Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Ahad, 4 Mei 2008

Makanan pedas lawan

Penyelidik dapati komponen aktif cili hapus ketumbuhan barah pankreas

LONDON: Makanan pedas bercili bukan sekadar memberi keenakan tersendiri, tetapi kini didakwa sebagai ramuan utama generasi baru ubat antibarah yang boleh membunuh sel ketumbuhan tanpa sebarang kesan sampingan.

Akhbar The Independent memetik saintis terkenal Britain, Dr Timothy Bates yang juga penyelidik Universiti Nottingham, mendakwa Capsaicin – komponen aktif cili didapati menghasilkan keputusan menakjubkan apabila dapat menghapuskan sejenis sel ketumbuhan barah pankreas – antara barah yang sukar dirawati.

Berikutan hasil itu, Bates berkata, mereka dapat menemui apa disifatkan sebagai ‘pembunuh’ semua jenis barah kerana bahan Capsaicin itu mensasarkan pusat penghasilan sel ketumbuhan berkenaan.

“Penemuan itu sememangnya menarik dan menjelaskan bagaimana penduduk di negara seperti Mexico dan India yang gemar makanan pedas, kurang menghidap barah yang sebaliknya ketara di dunia Barat.

“Apa yang kita temui adalah sesuatu yang dapat melemahkan semua sel barah. Capsaicin, misalnya, secara khususnya tertumpu kepada sel barah yang memungkinkan penghasilan ubat yang membunuh barah, tetapi pada masa sama, tiada kesan sampingan,” katanya.

Penemuan itu sekali gus boleh menyaksikan pengeluaran ubat yang dapat merawat pelbagai barah pada anggaran cuma £410 juta (RM2.8 bilion) daripada kos keseluruhan menghasilkan ubat konvensional yang membabitkan kajian sekurang-kurangnya 10 tahun.

Ia disebabkan Capsaicin sememangnya dimakan hampir setiap hari oleh berjuta-juta penduduk dunia.

Malah, Capsaicin banyak dijadikan bahan aktif dalam krim sapuan urat dan rawatan penyakit psoriasis.

Penyelidik Nottingham itu mendapati, tindakan Capsaicin membunuh sel barah berkenaan berlaku tanpa menjejaskan sel lain yang sihat.

Dalam kajian itu, penyelidik meletakkan Capsaicin ke dalam sel barah dalam paru-paru manusia yang disifatkan permulaan baik dan penting dalam ujian ubat antibarah yang seterusnya menyaksikan sel barah terbabit, mati.

Bates juga berkata, berikutan Capsaicin yang menjadi sebahagian unsur dalam makanan dikenali ‘vanilloids’ dan banyak dimakan di kebanyakan negara secara langsung mengurangkan sekatan yang lazimnya dihadapi ubat baru di pasaran.

Bagaimanapun, pegawai penerangan mengenai barah di Cancer Research UK, meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan muktamad mengenai kajian mengenai makanan pedas itu.

“Penyelidikan itu tidak mengatakan memakan banyak lada menyekat atau merawat kanser. Tentu menarik untuk melihat sejauh mana penyelidikan lanjut mengenai Capsaicin selepas ini,” katanya. – Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan