Ramai meminta saya memberikan tip bagaimana hendak jadi penulis. Permintaan mereka kebanyakannya dikemukakan di e-mel atau mesej Facebook. Saya tidak dapat balas secara peribadi kerana lebih daripada seorang yang bertanya. Jadi, saya jawab secara umum sahaja.
Sejujurnya saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak mulakan kerana saya tidak tahu situasi atau masalah orang yang mengemukakan soalan berkenaan;
i. Adakah dia baru hendak cuba-cuba menulis?
ii. Adakah dia sudah biasa menulis tetapi penulisannya sangkut?
iii. Adakah dia langsung tidak pernah menulis tetapi rasa dirinya boleh menulis sebab dia suka membaca?
iv. Atau dahulu kala, zaman remajalah katakan, dia pernah menulis cerpen, sajak dan sebagainya, kemudian berhenti dan kini mahu kembali menulis?
Saya kembali kepada perkara yang paling asas dalam bidang penulisan:
Banyak membaca.
Ini adalah asas yang utama jika ingin menulis. Tidak kiralah genre apa pun, yang penting mesti membaca. Lazimnya, jika kita berminat mahu menulis buku motivasi, kita akan membaca banyak buku motivasi. Jika minat genre puisi, bergelumanglah dengan puisi yang dihasilkan oleh para penyair hebat. Jika berminat tulis novel, sedaya upaya kita akan menelaah banyak novel.
Ada yang menyatakan keinginan mahu menulis novel tetapi apabila ditanya novel apa yang sudah dibaca, jawapannya, “Tak pernah baca novel!” Alahai! Tetapi saya percaya, kalau ada usaha, mesti boleh buat. Sebenarnya belum terlambat, tetapi mulai sekarang kenalah belajar baca novel! Tiada masa baca novel? Kena usaha, cari masa juga!
Menguasai bahasa.
Terpulanglah hendak tulis bahasa apa; Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil atau bahasa asing lain. Yang penting, kuasai bahasa itu dahulu. Bagaimana menguasai bahasa? Kembali kepada latihan membaca tadi. Ramai yang kata, “Bahasa saya tidak sedap, bahasa saya tidak indah, saya tidak pandai bahasa bunga-bunga…” dan macam-macam lagi!
(Saya pun tidak faham apa maksud mereka apabila kata bahasa bunga-bunga. Agaknya ada bunga raya, bunga kemboja, bunga melur segala bagai… maaf, saya tidak pernah jumpa pun bahasa berbunga begitu.)
Bagi saya mudah sahaja, gunakan bahasa yang betul. Jika berbahasa Melayu, cuba tulis dalam Bahasa Melayu yang betul, jangan rojakkan bahasa, campur Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris sehingga celaru keliru jadinya. Kononnya itu bahasa orang bijak pandai… maaf sekali lagi, bagi saya itu menunjukkan kita tidak pandai Bahasa Melayu dan tidak pandai Bahasa Inggeris juga.
Apa jua bahasa boleh dipelajari, dipertingkatkan dan dipertajamkan dengan banyak membaca, memahami dan mengkaji. Bagi kita orang Malaysia yang sudah biasa bercakap dalam Bahasa Melayu, bahasa rasmi negara kita juga Bahasa Melayu, banyak buku di pasaran dalam Bahasa Melayu dan kita juga biasa membaca akhbar berbahasa Melayu, maka sebenarnya tiada masalah untuk kata tidak boleh belajar.
Saya sendiri sehingga sekarang masih belajar menguasai bahasa kebangsaan dengan betul (terutamanya dari segi tatabahasa dan perbendaharaan kata yang pelbagai). Saya masih ingat, hujung tahun lepas, saya mengajar anak saudara membuat persediaan bagi kertas BM SPM. Saya pening kepala juga melihat sukatan pelajaran BM tingkatan empat dan lima terutamanya dalam aspek pembentukan ayat. 100 peratus berbeza dengan zaman saya SPM dahulu! Saya sangka, saya yang mengajar dia tetapi akhirnya saya yang belajar sesuatu daripada buku persediaan SPM mereka itu.
Akhirnya kami berdua sama-sama berusaha mencari penyelesaian kepada soalan dengan menyemak dan memahami semula jawapan yang diberikan di muka surat akhir buku! Oh, sebenarnya tidaklah susah sangat jika kita banyak membaca… hanya perlu pertajamkan minda dan fahami asas sahaja.
‘Latihan’ menulis.
Saya selalu percaya, tiada cara yang paling mudah untuk mahir sesuatu, kecuali dengan mencubanya berkali-kali. Menulis blog, menulis diari, menulis surat… apa sahaja, itu adalah latihan. Menulis cerpen adalah latihan sebelum kita menulis novel. Tidak kisahlah sama ada cerpen itu tersiar di mana-mana, atau sekadar tersimpan dalam fail peribadi, ia tetap jadi latihan.
Jika tidak menulis cerpen (dalam makna kata cerpen sebenar), tetapi sekadar menulis rangkap pendek, fragmen atau apa sahaja yang kemudian dicantum menjadi karya yang sempurna, itu juga satu bentuk latihan.
Namun syaratnya, sedaya upaya cubalah menulis dalam laras bahasa yang betul. Pendek kata, biasa-biasakanlah yang betul sebab jika kita membiasakan yang tidak betul, lama-kelamaan kita akan terus hidup dalam keadaan tidak betul. Bimbang kita jadi jahil pula.... nauzubillah!
Wallahua'lam.
Salina Ibrahim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan