Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.
Penyataan tuntutan mendakwa beliau dihalang anggota polis pada 30 Ogos 2009 dari meninggalkan kawasan istana di Kubang Kerian kerana memandu kereta Bentley milik ayahandanya.
Beliau mendakwa ayahandanya iaitu bekas Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra, yang mahu kereta itu dihantar ke Singapura di mana baginda dirawat.
Dhaliwal ketika ditemui media berkata beliau akan mendapatkan arahan anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan atau tidak terhadap keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan.
-- BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan