Translate

Asal kejadian jurnal@blog ini...

Asal kejadian isipati jurnal@blog ini adalah dari http://idanradzi.easyjournal.com tetapi nak jadi ceritera server sana asyik terhalang untuk diakses. Kini 2012 telah padam server Easyjournal ini.

Aku hanya sempat memindahkan sedikit sahaja data ke situs cermin ini. Alahai sedih amat.

Situs ini lebih kepada keterbukaan dalam soal Politik, usah dilabelkan situs haluan kiri atau pro parti mana pun. Pemilik asalnya adalah seorang Penyair nan lebih suka mendalami jiwa rakyat marhaen.

Bantu

Rabu, 7 Mei 2008

Harga 2 gred beras dikawal


Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Harga siling beras Super Special Tempatan lima peratus hancur, kini ditetapkan pada RM2.80 satu kilogram (kg) manakala beras Super Special tempatan 10 peratus hancur ditetapkan RM2.70 satu kilogram, berkuat kuasa 1 Jun.

Keputusan itu antara lima langkah yang diambil Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Bangunan Parlimen, semalam.

Sebelum ini, kedua-dua gred beras berkenaan tidak dikawal.

Abdullah dalam kenyataan lewat petang semalam berkata, kerajaan turut bersetuju mengekalkan beras Super Tempatan 15 peratus hancur sebagai beras yang dikawal harganya antara RM1.65 satu kg hingga RM1.80 satu kg mengikut zon.

Selain itu, kerajaan bersetuju mengapungkan harga beras import termasuk beras putih Thailand di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; membenarkan pemindahan padi antara negeri secara berperingkat dan menaikkan Harga Minimum Terjamin (GMP) daripada RM650 per tan metrik (MT) kepada RM750 per MT bagi meningkatkan pendapatan pesawah padi.

Abdullah berkata, langkah itu akan berkuat kuasa serta-merta kecuali harga siling beras Super Special Tempatan lima peratus hancur dan beras Super Special Tempatan 10 peratus hancur.

Menurutnya, langkah itu diambil selepas menimbangkan kepentingan semua pihak, selain memelihara kebajikan pengguna dan pesawah padi dalam isu kenaikan harga padi dan beras, ketika ini.

“Berikutan keputusan itu, kerajaan akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM725 juta untuk 500,000 tan beras import sebagai subsidi bagi mengekalkan harga beras runcit.

“Langkah itu juga diharap dapat meringankan beban pengguna ketika harga barangan semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga beras dunia memberi tekanan kepada harga padi dan beras dalam negara, menyebabkan beras tempatan yang dikawal mengalami kekurangan dalam pasaran tempatan.

Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan